Batuk Kokol : Gejala, Komplikasi, Kaedah Pencegahan

Pada pertengahan tahun ini, negara kita turut dikejutkan dengan kes batuk kokol yang menular. Berdasarkan kenyataan media daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), setakat 19 Ogos 2023, sebanyak 329 kes Pertussis dengan 23 kematian telah dilaporkan.

Namun, angka ini adalah lebih rendah berbanding kes batuk kokol pada tahun 2019 iaitu sebanyak 697 kes telah dilaporkan.

Meskipun KKM telah menyatakan bahawa jangkitan adalah pada tahap yang terkawal, namun kita perlu mainkan peranan dan mengambil langkah sewajarnya untuk mencegah penularan batuk kokol.

Tambahan pula, ia lebih mudah dihidapi oleh bayi kecil berusia 2 tahun ke bawah dan golongan rentan seperti warga emas.

Ikuti perkongsian kami untuk ketahui dengan lebih lanjut mengenai batuk kokol.

Apa Itu Batuk Kokol?

Pertussis atau batuk kokol (whooping cough) adalah jangkitan daripada bakteria akut iaitu Bordetella Pertussis yang melibatkan saluran pernafasan.

Dalam kebanyakan kes, ia sama dengan batuk yang teruk namun ia turut diikuti dengan bunyi nyaring ketika menarik nafas dan berbunyi ‘whoop’ bernada tinggi.

Penyakit ini menular melalui udara dan boleh menjangkiti hidung, mulut dan tekak.

batuk kokol

Golongan Berisiko Tinggi

Ia boleh dihidapi oleh semua orang tanpa mengira usia dan jantina. Namun, bayi, kanak-kanak dan golongan rentan seperti warga emas dan individu dengan tahap imuniti rendah merupakan golongan paling berisiko untuk dijangkiti.

batuk kokol

Tanda/ Gejala Batuk Kokol

Tanda-tanda bagi penyakit ini adalah :

  • Selsema dan bersin yang teruk
  • Pesakit mula alami batuk gatal dan lama kelamaan ia menjadi batuk berulang (paroxysmal), biasanya dalam tempoh 1 hingga 2 minggu. Ia juga boleh berlarutan sehingga 1 hingga 2 bulan atau lebih.
  • Setiap siri paroxysm boleh mengakibatkan pesakit menjadi kebiruan (cyanosis) kerana tidak sempat bernafas.
  • Kahak batuk biasanya berwarna jernih. Batuk juga boleh disusuli dengan muntah.
  • Tempoh batuk yang lama sehingga pesakit rasa penat yang melampau.

Komplikasi

Sekiranya penyakit ini berlarutan dan tidak dirawat, ia boleh menyebabkan komplikasi yang lebih teruk antaranya :

  • Pneumonia (radang paru-paru)
  • Encephalopathy (radang otak)
  • Apnea (berhenti nafas seketika)
  • Kekurangan zat dan berat badan berkurangan akibat muntah berulang.
  • Sawan akibat kekurangan bekalan oksigen ke otak berikutan batuk yang berterusan sehingga tidak sempat bernafas.
  • Kematian

Kaedah Mencegah

  • Individu yang bergejala pula perlu sentiasa amalkan etika batuk dan bersin dengan menutup mulut dan diikuti dengan mencuci tangan bagi mencegah penularan jangkitan kepada orang lain terutamanya kepada kanak-kanak.
  • Orang yang bergejala juga dinasihati supaya tidak mendekati atau mencium bayi memandangkan bayi berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan Pertussis.
  • Minum air secukupnya. Bagi pesakit yang alami batuk, makanlah dalam kuantiti sedikit kerana ia dapat membantu mengelakkan muntah selepas batuk.
  • Elakkan daripada punca udara tidak bersih seperti asap rokok, tembakau atau kepulan asap daripada tempat pembakaran.
batuk kokol

Peranan Ibu Bapa & Individu Bergejala

Bagi mengekang penularan batuk kokol, ibu bapa serta individu bergejala perlulah mengambil langkah-langkah seperti berikut.

  • Ibu bapa yang mempunyai bayi di rumah perlulah memastikan anak-anak mendapatkan imunisasi yang lengkap mengikut Jadual Imunisasi Kebangsaan (rutin pada umur 2,3, 5 dan 18 bulan). 
  • Asingkan diri/bayi/kanak-kanak yang dijangkiti.
  • Kekal berada di rumah sekiranya dijangkiti. Lengkapkan rawatan antibiotik mengikut arahan doktor.
batuk kokol

Bagi mencegah penularan penyakit ini, anda dinasihatkan untuk memakai pelitup muka ketika berada di kawasan tumpuan awam.

Sekiranya anda atau anak menunjukkan simptom, rujuklah kepada doktor dengan segera bagi mengelakkan sebarang komplikasi yang tidak diingini.

Sumber : myhealth.gov.my, Berita Harian

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!