Aurat Lelaki Dalam Islam & Hikmah Menutup Aurat

Aurat Lelaki Dalam Islam & Hikmah Menutup Aurat

Dalam agama Islam, konsep menutup aurat adalah suatu aspek penting yang tidak hanya diwajibkan wanita tetapi juga kepada lelaki. Kepentingan menutup aurat untuk lelaki adalah sama penting seperti yang diperintahkan kepada wanita. 

Berikut dikongsikan info lebih lanjut mengenainya. 

BACA JUGA: Aurat Wanita Dalam Islam & Hikmah Menutup Aurat

Konsep Aurat untuk Lelaki 

Aurat merujuk kepada bahagian tubuh yang perlu ditutup sebagai tanda kehormatan dan menjaga kesucian diri serta tanda ketaatan terhadap perintah Allah.

Walaupun terdapat perbezaan pendapat mengenai had aurat lelaki yang sebenar dalam kalangan ulama’/mazhab, secara umumnya seorang lelaki muslim wajib menutup auratnya bermula dari kawasan pusat sehingga lutut.

Batasan Aurat Lelaki

Aurat Ketika Bersendirian

Imam Hanafi dan Imam Hambali berpendapat: “Sebagaimana dilarang seorang mukallaf (Orang yang dituntut beramal dengan suruhan dan meninggalkan larangan) mendedahkan aurat ketika berhadapan dengan orang yang dilarang melihat auratnya, maka demikian juga dilarang mendedahkan auratnya ketika ia bersendirian kecuali ketika darurat atau terpaksa dibuka seperti ketika qadha’ hajat atau ketika mandi. Ketika darurat diharuskan membukanya”.

Imam Maliki dan Imam Syafi’ie pula berpendapat: “Ketika seseorang itu bersendirian, tidak diharamkan mendedahkan auratnya hanya makruh kecuali ketika darurat kerana ketika dharurat diharuskan membukanya”.

Aurat Lelaki Dalam Islam & Hikmah Menutup Aurat
Kredit gambar: Majalah Asuh

Lelaki Sesama Lelaki

Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya: “Seorang lelaki tidak boleh melihat aurat lelaki lain, demikian juga wanita tidak boleh melihat aurat wanita yang lain. Tidak boleh dua orang lelaki berada ( tidur ) dalam satu selimut demikian juga dengan wanita dilarang berbuat demikian”.

Hadis riwayat Muslim, Ahmad, Abu Daud, At- Tirmizi

Ulama mempunyai pelbagai pendapat dalam hal had atau batas aurat untuk kaum lelaki;

1. Imam Hanafi dan Imam Hambali berpendapat: ”Lelaki diwajibkan menutup auratnya di antara pusat hingga lutut daripada dilihat oleh lelaki atau perempuan yang bukan mahramnya kecuali kepada istrinya.

Selain dari isterinya diharamkan melihat aurat di antara pusat hingga lututnya”.

Isteri boleh (harus) melihat aurat suami kecuali pada kemaluan kerana melihat kemaluan masing-masing adalah MAKRUH.

2. Imam maliki dan Imam Syafi’ie berpendapat: ”Aurat lelaki ada dua keadaan;

  • Auratnya dengan sesama lelaki dan perempuan yang mahram dengannya. Auratnya ialah di antara pusat hingga lutut sahaja.
  • Auratnya dengan perempuan yang bukan mahramnya. Auratnya adalah seluruh tubuh. 

Garis Panduan Pemakaian Lelaki Mengikut Syariat Islam

Antara pemakaian yang digariskan dalam islam untuk seorang lelaki itu adalah seperti:

1. Menutup aurat.

2. Tidak terlalu nipis dan ketat hingga menampakkan bentuk tubuh badan.

3. Tidak menyerupai pakaian perempuan.

4. Tidak memakai pakaian dan perhiasan daripada sutera dan emas.

5. Tidak menimbulkan perasaan riak.

6. Memulakan memakai pakain daripada sebelah kanan.

Aurat Lelaki Dalam Islam & Hikmah Menutup Aurat
Kredit gambar: Daie Kreatif

Hikmah Menutup Aurat

1. Menjaga Kehormatan

Salah satu hikmah menutup aurat bagi kaum lelaki adalah untuk menjaga kehormatan diri sendiri. Dengan menutup aurat, lelaki menunjukkan rasa hormat terhadap diri mereka serta membantu dalam memelihara budaya sopan santun dalam kalangan masyarakat.

2. Menghindari Godaan dan Dosa

Menutup aurat membantu lelaki menghindari godaan dan dosa. Dengan menutup aurat, kaum lelaki dapat mengurangkan kemungkinan terjerumus ke dalam perbuatan tercela seperti zina. 

3. Memudahkan Ibadah

Dengan menutup aurat, lelaki lebih mudah untuk menjalankan ibadah mereka seperti melaksanakan solat, membaca Al-Quran, atau melakukan amalan keagamaan lainnya.

4. Mentaati Perintah Allah

Dengan menjaga aurat, ia secara tidak langsung mendidik jiwa untuk sentiasa mentaati perintah Allah dan menyedari tanggungjawab terhadap diri sendiri dan agama.

5. Menyemai Kepercayaan Diri

Menutup aurat juga dapat meningkatkan kepercayaan diri. Dengan memakai pakaian yang sopan dan menutup aurat, seseorang akan lebih percaya diri dalam berinteraksi dengan orang lain tanpa perlu khuatir tentang penilaian negatif terhadap penampilan mereka.

Kesimpulan

Menutup aurat lelaki dalam Islam merupakan kewajiban yang diperintahkan oleh Allah. Dengan memahami hikmah di sebalik perintah ini, semoga kaum lelaki dapat memperkuat iman mereka, menjaga kehormatan diri, dan memperkukuhkan ikatan spiritual dengan Tuhan.

Oleh itu, adalah penting bagi setiap lelaki Muslim untuk menghayati nilai-nilai yang terkandung dalam perintah menutup aurat sebagai suatu amalan yang membawa keberkatan dalam kehidupan mereka.

RUJUKAN:

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!