Senarai 50+ Pepatah Melayu Beserta Maksud

pepatah melayu
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Untuk memantapkan penulisan dan tatabahasa murid khususnya dalam penulisan, anda boleh memasukkan pepatah melayu untuk memastikan penulisan tersebut menarik.

Oleh yang demikian, terdapat banyak pepatah yang boleh diambil dan dihafal untuk dimasukkan di dalam penulisan yang sesuai.

Maksud Pepatah Melayu

Menurtu Dewan Bahasa dan Pustaka, pepatah bermaksud peribahasa yg mengandungi nasihat, ajaran (perkataan) orang tua-tua dan lain-lain.

Ia lazimnya digunakan untuk memberi nasihat, menyindir, atau mengungkapkan suatu pandangan tentang kehidupan seharian.

Selain itu, dari segi struktur, ianya hampir sama dengan bidalan.

Senarai 50+ Pepatah Melayu

Berikut adalah senarai pepatah yang sering digunakan:

  • Air yang tenang jangan disangka tiada buaya: Pendiam dan tidak melawan kata jangan disangka pengecut.
  • Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing: Hidup bantu membantu antara satu sama lain.
  • Cubit paha kanan, paha kiri pun terasa juga: Setiap kesusahan yang dialami oleh seseorang dalam kehidupannya akan turut dirasai oleh ahli keluarganya yang lain.
  • Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung: Walau di mana kita berada kita mesti mematuhi dan menyesuaikan peraturan tempat yang kita diami.
  • Enggang sama enggang, pipit sama pipit, baru boleh terbang sama: Pergaulan hanya dengan orang yang sama taraf saja.
  • Fikir itu pelita hati: Daya berfikir seseorang mampu menjadi penerang hidup.
  • Gajah mati meninggalkan tulang, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama: Orang yang banyak jasa tetap akan dikenang meskipun sudah meninggal dunia.
  • Harapkan pagar, pagar makan padi: Seseorang yang kita terlalu percaya dan boleh diharapkan telah mengkhianati kita.
  • Ikan pulang ke lubuk: Kembali semula ke tempat asal.
  • Jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya: Sesuatu kejayaan tidak akan dicapai tanpa usaha.
  • Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang: Orang miskin yang rezekinya dicari hanya cukup untuk makan pada hari itu sahaja.
  • Lembu punya susu, sapi dapat nama: Seseorang yang mendapat nama hasil daripada kerja orang lain atau orang lain yang membuat kerja, orang lain yang mendapat nama.
  • Membujur lalu melintang patah: Orang yang tidak takut menghadapi sebarang rintangan yang bakal dihadapi.
  • Nyiur setandan tetapi berlainan jadinya: Sikap atau perangai tidak sama antara adik beradik seibu sebapa.
  • Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa: Kita sentiasa berterima kasih ke atas kebaikan orang terhadap kita.
  • Pucuk dicita ulam mendatang: Memperoleh sesuatu yang dihajati.
  • Ringan sama dijinjing, berat sama dipikul: Orang yang melakukan kerja secara bergotong royong.
  • Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga: Bagaimana liciknya seseorang, ada kalanya dia tersilap juga.
  • Takkan pisang berbuah dua kali: Tidak akan mengulangi kesilapan yang telah dilakukan.
  • Ulat dalam batu pun dapat hidup: Orang yang rajin berusaha takkan mati kelaparan.
  • Waktu itu wang: Waktu itu sangat bernilai.
  • Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran: Mengharapkan sesuatu yang belum tentu dapat, barang yang ada dihabiskan atau dibuang.
  • Zaman beralih, musim bertukar: Peredaran masa.
  • Antan patah lesung hilang: Kemalangan yang bertimpa-timpa.
  • Baik membawa resmi padi daripada membawa resmi lalang: Merendah diri.
  • Beraja di hati, bersultan di mata: Mengikut kehendak hati sendiri.
  • Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian; bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian: Untuk mendapatkesenangan kelak, harus berani bersusah dahulu.
  • Biar putih tulang, jangan putih mata: Lebih baik mati daripada menanggung malu.
  • Carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga: Berselisih sesama keluarga, akhirnya berbaik kembali.
  • Gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah: Pemimpin dengan pemimpin bergaduh, rakyat mendapat susah.
  • Harapkan guruh di langit, air di tempayan ditumpahkan: Kerana mengharapkan keuntungan yang besar tetapi belum pasti, keuntungan yang kecil yang sudah pasti dilepaskan.
  • Hidup dua muara: Hidup dengan dua mata pencarian.
  • Jauhari juga yang mengenal manikam: Hanya orang yang pakar dalam sesuatu bidang sahaja yang arif tentang sesuatu.
  • Jerat tidak lupa akan pelanduk, tetapi pelanduk lupa akan jerat: Sudah lupa akan bahaya, tetapi sebenarnya bahaya tetap mengancam.
  • Jika kerbau dipegang talinya, jika manusia dipegang mulutnya: Janji mesti ditepati.
  • Kalah jadi abu, menang jadi arang: Kalah atau menang dalam sesuatu pertengkaran tidak akan menguntungkan pihak manapun.
  • Kalau tiada rotan, akar pun berguna: Kalau tiada yang baik, yang kurang baik pun berguna juga.
  • Kecil api menjadi kawan, besar menjadi lawan: Kejahatan yang sedikit jangan dibiarkan menjadi besar.
  • Lain dulang lain kaki, lain orang lain hati: Tiap-tiap orang mempunyai keinginan yang berbeza.
  • Lain lubuk lain ikannya: Adat di sesebuah negeri tidak sama.
  • Lain orang makan nangka, lain orang kena getah: Lain orang yang bersalah, lain orang pula yang dituduh.
  • Laut mana yang tidak berombak, bumi mana yang tidak ditimpa hujan: Segala usaha tetap ada kesukaran dan bahayanya
  • Lemak manis jangan terus ditelan, pahit jangan terus dibuang: Sesuatu nasihat itu hendaklah difikirkan masak-masak buruk baiknya manakala kecaman pula janganlahditolak mentah-mentah.
  • Naik seperti semut, turun seperti ribut: Hendak memperoleh kejayaan selalunya lambat, tetapi hendak jatuh mudah sekali.
  • Seekor kerbau membawa lumpur, semuanya terpalit: Seseorang yang berbuat salah, semuanya terbawa-bawa.
  • Sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain: Sabar mengerjakan sesuatu, lama-lama berhasil juga.
  • Setinggi-tinggi terbang bangau, hinggap di belakang kerbau juga: Selalu kembali ke tempat asalnya.
  • Siapa yang makan cili, dialah yang terasa pedasnya: Sesiapa yang berbuat salah akan terasa apabila disindir.
  • Terapung sama hanyut, terendam sama basah: Persahabatan yang setia; sehidup semati.
  • Untung sabut timbul, untung batu tenggelam: Sekiranya bernasib baik akan mendapat kejayaan, tetapi jika bernasib malang akan mendapat kerugian.
  • Yang bulat datang bergolek, yang pipih datang melayang: Orang yang bertuah mendapat keuntungan daripada mana-mana sahaja.

Soalan Lazim

Apakah yang dimaksudkan dengan pepatah?

Pepatah ialah peribahasa yg mengandungi nasihat, ajaran atau perkataan orang tua-tua dan lain-lain.

Apakah perbezaan antara pepatah dan bidalan?

Bidalan mempunyai nilai, ilmu dan pengajaran, sedangkan pepatah lebih ringkas sifatnya dan tidak semestinya mempunyai pengajaran.

Adakah struktur pepatah dan bidalan mempunyai persamaan?

Ya, struktur pepatah dan bidalan mempunyai persamaan namun pepatah lebih ringkas.

Baca juga: Senarai 50+ Peribahasa Melayu Beserta Maksud

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut