Bunga Tulip : Nama Saintifik dan Maksud Mengikut Warna

Adakah anda peminat bunga tulip?

Bunga ini hadir dalam pelbagai warna menarik serta sesuai untuk dijadikan hadiah dalam bentuk jambangan bunga yang indah.

Bunga tulip juga merupakan bunga kebangsaan bagi negara Hungary dan Netherlands.

Walau bagaimanapun, bunga ini lebih sinonim dengan Netherlands. Negara tersebut juga merupakan pengeksport tulips terbesar dan mampu menghasilkan sehingga 3 bilion kuntum dalam masa setahun.

Secara tidak langsung, bunga ini juga menjadi salah satu tarikan utama negara tersebut.

Pada setiap musim bunga, jutaan pelancong dari serata dunia tidak akan melepaskan peluang untuk berkunjung ke Netherlands bagi menikmati pemandangan indah bunga tulip.

bunga tulip
Sumber : Forbes

Nama Saintifik Bunga Tulip

Secara umumnya, tulip tergolong dalam genus Tulipa.

Nama saintifik bagi bunga tulip yang biasa kita kenali adalah Tulipa gesneriana dan terdapat 4,000 variasi tulip yang boleh dikenalpasti dalam spesis ini.

Ia juga merupakan spesis tulip yang paling popular dan mendapat permintaan yang tinggi.

Bagi yang belum tahu, bunga tulip juga berasal daripada keluarga lili. Ini bermakna, bunga ini mempunyai akar umbisi (bulbous root).

Maksud Tulip Mengikut Warna

Secara umumnya, bunga tulip melambangkan cinta yang sempurna dan mendalam.

Ia juga sesuai untuk diberikan bukan sahaja kepada pasangan, malah untuk keluarga mahupun kenalan rapat.

Namun, bunga tulip boleh membawa maksud tersendiri kepada si penerima bergantung kepada warnanya. Ayuh kita semak bersama-sama.

Tulip Merah

bunga tulip
Sumber : edenbrothers.com

Seperti mawar merah, tulip berwarna merah melambangkan cinta yang mendalam kepada seseorang.

Di samping sesuai untuk diberikan pada Hari Kekasih, bunga ini juga sering menjadi pilihan pengantin bagi menghiasi majlis perkahwinan mereka.

Tulip Kuning

bunga tulip
Sumber : lovflowers.co.uk

Berwarna terang dan ceria, tulip kuning pula melambangkan semangat yang positif.

Sejambak tulip berwarna kuning cukup sesuai untuk diberikan kepada yang tersayang bagi meraikan kebahagiaan, persahabatan, dan sebagai tanda penghargaan.

Tulip Putih

Sumber : lovflowers.co.uk

Tulip putih melambangkan kasih sayang yang suci dan permulaan baru dalam hidup.

Oleh sebab itulah bunga ini turut menjadi pilihan dalam majlis perkahwinan.

Tulip Ungu

bunga tulip
Sumber : Dutch Grown

Tulip ungu yang serba elegan boleh melambangkan kemewahan dan kuasa.

Ia juga biasanya dijadikan penyeri dalam majlis-majlis rasmi kerana warnanya yang dilihat formal dan mewah.

Sesetengah orang turut melihat bunga ini sebagai tanda ‘kelahiran semula’ kerana ia sering muncul pada permulaan musim bunga.

Tulip Pink / Merah Jambu

Sumber : Amazon

Warna tulip merah jambu yang lembut pula melambangkan kasih sayang dan keprihatinan kepada orang terdekat.

Ia juga sesuai untuk dihadiahkan sebagai tanda sokongan atau tahniah atas pencapaian tertentu.

Bunga tulip pink juga sangat sesuai untuk diberikan kepada sahabat dan keluarga rapat kerana ia melambangkan semangat positif.

Tulip Jingga

bunga tulip
Sumber : Etsy

Tulip berwarna jingga yang hangat dan ceria ini pula melambangkan semangat membara, tenaga dan keterujaan dalam hidup.

Bunga ini juga sesuai untuk dihadiahkan kepada seseorang bagi meraikan pencapaian cemerlang.

Ia juga boleh menjadi tanda dorongan atau sokongan kepada orang yang ingin menempuhi sesuatu yang besar.

Di sebalik keindahan bunga ini, rupanya ia boleh membawa pelbagai maksud bergantung kepada warnanya.

Maka, tidak hairanlah mengapa bunga ini mempunyai ramai peminatnya.

Sumber : tulipsinholland.com, Britannica, dutchtrans.co.uk

Baca Juga : Bunga Dahlia : Nama Saintifik dan Simboliknya

Bantu kami share artikel ini: