Cara kurangkan PCB adalah antara perkara penting yang perlu difahami oleh pekerja bergaji bagi mengelakkan potongan cukai bulanan yang terlalu tinggi berbanding cukai sebenar yang perlu dibayar. Untuk maklumat lanjut mengenai Potongan Cukai Bulanan (PCB), anda boleh rujuk portal rasmi MyTax, yang menyediakan maklumat lengkap berkaitan pengiraan, bayaran dan pengurusan PCB.
Rujuk info penuh di bawah tentang cara kurangkan PCB dengan mengisi Borang TP1 dan memanfaatkan bayaran balik cukai anda.

Apa itu Potongan Cukai Bulanan (PCB)
Potongan Cukai Bulanan atau PCB ialah satu mekanisme percukaian di Malaysia di mana majikan akan memotong sebahagian daripada gaji bulanan pekerja untuk dibayar terus kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) sebagai bayaran cukai pendapatan awal.
Mekanisme ini diwujudkan bagi memastikan bayaran cukai dibuat secara berperingkat sepanjang tahun, dan bukannya dibayar sekaligus apabila pekerja membuat pengisytiharan pendapatan tahunan.
Melalui PCB, pekerja tidak perlu menyediakan sejumlah wang yang besar pada hujung tahun kerana cukai telah dipotong sedikit demi sedikit daripada gaji bulanan mereka. PCB ini akan direkodkan dalam lejar cukai individu dan akan diambil kira semasa pengiraan cukai sebenar bagi tahun taksiran berkenaan.

Tujuan PCB Dikenakan Kepada Pekerja
PCB dikenakan dengan tujuan utama untuk mengurangkan beban kewangan pekerja apabila tiba masa untuk mengira cukai pendapatan sebenar.
Tanpa PCB, pekerja mungkin perlu membayar cukai dalam jumlah yang besar secara sekaligus, yang boleh memberi tekanan kepada aliran tunai peribadi.
Tujuan utama PCB termasuk:
- Mekanisme potongan cukai pendapatan daripada saraan bulanan pekerja
- Mengikut Jadual Potongan Cukai Bulanan atau Kaedah Pengiraan Berkomputer
- Mengurangkan keperluan bayaran cukai sekaligus
- Membantu pekerja mengurus aliran tunai dengan lebih teratur
PCB ini diperuntukkan di bawah Kaedah 3, Kaedah-Kaedah Cukai Pendapatan (Potongan daripada Saraan) 1994.
Peranan Pekerja Dalam Pengiraan PCB
Walaupun potongan PCB dibuat oleh majikan, pekerja bertanggungjawab untuk mengemukakan maklumat yang betul dan lengkap berkaitan pelepasan cukai.
Pekerja boleh mengisi Borang TP1 dan menyerahkannya kepada majikan supaya pelepasan cukai yang telah dibelanjakan diambil kira semasa pengiraan PCB.
Antara manfaat mengemukakan Borang TP1 ialah:
- PCB dikira dengan lebih tepat
- Potongan bulanan boleh dikurangkan
- Mengelakkan situasi terlebih bayar cukai
Sekiranya pengiraan PCB telah mengambil kira semua pelepasan cukai yang layak, pekerja yang memenuhi syarat boleh memilih PCB sebagai cukai muktamad (PCBCM) dan tidak perlu mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan bagi tahun taksiran tersebut.
Cara Kurangkan PCB Dengan Borang TP1
Salah satu cara yang sah dan praktikal untuk kurangkan PCB atau Potongan Cukai Bulanan ialah dengan menghantar Borang TP1 kepada pihak HR.
Kaedah ini sesuai untuk pekerja bergaji yang mempunyai pelbagai pelepasan cukai dan rebat, tetapi potongan PCB bulanan mereka masih tinggi kerana pengiraan PCB dibuat secara asas sahaja.
Apa itu Borang TP1
Borang TP1 merupakan borang yang digunakan oleh pekerja untuk mengisytiharkan pelepasan cukai dan rebat cukai kepada majikan sebelum potongan PCB bulanan dibuat.
Borang ini perlu dihantar kepada bahagian HR supaya majikan dapat melaraskan semula anggaran cukai pekerja berdasarkan maklumat sebenar yang diberikan.

Dengan kata lain, Borang TP1 membantu memastikan potongan PCB bulanan lebih hampir kepada jumlah cukai sebenar yang perlu dibayar, dan bukan sekadar anggaran kasar.
Antara perkara yang boleh diisytiharkan melalui Borang TP1 termasuk:
- Pelepasan cukai individu yang layak
- Perbelanjaan gaya hidup
- Caruman KWSP tambahan
- Insurans atau medical card
- Perbelanjaan pendidikan
- Rebat zakat pendapatan

Muat turun Borang TP1 :
Kenapa PCB Biasanya Lebih Tinggi Daripada Cukai Sebenar
Secara asasnya, pengiraan PCB dibuat berdasarkan pelepasan cukai wajib sahaja. Dalam kebanyakan kes, PCB hanya mengambil kira pelepasan individu dan caruman KWSP.
Pelepasan lain yang sebenarnya layak dituntut oleh pembayar cukai tidak dimasukkan dalam pengiraan PCB bulanan.
Disebabkan itu, ramai pekerja mengalami situasi di mana PCB yang dipotong setiap bulan jauh lebih tinggi berbanding cukai sebenar yang perlu dibayar pada akhir tahun.
Antara pelepasan yang biasanya tidak dimasukkan dalam kiraan PCB ialah:
- Pelepasan gaya hidup
- Insurans kesihatan atau medical card
- Caruman KWSP sukarela
- Perbelanjaan perubatan
- Pelepasan pendidikan
- Pelepasan keluarga
Contoh Kes Pengiraan PCB Dan Cukai Sebenar
Dalam kes yang dikongsikan sebelum ini, jumlah PCB yang dipotong sepanjang tahun adalah sebanyak RM62,000.
Namun, apabila pengiraan semula dibuat dengan mengambil kira semua pelepasan cukai yang layak, jumlah cukai sebenar yang perlu dibayar hanyalah RM55,000 setahun. Ini bermakna terdapat perbezaan sebanyak RM7,000 antara PCB yang dipotong dan cukai sebenar.
Perbezaan ini berlaku kerana pelepasan cukai tambahan telah dimasukkan dalam pengiraan sebenar, sedangkan ia tidak diambil kira dalam PCB bulanan.
Peranan Rebat Zakat Dalam Mengurangkan Cukai
Selain pelepasan cukai, zakat pendapatan pula merupakan rebat cukai. Ini bermaksud jumlah zakat yang dibayar akan terus ditolak daripada jumlah cukai yang perlu dibayar.
Sebagai contoh, jika zakat pendapatan yang dibayar adalah sebanyak RM7,000 setahun, maka cukai sebenar yang perlu dibayar akan berkurang lagi daripada RM55,000 kepada RM48,000.
Dalam situasi ini:
- PCB dipotong: RM62,000
- Cukai selepas pelepasan: RM55,000
- Rebat zakat: RM7,000
- Cukai sebenar perlu dibayar: RM48,000
Jumlah perbezaan keseluruhan antara PCB dan cukai sebenar adalah sebanyak RM14,000.
Isu “Terlebih Bayar” Dan Mindset Pengurusan Kewangan
Ramai yang beranggapan bahawa tidak mengapa jika terlebih bayar cukai kerana wang tersebut akan dipulangkan semula dalam bentuk refund.
Mindset ini sangat biasa, di mana refund cukai dianggap sebagai bonus atau duit lebih.
Namun, dari sudut pengurusan aliran tunai dan perancangan kewangan, pendekatan ini sebenarnya kurang efektif.
Wang RM14,000 yang terlebih bayar itu sebenarnya:
- Diapungkan lebih daripada 1 tahun 6 bulan
- Tidak boleh digunakan untuk keperluan atau pelaburan lain
- Mempunyai opportunity cost yang tinggi
Opportunity cost bermaksud nilai yang hilang kerana wang tersebut tidak digunakan pada masa yang sepatutnya.
Contoh Opportunity Cost Dalam Pembiayaan Rumah
Sebagai contoh, sekiranya seseorang mempunyai pembiayaan rumah dengan baki prinsipal RM1 juta dan kadar keuntungan 4.5%, wang lebihan RM14,000 itu boleh digunakan untuk dimasukkan ke dalam bayaran prinsipal melalui pembiayaan jenis Flexi atau Semi-Flexi.
Wang tersebut masih boleh dikeluarkan semula jika diperlukan, tetapi pada masa yang sama ia membantu mengurangkan baki hutang.
Jika dilakukan secara konsisten setiap tahun:
- Tempoh pembiayaan rumah boleh berkurang dari 35 tahun kepada sekitar 22 tahun 7 bulan
- Jumlah bayaran keuntungan kepada bank boleh dijimatkan hampir RM400,000
Angka ini hanyalah anggaran, namun ia cukup untuk menunjukkan betapa besarnya kesan opportunity cost jika wang refund cukai hanya dibiarkan begitu sahaja.

Perlu Faham Setiap Individu Ada Keunikan Tersendiri
Walaupun Borang TP1 merupakan salah satu cara yang berkesan untuk mengurangkan PCB, ia bukan satu-satunya cara.
Setiap individu mempunyai keperluan, struktur kewangan dan komitmen yang berbeza. Ada strategi yang sesuai untuk dikongsikan kepada umum, dan ada juga kaedah yang hanya sesuai untuk individu tertentu sahaja berdasarkan situasi mereka.
Soalan Lazim – PCB
Akta Cukai Pendapatan 1967 Subseksyen 107 (2).
Tujuan PCB dikenakan:
1. Satu mekanisme potongan cukai pendapatan yang dibuat oleh majikan daripada saraan bulanan semasa pekerja mengikut Jadual Potongan Cukai Bulanan atau kaedah-kaedah lain yang diluluskan oleh Ketua Pengarah (selepas ini dirujuk sebagai “Kaedah Pengiraan Berkomputer”) menurut yang diperuntukkan di bawah Kaedah 3, Kaedah-Kaedah Cukai Pendapatan (Potongan daripada Saraan) 1994 (Kaedah PCB).
2. Potongan ini bertujuan untuk mengurangkan beban pekerja membayar cukai sekaligus apabila cukai dikira.
3. Tanggungjawab pekerja untuk mengemukakan maklumat betul (perenggan 113(1)(b) Akta).
Potongan PCB dilakukan secara automatik melalui sistem Pengurusan Gaji JANM berdasarkan maklumat yang dikemukakan oleh Jabatan/Sekolah. Formula perkiraan ini digunakan di semua pejabat JANM seluruh Negara.
Perkara ini akan berlaku apabila data yang diberi oleh pegawai kepada pihak LHDN tidak sama dengan data di dalam sistem Pengurusan Gaji JANM. Pegawai adalah dinasihatkan untuk mengemaskini maklumat peribadi masing masing dengan mengisi Borang Mengemaskini Maklumat Peribadi Bagi Tujuan Pengiraan PCB (Lampiran A) serta mengemukakan dokumen sokongan kepada Unit Kewangan/Gaji tempat pegawai bertugas bagi membolehkan pihak JANM mengemasikini data tersebut di dalam sistem Pengurusan Gaji. Pegawai boleh menyemak sama ada data maklumat peribadi yang terdapat di sistem Pengurusan Gaji telah dikemaskini melalui pejabat atau sekolah masing-masing.
Terdapat beberapa aspek yang menyebabkan perbezaan pengiraan PCB ini berlaku, antaranya adalah status perkahwinan, bilangan tanggungan, jumlah potongan zakat, jumlah caruman KWSP dan sebagainya yang terdapat di dalam sistem Pengurusan Gaji JANM bagi seseorang pegawai dengan pegawai yang lain adalah berbeza. Maklumat peribadi yang berbeza antara pegawai akan menyebabkan potongan PCB pegawai berbeza walaupun mendapat jumlah saraan yang sama.
Rujuk kepada subseksyen 107(2) Akta Cukai Pendapatan 1967. Adalah menjadi tanggungjawab majikan memotong PCB daripada saraan setiap pekerja pada setiap bulan mengikut Jadual Potongan Cukai Bulanan atau Kaedah Pengiraan Berkomputer dan membayar kepada Ketua Pengarah LHDN.
Individu perlu mendaftar nombor cukai pendapatan sekiranya:
– Individu berstatus bujang yang menerima pendapatan penggajian melebihi RM34,001 setahun (selepas potongan KWSP)
– Individu berkahwin dan pasangan tidak bekerja yang menerima pendapatan penggajian melebihi RM46,001 setahun
– Individu yang menjalankan perniagaan (walaupun perniagaan mengalami kerugian)
Pekerja baharu yang dikenakan Potongan Cukai Bulanan (PCB)
– Individu yang mempunyai pendapatan yang boleh dikenakan cukai
– Individu yang menjual/membeli hartanah
Saraan tambahan merupakan saraan yang diterima selain daripada saraan bulanan biasa (Bonus, Tunggakan, Komisen, Ganjaran, Pampasan, Yuran pengarah, Bayaran kerja lebih masa (OT) dan Lain-lain)
Biasanya ini adalah kes borderline dari kadar cukai 3% ke 6%. Ini menyebabkan kenaikan PCB pada bulan tersebut dan kadar cukai akan kekal 6% pada bulan-bulan seterusnya sekiranya tiada perubahan saraan, potongan dan rebat.
Rebat Cukai Individu sebanyak RM400 juga tidak layak setelah kadar cukai berubah ke 6%. Sila rujuk Jadual Kadar Cukai Pendapatan di portal LHDN https://www.hasil.gov.my/individu/kitaran-cukai-individu/lapor-pendapatan/kadar-cukai/ .
PCB merupakan potongan cukai berdasarkan Jadual PCB ke atas saraan pekerja yang layak dan diremitkan ke LHDNM setiap bulan, manakala potongan CP38 pula hanya boleh dilakukan sekiranya LHDNM telah mengeluarkan arahan khusus kepada majikan supaya membuat potongan untuk amaun tertentu dalam bulan-bulan yang tertentu. Potongan CP38 adalah untuk menyelesaikan cukai yang tertunggak manakala PCB adalah untuk membayar anggaran cukai bagi taksiran tahun semasa.
1. Memilih pelepasan pasangan untuk taksiran bersama bagi pasangan yang tidak bekerja.
2. Bayaran Zakat.
3. Caruman secara sukarela (Borang KWSP 6A(1)).
4. Bilangan tanggungan dan status perkahwinan.
Baca juga:




