Tonsil Bengkak (Tonsilitis) : Punca, Gejala & Cara Merawatnya

tonsil bengkak
Punca tonsil bengkak dan cara merawatnya.
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Masalah tonsil bengkak bukanlah suatu perkara yang asing bagi semua.

Ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja akibat jangkitan virus atau bakteria.

Tonsil berfungsi untuk menyaring makanan atau udara yang masuk melalui kerongkong.

Sekiranya terdapat virus atau bakteria, sel imun di tonsil akan menghapuskan kuman tersebut dan menghasilkan antibodi untuk tubuh.

Dalam situasi ini, sel darah putih akan berkumpul di bahagian tekak sehingga membuatkan kawasan tersebut menjadi sakit dan bengkak.

Inilah yang mengakibatkan tonsil mula membengkak atau dipanggil tonsilitis.

Ia juga boleh disertai dengan rasa sakit, tompok putih dan nampak kemerahan.  

tonsil bengkak
Punca tonsil bengkak.

Punca Tonsil Bengkak

Tonsil bengkak atau tonsilitis sering berlaku disebabkan jangkitan atau faktor lain yang merangsang keradangan pada tonsil.

Antara punca utama adalah:

  • Jangkitan virus
    Kebanyakan kes tonsil bengkak berpunca daripada jangkitan virus seperti virus selesema (influenza), rhinovirus dan adenovirus. Virus ini menyebabkan radang pada tisu tonsil hingga ia membengkak dan sakit.
  • Jangkitan bakteria (terutama Streptococcus)
    Bakteria seperti Streptococcus pyogenes (yang juga menyebabkan sakit tekak streptokokus) boleh menyebabkan tonsil membengkak. Tonsilitis bakteria biasanya lebih teruk dan mungkin memerlukan rawatan antibiotik.
  • Pendedahan kepada pencemaran atau asap rokok
    Persekitaran yang tercemar atau terdedah kepada asap rokok boleh merengsakan saluran pernafasan dan menyebabkan tonsil meradang serta membengkak.
  • Sistem imun yang lemah
    Individu dengan sistem imun yang lemah lebih mudah mendapat jangkitan pada tonsil kerana badan kurang berupaya melawan kuman.
  • Alergi atau rinitis alahan
    Alergi juga boleh menyumbang kepada keradangan kronik pada kawasan tekak termasuk tonsil.

Keadaan tonsil bengkak perlu diberi perhatian kerana ia boleh menyebabkan kesukaran menelan, sakit tekak yang berpanjangan dan demam.

Jika gejala berlarutan, sebaiknya dapatkan pemeriksaan doktor.

Gejala Tonsilitis

Gejala ini sering dialami oleh kanak-kanak berumur 3 hingga 6 tahun.

Namun, ia masih boleh terjadi dalam kalangan pesakit dewasa.

Antara simptom yang berlaku akibat jangkitan tonsil sehingga menyebabkannya bengkak adalah :

  • Rasa sakit ketika menelan makanan
  • Sakit tekak
  • Demam panas
  • Tompok putih muncul di permukaan tonsil
  • Tonsil membengkak atau besar
  • Mulut berbau busuk
  • Sakit leher
  • Kelenjar limfa (lymph node) yang terletak di bawah rahang dan leher bengkak.
tonsil bengkak
Petua legakan sakit tekak di rumah.

Untuk bayi atau anak kecil yang masih belum boleh bercakap, mereka mungkin boleh menunjukkan beberapa tanda tonsil bengkak seperti :

  • Tidak mahu makan atau kurang selera makan
  • Sering menangis atau mood tidak baik
  • Demam bersuhu tinggi
  • Air liur sering meleleh

Bila Perlu ke Klinik?

Pesakit perlulah dibawa ke klinik untuk mendapatkan pemeriksaan rapi serta rawatan lanjut sekiranya menunjukkan simptom-simptom berikut :

  • Kurang makan dan minum
  • Sesak nafas
  • Demam masih tidak reda setelah 3 hari
  • Demam panas
  • Cirit-birit dan muntah
  • Pesakit lesu dan kelihatan letih
tonsil bengkak
Cara merawat tonsil bengkak.

Cara Merawat Tonsil Bengkak

Rawatan bagi mengatasi masalah tonsil adalah bergantung kepada tahap jangkitan.

Rawatan di Rumah (Bagi Sakit Yang Tidak Terlalu Teruk)

  • Dapatkan rehat secukupnya
  • Minum air secukupnya
  • Makan ubat sakit tekak (lozenge, cecair atau semburan)
  • Gunakan pelembap udara (air humidifier)
  • Berkumur dengan air garam
  • Sekiranya alami sakit tekak teruk, pesakit boleh ambil ubat demam atau ubat tahan sakit.
tonsil bengkak
Kumur air garam boleh membantu melegakan bengkak tonsil.

Rawatan Menggunakan Antibiotik

Antibiotik hanya akan diberikan oleh doktor kepada pesakit yang disyaki mengalami jangkitan bakteria.

Cara ini dapat membantu badan membina sistem imun untuk melawan jangkitan.

Beberapa gejala yang boleh menunjukkan masalah tonsil berlaku akibat jangkitan bakteria adalah :

  • Sel darah putih yang tinggi
  • Demam panas bersuhu tinggi iaitu melebihi 38.5 °C.
  • Kelenjar limfa bengkak pada bahagian leher
  • Tompok putih kelihatan di permukaan tonsil

Rawatan Melalui Pembedahan

Doktor hanya akan mengesyorkan pembedahan (tonsillectomy) sekiranya pesakit kerap mengalami tonsil bengkak.

Ia biasanya dilakukan ketika pesakit tidak mengalami jangkitan tonsil.

Sekiranya pesakit menunjukkan kekerapan jangkitan tonsil seperti di bawah, doktor akan menyarankan pembedahan untuk membuang tonsil :

  • Tonsil bengkak berlaku 7 kali dalam setahun
  • Tonsil bengkak berlaku 4 hingga 5 kali setahun dalam masa 2 tahun
  • Tonsil bengkak berlaku 3 kali setahun dalam masa 3 tahun

Di samping itu, doktor juga mungkin akan mengesyorkan pembedahan tonsil sekiranya :

  • Pesakit mempunyai masalah sukar bernafas
  • Pesakit alami kesukaran untuk menelan
  • Saluran pernafasan tersumbat ketika tidur
  • Nanah pada tonsil tidak sembuh walaupun selepas diberikan antibiotik.

Setelah mengenalpasti gejala, sesetengah kes jangkitan tonsil boleh dirawat di rumah.

Namun bagi kes yang lebih teruk, pesakit perlulah mendapatkan rawatan daripada doktor.

Kesimpulan

Bengkak tonsil atau tonsilitis merupakan masalah yang biasa berlaku dan boleh menjejaskan keselesaan harian seseorang, terutama apabila menyebabkan sakit tekak, susah menelan, demam dan bau mulut.

Punca utama tonsil bengkak biasanya berpunca daripada jangkitan virus atau bakteria, namun faktor lain seperti asap rokok, alahan dan sistem imun yang lemah juga boleh menyumbang kepada masalah ini.

Rawatan bagi bengkak tonsil bergantung kepada punca, sama ada memerlukan rehat, ubat tahan sakit, antibiotik, atau dalam kes tertentu, pembedahan membuang tonsil.

Penting untuk mendapatkan pemeriksaan doktor sekiranya gejala berlarutan, semakin teruk, atau mengganggu pernafasan.

Amalan penjagaan kebersihan diri, elak pencemaran, dan menguatkan sistem imun boleh membantu mencegah jangkitan tonsil berulang.

Sumber : The Diagnosa

Baca Juga : 6 Ubat Sakit Tekak Yang Anda Boleh Cuba Untuk Kelegaan Segera

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Artikel berkaitan: