Cara Pakai Samping & Jenis Ikatan – Jabatan Muzium Malaysia

Jangan terkejut ramai orang Melayu sendiri sebenarnya tidak tahu cara pakai samping yang betul walaupun mereka pandai berbaju Melayu tradisional.

Tidak kira anda memakai baju Melayu Cekak Musang, Baj Melayu Teluk Belanga atau Baju Melayu tradisional sekalipun, tidak lengkap sekiranya anda tidak memakai samping.

Kita biasaya lihat orang memakai samping dengan herot berot kerana mereka tidak memakainya dengan betul.

Nota: Ramai yang menggunakan istilah “sampin” walhal ejaan sebenarnya adalah “samping” (Sumber: DBP)

“Samping” atau “Sampin”?

Samping secara umumnya adalah kain sarung yang dipakai selepas dipakai seluar (pada pakaian Melayu) dan biasanya dari pinggang hingga ke paras lutut sahaja. Ia biasanya dibuat daripada fabrik songket.

Menurut sesetengah sumber, perkataan sampin ini berasal daripada zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Walaubagaimanapun, perkataan sampin bertukar ke perkataan samping selepas baju Melayu disebarkan ke Kepulauan Riau pada ketika itu.

Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, ejaan yang betul adalah SAMPING dan bukannya sampin.

Selain itu, cara pakai samping bersama baju Melayu pada zaman tersebut membezakan status seseorang pedagang, samada pedagang dalam atau luar.

Penduduk asal di kawasan tersebut mengenakan sampin dengan cara kain sampin dipakai di bawah baju Melayu, iaitu baju berada di luar – cara ini dipanggil ‘Berdagang Dalam’.

Bagi golongan pendatang pedagang pula mengenakan samping dengan cara kain sampin dipakai di atas baju dan baju diselit ke dalam kain. Cara ini dipanggil ‘Berdagang Luar’.

Jenis-jenis Ikatan Samping Di Malaysia

Cara pemakaian samping pada zaman dulu berperanan menunjukkan perbezaan darjat seseorang dalam masyarakat.

Bagaimanapun kini, semua orang bebas memilih cara pakai samping mengikut cita rasa masing-masing.

Terdapat juga cara mengikat samping mengikut pangkat dan darjat seseorang seperti ikatan pancung, ikatan kembung dan ikatan lingkup.

  1. Ikatan Pancung – Golongan Raja, Sultan dan kerabat sahaja.
  2. Ikatan Kembung – Golongan Pembesar dan orang-orang yang mempunyai gelaran.
  3. Ikatan Lingkup – Golongan rakyat biasa, tanpa pangkat dan gelaran.

Berikut dikongsikan infografik mudah oleh Ikatan Muslimin Malaysia – ISMA Cawangan Nilai

jenis ikatan samping 1
Cara Pakai Samping
Cara Pakai Samping jenis ikatan samping

Artikel berkaitan: Hantaran Kahwin – 15 Contoh Barang Eksklusif & Menarik Untuk Persiapan Hari Bahagia Anda

Menurut Pengarah Muzium Tekstil Negara, Hadijah Mohd Yunus, setiap ikatan berbeza mengikut negeri asal mahupun acara dihadiri pemakainya.

“Sehingga hari ini ikatan sering digayakan lelaki ketika musim perayaan mahupun menghadiri acara rasmi ialah ikatan lingkup. Ia sama seperti pemakaian kain sarung harian.

“Bahagian kain digulung ke atas dan dilipatkan ke bahagian depan samping. Biasanya boleh disiapkan dalam tempoh singkat.

“Bagi pengantin pula ikatan berbeza iaitu ikatan kembung iaitu kesan ‘mengembung’ saat memakai ikatan ini. Tekniknya ialah kain ditarik ke bahagian tengah atau tepi badan, kemudian diikat dan disimpul agar melekat di pinggang. Bagi merapikan ikatan berkenaan biasanya bengkung digunakan,” katanya.

Hadijah berkata, ikatan seperti ikatan pancung dan pahlawan juga sering digunakan kebanyakan orang bagi tujuan tertentu.

“Ikatan pancung ialah ikatan sering dilihat pada penari iaitu dengan cara menggunakan kain lepas, yang kemudiannya akan dililit di pinggang dan sebelum sampai ke hujung kain, kain ini ‘dipancung,’ iaitu bermaksud ia disemat sambil membiarkan hujung kain terkulai ke bawah.

“Ikatan ini lapang dan luas bagi memudahkan pergerakan ketika menarik begitu juga dengan ikatan pahlawan,” katanya.

Maksud Di Sebalik Pemakaian Samping

Cara pemakaian samping juga mempunyai bahasa atau maksud yang tertentu dari si pemakainya.

Memetik dari Harian Metro, Pengarah Muzium Tekstil Negara, Hadijah Mohd Yunus, berkata bahawa golongan muda seharusnya lebih menghargai pemakaian busana tradisi dengan mendalami falsafah di sebalik pemakaian.

“Sebenarnya pemakaian samping bukan hanya tinggalan warisan seni semata-mata, sebaliknya ia mempunyai penceritaan dan perlambangan tertentu yang menjadikan busana itu sesuatu indah serta dekat dengan masyarakat kita.

“Seperti kita sedia maklum, masyarakat Melayu ini penuh dengan santun dan mempunyai tertib tersendiri. Lihat saja ciri kain samping, ia lengkap dengan bahagian kepala, kaki dan badan kain.

“Selain itu pemakaian samping itu sendiri dikenakan selepas memakai seluar dengan menutup tubuh di antara pinggang dan lutut. Maksud lain bagi samping ialah ‘rusuk’ apabila kedudukan busana itu dikenakan,” katanya.

Menyentuh kepada sejarah atau cara digayakan, kata Hadijah lagi, sebenarnya dalam pemakaian busana pelengkap penampilan itu sudah bermula sejak zaman awal kerajaan Melayu seperti Palembang, Jambi, Pagar Ruyung dan Kesultanan Melayu Melaka.

“Kalau merujuk kepada sejarah pemakaian kain samping itu sendiri, sebenarnya cara ikatan dan ia digayakan berbeza mengikut darjat dalam masyarakat ketika itu.

“Bagi golongan bangsawan atau pembesar pastinya tidak serupa dengan orang kebanyakan. Contohnya larangan ke atas orang kebanyakan daripada memakai samping dengan ikat pancung atau dilarang bertengkolok dan berbaju ‘sarung,’ kecuali selepas dianugerahkan raja,” katanya.

Tambah Hadijah lagi, pemakaian samping itu tinggi falsafahnya termasuk bertujuan melindungi aurat selain tanda kehormatan diri.

“Pemakaian samping sesuai dengan falsafah prinsip agama Islam iaitu membawa erti aurat bagi lelaki sehingga ke paras lutut. Ia harus dikenakan dengan meletakkan lipatan kiri di sebelah bawah dan lipatan kanan di sebelah atas berdasarkan perbuatan qiam dalam solat (tangan kiri di bawah dan tangan kanan di atas).

“Malah orang tua dahulu mengatakan dengan cara pakaian samping sahaja mereka sudah tahu siapa individu terbabit. Namun perlu ingat peraturan asasnya ialah kepala kain samping seharusnya terletak di bahagian belakang (punggung pemakainya.

“Samping yang dikenakan orang bujang kedudukan labuh kainnya atas lutut iaitu pada jarak dua jari atas tempurung lutut. Manakala bagi lelaki yang sudah berkahwin, hujung kain samping mereka berada di bawah lutut ialah dengan lebar dua jari dari paras lutut.

“Jika seseorang yang sudah berkahwin itu memakai samping di atas paras lutut, ia bermaksud pemakai berhasrat untuk berkahwin lagi,” katanya yang turut memaklumkan golongan bangsawan mengenakan samping dengan cara labuh kain samping selebar telapak tangan di bawah lutut.

Ringkasnya:

  1. Sampin yang dipakai sehingga ke bawah paras lutut – Menunjukkan si pemakai sudah berstatus berkahwin dan mempunyai pasangan, iaitu isteri
  2. Manakala sampin yang dipakai atas paras lutut – Menandakan si pemakai masih berstatus bujang dan tidak mempunyai pasangan hidup lagi

Cara mudah pakai samping

Sekiranya hendak tahu cara pakai samping yang betul, anda boleh menonton video demostrasi Gaya Ikatan Samping yang dimuat naik oleh Jabatan Muzium Malaysia di bawah.

VIDEO DEMONSTRASI GAYA IKATAN SAMPING – JABATAN MUZIUM MALAYSIA

Sumber : Jabatan Muzium Malaysia

Untuk belajar cara memakai samping, tidak cukup dengan sekadar membaca sebaliknya anda perlu melihat dengan mata anda sendiri bagaimana melakukannya dengan betul.

Selain itu, anda juga boleh tonton video pemakaian samping di bawah yang cukupp menarik:

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!