Kurap : Gejala, Kaedah Rawatan, dan Tips Kawalan Jangkitan

Kurap atau tinea corporis merupakan sejenis penyakit kulit yang berlaku disebabkan jangkitan sejenis kulat yang dikenali sebagai dermatophyte.

Selain menjangkiti kulit, kulat ini juga boleh menjangkiti rambut serta kuku.

Jangkitan kurap boleh berlaku melalui sentuhan, sama ada dengan manusia atau haiwan yang berkurap atau dengan sentuhan objek yang mempunyai kulat di atasnya.

kurap

Faktor Jangkitan

Beberapa faktor boleh menggalakkan pertumbuhan serta jangkitan kulat ini seperti :

  • Keadaan kulit yang sentiasa lembap
  • Pemakaian baju yang diperbuat daripada fabrik yang tidak menyerap peluh
  • Iklim yang lembap dan panas

Golongan Berisiko

Indibidu yang mempunyai sistem imun tubuh yang lemah lebih berisiko untuk mengalami penyakit ini seperti :

  • Warga emas
  • Kanak-kanak
  • Penghidap kencing manis
  • Pesakit dengan kegagalan buah pinggang
  • Pesakit HIV atau AIDS

Gejala Kurap

  • Rupa plak kemerah-merahan yang bersisik.
  • Kadang kala muncul bintik-bintik merah atau bisul halus di sekeliling kulit bermasalah.
  • Plak boleh membesar dan kadang-kala membentuk gelang kemerah-merahan di sekeliling. Ia dikenali sebagai ringworm walaupun sebenarnya penyakit ini tiada kaitan dengan jangkitan cacing.
  • Boleh muncul di mana-mana bahagian tubuh termasuk bahagian lipatan badan, kawasan yang sering berpeluh dan tertutup seperti peha, perut dan punggung.
  • Mengalami masalah rambut seperti keguguran rambut, rambut rosak, kelemumur
  • Kukur bertukar kepada warna kuning atau hitam serta berkuping
kurap
kurap

Ada kalanya, masalah jangkitan kurap ini sukar untuk dikenalpasti kerana rupanya yang mirip dengan keadaan penyakit kulit lain seperti kusta, sifilis sekunder, Bowen’s disease, psoriasis dan discoid eczema.

Jadi, doktor biasanya akan mengambil sampel kulit berkurap melalui skin scraping dan memubat ujian menerusi mikroskop untuk mengesahkannya.

Kaedah Rawatan

Jenis rawatan adalah bergantung kepada beberapa faktor seperti tahap jangkitan serta kekerapan jangkitan berulang selepas dirawat.

Teknik Sapuan Krim

Teknik ini sesuai untuk atasi kurap yang berlaku di kawasan kulit yang terhadp.

Antara krim yang sesuai untuk digunakan adalah yang mengandungi bahan aktif seperti imidazoleh allylamine, tolnaftate dan cicloprox.

Teknik sapuan krim juga perlu dilakukan dengan betul. Caranya ialah dengan menyapu ubat krim di atas plak dan melebihi sempadan kurap.

Bergantung kepada jenis ubat yang digunakan, rawatan mungkin perlu dilakukan dua kali sehari selama dua hingga empat minggu.

Pil Antikulat

Penggunaan pil antikulat adalah lebih praktikal bagi individu yang mengalami kulit berkurap di banyak kawasan.

Antara ubat antikulat yang sering digunakan adalah fluconazole, itraconazole dan terbinafine.

Gunakan Syampu Khas

Sekiranya masalah ini wujud di bahagian kulit kepala, anda boleh atasinya dengan menggunakan syampu jenis antikulat yang mengandungi bahan aktif seperti ketoconazole, selenium sulfide, pyrithone zinc dan lain-lain.

Namun, syampu ini tidak boleh digunakan secara kerap seperti syampu biasa yang ada di pasaran. Dapatkan nasihat daripada doktor sebelum mengamalkannya.

Nota :

Ubat-ubat ini mempunyai kesan sampingan yang tersendiri dan boleh bernteraksi dengan ubat-ubat lain sehingga mengakibatkan komplikasi.

Jadi, pastikan ubat-ubat ini diperoleh daripada pengamal perubatan yang berdaftar.

Anda juga dinasihatkan supaya tidak membeli ubat-ubatan tanpa preskripsi terutamanya jika anda mengambil ubat-ubatan lain.

Tips Kawalan Jangkitan Kurap

Antara langkah penting untuk mengelakkan penyakit ini merebak ialah jangan menggaru kawasan gatal sekiranya ada.

Tindakan ini boleh menyebabkan kulat merebak ke kawasan lain sama ada melalui air nanah daripada bisul yang pecah atau ke kulit yang sedia dijangkiti.

Ketika mandi, bersihkan badan dengan baik dan keringkan kawasan yang bermasalah.

Barangan peribadi seperti pakaian dan tuala perlu ditukar dengan kerap untuk kurangkan jangkitan.

Sekiranya kondisi penyakit semakin teruk, elakkan untuk ke tempat awam seperti sekolah atau pejabat.

Dapatkan nasihat daripada doktor untuk dapatkan preskripsi ubat yang paling sesuai dan sekiranya ruam atau gejala lain muncul.

Sumber : MyHealth, doctoroncall.com.my

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!