Jiran parking depan rumah bukanlah satu isu remeh, tetapi boleh jadi punca pergaduhan besar antara jiran.
Bayangkan, setiap kali nak keluar atau balik kerja, kita terpaksa ‘berdrama’ atau membunyikan hon semata-mata sebab ada kereta yang menghalang pintu pagar sendiri.
Kalau sekali sekala mungkin boleh dimaafkan, tapi kalau dah jadi rutin harian, memang boleh hilang sabar dibuatnya!
Tapi sebelum anda mula melancarkan “perang mulut”, ada baiknya kita fahami dulu apa hak kita sebagai pemilik rumah dan apa tindakan undang-undang yang boleh diambil.

Adakah Parking Depan Rumah Jiran Salah Di Sisi Undang-Undang?
Ramai yang anggap parking depan rumah orang ini isu remeh, tapi sebenarnya ia tertakluk bawah undang-undang.
Secara ringkasnya, adalah menjadi satu kesalahan jika kenderaan tersebut menyebabkan halangan atau kesulitan kepada orang lain.
Ini adalah berdasarkan dua akta undang-undang berikut:
SEKSYEN 48(1) AKTA PENGANGKUTAN JALAN 1987
“Jika mana-mana pemandu sesuatu kenderaan motor menyebabkan atau membenarkan kenderaan motor itu dihentikan di mana-mana jalan dalam apa-apa kedudukan atau apa-apa keadaan atau apa-apa hal keadaan yang mungkin menyebabkan bahaya, galangan atau kesusahan tidak berpatutan kepada pengguna jalan yang lain atau kepada lalu lintas, dia melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak kurang daripada satu ribu ringgit dan tidak lebih daripada lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau kedua-duanya.”
SEKSYEN 22 AKTA KESALAHAN KECIL 1955
“Barangsiapa, tanpa alasan yang munasabah, melanggar masuk dengan sengaja ke dalam perkarangan rumah atau premis, ataupun sebarang hartanah, atau sebarang bot atau kapal….dan tidak dengan itu dalam kesemuanya di atas mengakibatkan sebarang kerosakan, ataupun tidak, dalam pendapat Majistret, mengakibatkan kerosakan yang lebih dari nominal, akan tertakluk kepada denda tidak lebih dari lima puluh ringgit.”
Sesiapa yang meletakkan kenderaan mereka di perkarangan rumah anda dengan sengaja mungkin boleh didakwa di bawah Akta Kesalahan Kecil 1955 (“AKK 1955”) atau Kanun Keseksaan di atas sebab melanggar masuk (“trespass”).
Anda boleh membuat laporan polis kerana ia melibatkan harta persendirian.
Sumber: Facebook Polis Diraja Malaysia (Royal Police Malaysia)

Tindakan Boleh Dilakukan
1. Tegur secara berhemah
Sebelum buat laporan rasmi, cubalah cara “diplomasi” terlebih dahulu. Jangan terus marah-marah. Langkah terbaik adalah keluar rumah dan berjumpa jiran secara bersemuka.
Kadang-kadang jiran terpaksa parking sekejap kerana ada kecemasan, ada tetamu warga emas yang susah berjalan, atau mereka sedang memunggah barang berat.
Jika jiran tiada di rumah atau anda tidak pasti kereta itu milik siapa, gunakan medium grup WhatsApp penduduk. Sertakan gambar kereta dengan nombor plat yang jelas dan tanya dengan sopan. Contoh ayat yang anda boleh gunakan;
“Salam warga taman, minta jasa baik pemilik kereta [Model & No Plat] untuk alihkan kenderaan kerana menghalang laluan keluar masuk rumah saya. Kerjasama anda amat saya hargai.”
Ini juga sebagai bukti awal (paper trail) yang anda telah cuba berbincang jika isu ini berlarutan.
Jika jiran masih tidak beralih atau grup WhatsApp tidak mendapat respon, tinggalkan nota di cermin kereta tersebut.
Selain menjaga hubungan baik, langkah-langkah di atas sebenarnya membantu anda jika kes ini dibawa ke pihak berkuasa.
Pihak polis atau PBT biasanya akan bertanya, “Dah cuba bincang dengan jiran?”
Hah, kalau dah buat semua langkah di atas, itulah bukti bahawa anda adalah pihak yang rasional dan telah cuba menyelesaikan masalah secara aman.

2. Rakam Bukti (Jangan Terus Melenting!)
Sebelum buat laporan, pastikan anda ada bukti yang kuat. Pihak berkuasa perlukan fakta, bukan sekadar aduan lisan.
- Ambil gambar & video: Pastikan nampak jelas nombor plat kenderaan, kedudukan kereta yang menghalang pintu pagar, dan keadaan jalan.
- Simpan rekod: Kalau anda ada hantar mesej di WhatsApp grup atau letak nota di cermin kereta, tangkap layar (screenshot) atau ambil gambar nota tersebut sebagai bukti anda dah cuba berbincang secara baik.
3. Buat ADUAN!
Ada 3 cara aduan yang anda boleh cuba lakukan jika masalah jiran parking di depan rumah anda masih berlarutan, iaitu melalui;
- Talian WhatsApp Rasmi PBT
- Hantar gambar kereta jelas (plat nombor + gate block), pin lokasi Google Maps, dan tulis ringkas: “Halang akses rumah, Seksyen 48(1) APJ 1987” ke talian Whatsapp rasmi PBT lokasi anda. Hasilnya, pemilik kenderaan boleh dikenakan kompaun.
- Portal Aduan Setempat
- Selain melalui whatsApp, PBT besar seperti DBKL atau MBPP biasanya mempunyai platform aduan tersendiri yang lebih canggih. Anda boleh ambil gambar, muat naik ke portal tersebut dan notis kompaun digital akan dihantar kepada pemilik kenderaan jika terbukti bersalah.
- PDRM
- Kalau jiran dah mula melampau sampai anda nak keluar kecemasan pun tak boleh, atau mereka sengaja tunjuk “gangster”, sudah tiba masanya untuk melibatkan PDRM di bawah Akta Pengangkutan Jalan.
- Apabila anda buat laporan, nyatakan dengan jelas bahawa kenderaan tersebut menyebabkan “halangan atau kesusahan tidak berpatutan”.
- PDRM boleh mengarahkan pemilik mengalih kenderaan atau jika perlu, mereka boleh panggil trak tunda untuk angkut kereta tersebut ke balai.
- Selain Akta Pengangkutan Jalan, anda juga boleh buat laporan atas dasar gangguan awam atau pencerobohan (jika mereka parking masuk ke kawasan pagar anda). Di bawah Akta Kesalahan Kecil 1955, jiran boleh didenda jika sengaja menceroboh atau mengganggu ketenteraman anda.
Walaupun lapor polis itu hak anda, kalau boleh jadikanlah ia sebagai langkah terakhir (last resort).
Matlamat kita adalah untuk selesaikan masalah, bukannya untuk “berperang” selama-lamanya dengan jiran. Tapi kalau dah terpaksa, undang-undang sentiasa ada di pihak yang benar!




