11 Khasiat Daun Sirih Untuk Kesihatan Dalaman dan Luaran

Daun sirih merupakan ramuan herba yang tidak asing lagi dalam rawatan tradisional.

Selain terkenal sebagai ramuan yang baik untuk mengekalkan kesihatan wanita, rupanya terdapat pelbagai lagi potensi sirih untuk kesihatan dalam serta luaran.

Ayuh kita semak manfaatnya.

daun sirih

11 Khasiat Daun Sirih Serta Kegunaannya Untuk Kesihatan Tubuh

1. Untuk Tingkatkan Kesihatan Dalaman Wanita

Kandungan antibakteria dalam sirih berpotensi untuk mencegah bacterial vaginosis iaitu bakteria yang mengakibatkan kegatalan pada area kemaluan wanita.

The Malaysian Journal of Nursing (MJN) menyebut bahawa pengambilan air rebusan sirih juga berkesan untuk mengatasi masalah keputihan.

Caranya untuk menyediakan air rebusan ini juga mudah sahaja. Anda hanya perlu rebus 2 ke 4 lembar daun dengan dua gelas air selama 10 hingga 15 minit. Biarkan sehingga air rebusan berada dalam suhu normal dan ia sedia untuk diminum.

Terdapat juga sesetengah petua yang menyebut air rebusan ini boleh digunakan untuk mencuci bahagian luar vagina.

Walau bagaimana pun, anda tidak dinasihatkan untuk menggunakannya pada jangka masa panjang kerana tindakan ini dikhuatiri boleh mengubah pH pada kawasan alat sulit wanita.

Sekiranya kegatalan yang anda alami di kawasan tersebut tidak berkurang, anda perlulah mendapatkan nasihat daripada doktor.

2. Mengurangkan Senggugut

Air rebusan sirih sering diamalkan secara turun temurun bagi mengatasi sakit ketika haid. Manfaat ini dikatakan berasal daripada kandungan antioksidan pada tanaman tersebut.

Untuk mendapatkan manfaat secara maksimum, anda juga disarankan untuk merebus daun ini bersama kunyit.

Kunyit mengandungi sebatian curcumin yang bersifat antiradang serta dapat membantu meredakan senguggut dengan lebih berkesan.

daun sirih

3. Ubat Alternatif Untuk Radang Prostat

Biasanya kita sering mendengar yang daun sirih sering digunakan untuk membaiki masalah dalaman wanita.

Rupanya, daun sirih berwarna merah mempunyai potensi untuk menjadi ubat alternatif bagi merawat radang prostat untuk kaum lelaki.

Ini disebabkan oleh kandungan antioksidan saponin dan tanin serta sebatian hydroxychavicol yang berupaya untuk memulihkan sel pada kelenjar prostat.

4. Mengubati Jerawat

Selain untuk meredakan senggugut, air rebusan sirih boleh menjadi penawar bagi masalah jerawat kerana ia mengandungi tanin, flavonoid serta saponin yang bertindak sebagai antibakteria.

Untuk menggunakannya, anda perlu membersihkan muka dengan air rebusan daun tersebut. Cara ini dapat membasmi bakteria yang menjadi punca jerawat.

5. Berpotensi Untuk Mencegah Diabetes

Sebuah kajian haiwan oleh Drug Invention Today menyatakan bahawa daun sirih merah berpotensi untuk menurunkan kadar glukosa dalam darah.

Bahan aktif bernama tannin yang dijumpai dalam tanaman herba ini dikatakan mampu bertindak sebagai antidiabetes.

Selain itu, alkaloid dalam sirih juga dapat menurunkan paras gula dalam darah dengan menghalang penyerapan gula di usus.

Meskipun begitu, kajian lanjutan masih diperlukan bagi mengesahkan dakwaan ini.

6. Mempercepat Proses Penyembuhan Luka

Sebuah kajian yang dipetik dari Journal of Ayurveda and Integrative Medicine menyatakan bahawa sirih mempunyai sifat antidiabetes, antimikrob dan antioksida.

Hasil kajian mendakwa bahawa luka dapat dipulihkan secara berkesan setelah 7 hari penggunaan.

Namun bagi pesakit diabetes yang mengalami luka yang sukar pulih, anda perlulah rujuk kepada doktor segera.

7. Menurunkan Kadar Kolesterol

Kadar kolesterol yang tinggi boleh meningkatkan risko penyakit seperti strok dan serangan jantung.

Air rebusan sirih dikatakan dapat membantu mengurangkan kadar kolesterol.

Sebuah bahan aktif unik yang ditemui dalam herba ini iaitu eugenol dipercayai dapat mengurangkan jumlah penghasilan kolesterol dalam hati dan mengurangkan jumlah penyerapan lemak oleh usus.

8. Mengatasi Jangkitan Bakteria

Seperti yang dinyatakan, sirih mempunyai sifat antibakteria serta antimikrob yang dapat mengatasi jangkitan bakteria.

Pada masa yang sama, ia juga mengandungi fitokimia dan fenolik yang dapat melawan bakteria gram positif dan negatif.

9. Berpotensi Untuk Tingkatkan Kesihatan Mulut

Selain mencegah pembiakan bakteria, sirih dikatakan mampu melindungi mulut daripada masalah karies gigi dengan mengurangkan jumlah asid yang terbentuk daripada air liur.

Selain itu, ia juga kaya dengan pelbagai kandungan minyak pati seperti kavikol, sineol, kadinen, eugenol dan karvakol.

Eugenol sangat bermanfaat dalam kesihatan gigi kerana sifatnya yang antiseptik, antiradang serta mampu memberi rasa kebas kepada saraf dan sekaligus mengurangkan sakit gigi.

Sifat antiradang daun sirih pula didapati mempunyai potensi bagi mengurangkan masalah gusi bengkak atau gingivitis.

Disebabkan ini, sesetengah produk ubat gigi turut dihasilkan menggunakan ekstrak daun sirih sebagai bahan aktif.

10. Mempunyai Ciri Anti-Ulser Untuk Melindungi Perut

Kandungan anti-ulser yang terdapat dalam sirih terhadap masalah ulser perut telah dikenalpasti daripada indomethacin serta mekanisme tindakannya.

Daun herba ini juga mempunyai aktiviti pelindung allylpyrocatechol (APC), yang merupakan konstituen antioksidan utama daun sirih terhadap ulser perut indomethacin.

11. Membantu Mengatasi Bau Badan

Sifat antiseptik serta sifat antimikrob yang terkandung dalam sirih juga dikatakan berkesan untuk mengatasi masalah bau badan.

Buktinya, terdapat pelbagai produk penjagaan kebersihan diri yang dihasilkan dengan ekstrak sirih seperti sabun dan deodoran.

Kesan Sampingan

Seperti yang kita tahu, orang dahulu mempunyai tabiat untuk mengunyah daun sirih bersama buah pinang dan kapur.

Namun, amalan ini didapati boleh memberikan kesan sampingan yang serius akibat interaksi kimia.

Individu yang sering mengamalkan pengambilan sirih bersama buah pinang dan kapur boleh mengalami kesan sampingan seperti :

  • Mempunyai sifat psikoaktif yang boleh mengubah fungsi otak
  • Boleh menjejaskan sistem saraf pusat (CNS)
  • Kanser mulut dan esophageal (salur makanan)
  • Boleh mengganggu pembiakan mikrob baik dalam mulut
  • Boleh memberi kesan negatif kepada perkembangan janin serta kelahiran anak
  • Boleh menyebabkan ketagihan
daun sirih dengan pinang

Begitulah antara kebaikan daun sirih serta potensi dalam mengatasi pelbagai masalah kesihatan.

Walaupun ia sering menjadi pilihan bagi rawatan alternatif, namun anda masih perlu berjumpa dengan doktor sekiranya simptom penyakit anda masih berlarutan.

Sumber :Halodoc, Hellodoktor

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!