Ikan bayan sememangnya sangat cantik dan merupakan antara ikan yang sering menjadi penyeri pemandangan menarik bagi peminat aktiviti snorkelling atau menyelam skuba terumbu karang.
Bersaiz 1 hingga 4 kaki, ia juga dikenali dengan nama parrotfish kerana warnanya cantik seperti burung bayan.
Mempunyai lebih daripada 80 jenis spesis, ikan bayan juga mempunyai gigi yang seakan paruh burung.
Gigi ikan ini juga dikatakan sangat kuat sehinggakan boleh memecahkan emas, perak dan kuprum!
Di sebalik kecantikan ikan ini, mungkin ada yang tak tahu bahawa ikan ini mempunyai peranan yang penting dalam ekosistem terumbu karang.
Disebabkan fungsinya yang penting, sesetengah negara turut mengenakan hukum atau mengharamkan penangkapan ikan ini.
Apakah keistimewaan ikan ini sehingga ia perlu dilindungi sebegitu rupa?
Kepentingan Ikan Bayan Dalam Ekosistem Laut
Walaupun warnanya menarik, namun elakkan untuk membeli dan makan ikan ini.
Ikan dengan nama saintifik Scaridae ini bersifat herbivore dan akan makan alga dan karang yang telah mati di dasar laut.
Di samping itu, ia turut memakan lumut dan rumpai yang melekat pada karang. Ini secara tidak langsung membuatkan ikan ini sebagai agen pembersih semulajadi untuk terumbu karang yang hidup.
Tabiat makan unik oleh ikan ini juga menjadikan terumbu karang lebih sihat dan kuat dalam menentang sebarang ancaman.
Ini sekaligus dapat menyumbang kepada keseimbangan ekosistem yang baik bagi perlindungan hidupan akuatik lain khususnya ikan kecil.
Apa yang akan berlaku jika ikan ini berkurangan dalam laut dan kenapa ia perlu diselamatkan?
Tanpa kehadiran ikan ini, rumpai laut akan bertimbun dan menyebabkan terumbu karang terlindung daripada cahaya matahari dan seterusnya mengakibatkan kematian batu karang.
Ditambah pula dengan kenaikan suhu air laut sejak beberapa tahun ini, rumpai laut didapati lebih mudah untuk tumbuh sehingga menghalang cahaya sampai ke terumbu karang dan akhirnya menyebabkan fenomena coral bleaching.
Kajian daripada Institut Oceanografi Universiti California turut mengesahkan bahawa semakin banyak spesis ikan pemakan alga seperti ikan bayan, karang laut cenderung untuk tumbuh dengan lebih cepat.
Di samping itu, sisa buangan ikan ini pula adalah dalam bentuk pasir. Bahan ini pula sangat penting untuk pertumbuhan batu karang.
Fakta Menarik Ikan Bayan
- Pada waktu malam, ikan ini akan duduk di dalam kantung mukus yang dihasilkan daripada organ di kepalanya. Saintis berpendapat bahawa kantung lutsinar ini membantu ikan bayan untuk menghalang pemangsa daripada mengesan baunya.
- Warna dan jantina ikan ini boleh berubah beberapa kali sepanjang hidupnya.
- Dalam setahun, parrotfish dewasa boleh menghasilkan sehingga 450 kilogram pasir!
Kini anda sudah tahu mengapa ikan bayan perlu dilindungi. Cukuplah sekadar untuk nikmati kecantikan ikan bayan serta keindahan terumbu karang. Biarkan ikan ini hidup dan makanlah ikan lain.
Jangan pula anda membeli atau menangkapnya untuk apa tujuan sekalipun.
Sumber : The Great Barrier Reef Foundation, National Geographic, Public Health Malaysia, marinepark.dof.gov.my, umpan.com
Baca Juga : Ikan Pari : Jenis, Tips Pilih Pari Segar & Resepi Wajib Cuba