Bendera Malaysia merupakan identiti unik negara kita Malaysia.
Dikenali dengan nama Jalur Gemilang, simbol, warna dan lambang yang ada pada bendera ini mempunyai maksud tertentu yang melambangkan jati diri rakyat Malaysia secara amnya.
Sebagai rakyat Malaysia, kita haruslah memahami maksud segala simbol, corak dan warna pada Jalur Gemilang agar semangat cintakan negara tersemat dalam sanubari diri kita.
Maksud corak dan rekabentuk
Bendera Malaysia terdiri daripada garisan 14 jalur merah dan putih berselang-seli dan lambang bulan sabit dan bintang 14 mata. dikenali sebagai Bintang Persekutuan.
14 jalur, dengan lebar yang sama, mewakili status yang sama dalam persekutuan 13 negara anggota dan wilayah persekutuan, manakala 14 titik bintang mewakili perpaduan antara entiti ini.
Bulan sabit mewakili agama Islam sebagai agama negara.
Maksud warna pada Jalur Gemilang
Biru: Latarbelakang bulan sabut dan bintang yang berwarna biru pula melambangkan perpaduan rakyat Malaysia.
Kuning: Warna kuning pada bintang dan bulan sabit ialah warna diraja raja-raja Melayu.
Merah: Melambangkan keberanian rakyat Malaysia mengharungi pelbagai cabaran demi negara tercinta
Putih: Melambangkan kesucian dan keluhuran hati rakyat Malaysia yang berbilang kaum
Sejarah penciptaan Bendera Malaysia
Bendera yang mula diperkenalkan pada 16 September 1963 sempena penubuhan negara Malaysia ini jberasal dari bendera Persekutuan Tanah Melayu.
Sebelum penciptaan bendera kebangsaan, setiap negeri di Tanah Melayu mempunyai bendera sendiri yang kebanyakannya tidak berubah reka bentuknya sehingga ke hari ini.
Bendera Malaya telah direka oleh Mohamed Hamzah, seorang arkitek berusia 29 tahun yang bekerja di Jabatan Kerja Raya (JKR) di Johor Baharu, Johor.
Beliau menyertai pertandingan reka bentuk bendera Malaya pada tahun 1947 dengan dua rekaan yang beliau siapkan dalam tempoh dua minggu.
Reka bentuk pertama ialah bendera hijau dengan keris biru di tengah, dikelilingi oleh 15 bintang putih manakala reka bentuk kedua, yang merupakan antara tiga finalis, adalah serupa dengan bendera Malaysia kini tetapi dengan bintang berbucu lima.
Dato’ Onn Jaafar telh bertemu dengan Mohamed Hamzah selepas memenangi pertandingan itu dan mencadangkan bintang itu ditukar kepada mata 11 untuk mewakili semua negeri Malaya.
Berikutan pembentukan Malaysia pada 16 September 1963, reka bentuk bendera Tanah Melayu telah diubah suai untuk mencerminkan dan menghormati negeri-negeri baru dalam persekutuan.
Tiga jalur tambahan telah ditambah pada bendera sedia ada dan bintang itu diberi 14 mata untuk menggambarkan persekutuan 11 negeri asal di Tanah Melayu ditambah Sabah, Sarawak, dan Singapura.
Reka bentuk kekal sama walaupun selepas pengusiran Singapura daripada persekutuan dua tahun kemudian.
Apabila Kuala Lumpur telah ditetapkan sebagai Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 1974, jalur tambahan dan bucu dalam bintang telah diubah maksudnya untuk mewakili wilayah baru ini.
Pada tahun 1997, apabila rakyat Malaysia dijemput untuk menamakan bendera tersebut, maka Perdana Menteri Mahathir Mohamad memilih nama Jalur Gemilang untuk menonjolkan pemacuan negara ke arah pertumbuhan dan kejayaan yang berterusan.