Pekeliling Sijil Cuti Sakit Swasta Bagi Penjawat Awam 2022

PENAMBAHBAIKAN PERATURAN PENGESAHAN SIJIL SAKIT SWASTA BAGI RAWATAN PESAKIT LUAR

Mulai 18 April 2022, Ketua Jabatan boleh menerima Sijil Sakit Swasta bagi rawatan pesakit luar tanpa memerlukan tandatangan timbal daripada Pegawai Perubatan Kerajaan tidak melebihi 180 hari dalam satu tahun kalendar berbanding 15 hari sebelum ini bagi kemudahan cuti sakit.

cuti sakit

Perkara ini dimaklumkan oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Awam melalui surat edaran dan hebahan di media tempatan serta media sosial.

Tujuan Penambahbaikan Pekeliling Sijil Cuti Sakit Swasta Untuk Penjawat Awam

Penambahbaikan peraturan ini adalah selaras dengan perubahan trend keperluan hidup semasa, polisi Kerajaan yang menggalakkan penggunaan perkhidmatan swasta dan dapat membantu mengurangkan kesesakan di hospital-hospital Kerajaan.

Pendekatan ini diambil bagi mengurangkan birokrasi dalam proses untuk mendapatkan pengesahan berhubung sijil sakit swasta yang melebihi tempoh yang ditetapkan.

Semua pihak yang terlibat hendaklah mematuhi garis panduan dan peraturan yang telah ditetapkan, berdasarkan integriti dan profesionalisme.

Mana-mana pihak yang melanggar etika dalam proses mengeluarkan sijil sakit palsu, mereka adalah tertakluk di bawah peraturan sedia ada dan boleh dikenakan tindakan oleh pihak yang mengawal selia tadbir urus klinik-klinik swasta.

Sila rujuk Surat Edaran JPA.SARAAN (S) 43 / 34 Jld.3 (24) bertarikh 18 Februari 2022, Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSN) Ceraian SR.5.4.5 (Peraturan Berkaitan Penerimaan Cuti Sakit Swasta Untuk Tujuan Kemudahan Cuti Sakit) dan Soalan Lazim di bawah:

Info & pertanyaan lanjut:

Soalan Lazim

Bilakah pemakaian peraturan penerimaan sijil sakit swasta bagi rawatan pesakit luar tanpa tandatangan timbal oleh Pegawai Perubatan Kerajaan tidak melebihi 180 hari
dalam tahun kalendar ini berkuat kuasa?

Penambaikan ini berkuat kuasa mulai tarikh Surat Edaran dikeluarkan iaitu pada 18 Februari 2022.

Bagaimana pula dengan penerimaan sijil sakit swasta sebagai pesakit dalam?

Kekal.
Peraturan penerimaan sijil sakit swasta sebagai pesakit dalam adalah kekal seperti peraturan sedia ada iaitu boleh diterima oleh Ketua Jabatan tanpa tandatangan timbal tidak melebihi 180 hari dalam suatu tahun kalendar.

Sekiranya pegawai telah menggunakan 180 hari sijil sakit swasta bagi pesakit luar, adakah pegawai masih boleh menerima sijil sakit swasta bagi pesakit dalam sebanyak 180 hari lagi?

Tidak boleh.
Pegawai tidak boleh menerima sijil sakit swasta bagi pesakit dalam sebanyak 180 hari lagi setelah menerima 180 hari sijil sakit swasta bagi pesakit luar.
Ini kerana jumlah Cuti Sakit sama ada berasaskan sijil sakit swasta atau sijil sakit Kerajaan adalah tidak melebihi 180 hari dalam suatu tahun kalendar.

Adakah sijil sakit swasta yang diterima oleh pegawai masih perlu mendapatkan kelulusan Ketua Jabatan bagi 90 hari
pertama dan kelulusan Ketua Setiausaha bagi 90 hari seterusnya?

Ya, peraturan tersebut masih berkuat kuasa.

Pegawai telah menggunakan kelayakan Cuti Sakit Bergaji Penuh sebanyak 180 hari dalam suatu tahun kalendar dan
pegawai masih lagi sakit. Apakah cuti lain yang boleh pegawai gunakan dalam tempoh sakit tersebut?

Pegawai boleh menggunakan Cuti Rehat yang ada dan sekiranya telah digunakan dan pegawai masih tidak sihat, pegawai boleh diberi Cuti Sakit Lanjutan Separuh Gaji hingga 90 hari dan Cuti Sakit Lanjutan Tanpa Gaji hingga 90 hari (Elaun Bantuan bersamaan separuh gaji) dengan
perakuan Lembaga Perubatan.

Peruntukan ini adalah sepertimana terkandung dalam Perintah Am 22 Bab C (Cuti) Tahun 1974 dan pindaannya dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 Tahun 1991.

Apakah tindakan yang boleh diambil bagi pegawai yang mengemukakan sijil sakit palsu atau meminda cuti sakit?

Ketua Jabatan hendaklah membuat semakan sewajarnya ke atas kesahihan sijil sakit swasta yang dikemukakan oleh pegawai.
Tindakan tatatertib di bawah Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 boleh diambil oleh Ketua Jabatan kepada pegawai yang mengemukakan sijil sakit palsu.

Adakah sijil sakit daripada pengamal perubatan tradisional dan komplementari boleh dianggap sijil sakit swasta?

Tidak boleh.
Sijil sakit yang dikeluarkan oleh pengamal perubatan tradisional dan komplementari seperti akupunktur, homeopathy, perubatan tradisional Melayu/ Cina/ India dan sebagainya tidak boleh diterima bagi tujuan permohonan cuti sakit swasta kerana tidak memenuhi takrifan Sijil Sakit
di bawah Perintah Am 1 (ix) Bab C Tahun 1974.
Selain itu, sijil sakit daripada rawatan tradisional dan komplementari tidak termasuk di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998.

Muat Turun :

1. Surat Edaran : JPA.SARAAN(S)43/34 Jld.3(24)

2. Ceraian SR.5.4.5 : Peraturan Berkaitan Penerimaan Cuti Sakit Swasta Untuk Tujuan Kemudahan Cuti Sakit

3. Soalan Lazim

Baca juga:

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!