Mempunyai skor kredit yang rendah atau terjejas sememangnya boleh menjadi satu tekanan terutamanya apabila anda merancang untuk membuat pinjaman perumahan, pembiayaan kenderaan atau memohon kad kredit baharu namun, berita baiknya adalah terdapat pelbagai cara atau langkah yang boleh anda ambil untuk pulihkan skor kredit anda.
Skor kredit bukan sekadar nombor; ia adalah gambaran tentang disiplin kewangan seseorang.
Skor kredit yang baik menunjukkan disiplin kewangan dan keupayaan membayar balik hutang secara bertanggungjawab, manakala skor yang terjejas boleh menghalang kelulusan pembiayaan dan menjejaskan peluang anda mendapatkan produk kewangan yang sesuai.
Memahami Punca Skor Kredit Terjejas

Sebelum melangkah lebih jauh ke kaedah pemulihan, penting untuk kita memahami faktor-faktor yang menyebabkan skor kredit menjunam.
Rekod pembayaran memainkan peranan yang sangat besar, menyumbang sebanyak 45 peratus daripada penentuan skor kredit anda.
Ini bermakna, sebarang kelewatan atau kegagalan membayar komitmen seperti pinjaman bank, kad kredit, atau bahkan bil utiliti dan telekomunikasi akan meninggalkan kesan negatif yang ketara pada laporan kredit anda.
Selain rekod pembayaran, faktor lain seperti jumlah keseluruhan hutang yang ditanggung, jenis-jenis kredit yang digunakan, kekerapan memohon kredit baru, serta jangka masa hayat rekod kredit anda juga diambil kira.
Oleh itu, cara untuk pulihkan skor kredit yang efektif mestilah menangani kesemua aspek ini secara menyeluruh dan konsisten.
Langkah-Langkah Praktikal Pulihkan Skor Kredit
Proses pemulihan skor kredit bukanlah sesuatu yang boleh berlaku dalam sekelip mata dan ia memerlukan disiplin kewangan yang tinggi dan perancangan yang teliti.
Berikut adalah beberapa langkah utama yang boleh anda praktikkan:
1. Elakkan Membuat Permohonan Kredit Secara Berturut-turut

Setiap kali anda membuat permohonan untuk kad kredit, pinjaman peribadi, atau pembiayaan lain, institusi kewangan akan membuat semakan ke atas laporan kredit anda.
Semakan yang terlalu kerap dalam tempoh yang singkat akan memberi gambaran bahawa anda sedang mengalami masalah kewangan dan sedang “memburu” hutang.
Ini akan menjejaskan lagi skor kredit anda dan sebaiknya, beri jeda masa yang munasabah sekurang-kurangnya enam bulan hingga setahun antara satu permohonan pembiayaan dengan permohonan yang lain.
2. Utamakan Pembayaran Tepat Pada Masa

Ini adalah nadi kepada pemulihan skor kredit dan oleh itu, mulai sekarang, jadikan pembayaran bil-bil dan ansuran pinjaman tepat sebelum tarikh akhir sebagai keutamaan nombor satu.
Anda boleh memanfaatkan perkhidmatan perbankan internet seperti arahan tetap (direct debit) atau peringatan kalendar bagi memastikan anda tidak terlepas walau satu tarikh penting sekalipun.
Ingatlah, rekod tunggakan akan kekal dalam sistem CCRIS selama 12 bulan dan dalam CTOS sehingga 24 bulan.
Oleh itu, konsistensi dalam membayar tepat pada masanya adalah kunci utama untuk membersihkan rekod tersebut secara beransur-ansur.
Artikel berkaitan: Hutang Baik vs Hutang Jahat: Cara Membezakannya
3. Kurangkan Jumlah Hutang Sedia Ada

Langkah seterusnya adalah dengan mengurangkan beban hutang anda.
Fokuskan kepada pembayaran hutang-piutang, terutamanya yang mempunyai kadar faedah tinggi seperti kad kredit atau pinjaman peribadi.
Cuba selesaikan baki tertunggak kad kredit sepenuhnya setiap bulan namun jika tidak mampu, bayar lebih daripada kadar minimum yang ditetapkan.
Mengurangkan jumlah hutang bukan sahaja memperbaiki skor kredit, malah meringankan beban kewangan bulanan anda.
4. Gunakan Kemudahan Kredit Sedia Ada Dengan Bijak

Memiliki kemudahan kredit seperti kad kredit atau pinjaman kereta sebenarnya membantu membina profil kredit anda selagi ia diurus dengan baik.
Ia menunjukkan kepada institusi kewangan bahawa anda mempunyai sejarah dan kemampuan untuk menguruskan pembiayaan.
Namun, pastikan penggunaan kad kredit tidak melebihi 30 peratus daripada had kredit yang diluluskan.
Penggunaan yang terlalu tinggi, walaupun anda membayar tepat pada masanya, boleh ditafsirkan sebagai tanda anda terlalu bergantung kepada hutang.
Artikel menarik: Memahami Konsep Hutang Dalam Islam




