Tanda Tanah Runtuh yang Perlu Diketahui – Awas!
Salah satu bencana alam yang kerap berlaku terutamanya kawasan berbukit dan seumpamanya di Malaysia, adalah tanah runtuh.
Kejadian ini berlaku disebabkan oleh pelbagai faktor seperti perubahan cuaca yang tidak menentu serta aktiviti manusia seperti pembinaan, pertanian dan sebagainya.
Mengetahui dan mengenal pasti tanda-tanda awal tanah runtuh adalah sangat penting untuk mengurangkan risiko terjadinya perkara yang tidak diingini seperti kerosakan harta benda mahupun kehilangan nyawa.
Berikut dikongsikan info lebih lanjut mengenainya.
BACA JUGA: Contoh Sajak Alam Sekitar
Tanda Awal Tanah Runtuh
Selalunya, tanda-tanda awal tanah runtuh kurang disedari kerana pengetahuan dan pemahaman yang kurang mengenai bencana alam ini.
Untuk pengetahuan semua, antara tanda-tanda penting yang perlu diperhatikan adalah:
1. Rekahan
Rekahan pada tanah dan struktur bangunan adalah salah satu petunjuk awal yang biasanya berlaku sebelum terjadinya tanah runtuh.
Ia juga boleh muncul di jalan raya, laluan kaki lima, atau kawasan pertanian dan sebagainya.
Ia mungkin kelihatan tidak berbahaya pada mulanya, tetapi jika tidak diambil perhatian, retakan ini boleh berkembang menjadi lebih besar, menyebabkan tanah kehilangan kestabilan.
Rekahan ini menunjukkan bahawa tanah di kawasan tersebut sedang mengalami pergerakan yang perlahan tetapi berterusan.
2. Perubahan Struktur Bangunan
Bangunan yang berada berhampiran dengan kawasan berbukit atau cerun adalah yang paling terdedah kepada risiko tanah runtuh.
Salah satu tanda awal yang perlu diperhatikan adalah perubahan struktur pada bangunan, seperti dinding yang mulai retak, pintu dan tingkap yang sukar dibuka atau ditutup, serta lantai yang tidak rata.
3. Perubahan pada Aliran Air
Perubahan pada aliran air permukaan seperti sungai atau parit juga boleh menjadi petunjuk awal bahawa tanah sedang ‘bersiap’ untuk runtuh.
Aliran air yang tiba-tiba berubah arah atau menjadi lebih deras daripada biasa mungkin menunjukkan bahawa tanah di sekitarnya telah mula bergerak.
Selain itu, kehadiran lumpur atau air keruh dalam jumlah yang banyak selepas hujan lebat juga boleh menjadi petanda bahawa tanah di kawasan tersebut tidak lagi stabil.
Air yang mengalir dengan cara yang tidak normal boleh menambah berat dan tekanan pada tanah, seterusnya mempercepatkan proses runtuhan.
4. Pokok/Tiang Condong atau Tumbang
Jika anda melihat pokok atau tumbuhan di sekitar cerun yang condong atau tumbang, ini mungkin menunjukkan bahawa tanah di bawahnya tidak stabil.
Akar pokok yang kuat biasanya membantu menstabilkan tanah, jadi perubahan dalam kedudukan pokok boleh menjadi amaran awal.
Perubahan ini perlu diawasi dengan teliti kerana ia menandakan proses tanah runtuh yang sedang berlangsung.
5. Air Keluar dari Permukaan Tanah
Munculnya mata air baru atau lumpur di kawasan yang tidak pernah ada sebelumnya adalah satu lagi tanda bahawa tanah di kawasan tersebut tidak stabil.
Tanah yang menyerap air dengan berlebihan mungkin tidak lagi mampu menahan beratnya sendiri, menyebabkan air dan lumpur muncul di permukaan.
Ini adalah tanda penting yang perlu diberi perhatian kerana tanah di kawasan tersebut berisiko tinggi untuk runtuh terutamanya apabila hujan berlaku berterusan.
6. Bunyi Asing dari Tanah
Satu lagi tanda tanah runtuh yang jarang diambil perhatian ialah bunyi asing yang datang dari tanah, seperti bunyi retakan, gemericik air atau bunyi geseran tanah. Bunyi-bunyi ini adalah petunjuk penting bahawa tanah sedang mengalami tekanan dan pergerakan.
Bunyi retakan biasanya diikuti oleh retakan pada permukaan tanah atau dinding bangunan, manakala bunyi gemericik air mungkin menunjukkan bahawa air sedang mengalir melalui retakan dalam tanah, yang boleh menyebabkan tanah menjadi longgar dan runtuh.
BACA JUGA: Tanah Jerlus (Quicksand): Bagaimanakah Ianya Terjadi?
Punca Tanah Runtuh
1. Hujan Lebat
Hujan lebat yang berterusan boleh menjadi salah satu punca berlakunya tanah runtuh. Air yang meresap ke dalam tanah akan meningkatkan beban dan tekanan pada tanah lalu menyebabkan tanah mudah runtuh. Selalunya, kejadian ini berlaku di kawasan yang tidak mempunyai sistem saliran yang baik.
2. Aktiviti Pembalakan
Pembalakan dan pembukaan hutan yang tidak terkawal juga punca kejadian tanah runtuh berlaku.
Hal ini kerana, pokok-pokok dan tumbuhan yang berfungsi untuk menahan tanah menggunakan akarnya tidak dapat lagi menjalankan peranannya disebabkan oleh aktiviti pembalakan dan penebangan hutan.
Apabila pokok-pokok ditebang secara berlebihan, tanah menjadi tidak stabil kerana kehilangan sokongan semula jadi ini.
Selain itu, hutan juga berfungsi untuk menyerap air hujan, jadi tanpa hutan, risiko tanah menjadi tepu dengan air dan runtuh adalah lebih tinggi.
3. Pembinaan di Kawasan Berbukit
Aktiviti pembinaan di kawasan berbukit atau lereng curam tanpa mengambil kira kestabilan cerun dan keadaan geologi tanah juga menjadi punca berlakunya tanah runtuh.
Infrastruktur yang dibina tanpa kajian kejuruteraan yang teliti sering kali menyebabkan gangguan kepada kestabilan tanah.
4. Pengorekan Tanah Berlebihan
Aktiviti mengorek tanah secara tidak terkawal dan berlebihan untuk tujuan pembangunan dan sebagainya juga meningkatkan risiko berlakunya tanah runtuh.
Apabila lapisan tanah yang lebih stabil di bawah permukaan digali, tanah di atasnya menjadi tidak mempunyai sokongan yang mencukupi.
Ini boleh mengakibatkan tanah kehilangan kestabilan dan akhirnya runtuh, terutamanya semasa hujan lebat atau berlakunya getaran seperti gempa bumi.
Langkah-Langkah Mencegah Tanah Runtuh
1. Tanam Pokok
Salah satu cara yang paling efektif untuk mencegah tanah runtuh adalah dengan menanam pokok dan tumbuh-tumbuhan terutamanya di kawasan berbukit atau kawasan berpotensi untuk berlakunya tanah runtuh.
Akar-akar pokok akan membantu untuk menahan dan mencengkam tanah daripada bergerak dan mengurangkan hakisan.
Tumbuhan penutup tanah seperti rumput juga berperanan dalam mengukuhkan struktur tanah, menjadikannya lebih stabil dan tahan terhadap hakisan air.
2. Bina Sistem Saliran yang Baik
Sistem saliran yang baik adalah penting untuk mengurangkan risiko tanah runtuh. Saliran yang baik akan mengalirkan air hujan dari permukaan tanah, mengurangkan tekanan dan beban pada tanah.
Longkang dan parit yang dibina juga hendaklah sentiasa dipantau dan diselenggara secara berkala untuk memastikan aliran air tidak terhalang.
3. Bina Dinding Penahan Cerun
Pembinaan dinding penahan cerun untuk menahan tanah daripada bergerak terutamanya di kawasan yang berisiko tinggi adalah sangat disarankan.
Selain itu, dinding penahan juga boleh mengurangkan hakisan dengan menghalang air daripada meresap ke dalam tanah.
4. Pemantauan yang Kerap
Pemantauan yang kerap di kawasan berisiko tinggi adalah langkah penting untuk mencegahnya kejadian tanah runtuh. Melalui pemantauan yang kerpa, tanda-tanda awal dapat dikenalpasti dan langkah pencegahan dapat diambil lebih awal.
5. Gunakan Teknologi
Teknologi seperti sensor dan pemantauan satelit juga sangat berguna sebagai langkah pencegahan tanah runtuh berlaku.
Kebanyakan teknologi sebegini boleh memantau pergerakan tanah secara berterusan untuk membolehkan tindakan awal diambil sekiranya terdapat sebarang pergerakan atau perubahan yang mencurigakan pada tanah.
6. Pendidikan dan Kesedaran Awam
Orang awam perlu mempunyai kesedaran tentang risiko tanah runtuh terutama mereka yang tinggal di kawasan berbukit dan berisiko tinggi.
Pihak berwajib perlu memberikan latihan dan kursus keselamatan untuk membantu orang ramai memahami tanda-tanda awal tanah runtuh dan langkah-langkah pencegahan yang boleh diambil.
Kesedaran yang tinggi dalam kalangan masyarakat boleh mengurangkan risiko tanah runtuh dan menyelamatkan nyawa serta harta benda.
BACA JUGA: Semakan Cukai Tanah Setiap Negeri & Cara Bayaran Online
Kesimpulan
Semoga dengan memahami tanda-tanda awal, punca berlakunya tanah runtuh serta angkah-langkah yang diperlukan untuk mencegah kejadian buruk ini, kesan tanah runtuh dapat diminimumkan.
Kesedaran dan tindakan proaktif adalah kunci untuk mengurangkan risiko dan memastikan keselamatan semua.
Rujukan:
1. PEKA TANDA AWAL TANAH RUNTUH – Majlis Keselamatan Negara