Doa Malam Lailatul Qadar & Amalan Sunat Yang Boleh Diamalkan Pada 10 Hari Terakhir Ramadan
JANGAN LEPASKAN PELUANG MEREBUT GANJARAN 10 MALAM TERAKHIR RAMADAN
Menjelang 10 malam terakhir, ayuh kita gandakan amalan demi mendapatkan ganjaran pahala yang berganda khususnya sewaktu malam ‘1000’ bulan.
Ketika tiba 10 malam terakhir, Rasulullah juga menunjukkan kesungguhan yang luar biasa sebagaimana yang diceritakan oleh Aisyah RA, beliau menceritakan :
كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ العَشْرُ الأوَاخِرُ مِنْ رَمَضَانَ أَيْقَظَ أَهْلَهُ وَشَدَّ المِئْزَرَ وَأَحْيَا اللَّيْلَ
Maksudnya: “Adapun Rasulullah SAW apabila tiba 10 hari terakhir bulan Ramadhan, Baginda SAW membangunkan ahli rumahnya, mengikat kainnya (menjauhi isteri-isterinya) serta menghidupkan malam tersebut”. [Riwayat Ibn Hibban, no. Hadith 3436]
Bersediakah kita untuk pulun 10 malam terakhir?
Jom ulangkaji dan rebut ganjaran yang ditawarkan setahun sekali ini.
Apakah Lailatul Qadar?
Malam lailatul qadar yang dikenal sebagai salah satu malam yang menyimpan keutamaan yang melimpah, bahkan dipercayai lebih mulia dibanding 1000 bulan.
Amalan doa malam lailatul qadar merupakan salah satu ibadah sunnah yang dibaca umat Muslim untuk meraih keutamaan bulan Ramadhan, khususnya malam lailatul qadar.
Maka dari itu tak hairan jika malam lailatul qadar ini banyak dinantikan umat Muslim di berbagai penjuru negara.
Himpunan Doa & Zikir Malam Lailatul Qadar
Untuk meraih keutamaan malam lailatul qadar, Rasulullah menganjurkan bagi umat Muslim untuk memperbanyak membaca doa lailatul qadar sambil itikaf di dalam Masjid.
Doa malam lailatul qadar ini berisi permohonan ampunan yang dianjurkan untuk dibaca sebanyak-banyaknya.
1. DOA KHUSUS LAILATUL QADAR – MEMOHON KEAMPUNAN
Daripada Aisyah r.a., bahawa beliau bertanya Nabi Muhammad SAW: “Wahai Nabi Allah, jika aku bertemu dengan malam al-Qadar, maka apa yang sepatutnya aku ucapkan. Baginda bersabda:
اللهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ، فَاعْفُ عَنِّي
Maksudnya: “Ya Allah Ya Tuhan Kami, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan amat suka akan keampunan, maka berikanlah keampunan kepadaku.”
(HR Tirmizi)
Doa ini membawa maksud yang jelas bahawa perkara pertama yang diajarkan oleh Rasulullah kepada Saidatina Aisyah adalah agar memohon keampunan dari Allah.
Oleh itu amalkan doa lailatul qadar ini sepanjang bulan Ramadan ini.
Ia adalah doa yang diucapkan sendiri oleh Baginda Nabi dalam usaha kita memohon keampunan dari Allah.
2. DOA AKHIR RAMADAN
بسم الله الرحمن الرحيم.
Doa Rasulullah menjelang akhir Ramadhan
اللَّهُمَّ لاَ تَجْعَلْهُ آخِرَ الْعَهْدِ مِنْ صِيَامِنَا إِيَّاهُ، فَإِنْ جَعَلْتَهُ فَاجْعَلْنِيْ مَرْحُوْمًا وَ لاَ تَجْعَلْنِيْ مَحْرُوْمًا .
“Ya Allah, janganlah Engkau jadikan bulan Ramadhan ini sebagai Bulan Ramadhan terakhir dalam hidupku. Jika Engkau menjadikannya sebagai Ramadhan terakhirku, maka jadikanlah aku sebagai orang yang Engkau sayangi”
Ya Rahman, terimalah seluruh amal ibadah kami di bulan Ramadhan ini
Ya Wasi’al Magfirah wal afwu.. ampunilah seluruh dosa-dosa kami, dosa ibu bapa kami, dosa orang-orang yang kami cintai dan sayangi karena Allah.
Ya Mujiibu adduaa, kabulkanlah seluruh doa-doa kami.
Taqabalallahu Minna wa Minkum
3. SAYYIDUL ISTIGHFAR (PENGHULU ISTIGHFAR)
Daripada Syaddad bin Aus r.a., bahawa Nabi SAW bersabda:
سَيِّدُ الِاسْتِغْفَارِ أَنْ تَقُولَ: اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لاَ إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي، فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ وَمَنْ قَالَهَا مِنَ النَّهَارِ مُوقِنًا بِهَا، فَمَاتَ مِنْ يَوْمِهِ قَبْلَ أَنْ يُمْسِيَ، فَهُوَ مِنْ أَهْلِ الجَنَّةِ، وَمَنْ قَالَهَا مِنَ اللَّيْلِ وَهُوَ مُوقِنٌ بِهَا، فَمَاتَ قَبْلَ أَنْ يُصْبِحَ، فَهُوَ مِنْ أَهْلِ الجَنَّةِ
Maksudnya: “Sayyid al-Istighfar hendaklah kamu mengucapkan: Ya Allah, Engkau adalah Rabbku, tidak ada Tuhan yang berhak disembah dengan benar melainkan Engkau. Engkau yang menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu. Aku di atas perjanjian-Mu dan janji-Mu sesuai dengan kemampuanku. Aku berlindung kepada-Mu dari keburukan perbuatanku, aku mengakui nikmat-Mu kepadaku dan aku mengakui dosaku kepada-Mu, maka ampunilah aku. Hal ini kerana, tiada yang dapat mengampuni dosa melainkan Engkau.
Barangsiapa yang mengucapkannya (Sayyidul Istighfar) di waktu siang hari serta yakin dengannya, lalu dia meninggal pada hari itu sebelum waktu petang, maka dia termasuk dalam kalangan penghuni syurga. Dan barangsiapa yang mengucapkannya di waktu malam dengan penuh keyakinan lalu dia meninggal sebelum masuk waktu pagi, maka dia termasuk dalam kalangan penghuni syurga.”
(HR Bukhari)
4. DOA MEMOHON KEBAIKAN DI DUNIA DAN AKHIRAT
ِرَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّار
Maksudnya : “Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari seksa api neraka.”
(Surah al-Baqarah: 201)
5. DOA MEMOHON AGAR DITETAPKAN PENDIRIAN
رَبَّنَا ٱغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَإِسْرَافَنَا فِىٓ أَمْرِنَا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَٱنصُرْنَا عَلَى ٱلْقَوْمِ ٱلْكَٰفِرِينَ
Maksudnya: “Ya Tuhan kami, ampunilah dosa-dosa kami dan tindakan-tindakan kami yang berlebih-lebihan dalam urusan kami dan tetapkanlah pendirian kami, dan tolonglah kami terhadap kaum yang kafir.”
(Surah Ali Imran: 147)
6. DOA AGAR DITERIMA AMALAN
رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا إِنَّكَ أَنْتَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ
وَتُبْ عَلَيْنَآ إِنَّكَ أَنْتَ التَّوَّابُ الرَّحِيْمُ
Maksudnya: “Ya Tuhan kami terimalah amalan kami, sesungguhnya Engkau Maha Mendengar dan Maha Mengetahui. Terimalah taubat kami, sesungguhnya Engkau Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.”
(Surah al-Baqarah: 128-129)
7. DOA MEMOHON KETURUNAN YANG SOLEH DAN SOLEHAH
رَبِّ هَبْ لِى مِنَ ٱلصَّلِحِينَ
Maksudnya: “Ya Tuhanku, anugerahkanlah kepadaku (seorang anak) yang termasuk dalam kalangan orang-orang yang soleh.”
(Surah al-Saffat: 100)
8. DOA MEMOHON PETUNJUK DARIPADA ALLAH
رَبَّنَآ ءَاتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berikanlah rahmat kepada kami dari sisi-Mu dan sempurnakanlah bagi kami petunjuk yang lurus dalam urusan kami (ini).”
(Surah al-Kahfi: 10)
9. DOA AGAR DIPERMUDAHKAN UNTUK SENTIASA MEMPERBAIKI IBADAH
اَللَّهُمَّ أَعِنِّي عَلَى ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ
Maksudnya: “Ya Allah, bantulah aku untuk mengingati-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan memperbaiki ibadah kepada-Mu.”
(HR Ahmad)
10. DOA AGAR TERHINDAR DARIPADA FITNAH DAJJAL DAN FITNAH KEHIDUPAN SERTA KEMATIAN
Daripada Aisyah r.a. berkata:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَدْعُو فِي الصَّلاَةِ:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ القَبْرِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ المَسِيحِ الدَّجَّالِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ المَحْيَا، وَفِتْنَةِ المَمَاتِ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ المَأْثَمِ وَالمَغْرَمِ
Maksudnya: “Adapun Rasulullah SAW berdoa di dalam solatnya (selesai membaca tasyahhud akhir): Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada seksaan kubur, aku berlindung dengan -Mu daripada fitnah al-masih al-Dajjal, aku berlindung dengan-Mu daripada fitnah kehidupan dan kematian, serta aku berlindung dengan-Mu daripada perbuatan dosa dan hutang.”
(HR Bukhari)
11. DOA AGAR DIJAUHI DARIPADA PERASAAN HASAD DENGKI
رَبَّنَا ٱغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَٰنِنَا ٱلَّذِينَ سَبَقُونَا بِٱلْإِيمَٰنِ وَلَا تَجْعَلْ فِى قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ رَبَّنَآ إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dulu daripada kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman; wahai Tuhan kami, Sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang.”
(Surah al-Hasyr: 10)
12. DOA MEMOHON RAHMAT DAN KEAMPUNAN
رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنفُسَنَا وَإِن لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ
Maksudnya: “Ya Allah, kami telah menzalimi diri kami sendiri, jika Engkau tidak mengampuni kami dan merahmati kami tentulah kami menjadi orang yang rugi.”
(Surah al-A’raf: 23)
13. DOA AGAR DITETAPKAN HATI DALAM BERAGAMA
رَبِّ أَدْخِلْنِي مُدْخَلَ صِدْقٍ وَأَخْرِجْنِي مُخْرَجَ صِدْقٍ وَاجْعَلْ لِي مِنْ لَدُنْكَ سُلْطَانًا نَصِيرًا
Maksudnya: “Ya Allah, masukkanlah aku dengan cara masuk yang benar, dan keluarkanlah aku dengan cara keluar yang benar. Dan berikan padaku kekuasaan (pemimpin) sebagai penolong.”
(Surah al‐Isra’: 80)
14. DOA KETETAPAN HATI
رَبَّنَا لاَ تُزِغْ قُلُوْبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً إِنَّكَ أَنْتَ الْوَهَّابُ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan setelah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi-Mu. Sesungguhnya Engkau-lah Maha Pemberi (kurnia).”
(Surah Ali Imran: 8)
15. DOA AGAR MENJADI ORANG YANG SOLEH
رَبِّ أَوْزِعْنِىٓ أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ ٱلَّتِىٓ أَنْعَمْتَ عَلَىَّ وَعَلَىٰ وَٰلِدَىَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَـٰلِحًۭا تَرْضَىٰهُ وَأَدْخِلْنِى بِرَحْمَتِكَ فِى عِبَادِكَ ٱلصَّـٰلِحِينَ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan masukkanlah daku – dengan limpah rahmatMu – dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.”
(Surah al-Naml: 19)
16. ZIKIR BERAT TIMBANGAN
Daripada Abu Hurairah r.a.:
كَلِمَتَانِ خَفِيفَتَانِ عَلَى اللِّسَانِ ثَقِيلَتَانِ فِي الْمِيزَانِ حَبِيبَتَانِ إِلَى الرَّحْمَنِ سُبْحَانَ اللَّهِ الْعَظِيمِ سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ
Maksudnya: “Ada dua kalimat yang ringan di lisan, berat di timbangan, dan dicintai Allah yang Maha Rahman, iaitu Subhaanallahil ‘azim dan Subhanallah wabihamdihi.”
(HR Bukhari)
17. DOA MEMOHON KETURUNAN YANG BAIK
Firman Allah SWT:
رَبِّ لَا تَذَرْنِيْ فَرْدًا وَ أَنْتَ خَيْرُ الْوَارِثِيْن
Maksudnya: “Ya Tuhanku, janganlah Engkau biarkan aku hidup seorang diri (tanpa keturunan) dan Engkaulah ahli waris yang terbaik.”
(Surah al-Anbiya’: 89)
18. ZIKIR NABI YUNUS
Firman Allah SWT:
لَا إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ
Maksudnya: “Tidak ada Tuhan selain Engkau, Maha Suci Engkau sesungguhnya aku termasuk orang yang zalim.”
(Surah al-Anbiya’: 87)
19. DOA MEMOHON KEAMPUNAN DAN DIMATIKAN DALAM IMAN
Firman Allah SWT:
رَّبَّنَآ إِنَّنَا سَمِعْنَا مُنَادِيًا يُنَادِى لِلْإِيمَٰنِ أَنْ ءَامِنُوا۟ بِرَبِّكُمْ فَـَٔامَنَّا ۚ رَبَّنَا فَٱغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَكَفِّرْ عَنَّا سَيِّـَٔاتِنَا وَتَوَفَّنَا مَعَ ٱلْأَبْرَارِ
Maksudnya: “Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami mendengar (seruan) yang menyeru kepada iman, (iaitu): “Berimanlah kamu kepada Tuhanmu”, maka kami pun beriman. Ya Tuhan kami, ampunilah bagi kami dosa-dosa kami dan hapuskanlah dari kami kesalahan-kesalahan kami, dan wafatkanlah kami beserta orang-orang yang banyak berbakti.”
(Surah Ali Imran: 193)
20. DOA PENERANG HATI
رَبِّ ٱشْرَحْ لِى صَدْرِى
وَ يَسِّرْ لِى أَمْرِى
وَ احْلُلْ عُقْدَةً مِّن لِّسَانِى
يَفْقَهُوا قَوْلِى
Maksudnya: “Ya Tuhanku lapangkanlah dadaku, mudahkanlah urusanku, lancarkanlah lidahku agar mereka mengerti perkataanku.”
(Surah Taha: 25-28)
21. DOA KESELAMATAN DAN KESEJAHTERAAN
Daripada Talhah bin Ubaidillah r.a.:
اللهُمَّ أَهِلَّهُ عَلَيْنَا بِالْيُمْنِ وَالْإِيمَانِ، وَالسَّلامَةِ وَالْإِسْلامِ، رَبِّي وَرَبُّكَ اللهُ
Maksudnya: “Ya Allah, naungilah kami dengan keamanan dan keimanan serta keberkatan, keselamatan dan kesejahteraan. Tuhanku dan tuhanmu adalah Allah.”
(HR Ahmad)
Sahabat, mari kita benar-benar memanfaatkan malam-malam akhir Ramadan kali ini dengan bermunajat, memohon keampunan dan berdoa sebanyak-banyaknya kepada Allah SWT. Kita tidak tahu, mungkin Ramadan ini ialah yang terakhir buat diri kita.
Semoga Allah benar-benar sudi memandang kita dan menerima semua amalan yang telah dilakukan. Allahumma ameen.
SILAKAN SHARE, KITA BERKONGSI KEBAIKAN DAN GANJARAN PAHALA
Sumber: Ustazah Asma’ Harun
Contoh Doa Munajat Yang Boleh Dibacakan Dalam Bulan Ramadan (Bahasa Melayu)
CONTOH DOA MUNAJAT LAILATUL QADAR 1
Selepas solat Witir tadi, imam membacakan doa dalam Bahasa Melayu. Memang amat jarang sekali kita dengar imam baca doa dalam Bahasa Melayu. Amat tersentuh, menitis air mata apabila imam membacakan doa. Sewaktu moreh saya tanya imam, ambil mana doa tadi, JAKIM ke, Majlis Agama ke fikir saya dalam hati? Dia kata dia buat sendiri. Lalu saya minta dia hantarkan doa tersebut untuk tatapan kita, semua.
MUNAJAT RAMADHAN…
Ya Allah…Ya Rahman…Ya Rahim…
Dalam dakapan Ramadhan yang suci ini, Dengan rasa rendah diri, Kami yang kerdil dan hina ini memohon doa dengan penuh pengharapan kepadaMu ya Allah… Semoga Engkau sudi mendengar permintaan kami, kerana sesungguhnya Engkaulah Tuhan yang Maha Mendengar.
Ya Fattahu Ya ‘alim…
Ajarkanlah kami yang lemah ini utk melihat jalan keluar dari semua masalah yang membelenggu kami, bukakanlah hijab kepada kami yang tak mampu melihat setiap kebaikan pada kejadian dan takdirmu. Ya Allah..takdirkanlah yang baik-baik untuk diri kami, Janganlah kau menguji kami pada apa yang tidak mampu kami lalui.. Bukakanlah pintu-pintu rahmatMu untuk kami ya Allah…
Ya Allah Rabbul Jalil….
Sejahterakanlah untuk kami dgn kesihatan yang baik supaya dengannya kami dapat beribadah kepadaMu. Ya Allah..ampunkanlah segala dosa kami, kerana kami terlalu banyak dosa kepadaMu Ya Allah…Kami lupa akan Engkau ketika sihat, kami ingat padaMu bila ditimpa sakit, Kami lupa kepadaMu ketika senang, kami ingat kepadaMu bila datang kesusahan. Kami lupa kepadaMu disaat kami gembira, Kami ingat kepadaMu ketika sedih dan kecewa, Kami habiskan usia muda dengan keseronokan dunia, kami mula mengingatiMu ketika usia sudah tua.
Justeru ya Allah…ampunilah semua dosa kami..berilah kekuatan kpd kami utk melawan hawa nafsu dan dunia yang sentiasa melalaikan kami daripada mengingatiMu ya Allah…
Ya Allah…Ya Rahman..Ya Rahim…
Ampunkanlah dosa kedua ibubapa kami,. Kami memohon agar setiap titik susu ibu yg mengalir dalam diri kami…kau gantilah dengan kebajikan untuknya yang boleh membawanya ke syurgaMu ya Allah…ya Rahman…pada setiap keringat yang mngalir pada tubuh ayah kami dalam mcari rezki kepada kluarga kami…kau gantikanlah dengan keampunan yang membawa ke syurgaMu ya Allah.
Sesungguhnya pengorbanan mereka tidak akan mampu kami membalasnya. Bahkan terkadang mereka hidup dalam kesusahan dan kesempitan, sedangkan kami berada dalam kesenangan dan kemewahan…Justeru kurniakanlah kepada kedua ibubapa kami tempat yg istimewa di syurgaMu ya Allah…..
Ya Allah….
Kami juga memohon ampun untuk kaum kerabat kami, sahabat-sahabat kami dan guru-guru kami yang terlebih dahulu pergi meninggalkan kami ke alam barzakh…golongkanlah mereka dalam golongan orang yang Engkau redhai…apabila tiba pula giliran kami menuju barzakhMU..maka Kau ambillah kami dalam keadaan yang baik-baik…dalam keampunan dan rahmatMu Ya Allah…
Ya Allah Ya azizz…
Kurniakanlah kpd kami jiwa yg tenang dan tenteram…hiasilah hati kami dgn sifat syukur, redha, sabar, ikhlas, amanah dan bertanggungjawab…Kau jauhkanlah drp kami sifat ujub, riak,takabbur, fitnah, mengadu domba, sangka buruk dan khianah.
Ya Rashid…Ya rahman…Ya Rahim..
Jika ada dikalangan kami mereka yg diuji dgn kesusahan, maka kau bantulah mereka, permudahkanlah urusan mereka, jika ada di kalangan kami mereka yg bersedih hati, berikanlah ketenangan dan jln keluar kpd mereka, jika ada di kalangan kami sdg berhajat dgn keperluannya, maka tunaikanlah hajat mereka, dan cukupkanlah keperluan mereka, jika ada di kalangan kami mereka yg diuji dengan sakit, maka kau sembuhkanlah mereka Ya Allah…agar dapat beribadah bersama kami.
Jika ada dikalangan kami mereka yg derhaka kpd ibubapa atau terkurang dlm melayani mereka, maka kau ampunilah mereka, jadikanlah kami anak2 yg taat dan berbakti..sesungguhnya Engkaulah Tuhan yg Maha Mendengar dan Mengasihi…
Ya Allah Ya Malikal Mulk…
Ya Razak..Ya Fattahu Ya ‘Alim…
Kurniakan kpd kami rezeki yg halal lg diberkati dan jadikanlah dgn rezeki itu kami semakin dekat dgnMu..sebaliknya, jgnlah kau jadikan kami drp golongan yg lupa diri setelah mendapat kurniaannMu.
Ya Allah….
Bantukanlah kami dlm menjalankan urusan agama kami, Elokkanlah urusan dunia kami, yg padanya tempat kami mencari kehidupan, Elokkanlah urusan akhirat kami, yg padanya tempat kami akan kembali utk selama2nya.. jadikanlah kehidupan kami ini sebagai tambahan segala kebaikan kpd kami, dan jadikanlah kematian sebagai ketenangan kpd kami dari segala kejahatan, Sesungguhnya kami ingin kembali kpdMu dgn jiwa yg tenang….
Ya Allah Ya Zal Jalali Wal Ikram…
Ya Allah….Jgnlah kau jadikan ramadhan ini sbg yg terakhir buat kami, temukanlah kami dgn Ramadhan yg akan dtg…
Tapi, Andai ini Ramadhan terakhir buat kami, jadikankanlah puasa kami sbg puasa yg Kau rahmati, jadikanlah ramadhan ini paling bererti, penuh dgn cahaya iman, menerangi kegelapan hati kami menuju redha serta kasih sayangmu ya Allah…jadikanlah ramadhan ini sebagai penghapus dosa2 kami.. Ya Allah…temukanlah kami dgn lailatul qadr…pilihlah kami dikalangan hambaMu yg dpt beramal di mlm al-Qadr….Ya Allah..terimalah amalan kami..terimalah taubat kami..ampunkanlah segala dosa kami…amankanlah kehidupan kami disana nanti yg kekal abadi… kurniakanlah kpd kami syurgamu yg maha luas nikmatnya…
Amiin… Ya Rabbal ‘Alamiin.
(Kredit: Facebook)
CONTOH DOA LAILATUL QADAR 2
اللَّهُمَّ يَا رَحْمَٰنُ يَا رَحِيمُ
Ya Allah, di dalam dakapan Ramadan yang penuh kesucian ini, dengan rasa rendah diri, kami hamba-Mu yang lemah dan hina ini memohon doa dengan penuh pengharapan kepada-Mu semoga Engkau sudi mendengar permintaan kami kerana sesungguhnya Engkaulah Tuhan yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Mudah-mudahan puasa kami, solat kami, i’tikaf kami, zakat kami dan segala amal ibadah kami di sepanjang bulan Ramadan yang mulia ini diterima oleh-Mu ya Allah.
Ya Allah, terimalah rintihan istighfar dan taubat kami, sesungguhnya tiada yang dapat mengampuni dosa selain Engkau. Jadikanlah kami sebagai hamba yang memperolehi pembebasan dari api neraka di bulan yang suci ini.
Ya Allah, curahkanlah rahmat dan kurniaan-Mu kepada kami, sesungguhnya hanya dengan rahmat dan kurniaan-Mu sahajalah kami dapat memasuki syurga-Mu . Peliharalah diri kami dan janganlah Engkau biarkan kami tanpa pertolongan-Mu walaupun sekelip mata.
Ya Allah, jadikanlah Al-Quran sebagai pententeram hati kami, penerang dada kami, penghibur dan penawar duka kami.
Ya Allah, curahkanlah bagi kami rasa takut kepada-Mu dengan menjauhkan kami dari perbuatan dosa dan maksiat kepada-Mu. Kurniakanlah kami ketaatan yang dapat membawa kami ke syurga-Mu. Dan berikanlah kami keyakinan yang dapat meringankan musibah-musibah dunia yang menghimpit kami.
Ya Allah, hiasilah pendengaran, penglihatan dan kekuatan kami selama kami hidup. Berikanlah kurnia tersebut kepada kami selama hayat di kandung badan. Janganlah Engkau timpakan kepada kami musibah pada agama kami dan janganlah jadikan dunia menjadi keinginan kami yang terbesar dan menjadi kesudahan ilmu kami serta janganlah Engkau kuasakan ke atas kami orang yang tidak menyayangi kami.
Ya Allah berikanlah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari azab neraka.
Amin ya Rabbal Alamin..
CONTOH DOA MUNAJAT LAILATUL QADAR 3
Ya Allah, jangan Kau biarkan Ramadhan pergi tanpa meninggalkan kesan keinsafan di hati-hati kami.
Ya Allah, jangan biarkan Ramadhan pergi tanpa membawa himpunan amal dan doa kami.
Ya Allah, jangan biarkan Ramadhan pergi tanpa islah dan kebaikan terhadap keperibadian kami.
Ya Allah, jangan biarkan Ramadhan pergi tanpa keampunan dosa-dosa kami.
Ya Allah, jangan biarkan Ramadhan pergi tanpa meninggalkan jejak-jejak ke syurga untuk kami.
Ya Allah, janganlah Kau biarkan Ramadhan pergi sebelum Kau tutup rapat pintu azab dan neraka Mu daripada tergelinciran kaki kami.
Ya Allah, lindungilah kami dari melakukan dosa dan kemaksiatan semasa dalam Ramadhan mahupun selepas Ramadhan.
Ya Allah, sebelum mentari akhir Ramadhan berlalu pergi, Engkau ampunilah kami dan Engkau terimalah taubat kami.
Ya Allah, lindungilah semua anggota keluarga kami dari tipu daya dan fitnah dunia. Selamatkan setiap seorang dari kami dengan Iman dan taqwa.
Jadikan kami calon syurgaMu. Sempurnakan akhlak kami dan lindungi kami dari godaan syaitan dan hawa nafsu.
Ya Mujibbasailin.
Limpahilah kami dengan sifat-sifat kebaikan dan terpuji.
Jadikan kehidupan kami di dunia ini tenang dan penuh rahmah dan mawaddah.
Ya Allah, Kau sempatkanlah kami bertemu lagi dengan Ramadhan Al Mubarak yang akan datang.
Ya Allah….Janganlah Kau jadikan ramadhan ini sbg yg terakhir buat kami, temukanlah kami dengan Ramadhan yang akan datang…
Tapi, andai ini Ramadhan terakhir buat kami, jadikankanlah puasa kami sebagai puasa yang Kau rahmati, jadikanlah ramadhan ini paling bererti, penuh dengan cahaya iman, menerangi kegelapan hati kami menuju redha serta kasih sayangmu ya Allah…Jadikanlah Ramadhan ini sebagai penghapus dosa-dosa kami..
Ya Allah…temukanlah kami dgn lailatul qadr…pilihlah kami di kalangan hambaMu yang dapat beramal di malam al-Qadr….Ya Allah..terimalah amalan kami..terimalah taubat kami..ampunkanlah segala dosa kami…amankanlah kehidupan kami disana nanti yang kekal abadi… kurniakanlah kepada kami syurga-Mu yang maha luas nikmatnya…
Allahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’fu anni X3
Aamiin ya rabbal’aalamiin..
Sumber: Pejabat Agama Daerah Pendang, Kedah
Panduan Qiamullail
Qiamullail ialah satu amalan sunat yang bererti ‘bangun malam’ iaitu bangun dengan tujuan untuk beribadat kepada Allah SWT amalan qiamullail bukanlah satu perkara baru, bahkan ianya merupakan ibadat yang sudah menjadi darah daging atau amalan para rasul, nabi-nabi, orang soleh dan alim ulama sejak dahulu lagi.
Berdasarkan kepada ayat-ayat al-Quran dan hadith-hadith yang disebut di atas menunjukkan bahawa di antara amalan-amalan yang disunatkan semasa qiamullail ialah mengerjakan sembahyang-sembahyang sunat, membaca al-Quran, berzikir dan beristighfar memohon ampun ke hadrat Allah SWT. Tentang sedikit atau banyaknya mengerjakan amalan-amalan sunat bergantung kepada kemampuan seseorang.
Jika seseorang itu hanya mampu mengerjakan hanya dua rakaat sembahyang Tahajjud sahaja umpamanya, maka ini juga dikira melakukan ibadat qiamullail.
Walau bagaimanapun sedikit atau banyak bukanlah menjadi ukuran, yang penting ialah keikhlasan seseorang dalam mengerjakan ibadah dan sentiasa melakukannya kerana keikhlasan dan selalu melakukannya itu akan lebih menghampirkan seseorang kepada Allah SWT.
Anda boleh muat turun panduan qiamullail yang dikongsikan oleh JAKIM untuk rujukan bersama.
PORTAL RAMADAN AL-FALAH
Sempena Ramadan, JAKIM menyediakan portal Ramadan Al-Falah yang mengandungi pelbagai informasi menarik berkaitan ibadah dan panduan amalan soleh untuk diamalkan.
Ikuti portal melalui QR code atau layari https://www.islam.gov.my/ms/ramadan-al-falah
Baca juga: JAKIM: Panduan Solat Tarawih Berjemaah & Bersendirian
Amalan Sunat Yang Dianjurkan
MISI MEMBURU MALAM AL-QADR
Antara amalan yang dilakukan oleh Nabi SAW pada malam-malam tersebut adalah:
- Melakukan Solat Malam (Qiamullail)
Rasulullah SAW menganjurkan umatnya agar mencari dan menghidupkan 10 malam terakhir Ramadhan.
Daripada ‘Aisyah R.Anha, katanya:
Adalah Rasulullah SAW apabila masuk pada sepuluh akhir (Ramadan), Baginda SAW akan menghidupkan malamnya (dengan ibadah), mengejutkan ahli keluarganya, dan memperketatkan kain sarungnya (bersungguh-sungguh dalam beribadah dan melakukan kebaikan)”
— Riwayat Muslim: 2015
- Berdoa Memohon Keampunan Dan Dihapuskan Dosa Yang Lalu
Lailatul Qadar termasuk waktu yang mustajab untuk berdoa oleh kerana itu setiap Muslim boleh membaca doa apapun untuk kebaikan dunia dan akhiratnya.
Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah (Nabi Muhammad) bersabda:
Sesiapa yang melakukan qiamullail pada Ramadhan kerana keimanan dan mengharapkan pahala akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu.”
— Hadis riwayat Bukhari dan Muslim
- Melakukan Iktikaf
Itikaf ini dikenali juga sebagai ‘Iktikaf Asyrul-Awahir’.
Iktikaf menjadi sunnah muakkad jika dilakukan di bulan Ramadhan terutama pada 10 terakhir Ramadhan.
Pada hari-hari tersebut Rasululllah SAW mengajak isteri dan keluarga serta para sahabat Baginda menghidupkan malam dan mengisinya dengan pelbagai kegiatan ibadah yang menunjukkan ‘taqarrub‘ (mendekatkan diri) kepada Allah SWT.
Daripada Abi Hurairah r.a telah berkata:
Bahawa Nabi SAW beriktikaf pada setiap kali Ramadhan pada 10 hari, tetapi beriktikaf 20 hari pada tahun kewafatan Baginda SAW.”
— Riwayat al-Bukhari, Abu Daud dan Ibn. Majah
- Sekurang-Kurangnya Melakukan Solat Fardu Secara berjemaah. Imam Ibn Rajab al-Hanbali Rahimahullah menyatakan.
Sebahagian ulama mazhab Syafie menakalkan riwayat daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma bahawa:
Menghidupkan malam Lailatul Qadar akan terhasil apabila seseorang mendirikan solat ‘Isya’ secara berjemaah dan berazam untuk melakukan solat Subuh secara berjemaah jua.
Imam Malik merekodkan dalam al-Muwatta’ bahawa Imam Ibn al-Musayyib berkata: Sesiapa yang bertemu dengan Lailatul Qadar bermaksud (yang mendirikan solat) dalam berjemaah (pada malam tersebut), maka dia akan memperolehi kebaikan malam itu. Begitu jualah yang dikatakan oleh Imam asy-Syafie rahimahullah dalam pendapat lamanya: Sesiapa yang mendirikan solat Isya’ dan Subuh pada malam Lailatul Qadar, maka dia akan memperoleh kebaikannya.”
— Lihat Lathaif al-Maarif (hal. 159).
Tiada nikmat yang lebih besar selain daripada nikmat keampunan Allah SWT yang kita harapkan selaku hambaNya di atas muka bumi ini untuk meraih ganjaran syurga yang dijanjikanNya di akhirat kelak.
Oleh itu marilah kita berusaha pada 10 malam yang terakhir ini untuk beribadah dengan bersungguh-sungguh dan memperbanyakkan doa agar dipertemukan dengan Lailatul Qadar.