Kenapa hidung berdarah tiba2?
Pasti ada individu yang pernah mengalami kejadian ini sekurang-kurangnya sekali seumur hidup kan?
Masalah hidung berdarah adalah keadaan di mana darah melalui rongga hidung secara tiba-tiba.
Justeru, adakah masalah kesihatan ini perkara biasa yang berlaku atau ia merupakan petanda kepada penyakit tertentu?
Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda berkenaan dengan masalah hidung berdarah dengan lebih lanjut.
Baca juga:
Apa itu hidung berdarah?
Hidung berdarah atau epistaxis adalah masalah biasa yang berlaku dalam kalangan kanak-kanak.
Ia selalunya berkaitan dengan satu bahagian di dalam hidung iaitu “little area” yang senang untuk berdarah.
Masalah ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tidak kira usia.
Terdapat dua jenis pendarahan hidung yang perlu anda tahu iaitu pendarahan depan (anterior) dan pendarahan belakang (posterior).
Pendarahan depan (anterior) adalah pendarahan yang berlaku daripada saluran darah bahagian hadapan hidung.
Manakala pendarahan belakang (posterior) adalah pendarahan yang berlaku daripada saluran darah jauh di dalam hidung.
Pendarahan ini akan berlaku di bahagian belakang mulut atau di bahagian tekak.
Tanda hidung berdarah
Tanda hidung berdarah sebelah kanan dan kiri boleh datang dengan beberapa simptom lainnya seperti yang berikut:
- Darah jenis cair atau darah pekat
- Pendarahan yang tidak berhenti
- Lendiran bercampur darah
- Hidung berasa tersumbat
- Susah untuk bernafas
- Rasa darah dalam mulut atau tekak
- Demam
- Liang hidung berasa kering
- Hidung rasa sakit
Punca hidung berdarah
Hidung berdarah atau epistaksis berlaku apabila salur darah halus dalam rongga hidung pecah.
Keadaan ini boleh disebabkan oleh pelbagai faktor, antaranya udara yang terlalu kering atau panas, yang mengeringkan lapisan dalam hidung dan menjadikannya mudah luka.
Hidung kerap berdarah juga boleh berlaku secara spontan atau disebabkan oleh trauma.
Walau bagaimanapun, kebanyakan sebab-sebabnya tidak dapat dikenal pasti.
Kerap mengorek hidung, tiupan hidung yang terlalu kuat, atau kecederaan pada hidung juga boleh mencetuskan pendarahan.
Selain itu, alahan, jangkitan sinus, atau penggunaan semburan hidung secara berlebihan boleh merengsakan tisu hidung dan menyebabkan salur darah pecah.
Dalam sesetengah kes, tekanan darah tinggi, pengambilan ubat pencair darah, atau masalah kesihatan tertentu juga boleh menjadi puncanya.
Walaupun kebanyakan kes hidung berdarah adalah ringan dan berhenti sendiri, namun pendarahan yang kerap atau sukar berhenti perlu diberi perhatian dan dirujuk kepada doktor untuk pemeriksaan lanjut.
Antara penyebab lazim berlakunya pendarahan hidung adalah:
- Kecederaan di hidung
- Udara yang terlampau sejuk atau kering
- Menghembus hidung dengan kuat
- Terlalu kerap bersin
- Ketumbuhan dalam rongga hidung (contoh: polip, tumor)
- Tindak balas bahan kimia
Baca juga:
Cara hentikan hidung berdarah
Jika hidung berdarah apa perlu buat?
Berikut adalah cara rawatan hidung berdarah yang betul dan boleh dilakukan ketika kecemasan:
- Jangan mendongak untuk hentikan pendarahan kerana ia boleh menyebabkan darah membeku di dalam hidung.
- Duduk dengan tegak dan bongkokkan badan ke hadapan.
- Tekan bahagian hidung untuk 10 minit.
- Gunakan ais dan letakkan di batang hidung.
- Bernafas menggunakan mulut bukan hidung.
Jika hidung kerap berdarah, JANGAN lakukan perkara seperti berikut:
- Berbaring atau mendongakkan kepala
- Menyumbat hidung dengan tisu, kapas atau kain
- Menghembus hidung atau mengorek hidung
- Makan makanan panas atau pedas boleh menyebabkan hidung kembali berdarah
Cara untuk elak pendarahan hidung
1. Elak korek hidung
Buang tabiat anda yang gemar korek hidung. Kuku yang panjang dan tajam boleh memberi risiko rongga hidung cedera.
2. Gunakan semburan saline
Jika anda mempunyai jenis kulit mudah kering, anda digalakkan untuk menggunakan semburan saline bagi menjaga kelembapan dalam hidung.
Hal ini kerana permukaan dalam hidung yang kering akan lebih mudah tercedera dan berdarah.
Pilihan lain selain semburan saline adalah gel pelembap atau petroleum jelly seperti vaseline bagi mendapatkan manfaat yang sama.
3. Gunakan pelembap udara
Fungsi pelembap udara adalah untuk menyeimbangkan kadar kelembapan di dalam bilik supaya dapat membantu melegakan gejala kering seperti bibir pecah, kulit kering, dan kerengsaan mata.
4. Gunakan alat pelindung muka
Bagi ahli sukan yang terlibat dalam sukan lasak seperi ragbi, softball, boxing atau sebagainya, anda boleh menggunakan pelindung muka bagi mengurangkan risiko dan impak kecederaan pada hidung.
5. Tahu alahan pada bahan kimia
Seseorang yang mempunyai alahan kepada bahan kimia tertentu perlu peka dalam hal ini.
Elakkan dari bersentuhan atau terhidu secara langsung atau tidak langsung dengan bahan tersebut.
Bahan kimia yang kuat sifatnya biasanya akan menyebabkan kerengsaan pada bahagian lapisan hidung. Hal ini berlaku terutama sekali dalam industri kimia.
Justeru itu, pastikan anda sentiasa memakai penutup muka yang sesuai.
Bila perlu jumpa doktor?
Seseorang yang hidungnya berdarah perlu jumpa doktor sekiranya anda mengalami gejala berikut:
- Pendarahan berlebihan dan tidak berhenti.
- Pendarahan hidung terjadi selepas trauma/kemalangan.
- Gangguan pernafasan sebagai simptom tambahan.
- Pendarahan lebih daripada 15 minit walaupun sudah mencuba setiap rawatan di rumah.
- Kanak-kanak kecil yang mengalami hidung berdarah.
- Rasa hendak pitam akibat pendarahan berlebihan.
Hidung berdarah tanda masalah kesihatan kronik?
Walaupun hidung berdarah sering berpunca daripada faktor luaran seperti cuaca kering atau trauma ringan, ia juga boleh menjadi petanda awal kepada masalah kesihatan kronik.
Antara penyakit yang dikaitkan dengan pendarahan hidung ialah tekanan darah tinggi (hipertensi), di mana tekanan yang terlalu kuat dalam salur darah boleh menyebabkan kapilari dalam hidung pecah.
Selain itu, gangguan pembekuan darah seperti hemofilia, leukemia, atau penyakit hati boleh menyebabkan seseorang lebih mudah mengalami pendarahan, termasuk di kawasan hidung.
Pengambilan ubat pencair darah secara berterusan juga meningkatkan risiko ini.
Individu yang mengalami hidung berdarah secara kerap tanpa sebab yang jelas, terutamanya jika disertai simptom lain seperti lebam mudah, keletihan melampau atau pendarahan di tempat lain, disarankan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.
Ini penting bagi mengesan sebarang penyakit kronik yang mungkin belum dikenal pasti lebih awal.
Kesimpulan
Kesimpulannya, pendarahan hidung adalah perkara biasa yang kerap berlaku dalam kalangan kanak-kanak.
Namun begitu, segera dapatkan rawatan jika anda mengalami pendarahan hidung yang tidak berhenti atau berlaku berulang kali.
Diharapkan semoga perkongsian kami ini mengenai masalah hidung berdarah dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan rujukan bersama.
Sumber: