Selain gula melaka dan gula kabung, negara kita turut mempunyai satu lagi gula tempatan yang ramai penggemarnya iaitu gula nisan.
Merupakan pengganti gula yang popular di Pantai Timur, ia turut dikenali sebagai nisan kerek atau nisey kerek.
Sejarah perkataan ‘nisey’ dipercayai berasal daripada perkataan manisan dalam dialek Pantai Timur, manakala kerek adalah kerana bentuk acuannya yang bulat.
Disebabkan ia berasal dari air nira kelapa, ia turut dikenali sebagai Coconut Sugar atau Coconut Palm Sugar dalam bahasa Inggeris.
Selain digunakan sebagai pengganti gula dalam masakan atau pembuatan kuih muih, ia turut terkenal dalam bentuk manisan gula-gula yang dipanggil coklat nisan khususnya di Kelantan dan Terengganu.
Antara manisan yang menggunakan nisan kerek adalah bubur pulut hitam, kuih akok, pengat, onde-onde dan sebagainya.
Gula Nisan Dari Apa?
Nisan kerek yang dibuat secara tradisional menggunakan acuan daun mengkuang berbentuk bulat dan air nira kelapa sebagai bahan utama.
Untuk menghasilkan nisan kerek yang berkualiti, kepakaran yang tinggi juga diperlukan.
Air nira kelapa perlulah dimasak selama beberapa jam sehingga mencapai kepekatan yang optimum sebelum dimasukkan di dalam kerek (acuan).
Memandangkan gula ini kurang manis, setengah penjual juga akan menghasilkan versi nisan kerek yang telah ditambah dengan campuran air gula.
Oleh itu, anda boleh bertanya dengan penjual terlebih dahulu atau membaca label sebelum membeli.
Selain dijual dalam bentuk bulat, gula semulajadi ini juga boleh didapati dalam bentuk serbuk.
Gula nisan yang bebas campuran gula juga boleh dijadikan pengganti gula yang lebih baik.
Hal ini kerana ia bebas bahan kimia, bukan produk diproses dan kaya dengan mineral dan vitamin berbanding gula pasir putih.
Antara khasiat mineral yang boleh ditemui dalam gula ini adalah kalium, fosforus, zink, zat besi dan antioksida.
Di samping itu, ia juga kaya dengan vitamin B yang penting dalam membentuk sel-sel dan tisu yang sihat.
Meskipun begitu, gula nisan masih mempunyai nilai karbohidrat dan kalori yang sama dengan gula putih.
Justeru, anda perlulah berhati-hati ketika mengambil gula ini sama seperti gula putih.
Cara Kenali Gula Nisan Asli
Memang tak dinafikan ada kalanya kita mungkin boleh tersilap beli gula ini dan sukar untuk kenalpasti keasliannya lebih-lebih lagi bagi anda yang mahukan nisan kerek dengan kandungan 100% daripada air nira kelapa.
Antara ciri-ciri untuk kenali sama ada gula nisan yang dibeli adalah asli atau tidak adalah :
- Mempunyai tekstur lembut
- Mudah untuk dipatahkan
- Mudah untuk dicairkan
- Jika diketuk, tidak keluar habuk berwarna putih (jika ada, ini bermakna terdapat campuran gula putih).
Tak sangka di sebalik kemanisan gula tempatan ini, ia mengandungi pelbagai mineral yang baik untuk kesihatan.
Ia juga boleh dijadikan pengganti gula yang baik dalam masakan dan minuman.
Namun, jangan lupa untuk ambilnya dalam kadar sederhana sahaja, ya!
Sumber : Harian Metro, Facebook Resepi Kek Sedap, kosmo.com.my, Berita Harian
Baca Juga : Apa Itu Gula Apong Sarawak dan Kegunaannya?