Ramai pembayar cukai tertanya-tanya, resit apa yang perlu disimpan untuk declare cukai LHDN dan berapa lama dokumen itu mesti disimpan.
Jawapannya, simpan semua resit, penyata, dan dokumen sokongan yang berkaitan dengan pendapatan serta pelepasan cukai selama sekurang-kurangnya 7 tahun, kerana Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) boleh minta bukti semasa semakan atau audit.
Kegagalan mengemukakan bukti pembelian boleh menyebabkan tuntutan pelepasan cukai anda dibatalkan dan dikenakan penalti berat di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.
Berikut ialah panduan lengkap jenis resit yang perlu anda simpan serta strategi pengurusan dokumen cukai yang tepat.
Kenapa Kena Simpan Resit?
Resit berfungsi sebagai bukti bahawa anda benar-benar telah membuat bayaran untuk perbelanjaan yang dituntut dalam e-Filing.
Jika ada audit atau semakan, LHDN boleh minta bukti ini untuk sahkan tuntutan anda.
Selain itu, simpan resit membantu anda mengelakkan cukai menjadi lebih tinggi daripada sepatutnya kerana anda terlupa menuntut pelepasan yang layak.
Dengan rekod yang lengkap, anda lebih mudah buat semakan sebelum hantar borang cukai.
Manfaat simpan resit
- Membantu sahkan pelepasan cukai yang dituntut.
- Memudahkan semakan semula jika ada kesilapan isi cukai.
- Mengurangkan risiko penalti jika LHDN minta bukti dan anda dapat kemukakan dokumen dengan lengkap.
- Memudahkan anda buat rujukan untuk tahun-tahun berikutnya.
Berapa lama perlu simpan resit?
Menurut Seksyen 82A Akta Cukai Pendapatan 1967, anda wajib menyimpan semua resit dan dokumen sokongan cukai selama 7 tahun.
- Cara Kiraan Garis Masa: Tempoh 7 tahun bermula dari akhir tahun borang e-Filing dihantar.
- Contoh Situasi: Bagi pelepasan cukai Tahun Taksiran 2025 yang anda isytiharkan pada April/Mei 2026, dokumen tersebut mesti disimpan dengan selamat sehingga 31 Disember 2032.
Oleh kerana dakwat resit fizikal (jenis kertas terma) biasanya pudar dalam tempoh kurang dari setahun, LHDN menerima salinan digital.
Anda sangat digalakkan untuk menangkap gambar atau mengimbas (scan) resit tersebut dan menyimpannya di dalam storan awan (cloud) sepanjang tempoh 7 tahun ini.
Resit Apa yang Kena Simpan Untuk Declare Cukai LHDN?
Berdasarkan ketetapan pelepasan cukai individu pemastautin Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi tahun 2026, berikut ialah antara jenis resit dan penyata yang wajib disimpan selama 7 tahun.
| Kategori Pelepasan | Jenis Perbelanjaan / Resit Wajib Disimpan | Had Maksimum Tuntutan |
|---|---|---|
| Gaya Hidup Umum | • Resit pembelian buku, e-buku, jurnal, majalah, surat khabar. • Resit pembelian komputer peribadi, telefon pintar, atau tablet. • Bil bulanan langganan internet atas nama sendiri. | RM2,500 |
| Aktiviti Sukan | • Resit pembelian peralatan sukan (ikut Akta Pembangunan Sukan 1997). • Resit yuran keahlian gimnasium atau dewan sukan. • Resit sewaan gelanggang dan yuran penyertaan pertandingan. | RM1,000 (Diasingkan daripada gaya hidup) |
| Perubatan & Kesihatan Diri/Pasangan/Anak | • Resit rawatan penyakit serius / kronik dan rawatan kesuburan. • Resit pemeriksaan kesihatan penuh (terhad RM1,000). • Resit ujian pengesanan penyakit dan vaksinasi (terhad RM1,000). • Resit rawatan pergigian tidak kosmetik (terhad RM1,000). • Resit penilaian/intervensi awal anak kurang upaya (terhad RM6,000). | RM10,000 (Had keseluruhan kelompok perubatan) |
| Perubatan Ibu Bapa | • Resit kos perubatan, rawatan pergigian, dan penjagaan ibu bapa. • Resit peralatan keperluan khas yang disahkan doktor berdaftar. | RM8,000 |
| Yuran Pengajian Diri | • Resit rasmi yuran pengajian di universiti/institusi diiktiraf. • Kursus peringkat ijazah ke atas (semua bidang) atau peringkat selain ijazah (teknikal/vokasional/ICT). | RM7,000 |
| Anak & Pendidikan | • Resit yuran taska atau tadika berdaftar (anak umur 6 tahun ke bawah). • Resit pembelian peralatan penyusuan susu ibu (tuntutan 2 tahun sekali). | • Taska: RM3,000 • Menyusu: RM1,000 |
| Insurans & Pelaburan | • Penyata premium tahunan Insurans Nyawa. • Penyata tahunan caruman KWSP (Pekerja / Sukarela). • Penyata premium tahunan Insurans Perubatan dan Pendidikan. | • Insurans Nyawa/KWSP: RM7,000 • Insurans Medik/Edukasi: RM3,000 |
| Simpanan & Perlindungan | • Penyata baki simpanan bersih tahunan SSPN (Deposit – Pengeluaran). • Penyata caruman tahunan PERKESO / SOCSO. | • SSPN: RM8,000 • PERKESO: RM350 |
| Faedah Rumah Pertama (Pelepasan Baharu) | • Penyata bayaran faedah pinjaman perumahan daripada bank. • Salinan Perjanjian Jual Beli (SPA) bertarikh bermula 1 Januari 2025. | • Rumah ≤ RM500k: RM7,000 • Rumah RM501k-RM750k: RM5,000 |
| Gaya Hidup Lestari | • Resit pembelian, pemasangan, atau sewaan fasiliti pengecas EV. • Resit pembelian mesin kompos sisa makanan domestik. | RM2,500 |
| Derma & Sumbangan | • Resit rasmi sumbangan wang kepada kerajaan atau organisasi/badan kebajikan yang diluluskan di bawah Seksyen 44(6) ACP 1967. | Terhad 10% daripada Pendapatan Agregat |
Ringkasnya, simpan resit untuk apa sahaja yang anda mahu tuntut sebagai pelepasan cukai, dan simpan juga dokumen pendapatan seperti Borang EA, EC, CP58, serta penyata untung rugi jika anda berniaga.
LHDN menegaskan dokumen percukaian hendaklah disimpan sekurang-kurangnya 7 tahun mengikut peruntukan ACP 1967.

Dokumen Penting Perniagaan
Berikut ialah dokumen penting perniagaan yang wajib disimpan oleh pemilik perniagaan (Borang B) untuk tujuan taksiran cukai dan audit:
- Penyata Untung Rugi (Jualan – Belanja = Untung/Rugi Bersih)
- Kunci Kira-kira (Aset = Liabiliti + Ekuiti Pemilik)
Penyata Untung Rugi
Resit yang perlu disimpan ialah:
- Resit Jualan
- Penyata Bank
- Bil Air
- Bil Elektrik
- Bil Telefon
- Slip gaji
- Resit Belian
- Resit lain-lain (iklan marketing/pembungkusan/lain-lain)
Kunci Kira-kira (Aset)
Resit yang perlu disimpan ialah:
- Resit Belian Aset
- Invois
- Perjanjian Pinjaman
- Modal (penyata bank)
- Ambilan (rekod ambilan pemilik)
Lain-lain dokumen:
- Penyata bank
- Penyata keluar masuk duit
- Invois pembekal
- Invois jualan kepada pelanggan
- Baucar pembayran bagi setiap pembayaran yang dilakukan
- Resit-resit; petrol, tol, belanjan keraian, alat tulis dan sebagainya
- Borang tuntutan – sekiranya guan wang peribadi untuk perniagaan
- Penyata KWSP/SOSCO
- Lain-lain dokumen seperti surat tawaran pinjaman, bank, dokumen pembelian aset dan sebagainya.

Perbelanjaan yang boleh ditolak cukai mestilah dilakukan sepenuhnya (wholly) dan semata-mata (exclusively) dalam menghasilkan pendapatan perniagaan.
PERBELANJAAN YANG DIBENARKAN (Boleh Tolak Cukai / Simpan Resit)
Ini adalah resit-resit belanja operasi harian yang boleh dimasukkan dalam akaun sebagai kos pengecualian cukai pendapatan perniagaan:
- Lesen & Sewa: Pembaharuan lesen perniagaan, sewa premis pejabat, sewa mesin, atau sewa server.
- Utiliti & Komunikasi: Bil air, bil elektrik, bil telefon premis, pembaharuan nama domain, dan langganan internet perniagaan.
- Pemasaran: Kos iklan, promosi, bayaran komisen ejen, serta yuran konsultasi atau kemaskini laman web/media sosial
- Sumber Manusia: Upah, gaji, caruman KWSP & PERKESO pekerja, kos rawatan perubatan pekerja, serta yuran profesional (akauntan/peguam perniagaan)
- Logistik & Bahan: Belian bahan mentah, alat tulis pejabat, insurans perniagaan (kebakaran/kecurian), dan kos perjalanan atas urusan kerja.
- Lain-lain: Faedah atas pinjaman bank perniagaan, kos selenggara/baik pulih premis, serta kes wang tunai syarikat yang dicuri atau hilang.
PERBELANJAAN YANG TIDAK DIBENARKAN (Tidak Boleh Tolak Cukai)
Resit bagi perbelanjaan ini tidak boleh digunakan untuk mengurangkan pendapatan bercukai perniagaan kerana ia bersifat peribadi, modal, atau hukuman:
- Kos Peribadi Pemilik: Gaji/elaun pemilik sendiri, ansuran rumah peribadi, ubah suai rumah, belian kenderaan peribadi, ambilan barang untuk diri sendiri, dan kos perjalanan dari rumah ke tempat kerja.
- Belanja Modal & Permulaan: Kos pendaftaran perniagaan awal, lesen permulaan, pembelian aset tetap awal, kos renovasi/bina premis baharu, deposit sewa, serta susut nilai aset.
- Prabayar & Perundangan: Sewa pejabat prabayar, insurans prabayar, dan yuran guaman untuk perjanjian jual beli premis (bukan operasi harian).
- Sumbangan & Hukuman: Derma kepada parti politik atau badan keagamaan, saman trafik/kastam, penalti/kompaun mahkamah, bayaran cukai pendapatan, serta peruntukan hutang lapuk.

Cara Mudah Simpan Resit
Berikut ialah beberapa cara mudah dan sistematik yang boleh anda amalkan untuk menyimpan resit:
1. Gunakan Aplikasi Pengimbas Pintar (Smartphone Scanner)
Muat turun aplikasi percuma seperti Adobe Scan, Microsoft Lens, atau CamScanner. Aplikasi-aplikasi ini akan menukarkan gambar resit fizikal kepada format PDF yang sangat jelas, memotong bahagian tepi dokumen secara automatik, dan mempunyai fungsi Optical Character Recognition (OCR) untuk membaca teks pada resit.
2. Manfaatkan Storan Awan (Cloud Storage)
Wujudkan satu ekosistem simpanan atas talian yang boleh diakses pada bila-bila masa. Gunakan Google Drive, OneDrive, iCloud, atau Dropbox.
Bina satu folder utama bernama RESIT CUKAI LHDN. Di dalamnya, wujudkan sub-folder mengikut Tahun Taksiran.

3. Gunakan Teknik Penamaan Fail yang Standard
Apabila anda memuat naik resit digital, tukar nama fail tersebut (rename) dengan format yang konsisten. Ini memudahkan anda membuat carian kata kunci (keyword search) sekiranya diminta oleh pegawai LHDN.
4. Buat Folder Emel Khas untuk Resit Digital & e-Invois
Banyak pembelian seperti bil internet bulanan, premium insurans, dan langganan perisian dihantar terus ke emel anda dalam bentuk PDF.
Bina satu label atau folder khas di dalam akaun emel anda (cth: Gmail atau Outlook) dengan nama Cukai LHDN.
5. Praktikkan Rutin “Imbas & Buang” Seminggu Sekali
Resit kertas terma (resit mesin cetak) mudah pudar dalam masa kurang 6 bulan akibat haba.
Sediakan satu kotak kecil di rumah untuk mengumpul resit fizikal yang diperoleh setiap kali pulang daripada membeli-belah.
Pilih satu hari pada setiap hujung minggu (cth: petang Ahad) selama 5 minit sahaja untuk mengimbas semua resit di dalam kotak tersebut menggunakan telefon, masukkan ke folder storan awan, dan buang resit fizikal yang telah digital.
6. Gunakan Sistem MyInvois LHDN
Cara paling mudah adalah dengan mengurangkan penyimpanan manual. Setiap kali anda membeli barangan pelepasan cukai, pastikan anda:
- Memberikan Nombor Pengenalan Cukai (TIN) atau Nombor IC kepada peniaga.
- Peniaga akan mengeluarkan e-Invois rasmi
- Dokumen ini akan dihantar dan disimpan secara automatik di dalam pangkalan data akaun Portal MyInvois LHDN anda tanpa perlu anda imbas atau simpan sendiri secara manual.
MyInvois
Di bawah fasa penuh penguatkuasaan sistem e-Invois LHDN, anda sangat digalakkan meminta e-Invois rasmi yang terpaut dengan Nombor Pengenalan Cukai (TIN) anda semasa pembelian bagi memudahkan proses pemfailan automatik.
Log masuk ke Portal MyTax LHDN secara berkala untuk menyemak e-Invois yang telah didaftarkan oleh peniaga atas nama anda bagi memastikan pelepasan anda direkodkan dengan sah secara digital.
Apa Itu My Invois?
MyInvois LHDN ialah sebuah portal dan aplikasi web percuma yang disediakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Malaysia untuk membolehkan pembayar cukai mencipta, menghantar, menyemak dan menyimpan e-Invois secara digital.
Sistem MyInvois mengubah cara penyimpanan resit manual kepada penyimpanan digital automatik untuk tujuan pengisytiharan cukai pendapatan (e-Filing).
Bagi Pembayar Cukai Individu (Pembeli / Pengguna)
- Sistem Simpanan Kekal: Setiap kali anda membeli barangan pelepasan cukai (seperti telefon pintar, buku, atau yuran sukan) dan meminta e-Invois daripada peniaga, resit digital tersebut akan masuk terus ke akaun MyInvois anda.
- Semakan Pelepasan Cukai: Anda boleh log masuk ke Portal MyInvois LHDN pada bila-bila masa untuk menyemak senarai perbelanjaan yang telah disahkan.
- e-Filing Automatik: Menjelang musim cukai Tahun Taksiran 2026, data resit daripada MyInvois ini akan diisi secara automatik (pre-filled) ke dalam borang e-Filing anda, mengurangkan keperluan memasukkan angka secara manual atau risiko audit resit hilang.
Bagi Pemilik Perniagaan / Syarikat (Penjual)
Bagi usahawan, peniaga kecil, dan PMKS (Perusahaan Mikro, Kecil, dan Sederhana) yang tidak mempunyai sistem perisian perakaunan (ERP) sendiri, MyInvois sangat memudahkan anda untuk:
- Penjanaan Dokumen: Digunakan untuk mengeluarkan, menghantar, dan mengesahkan dokumen perniagaan seperti invois jualan, nota kredit, nota debit, dan nota bayaran balik.
- Pengesahan Segera: Setiap invois yang diisi dalam portal akan disahkan oleh LHDN dalam beberapa saat dan diberikan Kod QR unik sebelum dihantar kepada pelanggan.
- Urus Niaga Telus: Mengurangkan kos operasi syarikat kerana tidak perlu lagi menyimpan fail resit fizikal berkotak-kotak, serta meminimumkan isu pemalsuan resit jualan.
Bagaimana cara untuk anda (sebagai pembeli) memastikan resit masuk ke MyInvois?
Semasa membuat pembayaran di kaunter kedai, berikan Nombor Pengenalan Cukai (TIN) atau Nombor IC anda kepada juruwang. Peniaga akan memproses e-Invois tersebut dan ia akan dipantulkan secara digital ke dalam akaun MyInvois anda.
Ringkasan
Anda perlu simpan resit yang berkaitan dengan pendapatan dan pelepasan cukai untuk bukti semasa declare e-Filing LHDN. Simpan semua dokumen ini sekurang-kurangnya 7 tahun mengikut Akta Cukai Pendapatan 1967.
Dokumen Pendapatan Utama
Simpan borang, baucar, dan penyata tahunan ini sebagai bukti sah jumlah pendapatan kasar anda:
- Borang EA / EC: Penyata saraan tahunan sektor swasta atau awam daripada majikan.
- Borang CP58: Penyata bayaran insentif, komisen, atau elaun (untuk ejen, dropship, atau perunding).
- Baucar Dividen & Pelaburan: Bukti agihan pendapatan atau keuntungan pelaburan luar yang berkaitan.
- Dokumen Perniagaan (Borang B): Penyata untung rugi, buku tunai, invois jualan, serta resit belian stok jika anda menguruskan perniagaan.
Resit Pelepasan Cukai Wajib
Susun resit anda mengikut kategori dan had sempadan yang ditetapkan oleh LHDN untuk Tahun Taksiran terkini:
- Resit Perubatan & Kesihatan (Terhad RM10,000): Rawatan penyakit serius, rawatan kesuburan, serta pemeriksaan kesihatan penuh (medical check-up, pergigian bukan kosmetik, dan vaksinasi terhad RM1,000).
- Penyata Premium Insurans: Insurans Hayat / Takaful dan KWSP (terhad RM7,000) serta Insurans Perubatan / Pendidikan (terhad RM3,000).
- Resit Derma: Bukti sumbangan tunai rasmi kepada organisasi, tabung, atau badan kebajikan yang diluluskan khas oleh LHDN.
- Resit Zakat (Kategori Rebat): Slip rasmi bayaran zakat fitrah, harta, atau pendapatan untuk potongan cukai secara terus (1-to-1).
- Penyata Simpanan & Perlindungan: Penyata baki simpanan bersih SSPN (terhad RM8,000) dan caruman tahunan PERKESO (terhad RM350).
- Resit Yuran Pendidikan: Resit bayaran kursus universiti atau institusi yang diiktiraf bagi diri sendiri (terhad RM7,000).
- Resit Gaya Hidup Umum (Terhad RM2,500): Pembelian buku/e-buku, komputer peribadi, telefon pintar, tablet, atau bil bulanan langganan internet atas nama sendiri.
- Resit Aktiviti Sukan (Terhad RM1,000): Pembelian peralatan sukan, sewa gelanggang, yuran keahlian gim, atau yuran pendaftaran kejohanan sukan.
- Resit Keluarga & Anak: Resit rasmi yuran taska/tadika berdaftar bagi anak 6 tahun ke bawah (terhad RM3,000) serta resit alat penyusuan (terhad RM1,000).
- Penyata Rumah Pertama (Pelepasan Baharu): Penyata bank bagi bayaran faedah pinjaman perumahan untuk pembelian rumah pertama bernilai sehingga RM750,000.
Maklumat Lanjut
Untuk sebarang pertanyaan, maklumat lanjut atau info terkini mengenai resit yang perlu disimpan, sila rujuk:
- Portal Rasmi HASiL: Layari www.hasil.gov.my
- Portal MyTax: Log masuk menggunakan ID digital untuk menyemak status pemfailan borang e-Filing, menyalin Nombor Pengenalan Cukai (TIN), atau mengakses direktori e-Invois.
- Hasil Care Line (HCL): Hubungi talian khidmat pelanggan berpusat di 03-8911 1000 (atau +603-8911 1100 jika anda berada di luar negara) untuk bantuan perbualan terus bersama pegawai operasi.
- Cawangan LHDN / Pusat Satelit: Kunjungi terus Kaunter Khidmat Pelanggan di mana-mana cawangan LHDN, Pusat Transformasi Bandar (UTC), atau Pusat Satelit terdekat dengan lokasi anda untuk rundingan bersemuka.
Soalan Lazim Resit Apa yang Kena Simpan
Boleh. LHDN menerima salinan digital (gambar atau imbasan PDF) sebagai bukti sah semasa audit. Pastikan imej tersebut jelas, tidak kabur, dan semua maklumat penting seperti nama kedai, tarikh, nama item, dan amaun boleh dibaca dengan mudah.
Boleh diterima, tetapi ada syarat. Resit tulisan tangan mestilah mengandungi maklumat rasmi perniagaan seperti cop nama kedai, nombor pendaftaran syarikat (SSM), tarikh transaksi, dan huraian barangan yang jelas. Melalui pelaksanaan e-Invois, anda sangat digalakkan untuk meminta e-Invois digital daripada peniaga yang mempunyai sistem untuk mengelakkan isu resit tulisan tangan diragui semasa audit.
Tidak boleh. Nama yang tertera pada dokumen premium insurans atau bil bulanan internet mestilah atas nama pembayar cukai sendiri (atau pasangan bagi kes taksiran bersama).
Resit yang menggunakan kertas dakwat terma (seperti resit pasar raya atau pam minyak) biasanya akan pudar dalam masa 6 bulan. Jika ia sudah pudar sepenuhnya sebelum anda sempat membuat salinan digital, tuntutan tersebut tidak lagi sah kerana tiada bukti fizikal. Sebagai langkah keselamatan, sentiasa imbas (scan) resit sejurus selepas pembelian dibuat.
Tidak dikira sebagai resit. Slip ATM atau penyata bank hanya membuktikan berlakunya aliran keluar wang, tetapi tidak membuktikan jenis barangan yang dibeli. LHDN memerlukan resit rasmi atau e-Invois yang menyenaraikan butiran item (contoh: tajuk buku atau model telefon pintar) bagi mengesahkan ia layak di bawah kategori pelepasan berkaitan.
Boleh. Resit pembelian antarabangsa (seperti Amazon atau eBay) boleh digunakan untuk tuntutan Gaya Hidup.




