Kenapa hidung tersumbat dan selesema?
Setiap daripada kita pasti pernah mengalami kondisi ini kan?
Walaupun ia bukan satu penyakit yang serius, namun ia boleh menyebabkan ketidakselesaan sehingga menjejaskan aktiviti harian individu.
Lebih teruk lagi, ia juga boleh mengganggu tidur seseorang pada waktu malam.
Dalam kebanyakan masa, hidung tersumbat boleh diatasi melalui rawatan di rumah.
Ayuh ikuti perkongsian kami untuk ketahui dengan lebih lanjut.
Kenapa Hidung Tersumbat?
Hidung tersumbat biasanya berlaku apabila tisu dalam saluran hidung membengkak akibat radang atau jangkitan.
Keadaan ini boleh disebabkan oleh beberapa faktor seperti selesema, alergi, sinusitis, atau udara yang terlalu kering.
Apabila saluran hidung meradang, tubuh menghasilkan lendir berlebihan sebagai tindak balas, lalu menyumbat aliran udara dan menyukarkan pernafasan.
Dalam sesetengah kes, hidung tersumbat juga boleh berlaku akibat perubahan hormon atau perengsa seperti habuk, asap rokok dan bau yang kuat.
Walaupun ia nampak seperti masalah kecil, hidung yang tersumbat boleh menjejaskan tidur, tumpuan, dan rasa tidak selesa sepanjang hari.
Memahami punca ini boleh membantu anda memilih rawatan yang paling sesuai sama ada secara semula jadi atau dengan bantuan ubat-ubatan.
Punca bagi masalah ini boleh disebabkan oleh beberapa faktor serta kondisi kesihatan seperti :
- Kehamilan
- Flu
- Jangkitan sinus
- Alahan
- Septum hidung bengkok
- Asma
- Selesema
- Tidur yang terganggu
- Udara kering
- Benda asing termasuk ke dalam hidung
- Pengambilan ubat-ubatan tertentu
- Perubahan hormon dalam tubuh
11 Cara Hilangkan Hidung Tersumbat
Berikut merupakan 11 cara mengatasi hidung tersumbat di rumah, (termasuk makan ubat dan menggunakan kaedah semula jadi tanpa ubat:
- Ubat antihistamin
- Alat semburan hidung (nasal spray)
- Tuaman panas
- Tinggikan kepala ketika tidur
- Menyedut wap panas
- Banyakkan minum air
- Mandi air suam
- Sembur air garam atau saline
- Urutan hidung tersumbat
- Elakkan udara kering
- Makan makanan pedas
Rujuk penerangan bagi setiap petua hidung tersumbat di bawah ini:
1. Mengambil Ubat
Sekiranya hidung anda tersumbat dan disertai dengan simptom lain seperti sakit kepala, sakit tekak dan demam, anda boleh ambil ubat tahan sakit seperti ibuprofen dan paracetamol.
Bagi mengurangkan rasa tidak selesa pada hidung dan masalah selesema, anda juga boleh ambil ubat dengan kandungan antihistamin.
Namun, ia perlulah diambil secara berhati-hati kerana ia mungkin boleh mengakibatkan kesan sampingan seperti mulut kering dan mengantuk.
2. Guna Alat Semburan (Nasal Spray)
Penggunaan nasal spray adalah antara kaedah yang cukup berkesan dalam mengatasi masalah pernafasan seperti hidung tersumbat.
Alat ini dipercayai dapat mencairkan serta mengeluarkan hingus yang tersumbat.
Pastikan alat yang ingin dibeli selamat untuk digunakan dan bebas daripada bahan pengawet atau bahan aktif.
3. Gunakan Kompres Panas
Kompres panas adalah antara kaedah yang paling pantas dan mudah bagi rawatan hidung tersumbat di rumah.
Caranya adalah dengan meletakkan kompres hangat pada dahi serta hidung.
Ini dapat membantu melegakan keradangan, membuka saluran hidung serta ketidakselesaan pada hidung.
Untuk menyediakan kompres hangat di rumah, anda perlu rendamkan tuala kecil ke dalam air suam.
Kemudian, perahkan lebihan air dan letakkannya di atas dahi serta hidung.
4. Tinggikan Kepala Ketika Tidur
Sekiranya anda sering terbangun akibat hidung tersumbat, anda boleh atasinya dengan ubah ketinggian kepala.
Caranya adalah dengan menambahkan bantal atau tinggikan sedikit katil sekiranya katil anda boleh laras.
Kaedah ini dapat membantu sinus dalam hidung mengalir dengan lebih lancar dan membantu anda tidur dengan lebih nyenyak.
5. Menyedut Wap Panas
Menyedut wap atau udara hangat adalah antara cara berkesan dalam melembapkan serta membersihkan saluran hidung.
Kaedah ini telah digunakan sejak dahulu bagi memberikan kelegaan segera akibat ketidakselesaan hidung.
Antara kaedah yang anda boleh lakukan adalah dengan membuka air mandian panas dalam bilik mandi dan biarkan udara panas memenuhi ruangan bilik mandi.
Seterusnya, ambil sehelai kain bersih dan letakkan di belakang kepala dalam keadaan kepala tertunduk.
Sekiranya tiada mandian air panas di rumah, anda juga boleh menyedut wap hangat dengan menyediakan semangkuk air panas.
Tundukkan kepala dan selubung kepala untuk memastikan wap sampai ke saluran pernafasan dengan lebih baik.
Untuk tingkatkan keberkesanan, anda juga boleh gunakan beberapa titis minyak kayu putih atau minyak pudina.
6. Banyakkan Minum Air
Mengambil air yang mencukupi adalah sangat penting bagi kesihatan menyeluruh.
Salah satu manfaatnya adalah ia dapat membantu mengurangkan masalah berkaitan saluran pernafasan seperti mencairkan lendir, melancarkan pernafasan dan melegakan kesesakan hidung.
Selain air kosong, anda juga boleh minum sup panas atau teh hangat.
7. Mandi Air Suam
Mandi dengan air suam atau berdiri dalam bilik mandi yang berwap boleh membantu membuka rongga hidung dan melegakan pernafasan.
8. Sembur Saline
Gunakan semburan air garam atau saline untuk melembapkan rongga hidung dan membantu mencuci lendir.
Saline juga boleh dibeli di farmasi atau dibuat sendiri di rumah.
9. Urut Bahagian Sinus
Urut perlahan kawasan sekeliling hidung, dahi dan pipi.
Ini boleh membantu melancarkan peredaran dan membuka saluran sinus yang tersumbat.
10. Elak Udara Kering
Gunakan humidifier atau letakkan mangkuk air di bilik untuk melembapkan udara.
Udara kering boleh menjadikan hidung tersumbat bertambah teruk.
11. Makan Makanan Pedas
Makanan seperti cili atau sup panas boleh membantu mencairkan lendir dan membuka saluran hidung secara semula jadi.
Ini salah satu petua tradisional melegakan hidung tersumbat, tapi harus diingat, cara ini tidak terbukti berkesan secara saintifik.
Namun, ia mungkin berkesanbuat sesetengah individu.
Makanan Untuk Melegakan Selesema
Apabila mengalami demam selsema, makanan makanan berikut mungkin boleh meredakan gejala.
* Tapi ingat, makanan-makanan ini bukan penyembuh atau untuk merawat. Jangan ada yang overclaim pula nanti ya!
Kini, anda sudah tahu beberapa cara untuk atasi masalah hidung tersumbat dari rumah. Ia biasanya boleh reda dalam masa beberapa hari sahaja.
Namun, jika anda dapati masalah ini tidak reda dan semakin teruk, sebaiknya berjumpalah dengan doktor bagi mendapatkan bantuan perubatan yang lebih khusus.
Sumber : alodokter.com, Hello Doktor