Malaysia merupakan salah sebuah negara yang kaya dengan biodiversitinya namun bagaimanakah biodiversiti dapat menjana ekonomi?
Kita patut berbangga kerana Malaysia merupakan negara yang sangat kaya dengan biodiversitinya dan termasuk dalam lingkungan 12 buah negara mega kepelbagaian biologi di dunia yang mana masih lagi mempunyai kekayaan.
Ini dapat dilihat melalui lebih kurang 12,500 spesies tumbuh-tumbuhan berbunga dan lebih daripada 1,100 spesies paku pakis yang masih lagi menghuni hutan negara kita.
Bagi spesies fauna, negara kita mempunyai kira-kira 1,500 haiwan vertebrata dan 150,000 haiwan invertebrata.
1- Ekopelancongan
Kekayaan biodiversiti di dalam negara dapat dimanfaatkan menerusi produk-produk ekopelancongan yang dapat meningkatkan kehadiran pelancong asing di dalam negara.
Ekopelancongan merupakan satu produk pelancongan yang berteraskan kekayaan alam semula jadi yang semakin berkembang pesat bukan sahaja di Malaysia malah di dunia.
Destinasi ekopelancongan di berbagai ekosistem semula jadi ini mempunyai banyak keistimewaan dan memberi pelbagai manfaat bukan sahaja kepada pengunjung malah juga kepada masyarakat di sekitarnya.
Malah, produk-produk ekopelancongan dan biodiversiti yang mampu menarik minat pelancong untuk menikmati keindahannya.
Antara contoh produk ekopelancongan yang sering dikunjungi pelancong dalam dan luar negara adalah Lembah Danum Sabah, Taman Negara Gunung Mulu Sarawak, Taman Negara Pahang, Pulau Perhentian Terengganu dan Tanah Tinggi Cameron Pahang.
2- Sumber Makanan & Ubat-Ubatan
Biodiversiti di Malaysia yang terdiri daripada hutan, laut, dan kawasan pertanian kaya dengan sumber makanan dan ubat-ubatan tradisional.
Selari dengan perkembangan sains dan teknologi, penerokaan biodiversiti telah menghasilkan menghasilkan produk makanan dan farmaseutikal yang bernilai tinggi.
Oleh kerana itulah banyak kajian sekarang ini tertumpu kepada penyelidikan tumbuhan herba seperti tongkat ali, kacip fatimah, hempedu bumi, lidah buaya, pegaga, mengkudu, misai kucing, dukung anak dan banyak lagi.
Tambahan pula, permintaan terhadap makanan kesihatan, ubatan tradisional yang berasaskan herba semakin meningkat dan mendapat tempat di hati orang ramai.
Ini sekaligus dapat menjana ekonomi negara melalui pembuatan makanan dan ubat kesihatan yang semakin mendapat permintaan yang tinggi.
3- Perkhidmatan Ekosistem
Biodiversiti juga penting dalam perkhidmatan ekosistem seperti penyerapan karbon, pembersihan air, dan pencegahan banjir.
Setiap perkhidmatan ini amat bernilai dari segi ekonomi, kerana ia mengurangkan kos yang perlu ditanggung untuk menyediakan perkhidmatan yang sama secara buatan.
Contohnya, hutan bakau berfungsi sebagai benteng semula jadi yang melindungi kawasan pantai daripada hakisan dan ombak besar termasuk Tsunami yang menjimatkan kos pembinaan benteng konkrit yang memerlukan kos pembinaan yang besar.
4- Bahan Industri Mentah
Biodiversiti juga penting kepada pembekalan bahan industri mentah untuk kegunaan pembuatan barangan yang digunakan oleh manusia.
Setiap bahan yang dihasilkan menerusi biodiversiti ini boleh mencecah hasil jualan yang tinggi bergantung kepada jenis bahan mentah tersebut.
Sebagai contoh, kayu balak, buluh, dan rotan merupakan contoh hasil hutan yang dapat digunakan untuk membuat alat musik, perabot, atau membina bangunan.
Kesimpulan
Biodiversiti bukan sekadar aset alam semula jadi, tetapi juga merupakan aset ekonomi yang amat berharga kepada negara.
Kita mestilah mengurusnya secara lestari, bukan sahaja dalam melindungi alam sekitar, tetapi juga melabur dalam masa depan ekonomi negara.
Oleh itu, kita perlulah menghargai dan memelihara biodiversiti yang merupakan aset yang tidak ternilai harganya kepada negara.
Sumber: https://www.ikim.gov.my/sejauh-manakah-sumbangan-biodiversiti-terhadap-kehidupan-sejagat/
Baca juga: Modul Kepimpinan & Pengurusan Kurikulum KPM