Melecur Tahap 4: Ciri-Ciri, Kesan & Rawatan Yang Sesuai

Berita mengenai Faisal Halim, pemain skuad Harimau Malaya yang melecur tahap 4 semakin mendapat perhatian ramai di media sosial.

Ramai peminat bola sepak tanah air dan masyarakat tempatan khususnya yang prihatin akan kejadian menyayat hati yang berlaku itu.

Di samping rasa prihatin, masyarakat juga perlu lebih cakna dan ingin tahu apakah tindakan atau rawatan selanjutnya yang boleh dilakukan.

Justeru artikel pada kali ini, kami akan berkongsi kepada anda tentang kesan melecur tahap 4 dan rawatan pemulihannya yang boleh dilakukan.

Baca juga:

Apa itu melecur?

melecur tahap 4

Melecur adalah salah satu dari kecederan di rumah yang biasa berlaku secara tidak sengaja terutamanya di kalangan kanak-kanak.

Ia dicirikan oleh kerosakan kulit yang teruk sehingga menyebabkan sel-sel kulit yang terjejas akan mati.

Biasanya berlaku apabila kulit terkena haba, bahan kimia, cahaya matahari, elektrik atau sinaran UV merosakkan tisu kulit.

Jenis tahap melecur

Luka terbakar boleh dikelaskan kepada beberapa tahap dari melecur tahap 1 sehingga melecur tahap 4.

Setiap tahap ini dikelaskan bukan berdasarkan kepada puncanya, tetapi bergantung kepada seberapa panas cecair dan seberapa lama ia kekal bersentuhan dengan kulit anda.

Tahap 1

Melecur tahap 1 menyebabkan kerosakan kulit yang minimum dengan hanya menjejaskan lapisan luar atau atas kulit sahaja. Tanda-tanda melecur tahap 1 termasuklah:

  • Kulit menjadi kemerahan
  • Keradangan kecil atau bengkak
  • Sakit
  • Kulit kering dan mengelupas apabila disentuh.

Disebabkan lecuran hanya berlaku pada lapisan atas kulit, tanda-tandanya akan hilang begitu sahaja apabila sel-sel kulit tanggal. Ia biasanya akan sembuh dalam masa 7-10 hari tanpa parut.

melecur tahap 4

Tahap 2

Luka melecur tahap 2 adalah lebih serius kerana kerosakan melangkau lapisan atas kulit sehingga ke lapisan tengah.

Ia akan menyebabkan kulit melepuh, menjadi sangat merah dan sakit. Tisu tebal seperti kudis akan mula berkembang atas kulit.

Tahap 3

Luka melecur tahap 3 telah masuk ke lapisan paling dalam kulit. Kulit anda seperti terbakar, kelihatan putih atau hitam dan hangus.

Disebabkan kerosakan saraf berlaku, mungkin anda tidak akan merasakan kesakitan.

melecur tahap 4

Tahap 4

Melecur tahap 4 sama dengan tahap 3. Tetapi ia menyebabkan kerosakan pada tendon, sendi dan/atau tulang.

Melecur tahap 4 tidak menyakitkan. Ini kerana kerosakan meluas ke saraf, yang bertanggungjawab untuk menghantar isyarat sakit ke otak anda.

Kerosakan saraf sedemikian menjadikan tahap lecuran ini lebih berbahaya.

Hal ini kerana, anda tidak dapat merasakan kesakitan, walaupun luka melecur itu serius dan teruk.

Cara merawat lecuran mengikut tahap

Setiap tahap luka melecur termasuk melecur tahap 4 mempunyai rawatan khusus yang sesuai dan diperlukan oleh pesakit. Berikut adalah penjelasannya:

Tahap 1

Luka melecur tahap 1 biasanya boleh dirawat sendiri di rumah. Masa penyembuhan mungkin lebih cepat dari yang lain. Rawatan untuk lecuran ini termasukah:

  • Merendam luka dalam air sejuk selama 5 minit atau lebih
  • Mengambil acetaminophen atau ibuprofen untuk melegakan kesakitan
  • Menggunakan lidocaine (bius) dengan gel atau krim aloe vera untuk melegakan kulit
  • Menggunakan krim sapu antibiotik dan longgarkan kain kasa untuk melindungi bahagian yang terjejas

Perhatian:

  • Jangan gunakan ais untuk merawat
  • Jangan gunakan bola kapas untuk menyapu ubat pada luka bakar
  • Elak dari menggunakan bahan-bahan di rumah seperti ubat gigi, mentega, telur, dan sebagainya
  • Dapatkan rawatan segera jika kawasan kulit yang melecur lebih dari tiga inci serta berlaku pada muka dan kawasan sendi utama seperti lutut, buku lali, kaki, tulang belakang, bahu, siku, dan lengan

Tahap 2

Luka melecur tahap 2 lebih teruk berbanding tahap 1. Sesetengah luka akan mengambil masa yang lebih lama daripada 3 minggu untuk sembuh.

Namun kebanyakkannya akan sembuh dalam masa 2-3 minggu tanpa parut tetapi dengan perubahan pigmen pada kulit.

Untuk sesetengah kes, cantuman kulit adalah diperlukan untuk membetulkan kerosakan. Rawatan untuk lecuran ini termasukah:

  • Membiarkan kulit di bawah air sejuk selama 15 minit atau lebih lama
  • Mengambil ubat tahan sakit (acetaminophen atau ibuprofen)
  • Menggunakan krim sapu antibiotik

Membalut luka dengan betul akan mempercepatkan ia untuk sembuh di samping mengelak berlakunya jangkitan.

Perhatian:

  • Jangan gunakan bola kapas untuk menyapu ubat pada luka bakar
  • Dapatkan rawatan segera jika kawasan kulit yang melecur lebih dari tiga inci serta berlaku pada muka, tangan, punggung, pangkal peha, dan kaki

Tahap 3

Luka melecur tahap 3 sedikit berbeza dengan melecur tahap 4. Ia akan menyebabkan seseorang itu mengalami kerosakan yang paling banyak, dan luas meliputi setiap lapisan kulit.

Luka tahap ini tidak membolehkan anda untuk rawat sendiri. Pembedahan perlu dilakukan dengan meninggal parut di kawasan yang terjejas.

Tidak ada garis masa tertentu yang ditetapkan untuk penyembuhan pesakit.

Tahap 4

Untuk merawat lecuran tahap 4, beberapa pembedahan mungkin perlu dilakukan.

Boleh menyebabkan kerosakan kekal pada kawasan yang terjejas, yang memerlukan amputasi.

Apabila luka terbakar sembuh, doktor akan dapat menentukan tahap keseluruhan kerosakan pada badan anda.

Kaedah pembinaan semula kosmetik, seperti cantuman kulit, mungkin diperlukan jika kulit anda tidak menghasilkan sebarang tisu baru.

Anda juga mungkin perlu mempertimbangkan rawatan lain, seperti terapi fizikal, jika anda kehilangan deria rasa di kawasan tersebut.

Beza melecur tahap 3 & melecur tahap 4

Melecur tahap 3 akan memusnahkan epidermis dan dermis. Ia boleh masuk ke lapisan paling dalam kulit iaitu lapisan tisu subkutan. Bahagian kulit yang melecur tahap 3 akan kelihatan putih atau hitam dan hangus.

Bagi melecur tahap 4 pula, ia akan melibatkan kedua-dua lapisan kulit dan tisu di bawahnya serta tisu yang lebih dalam, sehingga otot dan tulang.

Bahagian kulit yang melecur tahap 4 tidak akan berasa sakit kerana hujung saraf telah musnah.

Komplikasi

Melecur tahap 3 dan melecur tahap 4 boleh membawa komplikasi yang teruk kepada pesakit seperti jangkitan bakteria, kehilangan darah, kegagalan organ, penumonia, edema, tetanus, hipotermia, hipovolemia, dan kematian.

Justeru rawatan dan penjagaan yang rapi perlu dilakukan untuk mengatasi masalah ini dari semakin teruk.

Diharapkan semoga perkongsian kami berkenaan dengan melecur tahap 4 ini dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan rujukan bersama.

Sumber:

  1. Burns – Symptoms and Causes. Mayo Clinic
  2. Classification of Burns. University of Rochester Medical Center
  3. 4th Degree Burns: What You Need to Know. Healthline
  4. 4 Degrees Of Burns. American Society for Surgery of The Hand
Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!