Gajah Dara, Amoi, Kelat – Kronologi & Petisyen Pulangkan DAK

Gajah Dara, Amoi, Kelat – Kronologi & Petisyen Pulangkan DAK
Info bantuan baru terus ke WhatsApp
Saya Nak!

Dara, Amoi dan Kelat bukanlah nama orang tetapi nama tiga ekor gajah Malaysia yang kini berada di Zoo Tennoji, Osaka, Jepun.

Ketiga-tiga gajah tersebut (Dara, Amoi, dan Kelat) adalah milik Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS). DAK berasal dari Kuala Gandah sebelum dipindahkan ke Zoo Taiping untuk sesuaikan diri berada di dalam zoo untuk diterbangkan ke Zoo Tennoji.

Mereka dipindahkan ke Zoo Tennoji, Jepun, atas dasar kerjasama rasmi antara kedua-dua zoo di bawah konsep sister zoo*, yang memfokuskan kepada aspek pemuliharaan, perkongsian kepakaran, dan peningkatan standard penjagaan haiwan.

Siapa Dara, Amoi, Kelat?

Dara, Amoi, dan Kelat merupakan tiga ekor gajah Asia yang menjadi tumpuan nasional dan antarabangsa setelah dipindahkan dari Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) ke Zoo Tennoji, Osaka, Jepun pada 10 Mac 2026.

Kelat, seekor gajah jantan berusia 20 tahun, bersama dua ekor gajah betina iaitu Dara (14 tahun) dan Amoi (9 tahun), dihantar ke negara tersebut melalui satu kerjasama rasmi antara pihak pengurusan kedua-dua zoo di bawah konsep sister zoo.

Sumber: Mazlan Zonan

Walau bagaimanapun, pemindahan ini mencetuskan kontroversi meluas selepas tular dakwaan di media sosial mengenai keadaan kebajikan dan persekitaran gajah-gajah tersebut di Zoo Tennoji, yang didakwa tidak selesa dan lebih bersifat sebagai bahan pameran semata-mata.

Respons orang awam yang sangat prihatin, termasuk petisyen dengan melalui laman Care2 Petition Site yang mencecah lebih 100,000 tandatangan.

Sumber: Care2 Petition Site

Susulan tekanan tersebut, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) telah mengambil inisiatif untuk berbincang dengan pihak pengurusan zoo serta diplomat Jepun bagi menilai semula keadaan gajah tersebut, malah menegaskan kesediaan untuk membawa mereka pulang ke Malaysia demi menjamin kebajikan haiwan terbabit.

Kemunculan DAK Di Jepun

Dalam pada masa yang sama, berbeza dengan kebimbangan yang disuarakan oleh rakyat Malaysia, pihak Zoo Tennoji di Jepun menyambut kehadiran tiga ekor gajah tersebut dengan penuh keterujaan.

Pada 21 April 2026, gajah-gajah tersebut membuat kemunculan pertama mereka di zoo tersebut, menandakan kali pertama Zoo Tennoji menempatkan semula spesies gajah selepas tempoh lapan tahun.

Kehadiran Dara, Amoi, dan Kelat disambut dengan rasa kagum oleh para pengunjung yang teruja melihat haiwan tersebut, dengan ramai yang meluahkan rasa terpegun melihat saiz fizikal gajah-gajah itu yang disifatkan sebagai “luar biasa” dan “menakjubkan”.

Sumber: Mainichi
Sumber: Mainichi

Kronologi Kisah Dara, Amoi, Kelat

Berikut adalah kronologi pemindahan tiga ekor gajah Asia, iaitu Dara, Amoi, dan Kelat, dari Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) ke Zoo Tennoji, Osaka, Jepun:

Fasa Perjanjian (2022)

  • Mei 2022: Perjanjian pertama dimeterai antara ZTNS dan Zoo Tennoji melibatkan pemindahan seekor gajah jantan, Kelat.
  • Oktober 2022: Perjanjian kedua dimeterai di Osaka untuk membawa dua ekor gajah betina, Dara dan Amoi. Perjanjian ini dibuat secara Business to Business (B2B) tanpa melibatkan pihak kementerian.

Fasa Pemindahan dan Penerimaan (Mac 2026)

  • 10-11 Mac 2026: Dara, Amoi, dan Kelat selamat tiba di Zoo Tennoji, Osaka. Mereka dipindahkan sebagai sebahagian daripada program kerjasama sister zoo untuk tujuan konservasi dan perkongsian kepakaran.

Fasa Bantahan dan Gesaan (April 2026)

  • Mac – April 2026: Kebimbangan orang ramai mula timbul selepas dakwaan mengenai keadaan kebajikan dan persekitaran gajah yang tidak sesuai, termasuk kandang konkrit yang sempit, tular di media sosial.
  • 19 April 2026: Isu ini semakin hangat dengan petisyen bantahan yang mencecah lebih 100,000 tandatangan, mendesak gajah-gajah tersebut dibawa pulang.
  • 23-28 April 2026: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menggesa Zoo Taiping untuk memulakan rundingan segera bagi membawa pulang Dara, Amoi, dan Kelat. Pihak kementerian juga mengadakan pertemuan dengan Duta Besar Jepun untuk membincangkan isu kebajikan haiwan tersebut.
  • 21 April 2026 (Waktu Jepun): Dalam perkembangan berbeza, pihak Zoo Tennoji mendedahkan gajah-gajah tersebut kepada pengunjung buat kali pertama, yang disambut dengan keterujaan oleh masyarakat di sana.

Keadaan Gajah Malaysia di Zoo Tennoji Jepun

Keadaan Dara, Amoi, dan Kelat di Zoo Tennoji, Osaka, telah mencetuskan kebimbangan ramai rakyat Malaysia setelah muncul dakwaan di media sosial mengenai kebajikan mereka yang dikatakan tidak memuaskan.

Pengunjung meluahkan kebimbangan terhadap keadaan persekitaran kandang gajah yang didakwa terlalu kering, panas, dan kekurangan elemen semula jadi.

Bukan itu sahaja, perilaku gajah-gajah tersebut juga didakwa menunjukkan tanda-tanda stres pada fizikal haiwan tersebut.

Keadaan gading Kelat yang patah juga mencetuskan persoalan serta kebimbangan ramai.

Sumber: Mazlan Zonan

Dakwaan ini telah memicu gelombang bantahan daripada orang ramai, yang turut disokong oleh pemimpin politik dan aktivis kebajikan haiwan, bagi mendesak pihak berwajib melakukan pemeriksaan rapi serta mempertimbangkan semula kehadiran mereka di sana.

Dalam pada itu, pihak pengurusan Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) serta pihak berkuasa yang terlibat menegaskan bahawa pemindahan gajah-gajah tersebut telah melalui proses perancangan yang rapi dan mematuhi standard antarabangsa serta undang-undang berkaitan, termasuk pengesahan daripada pihak Perhilitan dan CITES.

Menurut pihak zoo, kakitangan Zoo Tennoji juga telah menerima latihan khas di Malaysia bagi memastikan penjagaan haiwan tersebut dilakukan dengan standard yang tinggi dan mengikut garis panduan yang dipersetujui dalam perjanjian sister zoo.

Sumber: Mazlan Zonan
Sumber: Mazlan Zonan

Tindakan Pihak Berkuasa Malaysia

Sebagai respons kepada tekanan awam dan kebimbangan yang disuarakan, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) kini sedang memantau situasi dengan rapi, termasuk merancang kunjungan susulan ke Jepun bagi menilai keadaan sebenar dan berbincang mengenai mekanisme penjagaan atau kemungkinan membawa mereka pulang demi kebajikan haiwan terbabit.

Selain itu, pihak Jabatan Perhilitan menjelaskan bahawa gading kiri Kelat mengalami kerosakan klinikal selepas tiba di Jepun. Tindakan “tusk trimming” (pemotongan gading) dilakukan oleh pakar veterinar sebagai prosedur pengurusan untuk tujuan pengimbangan dan mengelakkan kecederaan lebih serius.

Rujuk kenyataan media di bawah:

Status Terkini (April – Mei 2026)

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, telah menyatakan bahawa kerajaan sedia memulakan rundingan untuk repatriasi (membawa pulang) gajah-gajah tersebut jika didapati kebajikan mereka tidak terjamin atau tidak selari dengan prinsip konservasi.

Kerajaan negeri Perak dijadualkan mengadakan perbincangan dengan pemegang taruh minggu ini untuk menilai semula status pemindahan tersebut.

Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, turut menegaskan komitmen beliau hari ini (4 Mei 2026) untuk mencari jalan terbaik bagi membawa pulang DAK ke Kuala Gandah.

Jika rundingan berjaya, ketiga-tiga gajah tersebut dijangka akan ditempatkan semula di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Pahang, yang dianggap lebih sesuai dengan habitat asal mereka berbanding persekitaran zoo di Jepun.

Sumber: Arthur Joseph Kurup

Memorandum Kembalikan DAK Ke Malaysia

Usaha untuk membawa pulang Dara, Amoi, dan Kelat (DAK) ke Malaysia semakin giat dijalankan susulan kebimbangan orang ramai mengenai kebajikan mereka di Zoo Tennoji.

Sebagai langkah konkrit, Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) telah menubuhkan “Sekretariat Solidariti Bersama DAK” bagi menyelaras kempen membawa pulang ketiga-tiga gajah tersebut.

Pihak sekretariat dijadualkan mengadakan perhimpunan “Solidariti Bersama DAK” pada 9 Mei 2026 di Dataran Zoo Taiping, Perak, di mana satu memorandum rasmi akan diserahkan kepada pengarah Zoo Taiping.

Sumber: MCA

Memorandum ini bertujuan untuk menyampaikan suara dan tuntutan orang ramai mengenai kebajikan gajah-gajah tersebut secara formal kepada pihak pengurusan zoo, yang merupakan pihak yang mempunyai obligasi kontraktual dalam perjanjian pemindahan tersebut.

Selain itu, gesaan untuk membawa pulang Dara, Amoi, dan Kelat turut mendapat sokongan daripada pemimpin tertinggi negara dan kerajaan negeri, termasuk Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam serta Menteri Besar Pahang.

Untuk menyokong usaha ini, anda juga boleh layari Care2 Petition Site dan sign petition sebagai tanda solidariti kepada Dara, Amoi, Kelat.

Soalan Lazim Gajah Dara, Amoi, Kelat

Siapakah Dara, Amoi, dan Kelat?

Mereka adalah tiga ekor gajah Asia (spesies yang dilindungi di bawah CITES Appendix I) yang sebelum ini berada di bawah jagaan Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS). Kelat merupakan gajah jantan berusia 20 tahun, manakala Dara (14 tahun) dan Amoi (9 tahun) adalah gajah betina.

Mengapa mereka dipindahkan ke Jepun?

Pemindahan ini berlaku pada 10 Mac 2026 sebagai sebahagian daripada kerjasama rasmi sister zoo antara ZTNS dan Zoo Tennoji, Osaka. Tujuan utama kerjasama ini adalah untuk konservasi, perkongsian kepakaran, dan peningkatan standard penjagaan haiwan di kedua-dua pihak.

Adakah gajah-gajah ini telah “dijual” kepada Jepun?

Tidak. Pihak berkuasa menegaskan bahawa DAK kekal sebagai hak milik Zoo Taiping & Night Safari. Pemindahan ini tidak melibatkan sebarang urus niaga komersial atau pemindahan hak milik.

Mengapa timbul bantahan dan gesaan untuk membawa mereka pulang?

Timbul kebimbangan dalam kalangan orang ramai dan aktivis kebajikan haiwan mengenai kualiti hidup gajah-gajah tersebut di Zoo Tennoji. Dakwaan mengenai habitat yang kurang sesuai, keadaan fizikal haiwan yang mencetuskan persoalan, serta rasa prihatin orang ramai telah mendorong lebih 100,000 tandatangan dalam petisyen untuk membawa mereka pulang ke Malaysia.

Apakah tindakan kerajaan Malaysia?

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menyatakan bahawa walaupun perjanjian ini dibuat secara Business to Business (B2B) tanpa penglibatan langsung kementerian, namun, cadangan untuk membawa pulang DAK adalah wajar dipertimbangkan secara serius. Pihak kementerian telah menggesa pengurusan Zoo Taiping untuk memulakan rundingan dengan pihak Zoo Tennoji bagi menilai keperluan dan mekanisme untuk membawa pulang gajah-gajah tersebut ke tanah air.

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut