Niat Iktikaf, Kelebihan & I’tikaf 10 Malam Akhir Ramadan

Niat Iktikaf, Hukum & Soalan Lazim Mengenainya

Terdapat beberapa amalan yang dianjurkan pada bulan Ramadan, salah satunya ialah beriktikaf. Ini merupakan amalan yang tidak asing lagi dilakukan di Malaysia bagi ‘memburu’ Lailatul Qadr

 Berdasarkan sebuah riwayat daripada Abdullah Ibn Umar RA, beliau berkata:

 كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَعْتَكِفُ الْعَشْرَ الأَوَاخِرَ مِنْ رَمَضَانَ

Maksudnya: Adalah Rasulullah S.A.W itu beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan.

Riwayat al-Bukhari (2025)

Berikut dikongsikan info lebih lanjut mengenainya. 

Apa Itu Iktikaf?

Niat Iktikaf, Hukum & Soalan Lazim Mengenainya

Iktikaf dari sudut bahasa bermaksud; tetap dan tenteram dengan sesuatu.

Dari sudut syarak pula, iktikaf bermaksud; Menetap di dalam masjid dengan tujuan qurbah (mendekatkan diri kepada Allah) yang dilakukan oleh seorang muslim, mumayyiz, berakal, suci tubuh badan daripada junub, haid, serta nifas, dan dia menghalang dirinya daripada sebarang syahwat kemaluan.

Mazhab Syafi’e mentakrifkan iktikaf adalah; duduk di dalam masjid oleh seseorang yang tertentu dengan niat.  

Sumber: Dewan Pemuda PAS Kawasan Marang

Amalan beriktikaf adalah sebahagian daripada cara mengimarahkan masjid. Pengimarah masjid adalah tanda orang beriman. Firman Allah:

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ

“Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat.” (At-Taubat: 18)

Tiada had minimum masanya. Boleh sejam, dua jam, semalaman; kurang atau lebih. Semuanya boleh.

Syariat tidak menetapkan masa minimumnya.

Iktikaf di masjid dengan memperbanyakkan solat sunat, membaca Al-Quran, berzikir dan berdoa sepanjang bulan Ramadan ini.

Datang awal ke masjid sebelum solat fardu dan niatkan iktikaf sementara tunggu azan.

Hukum Beriktikaf

Berdasarkan penjelasan dalam laman web Mufti Wilayah Persekutuan, hukum beriktikaf adalah sunnah mu’akkadah (yang sangat dituntut). Ianya disunatkan pada keseluruhan waktu manakala pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan ia lebih dituntut.

Rukun Iktikaf

Terdapat 4 rukun iktikaf iaitu:

  • Mu’takif (orang yang melakukan iktikaf);  Muslim, berakal, serta suci dari sebarang hadas besar seperti junub, haid, dan juga nifas.
  • Masjid; Hendaklah ianya dilakukan di dalam masjid.
  • Niat; Berniat semasa hendak memulakan iktikaf bahawa dirinya mahu menetap di dalam masjid untuk tempoh yang tertentu bagi tujuan beribadah.
  • Menetap;  Hendaklah kadar tempohnya melebihi kadar thoma’ninah di dalam rukuk dan seumpamanya.

Niat Iktikaf

Niat Iktikaf dengan tidak menetapkan tempoh waktu.

نَوَيْتُ أَنْ أَعْتَكِفَ فِي هَذَا الْمَسْجِدِ للهِ تَعَالَى  

Maksudnya: Sahaja aku berniat itikaf di masjid ini kerana Allah.

Niat Iktikaf dengan menetapkan tempoh waktu.

نَوَيْتُ أَنْ أَعْتَكِفَ فِي هَذَا الْمَسْجِدِ يَوْمًا/لَيْلًا كَامِلًا/شَهْرًا لِلهِ تَعَالَى   

Maksudnya: Sahaja aku berniat itikaf di masjid ini selama satu hari/satu malam penuh/satu bulan karena Allah.

Niat Iktikaf yang dinazarkan. 

 نَوَيْتُ أَنْ أَعْتَكِفَ فِي هَذَا الْمَسْجِدِ فَرْضًا للهِ تَعَالَى 

Maksudnya: Sahaja aku berniat itikaf di masjid fardhu karena Allah.

iktikaf masjid jakim i'tikaf
Sumber: JAKIM

Adab-Adab & Perkara yang Boleh Dilakukan Semasa Iktikaf

  1. Sunat membuat amalan yang mentaati Allah SWT, seperti berzikir, membaca al-Quran dan membincangkan ilmu pengetahuan. 
  2. Jangan bercakap-cakap kecuali perkara yang baik. Jangan memaki, mengumpat, mengacum dan berbual-bual perkara yang tidak berfaedah.
  3. Memakai minyak wangi.
  4. Bercantik-cantik dalam berpakaian.
  5. Makan di dalam masjid. Yang lebih utama adalah makan di atas safrah (kain lapik)
  6. Boleh untuk berbekam di dalam masjid dengan syarat selamat dari sebarang percikan yang boleh mengotorkan masjid.
  7. Boleh untuk orang yang beriktikaf mengahwinkan orang lain.
  8. Bersungguh dalam membaca al-Quran dan mengulangkaji ilmu.
Niat Iktikaf, Hukum & Soalan Lazim Mengenainya

I’tikaf Pada Malam 10 Terakhir Ramadan

Sunnah iktikaf yang dilakukan Rasulullah SAW ialah sepuluh hari terakhir dari bulan Ramadan. Baginda melaksanakan sejak berpindah ke Madinah sehingga baginda wafat.

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا زَوْجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَعْتَكِفُ الْعَشْرَ الْأَوَاخِرَ مِنْ رَمَضَانَ حَتَّى تَوَفَّاهُ اللَّهُ ثُمَّ اعْتَكَفَ أَزْوَاجُهُ مِنْ بَعْدِهِ

Daripada Aisyah Radhiyallahuanha, bahawa Nabi SAW beriktikaf pada sepuluh hari terakhir dari bulan Ramadan sampai Allah mewafatkan baginda, kemudian isteri-isteri baginda (tetap) beriktikaf sepeninggalan baginda. (Sahih Bukhari No: 1922) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih

Amalan iktikaf sepuluh hari terakhir Ramadan antara sunnah Rasulullah SAW yang dilupakan oleh kebanyakan umat Islam hari ini. Dr Wahbah Zuhaili menyatakan: “Sungguh pelik manusia, bagaimana mereka boleh meninggalkan iktikaf?. Rasulullah SAW melakukan sesuatu dan meninggalkan sesuatu tetapi baginda tidak meninggalkan iktikaf sehinggalah baginda wafat”.

Soalan Lazim

1. Apakah Hukum Beriktikaf Di Rumah Pada 10 Akhir Ramadan?

J: Iktikaf hanya boleh dilakukan di masjid sahaja. Hukum beriktikaf di masjid adalah sunat pada setiap masa dan yang terbaiknya apabila ia ditunaikan pada 10 akhir Ramadan. 

Walaubagaimanapun, sekiranya terdapat kes tertentu seperti masjid tutup disebabkan oleh COVID 19, hukum beriktikaf di rumah adlaah seperti berikut:

1. Harus bagi wanita untuk iktikaf di ruang solat di rumahnya, dan dia memperoleh pahala iktikaf dengan izin Allah Ta’ala, khasnya ketika masjid-masjid tidak dibuka untuk iktikaf.

2. Harus bagi lelaki untuk iktikaf di ruang solat di rumahnya di negara-negara yang masjidnya tidak dibuka untuk solat dan beriktikaf, dan dia memperoleh pahala iktikaf dengan izin Allah Ta’ala.

2. Adakah Wanita Dibenarkan Beriktikaf Di Masjid?

J: Wanita dibenarkan melakukan ibadah iktikaf di masjid meskipun terdapat pendapat yang menyatakan makruh bagi wanita yang mempunyai rupa paras yang cantik. Namun begitu, wanita tersebut perlu memastikan bahawa keadaan selamat daripada berlaku fitnah ketika hendak beriktikaf. Selain itu, wanita tersebut perlu berada dalam keadaan suci daripada hadas besar(haid, nifas dan junub). Selain itu juga, wanita tersebut perlu mendapatkan izin daripada suaminya. Jika wanita tersebut beriktikaf tanpa keizinan daripada suaminya maka ia dikira sebagai perbuatan haram.

3. Adakah Dibolehkan Bagi Orang Yang Terlupa Untuk Berniat I’tikaf Ketika Masuk Ke Masjid Untuk Berniat Ketika Di Dalam Solat?

J: Adalah dibenarkan untuk berniat i’tikaf ketika di dalam solat bagi orang yang terlupa untuk berniat ketika masuk ke dalam masjid. Akan tetapi, niat tersebut perlulah dilakukan di dalam hati. Ini kerana, dengan perbuatan melafazkan niat tersebut akan menyebabkan solat terbatal disebabkan telah melakukan salah satu daripada perkara-perkara yang membatalkan solat iaitu berkata-kata atau bercakap dengan sengaja. 

Sumber:

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!