Cara Ambil Ubat Ketika Berpuasa – Panduan & Tips

cara ambil ubat ketika puasa
Info bantuan baru terus ke WhatsApp
Saya Nak!

Cara ambil ubat ketika puasa memerlukan perancangan yang teliti bagi memastikan rawatan penyakit tetap berkesan walaupun rutin harian berubah. Layari portal rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengetahui pelbagai tips dan panduan kesihatan di https://www.moh.gov.my/

Bagi pesakit yang perlu mengambil ubat-ubatan secara rutin, bulan Ramadan bukanlah penghalang untuk terus sihat.

Anda perlu memahami teknik penyelarasan waktu yang betul antara waktu Iftar dan Sahur bagi memastikan pengambilan ubat anda tidak terkesan dengan perubahan rutin bulan Ramadan.

Rujuk panduan dan tips ambil ubat ketika puasa di bawah.

Pengambilan Ubat Semasa Bulan Ramadan

Pengambilan ubat semasa Bulan Ramadan boleh disesuaikan dengan waktu sahur dan berbuka. Ini supaya puasa kekal sah sambil memastikan kesihatan terjaga.

Pesakit boleh mengubah jadual dos 2-3 kali sehari kepada waktu yang dibolehkan makan.

Pesakit kronik seperti diabetes atau tekanan darah tinggi digalakkan rujuk doktor atau ahli farmasi awal-awal untuk pelarasan resipi ubat, contohnya tukar antibiotik 4 kali kepada bentuk 2 kali sehari atau gunakan alternatif bukan oral seperti suntikan dan inhaler yang tidak membatalkan puasa.

Dengan perancangan betul, ramai pesakit boleh berpuasa selamat tanpa mengabaikan rawatan perubatan.

Apa pun, yang paling penting, jangan sesekali mengubah dos atau waktu pengambilan ubat tanpa berbincang dengan doktor atau ahli farmasi.

Perubahan drastik boleh menjejaskan keberkesanan rawatan atau menyebabkan kesan sampingan yang tidak diingini.

Cara ambil ubat ketika puasa

Ubat yang Membatalkan Puasa

Terdapat kategori ubat-ubatan tertentu yang boleh menyebabkan puasa terbatal sekiranya diambil pada waktu siang.

Secara umumnya, ubat yang membatalkan puasa adalah ubat yang masuk ke dalam rongga badan.

Contohnya:

1. Ubat Biji (Pil / Kapsul)

Ubat ini diambil secara ditelan atau dikunyah melalui mulut. Oleh sebab ubat ini masuk ke dalam perut melalui rongga mulut dan kerongkong, ia secara langsung membatalkan puasa.

    2. Ubat Minum (Cecair)

    Sama seperti ubat biji, ubat dalam bentuk cecair (seperti ubat batuk atau sirup) yang ditelan akan membatalkan puasa.

      3. Supositori / Enema

      Ubat jenis ini adalah ubat yang dimasukkan ke dalam dubur. Walaupun ia tidak melalui mulut, memasukjan bahan ubat ke dalam rongga dubur dianggap membatalkan puasa mengikut panduan perubatan dan agama di Malaysia.

        4. Pesari (Pessary)

        Ini merupakan ubat yang dimasukkan ke dalam vagina untuk merawat jangkitan atau masalah kesihatan wanita. Prosedur memasukkan ubat ke dalam rongga dikira sebagai perkara yang membatalkan puasa.

        ubat yang membatalkan puasa

        Bagi ubat-ubatan di atas, anda perlu mengambilnya selepas Iftar (berbuka) sehingga waktu Sahur sahaja. Jika ubat tersebut sangat kritikal dan perlu diambil pada waktu siang, anda dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat doktor atau ahli farmasi.

        Ubat yang Tidak Membatalkan Puasa

        Kategori ini merangkumi ubat-ubatan yang tidak masuk ke dalam sistem penghadaman secara terus atau digunakan secara luaran.

        Contohnya:

        • Ubat Titis Mata atau Telinga: Penggunaannya dibenarkan dengan syarat cecair tersebut tidak sampai ke batas gegendang telinga.
        • Ubat Kumur: Penggunaan pembersih mulut secara berkumur sahaja.
        • Ubat Sapu: Segala jenis krim, salap, atau minyak yang disapu pada kulit.
        • Ubat Sembur Hidung: Dibenarkan dengan syarat ubat tersebut tidak disedut masuk ke dalam rongga pernafasan.
        • Tablet Sublingual: Ubat yang diletakkan di bawah lidah dan dibiarkan larut tanpa ditelan.
        • Ubat Suntikan: Pemberian ubat melalui jarum suntikan ke dalam otot atau urat.
        ubat yang tidak membatalkan puasa

        Tips Ambil Ubat Semasa Berpuasa

        Rujuk tips dan cara ambil ubat semasa berpuasa yang dikongsikan oleh KKM di bawah:

        1. 1 KALI SEHARI (SEBELUM MAKAN)

        Untuk ubat yang perlu dimakan “Sebelum Makan” (1 kali sehari), anda boleh pilih salah satu kaedah makan ubat di bawah:

        • Sebelum Sahur: Ambil ubat 30 minit – 1 jam sebelum sahur.
        • Selepas Berbuka: Berbuka dulu dengan kurma > makan ubat 30 minit – 1 jam sebelum menikmati menu utama > Solat Maghrib > Ambil menu utama.
        • Selepas Berbuka: Makan menu utama > Ambil ubat 2 jam selepas berbuka.
          Cara ambil ubat ketika puasa

          2. 1 KALI SEHARI (SELEPAS MAKAN)

          Untuk ubat yang perlu dimakan “Selepas Makan” (1 kali sehari), anda boleh pilih salah satu kaedah makan ubat di bawah:

          • Selepas bersahur: Makan menu utama > Ambil ubat
          • Selepas Berbuka: Makan menu utama > Ambil ubat
          Cara ambil ubat ketika puasa

          3. 2 KALI SEHARI (SEBELUM MAKAN)

          Untuk ubat yang perlu dimakan “Sebelum Makan” (2 kali sehari), anda boleh pilih salah satu kaedah makan ubat di bawah:

          DOS 1: Makan 30 minit – 1 jam sebelum bersahur.

          DOS 2: Selepas Berbuka.

          • Berbuka dulu dengan kurma > makan ubat 30 minit – 1 jam sebelum menikmati menu utama > Solat Maghrib > Ambil menu utama. ATAU;
          • Makan menu utama > Ambil ubat 2 jam selepas berbuka.
          Cara ambil ubat ketika puasa

          4. 2 KALI SEHARI (SELEPAS MAKAN)

          Untuk ubat yang perlu dimakan “Selepas Makan” (2 kali sehari), anda boleh pilih salah satu kaedah makan ubat di bawah:

          • DOS 1: Makan ubat sebaik sahaja selepas bersahur.
          • DOS 2: Makan ubat selepas berbuka puasa.
          Cara ambil ubat ketika puasa

          5. 3/4 KALI SEHARI

          Sekiranya anda perlu makan ubat 3/4 kali sehari, anda boleh pertimbangkan alternatif berikut:

          • Tukar Bentuk Dosej Ubat: Contohnya, tukar ubat bentuk tablet ke bentuk krim untuk rawatan kulit.
          • Tukar Jenis Ubat: Contohnya, tukar jenis antibiotik yang perlu diambil 3/4 kali sehari kepada jenis antibiotik yang perlu diambil 2 kali sehari sahaja.

          Sekiranya perlu, anda boleh gunakan rukhsah jika berpuasa sakit menjadi teruk. Makan ubat seperti yang diarahkan dan mengganti puasa tersebut pada hari yang lain selepas Ramadan.

            Cara ambil ubat ketika puasa

            Pengambilan Insulin Semasa Berpuasa

            Bagi penghidap diabetes yang menggunakan insulin, perubahan waktu makan dan tempoh berlapar yang panjang boleh memberi kesan besar kepada paras gula dalam darah.

            Walaubagaimanapun, puasa masih boleh dilakukan tetapi perlu lebih berhati-hati serta mengikut nasihat perubatan supaya ibadah berjalan lancar tanpa menjejaskan kesihatan.

            Rujuk panduan berikut:

            1. Berbincang dengan doktor

            Sebelum Ramadan bermula, pesakit perlu berbincang dengan doktor atau ahli farmasi untuk menilai sama ada selamat berpuasa dan menyesuaikan rawatan.

              2. Lewatkan Sahur, Awalkan Berbuka

              Digalakkan melewatkan sahur dan mengambil makanan karbohidrat kompleks seperti oat, roti gandum atau beras perang bersama protein dan lemak sihat supaya gula dilepaskan perlahan.

              Makanan terlalu manis dan minuman bergula perlu dielakkan kerana ia menyebabkan gula naik cepat kemudian turun mendadak.

              Apabila berbuka pula, segerakan berbuka pada waktunya dengan kurma dan air kosong dahulu serta elakkan makan terlalu banyak sekaligus bagi mengelakkan lonjakan gula darah.

              3. Pantau Bacaan Gula

              Sepanjang berpuasa, pemantauan paras gula sangat penting. Periksa bacaan gul sebelum sahur, tengah hari, petang dan sebelum berbuka atau apabila berasa tidak normal.

              Puasa mesti dihentikan segera jika berlaku hipoglisemia iaitu bacaan kurang daripada 3.9 mmol/L atau hiperglisemia melebihi 16.7 mmol/L.

              Tanda gula rendah termasuk menggigil, berpeluh, pening dan mengantuk manakala gula terlalu tinggi menyebabkan sangat haus, kerap kencing dan terlalu letih.

              Keadaan ini boleh membawa kepada pengsan atau komplikasi serius, maka berbuka adalah wajib demi keselamatan.

              Cara Berbuka Puasa Pesakit Diabetes

              Bagi pengguna insulin bertindak cepat atau insulin pracampur, kaedah berbuka yang betul ialah makan kurma terlebih dahulu, kemudian suntik insulin, menunaikan solat Maghrib dan selepas itu barulah mengambil hidangan utama.

              Susunan ini membantu mengelakkan kenaikan gula mendadak dan mengurangkan risiko gula jatuh selepas makan.

              pengambilan insulin semasa berpuasa

              Tidak semua pesakit sesuai berpuasa seperti mereka yang kerap mengalami hipoglisemia, diabetes tidak terkawal, pesakit dialisis, ibu hamil yang menggunakan insulin atau warga emas yang lemah.

              Aktiviti fizikal ringan masih boleh dilakukan tetapi sebaiknya selepas berbuka atau selepas tarawih, dan pengambilan air yang mencukupi antara Maghrib hingga sahur amat penting untuk mengelakkan dehidrasi yang boleh meningkatkan paras gula.

              Kesimpulannya, pesakit diabetes masih boleh berpuasa dengan selamat jika membuat persediaan awal, mengubah dos insulin mengikut nasihat doktor, memantau gula secara berkala dan mengenali tanda bahaya.

              Jangan memaksa diri sekiranya tubuh memberi amaran kerana menjaga nyawa dan kesihatan adalah lebih utama dalam Islam.

              Penggunaan Inhaler Semasa Berpuasa

              Bolehkah pakai inhaler semasa berpuasa?

              Jawapannya:

              Berdasarkan panduan yang dikongsikan oleh pihak berautoriti kesihatan dan rujukan hukum semasa, terdapat perbezaan pandangan dalam kalangan ulama mengenai perkara ini.

              Secara umumnya, terdapat dua pendapat utama.

              Pendapat pertama menyatakan bahawa penggunaan inhaler membatalkan puasa kerana terdapat zarah ubat yang masuk ke dalam rongga melalui mulut dan berkemungkinan sampai ke perut.

              Oleh itu, menurut pandangan ini, jika seseorang menggunakan inhaler ketika berpuasa, maka puasanya batal dan perlu diganti (qada) selepas Ramadan.

              Namun begitu, pendapat kedua menyatakan bahawa penggunaan inhaler tidak membatalkan puasa kerana ubat yang disedut masuk terus ke saluran pernafasan dan paru-paru, bukan sebagai makanan atau minuman yang bertujuan mengenyangkan.

              Jumlah zarah yang masuk juga sangat sedikit dan tidak dianggap sebagai sesuatu yang membatalkan puasa menurut pandangan ini.

              Pendapat ini sering digunakan bagi pesakit yang benar-benar memerlukan rawatan segera untuk mengelakkan serangan asma yang boleh membahayakan nyawa.

              Oleh itu, keputusan bergantung kepada keyakinan individu berdasarkan pandangan ulama yang diyakini.

              Sekiranya seseorang berpegang kepada pandangan bahawa inhaler membatalkan puasa, maka dia wajib menggantikan semula puasa tersebut.

              Namun jika berpegang kepada pandangan yang membenarkan, maka puasanya sah dan tidak perlu diganti.

              Dari sudut kesihatan pula, pesakit asma tidak digalakkan menangguhkan penggunaan inhaler jika mengalami sesak nafas atau tanda serangan. Keselamatan dan nyawa perlu diutamakan.

              Jika keadaan asma tidak terkawal dan memerlukan penggunaan inhaler yang kerap pada waktu siang, pesakit disarankan berbincang dengan doktor sebelum Ramadan untuk merancang rawatan, termasuk kemungkinan melaraskan dos ubat pencegah (preventer) pada waktu malam.

              penggunaan inhaler semasa berpuasa

              Maklumat Lanjut & Soalan Lazim Cara Ambil Ubat Ketika Puasa

              Untuk maklumat lanjut dan sebarang pertanyaan, sila rujuk:

              Apakah jenis ubat yang membatalkan puasa?

              Ubat-ubatan yang masuk ke dalam rongga badan melalui saluran terbuka dianggap membatalkan puasa:
              – Ubat Biji: Semua jenis pil atau kapsul yang ditelan atau dikunyah.
              – Ubat Minum: Sebarang ubat dalam bentuk cecair yang ditelan.
              – Supositori / Enema: Ubat yang dimasukkan melalui dubur.
              – Pesari (Pessary): Ubat yang dimasukkan ke dalam vagina.

              Bolehkah guna ubat titis atau ubat sapu semasa berpuasa?

              Ya, ubat tersebut tidak membatalkan puasa.

              Apakah yang perlu dilakukan jika saya terlupa makan ubat?

              Jangan gandakan dos ubat anda. Jika anda teringat pada waktu siang dan ubat tersebut adalah jenis yang membatalkan puasa, anda perlu menunggu sehingga waktu berbuka atau mendapatkan nasihat doktor jika ubat tersebut kritikal untuk nyawa.

              Adakah Suntikan Insulin Membatalkan Puasa?

              Tidak membatalkan puasa kerana suntikan tidak melibatkan makanan atau minuman masuk saluran pencernaan; boleh diambil bila-bila masa siang jika perlu.

              Adakah Inhaler Asma atau Titik Mata Membatalkan Puasa?

              Ubat bukan oral seperti inhaler, titik mata, titik hidung atau suppositori tidak membatalkan puasa selagi tiada cecair tertelan secara sengaja. Walaubagaimanapun, terdapat juga pendapat ulama penggunaan inhaler boleh membatalkan puasa.

              Adakah Gargle Mulut atau Sembur Hidung Batal Puasa?

              Tidak membatalkan jika tiada cecair tertelan secara sengaja. Basuh mulut atau sembur hidung untuk kebersihan dibenarkan siang hari.

              Bolehkah ambil ubat sakit sendi seperti ubat sapu atau suntik kortikosteroid?

              Ya, ubat sapu luar atau suntikan sendi boleh siang hari. Namun, ubat oral seperti ibuprofen boleh dimakan pada waktu sahur atau berbuka sahaja agar puasa anda tidak terbatal.

              Follow eCentral di WhatsApp Channel
              Ikut