Pelaburan Kereta Klasik: Hobi Berisiko atau Aset Berharga?

hobi kereta vntaj
Info bantuan baru terus ke WhatsApp
Saya Nak!

Percaya atau tidak, segelintir peminat kereta melihat kereta klasik atau vintaj sebagai sebuah pelaburan kerana nilainya boleh meningkat naik daripada tahu ke tahun.

Namun persoalan sama ada ia merupakan hobi berisiko atau aset berharga sering menjadi tanda tanya.

Kereta klasik tidak sekadar menjadi simbol kemewahan nostalgia, tetapi juga instrumen pelaburan alternatif yang mampu menjana pulangan lumayan jika diurus dengan bijak.

Namun, seperti pelaburan lain, dunia kereta vintaj ini penuh dengan cabaran dan risiko yang perlu difahami sebelum seseorang sanggup mengeluarkan puluhan ribu bahkan jutaan ringgit untuk sebuah kenderaan berusia puluhan tahun.

Memahami Nilai Sebenar Kereta Klasik sebagai Aset

Sebelum melabur dalam kereta klasik, seseorang perlu mengenal pasti faktor-faktor yang menentukan nilainya.

Kereta klasik bukan sekadar kenderaan bermotor, tetapi juga warisan sejarah, seni kejuruteraan, dan simbol budaya. Model-model ikonik seperti Proton Saga awal 1980-an, Mini Cooper klasik, atau Volkswagen Beetle mempunyai nilai sentimental yang tinggi di pasaran tempatan.

Namun, tidak semua kereta tua layak dianggap sebagai aset berharga. Faktor seperti jarang ditemui, keadaan asli tanpa pengubahsuaian besar, sejarah penyelenggaraan, serta pengiktirafan dari kelab kereta klasik memainkan peranan penting dalam menentukan harga.

Sebuah kereta yang disimpan dalam keadaan asli dengan dokumen lengkap mampu meningkat nilainya antara 10 hingga 30 peratus setahun, mengatasi kadar inflasi dan pulangan pelaburan konvensional seperti emas atau saham.

Artikel berkaitan: E-Dereg JPJ : Cara Lupus Kereta Lama Secara Percuma

Potensi Pasaran Kereta Klasik di Malaysia

kereta vintaj

Walaupun belum seluas pasaran di United Kingdom atau Jepun, minat terhadap kereta klasik di Malaysia semakin meningkat dan acara tahunan seperti Malaysia Classic Car Show dan Art of Speed menarik ribuan pengunjung, membuktikan potensi pasaran yang besar.

Kereta klasik menawarkan pengalaman pemilikan yang unik, menggabungkan elemen sejarah, seni dan kejuruteraan dalam satu pakej yang boleh dinikmati secara visual dan praktikal.

Nilai estetika dan kebanggaan pemilikan sering kali menjadi faktor motivasi peminat kereta vintaj.

Pelaburan dan pasaran kereta klasik juga dipacu oleh faktor penawaran dan permintaan yang unik. Apabila kereta klasik menjadi lebih tua dan langka, penawaran semakin berkurangan, sementara permintaan dari pengumpul dan pelabur terus meningkat.

Ketidakseimbangan ini secara semula jadi mendorong kenaikan harga, terutamanya untuk model yang dianggap ikonik atau mempunyai kepentingan sejarah.

Cabaran Logistik dan Penyimpanan di Malaysia

kereta klasik

Iklim tropika Malaysia dengan kelembapan tinggi dan hujan lebat menjadi musuh utama kereta klasik dan risiko karat adalah ancaman nombor satu kepada badan kereta manakala habuk dan kelembapan merosakkan sistem elektrik dan permukaan kulit.

Oleh itu, pelabur perlu menyediakan garaj tertutup dengan sistem kawalan kelembapan (dehumidifier) dan lantai simen yang kering.

Selain itu, mendapatkan insurans khusus untuk kereta klasik agak sukar kerana kebanyakan syarikat insurans tempatan hanya menawarkan perlindungan pasaran terbuka dengan nilai sum insured yang rendah.

Beberapa syarikat seperti Etiqa dan Allianz mula memperkenalkan polisi untuk kereta vintaj, tetapi premiumnya boleh mencecah dua hingga tiga kali ganda polisi biasa menyebabkan individu yang ingin melibatkan diri dalam pelaburan kereta klasik sering sakit kepala.

Pelabur juga perlu bijak memilih tayar klasik bersaiz asli yang tidak lagi dikeluarkan secara besar-besaran, sehingga terpaksa menempah dari luar negara dengan kos penghantaran yang mahal.

Risiko Tersembunyi dalam Pelaburan Kereta Klasik

pelaburan kereta klasik

Walau menjanjikan keuntungan, pelaburan kereta klasik bukanlah jalan mudah menuju kekayaan. Risiko pertama adalah kos penyelenggaraan yang tinggi.

Kereta lama memerlukan alat ganti khusus yang kadang kala hanya boleh ditempah dari luar negara, dan bengkel yang pakar dalam kerja-kerja pemulihan klasik tidak banyak di Malaysia.

Sebagai contoh, kos memulihkan enjin sebuah Mercedes-Benz W108 boleh mencecah RM30,000, belum lagi cat, upholsteri, dan kerja krom.

Risiko kedua ialah ketulenan dan penipuan di mana pasaran kereta klasik sering dimasuki kenderaan yang telah diubah suai atau nombor casis yang tidak asli, menyebabkan nilai pelaburan merudum.

Tambahan pula, penyimpanan yang tidak sempurna seperti terdedah kepada cuaca panas dan lembap akan mempercepatkan kakisan, sekali gus merosakkan nilai estetika dan mekanikal.

Jawapan kepada soalan sama ada pelaburan kereta klasik adalah hobi berisiko atau aset berharga sebenarnya bergantung pada pendekatan seseorang.

Mereka yang membeli kereta klasik semata-mata atas dasar emosi tanpa kajian mendalam mungkin akan menghadapi kerugian akibat kos penyelenggaraan yang tidak terkawal.

Sebaliknya, pelabur yang disiplin, mempunyai pengetahuan mekanikal asas dan sanggup meluangkan masa untuk memulihkan kenderaan dengan cara yang betul pastinya akan melihat kereta klasik sebagai aset yang semakin berharga seiring peredaran masa.

Akhirnya, gabungan antara minat tulus terhadap warisan automotif dan strategi pelaburan yang cerdas adalah kunci kejayaan. Kereta klasik bukanlah aset untuk keuntungan cepat, tetapi ia adalah pelaburan yang boleh diwarisi, dipandu, dan dihargai keindahannya

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut