Cara mandi wajib yang sah mengikut syarak mempunyai dua rukun utama iaitu pertama, niat dan kedua meratakan air ke seluruh anggota zahir termasuk kulit dan rambut.
Sekiranya mandi wajib tidak sempurna, ibadah lain seperti solat dan tawaf boleh menjadi tidak sah.
Mandi wajib, yang juga dikenali sebagai mandi junub atau mandi hadas besar, adalah wajib ke atas setiap Muslim atas beberapa sebab, antaranya:
- Keluar air mani (syahwat).
- Bersetubuh (jimak) walaupun tanpa keluar mani.
- Haid
- Nifas wanita.
- Wiladah (melahirkan anak)
Berikut juga dikongsikan panduan lengkap mandi wajib yang disusun bagi memastikan ibadah anda sempurna dan diterima berdasarkan perkongsian Mufti Wilayah Persekutuan dan JAKIM.
Artikel ini merangkumi syarat sah seperti niat (untuk hadas besar, haid, atau nifas), meratakan air ke seluruh anggota badan, serta tertib langkah demi langkah.
Ringkasan Cara Mandi Wajib
Mandi wajib ialah mandi untuk mengangkat hadas besar dengan meratakan air ke seluruh badan berserta niat.
Rukun Mandi Wajib Ada Dua Sahaja:
Trending sekarang
- Niat ketika air pertama mengenai badan.
- Meratakan air ke seluruh anggota zahir termasuk rambut dan kulit.
Jika salah satu tidak dilakukan, mandi wajib tidak sah dan ibadah seperti solat tidak diterima.
Apa itu Mandi Wajib?
Mandi wajib (juga dikenali sebagai mandi junub atau mandi hadas) ialah perbuatan meratakan air ke seluruh anggota badan dengan niat untuk mengangkat hadas besar.
Berbeza dengan mandi harian biasa, mandi wajib adalah satu ibadah yang tertakluk kepada hukum syarak.
Tujuannya adalah untuk menyucikan diri daripada keadaan tidak suci (hadas besar) supaya seseorang itu dibenarkan kembali melaksanakan ibadah tertentu seperti solat dan tawaf.
Dali Tentang Mandi Wajib
Kewajipan mandi wajib bagi menyucikan diri daripada hadas besar adalah berdasarkan sumber perundangan Islam yang utama, iaitu Al-Quran dan As-Sunnah (Hadis).
1. Dalil daripada Al-Quran
Allah SWT berfirman secara jelas mengenai perintah bersuci bagi mereka yang berada dalam keadaan junub (hadas besar):
وَإِن كُنتُمْ جُنُبًا فَٱطَّهَّرُوا۟
“Dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah (dengan mandi wajib)…” — Surah Al-Ma’idah: Ayat 6
Selain itu, bagi wanita yang telah suci daripada haid, Allah SWT berfirman:
وَلَا تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّىٰ يَطْهُرْنَ ۖ فَإِذَا تَطَهَّرْنَ فَأْتُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ أَمَرَكُمُ اللَّهُ
“…Dan janganlah kamu menghampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci (mandi wajib), maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu…” — Surah Al-Baqarah: Ayat 222
2. Dalil daripada Hadis
Terdapat banyak hadis sahih yang memperincikan kewajipan mandi wajib. Antaranya ialah hadis mengenai kewajipan mandi selepas bersetubuh walaupun tanpa keluar mani:
Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:
“Apabila seorang lelaki duduk di antara empat cabang (anggota) wanita (isterinya) kemudian dia bersungguh-sungguh (menyetubuhinya), maka wajiblah atasnya mandi.” — Hadis Riwayat Al-Bukhari (No. 291) & Muslim (No. 348)
Bagi wanita yang selesai haid, Rasulullah SAW bersabda kepada Fatimah binti Abi Hubaisy:
“Apabila datang haid, maka tinggalkanlah solat. Dan apabila tempohnya telah berlalu, maka mandilah dan tunaikanlah solat.” — Hadis Riwayat Al-Bukhari (No. 320) & Muslim (No. 333)
Sebab Perlu Mandi Wajib
Apa sebab-sebab yang diwajibkan mandi wajib?
Mandi wajib diwajibkan apabila seseorang berada dalam keadaan berhadas besar yang menghalang ibadah tertentu seperti solat dan tawaf.
Berikut ialah senarai sebab-sebab yang mewajibkan seseorang mandi wajib:
- Jimak iaitu melakukan persetubuhan (bertemu dua khitan) apabila zakar dimasukkan ke dalam faraj walaupun tidak keluar air mani.
- Keluar air mani walaupun zakar tidak dimasukkan ke dalam faraj. Begitu juga keluar air mani kerana bermimpi syahwat (wet dream)
- Keluar darah Haid bagi wanita.
- Nifas iaitu darah yang keluar dari faraj wanita ketika melahirkan anak (Wiladah)
- Wiladah – wanita yang melahirkan anak.
- Mati kecuali mati syahid
- Masuk Islam orang dari ajaran sebelumnya (“kafir”)
Apakah Rukun Mandi Wajib?
Rukun mandi wajib hanya ada dua perkara iaitu niat dan meratakan air ke seluruh anggota badan yang zahir. Jika salah satu daripadanya ditinggalkan, maka mandi tersebut tidak sah.
Menurut kitab Al-Fiqh al-Manhaji, kedua-dua rukun ini menentukan sah atau tidaknya penyucian daripada hadas besar.
Rukun mandi wajib ada dua:
1. Pertama, niat.
Tujuan niat adalah untuk membezakan antara mandi biasa (tabru’ atau kebersihan) dengan ibadah (mengangkat hadas). Niat dilakukan ketika air pertama kali mengenai mana-mana bahagian badan dan tidak wajib dilafazkan, memadai di dalam hati.
2. Kedua, meratakan air ke seluruh anggota badan yang zahir.
Anda perlu memastikan air sampai ke setiap bahagian kulit dan rambut yang berada di bahagian luar badan. Ini termasuklah:
- Pangkal rambut dan kulit kepala
- Kening
- Bahagian dalam pusat
- Celah-celah jari kaki/tangan
- Bawah ketiak
- Cuping telinga
- Bahagian bawah kuku
- Dan sebagainya.
Pastikan tiada bahan yang menghalang air sampai ke kulit seperti cat, pengilat kuku (nail polish) yang tidak telus air, atau gam yang tebal.
Bagaimanakah Cara Mandi Wajib yang Lengkap dan Sah?
Cara mandi wajib yang sah ialah dengan berniat mengangkat hadas besar ketika air pertama mengenai badan kemudian meratakan air ke seluruh anggota tubuh mengikut tertib yang diajar oleh Rasulullah SAW.
Berikut merupakan langkah-langkah dan cara mandi wajib yang sempurna mengikut panduan daripada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM):
- Niat
- Membaca “Bismillah”
- Mencuci tangan sebanyak tiga kali
- Mencuci kemaluan dengan tangan kiri
- Membersihkan atau menyucikan tangan kiri dengan sabun
- Berwuduk. Wuduk boleh dilakukan seperti wuduk biasa sepertimana biasa (untuk melakukan solat) ataupun boleh menangguhkan mencuci kaki selepas selesai mandi.
- Membasuh kepala dengan mengusap rambut secara meratakan kepala lalu menyiramnya 3 kali dengan air.
- Memulakan dengan bahagian kanan tubuh.
- Meratakan air ke seluruh tubuh badan.
Sumber: Portal myHadith JAKIM

Niat Mandi Wajib Bahasa Arab & Rumi
Niat mandi wajib ialah lintasan di dalam hati untuk mengangkat hadas besar ketika air pertama kali mengenai badan. Ia merupakan rukun utama yang menentukan sah atau tidaknya mandi wajib.
Lafaz Niat Mandi Wajib (Lelaki & Perempuan)
- Lafaz Arab: نَوَيْتُ رَفْعَ الْحَدَثِ الأَكْبَرِ لِلَّهِ تَعَالَى
- Rumi: Nawaitu raf‘al hadathil akbari lillahi ta‘ala
- Ertinya: “Sahaja aku mengangkat hadas besar kerana Allah Taala”

Niat itu hendaklah disertakan ketika air sampai ke bahagian anggota badan.
Lafaz niat yang lain:
- Lafaz Arab: نَوَيْتُ الغُسْلَ عَنِ الجَنَابَةِ لِلَّهِ تَعَالَى
- Rumi: Nawaitul ghusla ‘anil janabati lillahi ta‘ala
- Ertinya: “Sahaja aku mandi kerana janabah kerana Allah Taala.”

Lafaz Niat Mandi Wajib (Perempuan)
Niat Mandi Wajib Selepas Haid (Wanita)
- Lafaz Arab: نَوَيْتُ رَفْعَ حَدَثِ الْحَيْضِ لِلّٰهِ تَعَالَى
- Rumi: Nawaitu raf’a hadatsil haidhi lillahi ta’ala.
- Maksud: “Sahaja aku mengangkat hadas haid kerana Allah Ta’ala.”

Niat Mandi Wajib Selepas Nifas
- Lafaz Arab: نَوَيْتُ رَفْعَ حَدَثِ النِّفَاسِ لِلّٰهِ تَعَالَى
- Rumi: Nawaitu raf’a hadatsin nifasi lillahi ta’ala.
- Maksud: “Sahaja aku mengangkat hadas nifas kerana Allah Ta’ala.”

NOTA:
Lafaz niat tidak wajib dibaca dalam Bahasa Arab. Memadai lintasan niat di dalam hati ketika air pertama kali mengenai badan.
Kesalahan Biasa Ketika Mandi Wajib
Terdapat beberapa kesilapan yang sering dilakukan sehingga boleh menyebabkan mandi wajib seseorang itu tidak sah. Antaranya ialah:
1. Air Tidak Sampai ke Anggota Terselindung
Ini adalah kesalahan paling utama. Ramai yang terlepas pandang untuk meratakan air pada bahagian yang sukar dicapai seperti:
- Bahagian dalam pusat.
- Celah-celah jari kaki dan tangan.
- Kawasan di belakang telinga dan celah-celah telinga.
- Bawah ketiak dan lipatan kulit (bagi individu berbadan besar).
2. Masih Terdapat Penghalang Air pada Kulit
Mandi tidak sah jika terdapat bahan yang menghalang air menyentuh kulit atau rambut (man’u usulil ma’):
- Kosmetik Kalis Air: Gincu tebal, waterproof foundation, atau maskara yang tidak dibersihkan sepenuhnya.
- Pengilat Kuku (Nail Polish): Kebanyakan pengilat kuku tidak telus air (kecuali jenis tertentu yang telah disahkan).
- Bahan Kimia/Kotoran: Cat, gam, atau minyak yang terlalu tebal sehingga air tidak sampai ke kulit.
3. Rambut Tidak Dibasuh Sehingga ke Pangkal
Bagi individu yang mempunyai rambut tebal atau panjang, air mestilah dipastikan sampai ke kulit kepala. Jika hanya membasuh bahagian luar rambut sahaja, mandi adalah tidak sah.
Persoalan Mengenai Mandi Wajib
Berikut ialah beberapa persoalan yang sering timbul mengenai mandi wajib:
1. Waktu Bilakah Perlu Mandi Wajib Selepas Haid?
Seorang wanita wajib mandi selepas mendapati darah haidnya telah berhenti sepenuhnya (suci). Tanda suci boleh dikenal pasti melalui dua cara:
- Inqita’ al-Dam: Tiada lagi kesan darah atau warna keruh (brownish/yellowish) yang keluar apabila dilap dengan kapas
- Keluarnya Cecair Putih (Qassah al-Baida’): Cecair putih yang keluar dari rahim menandakan tamatnya tempoh haid.
Kalau nak tahu penjelasan lebih lanjut, sila rujuk video Ustazah Siti Aisyah di bawah:
2. Mandi Junub Lepas Subuh, Sah Tak Puasa?
Sah. Jika seseorang dalam keadaan junub (setelah bersama atau bermimpi) sebelum waktu Subuh, kemudian dia tertidur atau tidak sempat mandi sehingga masuk waktu Subuh, puasanya pada hari tersebut tetap sah.
Hal ini berdasarkan hadis daripada Aisyah RA dan Ummu Salamah RA yang menyatakan bahawa Nabi SAW pernah memasuki waktu Subuh dalam keadaan junub selepas bersama, kemudian Baginda mandi dan berpuasa (Hadis Riwayat Al-Bukhari & Muslim).
Walau bagaimanapun, dia wajib segera mandi untuk menunaikan solat Subuh.
3. Perlukah Mandi Wajib Untuk Perempuan Disebabkan Beronani Walaupun Tidak Keluar Air Mani?
Berdasarkan penjelasan daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hukum bagi situasi ini adalah seperti berikut:
Tidak Wajib Mandi Sekiranya Tidak Keluar Mani.
Mandi wajib bagi wanita yang melakukan onani (masturbasi) hanya diwajibkan sekiranya dia yakin bahawa air mani telah keluar. Sekiranya perbuatan tersebut tidak menghasilkan pengeluaran air mani, maka dia tidak perlu mandi wajib.
Menurut pandangan mazhab Syafi’i, air mani wanita mempunyai ciri-ciri seperti berwarna kekuningan, nipis (cair), dan keluar dengan rasa syahwat serta diikuti dengan rasa lemah (lemas) selepasnya.
Perlu ditegaskan bahawa perbuatan beronani adalah haram di sisi syarak, melainkan dalam keadaan yang sangat mendesak untuk mengelakkan zina yang lebih besar.
4. Apa Hukum Buang Air Ketika Mandi Junub?
Hukum buang air kecil atau besar ketika mandi junub adalah dibolehkan dan tidak membatalkan mandi tersebut.
Namun ia tidak mengangkat hadas kecil ketika mandi junub dijalankan.
Oleh yang demikian, selepas mandi seseorang tidak mengerjakan solat melainkan berwuduk terlebih dahulu.
Berlainan pula jika seseorang ketika mandi junub tidak berlaku perkara yang membatalkan wuduk, maka dengan mandi itu juga terangkat hadas kecilnya dan harus mengerjakan solat tanpa berwuduk.
Rujuk: AL-KAFI #1855: HUKUM BUANG AIR KETIKA MANDI JANABAH
5. Bolehkah Bersama Suami Sebelum Mandi Wajib Selepas Haid?
Menurut penjelasan rasmi daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hukum bagi situasi ini adalah Haram dan Tidak Dibenarkan.
Walaupun darah haid telah berhenti sepenuhnya, pasangan suami isteri dilarang melakukan hubungan intim (jimak) sehinggalah si isteri selesai melakukan mandi wajib dengan sempurna.
Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Baqarah, ayat 222 yang bermaksud: “…Dan janganlah kamu menghampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci (mandi wajib), maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu…”
Rujuk: AL-KAFI #730 : BERSAMA SUAMI SELEPAS HAID, SEBELUM MANDI WAJIB
Maklumat Lanjut
Untuk maklumat lanjut dan persoalan-persoalan berkaitan mandi wajib, sila layarI:
- Portal rasmi Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan
- Facebook Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
- Portal My Hadith JAKIM
Soalan Lazim Cara Mandi Wajib
Ya, sah. Asalkan rukun mandi iaitu niat dan meratakan air ke seluruh anggota badan telah sempurna dilakukan.
Boleh. Penggunaan sabun, syampu, atau wangian hanyalah perkara sunat dan bertujuan untuk kebersihan tambahan.
Sah selagi mana air boleh sampai ke pangkal rambut dan kulit kepala melalui celah-celah ikatan tersebut. Namun, jika ikatan terlalu ketat sehingga menghalang air sampai ke kulit kepala, maka ikatan itu wajib dibuka.
Sah. Mandi wajib tidak bergantung kepada gayung atau kolah, tetapi memastikan air mutlak mengalir dan meratakan seluruh anggota badan.
Tidak sah kerana niat adalah rukun mandi wajib. Mandi perlu diulang semula dengan niat ketika permulaan siraman air.
Tidak wajib jika mandi dilakukan dengan sempurna dan tidak berlaku perkara yang membatalkan wuduk selepas itu. Seseorang boleh terus menunaikan solat.




