Ikan Bandaraya : Asal-Usul, Ciri-Ciri Unik dan Kesan Pada Ekosistem

Ikan bandaraya merupakan spesis ikan invasif yang berasal dari Amerika Selatan. Memiliki struktur mulut seakan penyedut atau suction cup, ikan ini berupaya untuk ‘menyedut’ kotoran dan mendakan di kawasan persekitarannya.

Namun, sejak beberapa tahun ini kita dapati ikan ini mula membiak secara tidak terkawal di kawasan perairan negara.

Bagaimana ia boleh muncul di perairan umum dan apakah kesannya pada ekosistem sungai? Ikuti perkongsian kami untuk ketahui dengan lebih lanjut.

Asal Usul Ikan Bandaraya

Terdapat beberapa spesis ikan bandaraya yang boleh dikenalpasti dalam di Malaysia antaranya Pterygoplichthys disjunctivus, Pterygoplichthys pardalis dan Hypostomus plecostomus.

Ikan yang juga dikenali sebagai ikan tombot dipercayai mula dikenali di Malaysia sekitar 1970an dan dijadikan sebagai ikan peliharaan.

Setelah berkhidmat sebagai pembersih semulajadi dalam akuarium, pemiliknya akan cenderung melepaskan ikan ini ke sungai atau longkang apabila ia sudah dewasa.

Hal ini berlaku kerana apabila ikan ini semakin membesar, ia akan mula mengorek dasar akuarium sehingga merosakkan tumbuhan dan dekorasi dalam akuarium.

Lebih teruk lagi, ia juga boleh mengancam dan mengakibatkan kecederaan kepada spesis ikan lain dalam akuarium.

ikan bandaraya

Ciri-Ciri Unik

Memetik perkongsian daripada Jabatan Perikanan Johor, ikan ini mempunyai beberapa ciri unik iaitu :

  • Mempunyai daya tahan yang tinggi terhadap persekitaran yang tercemar serta boleh beradaptasi dalam pelbagai keadaan perairan.
  • Kulitnya yang bertulang dan keras menjadikan ia sukar untuk dimakan oleh ikan lain.
  • Tidak makan ikan daripada spesis sendiri atau spesis lain, sebaliknya punca makanan ikan ini adalah daripada ‘kotoran’ termasuk mendakan, bahan tercemar dalam air serta rumpai.
  • Biasanya akan membina koloni di kawasan yang tercemar atau berhampiran dengan kawasan pembinaan.
  • Berfungsi sebagai ‘pembersih’ atau ‘cleaner’ dalam akuarium kerana sifatnya yang membersihkan bahan organik dan alga. Oleh sebab itulah ia dikenali sebagai ikan bandaraya sehingga ke hari ini.
ikan bandaraya
Sumber : Harian Metro

Kesan Ikan Bandaraya Pada Ekosistem Air Tawar

Riwayat ikan ini tidak akan berakhir setelah dilepaskan di perairan umum. Sebaliknya, ia boleh menimbulkan masalah yang lebih besar termasuk gangguan kepada ekosistem perairan negara kita.

Jumlah ikan juga ini boleh menjadi berlipat ganda dalam waktu yang singkat kerana kemampuannya untuk membiak dengan cepat.

Disebabkan tiada pemangsa serta persaingan makanan serta habitat dengan ikan tempatan, ia turut membuatkan spesis ikan air tawar seperti ikan lampam, haruan, keli, baung dan tilapia sukar untuk bertahan.

ikan bandaraya
Sumber : Biodiversity And Nature Conservation Association – BANCA-BirdLife Myanmar

Situasi juga dilihat semakin serius kerana maklum balas nelayan darat dan komuniti pemancing sendiri akui bahawa mereka makin sukar untuk temui ikan air tawar tempatan disebabkan kebanyakan sungai sudah ditakluk spesis ikan pendatang ini.

Ikan Bandaraya Boleh Makan Atau Tidak?

Menurut Dr Mohammad Noor Amal Azmai iaitu Pensyarah Kanan Bidang Ekologi dan Penyakit Ikan, Jabatan Biologi Fakulti Sains Universiti Putra Malaysia (UPM), tidak salah jika seseorang ingin makan ikan tombot ini.

Cuma adalah lebih baik sekiranya ikan yang didapati berasal dari kawasan yang bersih sekiranya hendak dimakan.

Ikan yang ditangkap dari kawasan yang kotor dan mempunyai kandungan logam berat yang tinggi ada kemungkinan boleh mengakibatkan jangkitan bakteria dan parasit.

Tambah Dr Mohammad Noor Amal Azmai, kesedaran rakyat Malaysia mengenai masalah ikan pendatang ini masih kurang.

Inilah yang menyebabkan pemilik ikan ini sering bertindak untuk melepaskan ikan tersebut di perairan sungai.

Pada masa yang sama, sesetengah pihak termasuk syarikat dan agensi bukan kerajaan juga telah mengambil inisiatif untuk melupus dan menangkap ikan bandaraya ini.

Ikan ini dilihat sesuai untuk dijadikan sebagai baja atau diproses menjadi makanan ikan.

Justeru, orang ramai yang ragu atau tidak tahu cara untuk melupuskan ikan ini, mereka boleh dapatkan khidmat nasihat daripada Jabatan Perikanan negeri masing-masing.

Sumber : Sinar Harian, Buletin TV3, Berita Harian, News Straits Times, Harian Metro

Baca Juga : Ikan Keli: Jenis Spesis, Kandungan Nutrisi & Cara Memasak

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!