Kurang Minum Air Punca Ulser Lidah? Ini 10 Punca & Cara Hilangkan Ulser

ulser lidah
Punca dan cara hilangkan ulser lidah.
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Adui, kalau ada ulser lidah bukan main susah lagi nak makan! Kena pilih makanan yang betul-betul lembut dan tak panas kalau nak makan.

Bila terkena bahagian ulser masa makan, memang boleh meraung kesakitan. Kadang tu, bercakap pun susah sebab sakit kalau mulut banyak bergerak.

Tapi anda pernah terfikir tak, kenapa lidah jadi ulser?

Artikel pada kali ini, kami akan berkongsi kepada anda berkenaan dengan masalah ulser di lidah, punca dan rawatan atau petua hilangkan ulser lidah.

Baca juga:

Apa itu Ulser Lidah?

ulser lidah
Kenapa ulser sering terjadi? Sumber: Amazing Smiles

Untuk pengetahuan anda, ulser lidah adalah ulser (luka / kerosakan) yang berlaku di tisu permukaan lidah akibat ‘kecederaan’ pada lidah yang tidak dirawat.

Ulser ini umumnya berwarna putih atau kekuningan dengan tepi merah dan akan menjadi sangat pedih, terutama ketika makan atau minum.

Apabila ‘kecederaan’ tersebut tidak dirawat, ia akan mudah dijangkiti bakteria kerana lukanya terbuka lalu menyebabkan terjadinya komplikasi ulser.

Punca ulser lidah

Ulser mulut boleh berpunca disebabkan 10 penyebab di bawah. Antaranya kerana:

  1. Cara menggosok gigi yang salah: Kecederaan pada permukaan lidah tersebut boleh disebabkan oleh cara yang tidak betul ketika memberus gigi. Selain itu, tabiat tergigit lidah dan minum air yang terlalu panas juga boleh menjadi penyebab ulser lidah.
  2. Jangkitan bakteria: Jangkitan bakteria yang berlaku biasanya disebabkan oleh pembiakan kulat ‘candida albicans’, dan menyebabkan lidah kita diselaputi sejenis keputihan yang pekat. 
  3. Ubat gigi / Ubat kumur: Ubat gigi atau ubat kumur yang mengandungi bahan kimia seperti ‘sodium lauryl sulfate’ juga boleh menyebabkan ulser di lidah berlaku terutamanya kepada individu yang mempunyai lidah sensitif. 
  4. Kekurangan air: Kekurangan air atau dehidrasi juga adalah salah satu punca berlakunya ulser. Apabila badan kita kekurangan air, mulut kita juga akan kering dan menyebabkan lidah ulser berlaku dengan mudah. 
  5. Ketahanan sistem imun: Ulser juga boleh disebabkan oleh penyakit berkaitan dengan sistem imunisasi. Penyakit ini berlaku apabila sel imunisasi dalam badan menyerang tisu mulut serta permukaan lidah sekali gus membawa kepada berlakunya keradangan. Apabila berlarutan, ulser bukan sahaja berlaku pada mulut malah permukaan lidah juga.
  6. Seks oral: Perbuatan seks oral juga boleh menyebabkan berlakunya ulser di kawasan mulut terutama lidah, disebabkan oleh penyakit kelamin yang merebak. 
  7. Kanser lidah: Ulser pada bahagian lidah adalah salah satu daripada simptom atau gejala kanser lidah.
  8. Kecederaan lidah: Kecederaan semasa menggunakan pendakap gigi atau pemakaian gigi palsu yang tidak sesuai.
  9. Kemalangan semasa makan: Melecur kerana makan makanan panas, makanan berasid atau pedas.
  10. Penggunaan berus gigi yang salah: Menggunakan berus gigi yang berbulu keras dan kasar.

    Gejala dan Simptom

    Ulser lidah mempunyai gejala yang lebih kurang sama seperti ulser yang berlaku di kawasan mulut yang lain.

    Sebelum ulser tersebut muncul, biasanya kawasan tersebut akan rasa pedih terutamanya apabila terkena makanan atau minuman panas. 

    Biasanya ia akan mengambil masa sekurang-kurangnya 3 minggu untuk pulih, bergantung pada saiz ulser.

    Berikut adalah antara simptom lidah ulser:

    • Sakit atau tidak selesa apabila makan atau bercakap
    • Luka kecil dan cetek di dalam mulut
    • Bengkak atau kemerahan di sekitar luka
    • Rasa terbakar atau kesemutan di sekitar kawasan yang terjejas
    • Lepuh berbentuk bulat, berwarna putih kekuningan pada dasarnya
    • Boleh muncul secara satu atau di beberapa tempat (pada mana-mana lidah, lelangit, gusi, bibir atau mukosa pipi)

    Cara Hilangkan Ulser Lidah

    cara hilangkan ulser lidah
    Cara hilangkan ulser lidah.

    Kalau ikut petua hilangkan ulser lidah mak-mak zaman dulu, untuk menyembuhkan ulser kita kena minum air putih secukupnya atau letak madu dekat bahagian ulser tu. 

    Selain itu, boleh juga kumur-kumur dengan menggunakan air garam untuk memastikan kebersihan mulut anda terjaga.

    Anda juga boleh menggunakan pes baking soda (+campur sedikit air) dan sapukan pada kawasan ulser tersebut.

    Manakala, cara merawat ulser lidah dalam bentuk ubat-ubatan yang dicadangkan oleh pihak doktor dan dijual di pasaran adalah seperti Bonjela atau Oral Aid. 

    Baca juga:

    Cara untuk Mengelak Terkena Ulser

    Anda boleh mengelak dari dijangkiti ulser ini semula dengan melakukan tips berkesan seperti yang berikut:

    1. Amalkan penjagaan mulut yang betul

    Menggabungkan teknik memberus gigi dan flos yang betul akan membantu anda memastikan mulut sentiasa bersih dan bebas daripada zarah makanan yang mungkin mencetuskan penyakit oral.

    Doktor gigi sentiasa mengesyorkan penggunaan berus gigi berbulu lembut dan ubat gigi bebas natrium lauril sulfat serta ubat kumur untuk penjagaan oral terbaik.

    2. Elakkan berbual semasa makan

    Makan sambil berbual boleh memberi risiko kepada anda untuk tergigit bibir sendiri sehingga menyebabkan luka.

    3. Lindungi mulut anda

    Peralatan ortodontik tertentu seperti pendakap mempunyai sudut sisi yang tajam yang boleh merengsakan bahagian mulut sehingga menyebabkan ulser mulut. 

    4. Makan makanan yang berkhasiat

    Bagi sesetengah situasi, kekurangan vitamin, dan zat besi boleh menyebabkan ulser.

    Oleh itu, makanlah makanan yang kaya dengan vitamin dan zat besi untuk menghalang pembentukan ulser.

    Bila Perlu Jumpa Doktor

    cara merawat ulser lidah
    Cara merawat ulser lidah.

    Jika ulser mengganggu aktiviti harian anda secara berterusan, segeralah berjumpa dengan doktor gigi untuk mendapatkan rawatan lanjut.

    Mereka biasanya akan menjalankan beberapa ujian pemeriksaan dan memberikan ubat-ubatan tertentu untuk memulihkan masalah ulser anda.

    Diharapkan semoga perkongsian kami ini dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan rujukan bersama.

    Sumber:

    1. Tongue Ulcer: How to Identify, Symptoms, Treatment, and Prevention. Medical News Today
    2. Is Painless Tongue Ulcer a Sign of Cancer? Vinmec
    Follow eCentral di WhatsApp Channel
    Ikut

    Artikel berkaitan: