Apabila melihat darah haid anda berwarna selain warna merah, jangan panik. Terdapat beberapa jenis darah haid yang biasanya dialami oleh wanita. Setiap warna darah haid tersebut boleh membawa maksud yang berbeza.
Jom baca info lebih lanjut mengenainya.
BACA JUGA: Cara Mengeluarkan Darah Haid Yang Tidak Keluar
Mengapa Darah Haid Memiliki Warna yang Berbeza?
Darah haid memiliki warna yang berbeza kerana proses oksidasi (oxidation).
Warna darah menjadi semakin gelap apabila ia berada semakin lama di dalam rahim dan faraj kerana ia mula bertindak balas dengan oksigen. Tindak balas ini menyebabkan warna menjadi semakin mengelap.
Proses ini menyebabkan darah mengalami perubahan warna dari merah terang menjadi merah gelap, coklat, atau bahkan hitam.
Jadi, warna darah haid bergantung kepada berapa lama darah tersebut telah berada di dalam tubuh sebelum dikeluarkan. Semakin lama darah berada di dalam tubuh anda, maka semakin gelaplah darah tersebut.
6 Jenis Warna Darah Haid
Warna darah haid seseorang boleh menjadi petanda keadaan kesihatan seseorang. Berikut dikongsikan makna setiap warna darah haid dan apa yang perlu dilakukan mengenainya (jika ada).
1. Merah terang
Biasanya darah anda akan berwarna merah terang pada hari di mana darah anda banyak keluar, iaitu apabila anda mengalami aliran darah yang stabil.
Warna darah lebih terang kerana ia keluar daripada badan anda dalam tempoh masa yang singkat. Ini bermakna ia mempunyai sedikit masa untuk teroksidasi dan menjadi lebih gelap.
Sesetengah orang mengalami darah merah terang sepanjang haid mereka, tetapi dalam kebanyakan kes, darah akan berubah dari merah terang kepada warna yang lebih gelap.
Sila berjumpa dengan doktor sekiranya semasa darah haid berwarna merah terang, dan anda mengalami situasi berikut:
- Anda berasa pening, terlampau letih atau sesak nafas semasa haid
- Anda mengalami sakit perut yang disertai dengan pendarahan yang banyak
- Haid anda berlangsung lebih daripada 7 hari
- Anda perlu menukar pad setiap 1 atau 2 jam disebabkan terlalu penuh
- Gumpalan darah anda lebih besar daripada 2.5cm (kira-kira saiz syiling 10 sen)
Ini boleh menjadi petanda bahawa anda sedang mengalami pendarahan dan perlukan rawatan segera untuk menghentikan darah keluar lebih banyak sehingga memberi kesan buruk kepada tubuh anda.
2. Merah gelap
Warna darah merah gelap adalah warna yang biasa dialami semasa haid, terutamanya pada awal pagi. Hal ini kerana darah telah teroksidasi di dalam rahim sepanjang malam sebelum keluar. Selain itu, anda mungkin juga akan melihat darah merah gelap pada akhir haid anda (atau pada permulaan) apabila darah bergerak dengan lebih perlahan dan mempunyai lebih banyak masa untuk teroksidasi.
Selepas bersalin, darah nifas (lochia) juga akan berwarna merah gelap. Namun sekiranya anda menyusu selepas itu, darah anda mungkin menjadi lebih merah dan lebih banyak disebabkan oleh hormon yang menyebabkan berlakunya kontraksi rahim.
3. Coklat gelap atau hitam
Darah coklat gelap atau hitam adalah darah yang sudah teroksidasi, menandakan ia sudah lama berada di rahim sebelum keluar. Seperti dengan darah merah gelap, anda mungkin melihat darah berwarna coklat atau hitam pada permulaan atau akhir kitaran anda apabila darah mengambil masa lebih lama untuk meninggalkan badan anda.
Namun sekiranya terdapat darah berwarna coklat gelap/hitam atau kesan (spot) coklat semasa anda sedang mengandung, ia boleh menjadi petanda berlakunya keguguran atau kehamilan ektopik. Oleh itu, jika anda mengalami pendarahan yang banyak dan anda dalam kesakitan yang teruk, sila berjumpa dengan doktor segera.
4. Merah muda/Pink
Darah merah jambu mungkin disebabkan oleh cecair serviks anda yang bercampur dengan darah haid anda dan mencerahkan warna. Ia biasanya terjadi pada hari-hari apabila aliran darah anda tidak terlalu banyak atau pada waktu penghujung haid.
Selain itu, anaemia juga boleh menyebabkan darah haid berwarna merah jambu. Ia juga boleh menjadi tanda tahap estrogen yang rendah, yang menjadi tanda pra-menopaus. Estrogen membantu menstabilkan lapisan rahim. Jika tidak ada cukup estrogen, lapisan itu mungkin akan terurai dan dilepaskan dengan tidak teratur, menyebabkan berlakunya ‘spotting’ berwarna merah muda.
5. Oren
Cecair haid berwarna oren boleh disebabkan oleh darah haid yang bercampur dengan cecair serviks. Namun, darah haid berwarna oren juga boleh menjadi tanda jangkitan berlaku, seperti vaginosis bakteria. Jadi, pastikan anda segera berjumpa doktor sekira mengalaminya.
6. Kelabu
Darah yang berwarna kelabu juga biasanya merupakan tanda jangkitan seperti vaginosis bakteria berlaku. Simptom-simptom lain vaginosis bakteria termasuk:
– Gatal di sekitar faraj
– Bau yang busuk di faraj yang sering digambarkan sebagai “bau ikan”
– Rasa terbakar atau sakit semasa kencing
Bila perlu berjumpa dengan doktor?
Kitaran haid yang normal adalah 7 hari dan maksimum 15 hari. Pastikan anda segera berjumpa dengan doktor sekiranya;
- kitaran haid tidak teratur, berubah-ubah, tidak tentu
- kitaran haid lebih pendek daripada 24 atau lebih panjang daripada 38 hari
- anda tidak mendapat haid selama tiga bulan atau lebih
- pendarahan anda disertai dengan gejala lain, seperti sakit yang teruk
- telah melalui menopausa dan tiba-tiba datang haid semula
- keluar darah semasa hamil
BACA JUGA: Kitaran Haid Normal: Ciri-Ciri, Sebab dan Petua Haid Yang Teratur