Ketumbit Mata Sebab Mengintai? Ini 7 Fakta Mata Naik Ketumbit

ketumbit mata
Punca ketumbit mata dan cara hilangkan ketumbit di mata dengan cepat.
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Apakah punca ketumbit mata dan bagaimana cara hilangkan ketumbit di mata dengan cepat?

Juga, ketumbit mata berapa lama akan hilang dan adakah ia berbahaya kepada kesihatan diri?

Mereka yang dijangkiti ketumbit ataupun orang terdekat ada ketumbit pasti tertanya banyak persoalan, kan?

Jadi, dalam artikel pada kali ini, kami akan berkongsi kepada anda berkenaan dengan masalah mata naik ketumbit yang sering kali membuatkan diri kita berasa tidak selesa jika mengalaminya.

Baca juga:

Apa itu ketumbit mata?

ketumbit mata
Ketumbit mata berapa lama boleh hilang.

Ketumbit mata atau dalam istilah perubatan dipanggil hordeolum atau stye ialah benjolan kecil yang terbentuk pada kelopak mata akibat jangkitan bakteria, biasanya bakteria Staphylococcus aureus.

Ketumbit biasanya muncul di bahagian luar atau dalam kelopak mata dan kelihatan seperti jerawat atau bisul kecil.

Benjolan ini boleh menyebabkan kelopak mata menjadi merah, bengkak dan terasa sakit, terutama apabila disentuh.

Dalam kebanyakan kes, ketumbit akan dipenuhi nanah kerana tindak balas badan terhadap jangkitan.

Ketumbit boleh berlaku di bahagian luar kelopak mata (external hordeolum) yang melibatkan kelenjar minyak di pangkal bulu mata, atau di bahagian dalam kelopak mata (internal hordeolum) yang berpunca daripada jangkitan kelenjar yang lebih dalam.

Selain benjolan, penghidap ketumbit mungkin mengalami simptom seperti mata berair, rasa gatal atau pedih pada kelopak mata, dan sensasi ada benda asing di dalam mata.

Walaupun kelihatan mengganggu dan menyakitkan, ketumbit selalunya tidak berbahaya dan tidak menjejaskan penglihatan.

Ia juga boleh sembuh sendiri dalam tempoh beberapa hari hingga seminggu.

Namun, jika ketumbit mata tidak hilang atau sering berulang, rawatan lanjut mungkin diperlukan.

Penting untuk menjaga kebersihan mata bagi mengelakkan jangkitan bertambah teruk.

Punca mata ketumbit sebab mengintai?

Masyarakat Melayu seringkali mengaitkan punca ketumbit berlaku khususnya di bahagian mata adalah disebabkan oleh tabiat suka mengintai orang mandi.

Selain itu, ada juga tanggapan yang keadaan itu boleh dijangkiti sekiranya berdekatan dengan mereka yang mengalami ketumbit.

Hakikatnya ia hanyalah sekadar mitos sahaja dan tidak benar sama sekali.

Ketumbit di mata adalah kerana jangkitan bakteria. Dan, yang penting, ia juga tidak boleh berjangkit kepada orang lain!

Punca mata naik ketumbit

ketumbit dalam mata
Ketumbit dalam mata.

Punca sebenar ketumbit mata adalah kerana jangkitan bakteria Staphylococcus Aureus dan penakungan minyak kerana saluran kelenjar yang tersumbat.

Biasanya, ia melibatkan bahagian folikel iaitu akar rambut, atau kelenjar meibomian yang terletak di tepi mata.

Walaupun masalah ini tidak mendatangkan berbahaya, namun ia boleh menimbulkan rasa tidak selesa kepada individu yang dijangkiti.

Bahkan ada sesetengah individu yang dijangkiti ketumbit akan mudah berasa gatal sehingga boleh menjejaskan penampilan sedia ada.

Jenis-jenis ketumbit

Ketumbit terbahagi kepada dua jenis iaitu stye (jangkitan kuman pada pangkal bulu mata) dan chalazion (penyumbatan pada kelenjar kelopak mata yang menghasilkan minyak pada permukaan mata).

Ketumbit stye adalah disebabkan oleh jangkitan kuman (Staphylococcus Aureus) di akar bulu mata (folikel). 

Biasanya, ketumbit jenis stye kerap dialami oleh:-

  • Pesakit kencing manis
  • Pesakit seborrhea, penyakit kulit yang menyebabkan kulit kasar dan bersisik
  • Pesakit yang mengalami blepharitis kronik, jangkitan kelopak mata berjangka masa panjang
  • Individu yang tidak menjaga kebersihan kelopak mata

Manakala, chalazion pula disebabkan oleh  penakungan minyak akibat saluran kelenjar tersumbat. 

Pada bahagian mata kita, terdapat kelenjar meibomian, yang berfungsi untuk menghasilkan sejenis cecair berminyak pada bola mata untuk mengelakkan lapisan air mata daripada menjadi kering.

Apabila kalenjar ini tersumbat, maka terjadilah ketumbit jenis chalazion. 

Punca utama kalenjar ini tersumbat adalah lapisan lemak dalam kelenjar yang terlalu melekit dan susah untuk dikeluarkan.

Ia sering dialami oleh golongan yang mempunyai masalah acne rosacea.

Beza stye dan chalazion

beza stye dan chalazion
Beza stye dan chalazion.

Ramai yang keliru antara stye dan chalazion kerana kedua-duanya menyebabkan benjolan pada kelopak mata.

Walaupun kelihatan serupa, kedua-dua keadaan ini berbeza dari segi punca, simptom dan rawatan.

Stye (atau ketumbit) adalah jangkitan pada kelenjar minyak di kelopak mata yang menyebabkan benjolan merah, bengkak, dan menyakitkan.

Ia sering berlaku di pangkal bulu mata dan boleh mengandungi nanah.

Stye berpunca daripada jangkitan bakteria, biasanya Staphylococcus aureus, dan boleh menyebabkan mata berair, rasa pedih serta sensitif terhadap cahaya.

Ia cenderung berlaku secara tiba-tiba dan cepat berkembang dalam beberapa hari.

Sebaliknya, chalazion ialah benjolan yang terbentuk akibat penyumbatan pada kelenjar meibomian tanpa jangkitan aktif.

Ia biasanya tidak sakit, lebih besar berbanding stye, dan berkembang secara perlahan dalam masa beberapa minggu.

Chalazion juga lebih cenderung berlaku di bahagian tengah kelopak mata, manakala stye sering terjadi di tepi.

Dari segi rawatan, stye boleh surut sendiri dengan rawatan panas dan penjagaan kebersihan, manakala chalazion yang tidak hilang mungkin memerlukan rawatan perubatan seperti suntikan steroid atau pembedahan kecil.

Memahami perbezaan ini penting agar rawatan yang sesuai dapat diberikan mengikut jenis benjolan yang dialami.

Simptom ketumbit

Ketumbit mata boleh menyebabkan pelbagai gejala yang tidak selesa. Antara simptom yang biasa dialami termasuk:

  • Benjolan merah kecil pada kelopak mata, sama ada di luar atau dalam kelopak.
  • Rasa sakit atau pedih pada kawasan benjolan, terutama apabila disentuh.
  • Kelopak mata bengkak, kadangkala melibatkan seluruh bahagian kelopak.
  • Mata berair secara berlebihan akibat kerengsaan.
  • Pengeluaran nanah daripada benjolan jika ketumbit pecah.
  • Kabur sementara jika bengkak mengganggu permukaan mata.
  • Sensasi seperti ada pasir atau benda asing di dalam mata.
  • Sensitif terhadap cahaya (fotofobia) dalam beberapa kes.
  • Kemerahan di sekeliling mata disebabkan keradangan.
  • Rasa tidak selesa atau tekanan ringan di bahagian mata.

Simptom ini biasanya muncul dengan cepat dan boleh berlangsung selama beberapa hari.

Jika tidak berkurang selepas seminggu atau semakin teruk, sebaiknya dapatkan rawatan doktor.

Baca juga:

Katarak Mata Boleh Sebabkan Buta! Ini Punca & Kos Pembedahan

Rawatan untuk ketumbit

Dapatkan konsultasi doktor jika ketumbit mata tidak hilang.

Ketumbit tidak memerlukan rawatan yang spesifik kerana biasanya ia akan hilang dengan sendirinya.

Walau bagaimanapun, sesetengah individu mungkin mendapat komplikasi yang lebih teruk sekiranya jangkitan tersebut merebak ke bahagian lain kelopak mata seterusnya menyebabkan preseptal cellulitis. 

Untuk mengurangkan gejalanya, anda boleh cuba merawatnya di rumah dengan menuam kawasan mata yang terdapat ketumbit beberapa kali sehari.

Biasanya ia akan hilang dalam tempoh beberapa hari. Sekiranya tidak sembuh-sembuh juga, dapatkan rawatan antibiotik daripada farmasi atau hospital. 

Cara hilangkan ketumbit mata dengan cepat

cara hilangkan ketumbit mata dengan cepat
Tips cepat hilangkan ketumbit.

Ketumbit mata boleh mengganggu aktiviti harian kerana ia menyebabkan rasa sakit, bengkak, dan ketidakselesaan.

Berikut adalah beberapa cara yang boleh membantu menghilangkan ketumbit dengan cepat:

  1. Kompres Suam
    Letakkan kain bersih yang direndam air suam pada kelopak mata selama 10-15 minit, 3 hingga 4 kali sehari. Haba membantu melancarkan peredaran darah dan mempercepatkan pengaliran nanah keluar secara semula jadi.
  2. Jaga Kebersihan Mata
    Cuci tangan sebelum menyentuh mata. Bersihkan kelopak mata dengan kapas lembut dan air suam untuk mengelakkan jangkitan menjadi lebih teruk.
  3. Jangan Picit Ketumbit
    Elakkan memicit benjolan kerana ini boleh menyebarkan bakteria ke bahagian lain kelopak mata dan menyebabkan jangkitan bertambah teruk.
  4. Rehatkan Mata
    Kurangkan penggunaan skrin dan elakkan menggunakan kanta lekap sehingga ketumbit sembuh.
  5. Guna Ubat Titik atau Salap Antibiotik
    Jika ketumbit tidak surut dalam beberapa hari, dapatkan rawatan daripada doktor. Ubat titik atau salap antibiotik mungkin diperlukan untuk membunuh bakteria.

Dengan penjagaan yang betul, ketumbit biasanya akan hilang dalam masa 5 hingga 7 hari.

Diharapkan semoga perkongsian kami ini berkenaan dengan ketumbit mata dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan rujukan bersama.

Sumber:

  1. Ketumbit Mata, Punca & Cara Rawat Yang Berkesan. My Sihat
  2. Stye (sty) – Symptoms & Causes. Mayo Clinic
  3. What Is the Difference Between a Stye and a Chalazion? Causes, Symptoms, Treatment. American Academy of Ophthalmology
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut