Hari Tasyrik: Pengertian, Amalan Fadilat & Kelebihan
HARI TASYRIK : PENGERTIAN, AMALAN & FADILAT / KELEBIHAN
Rasulullah SAW bersabda : “Hari Tasyrik adalah hari untuk makan dan minum.” (HR Muslim (1141)
Hari-hari Tasyrik 2024 jatuh pada 3 hari berikut – 18, 19 dan 20 Jun 2024, iaitu bersamaan 11,12 dan 13 Zulhijjah 1445H.
Tahukah anda apakah maksud hari ini dan signifikannya dalam Islam?
Berikut dikongsikan lebih lanjut untuk makluman bersama.
Pengertian Hari Tasyrik
Hari-hari Tasyrik dalam istilah Islam adalah merujuk kepada Hari Raya Aidiladha (jatuh pada hari ke-10) serta hari ke-11, 12 dan 13 bulan Zulhijjah mengikut kalendar Islam Hijrah.
Pada hari-hari tersebut, umat Islam yang sedang melakukan ibadah Haji akan menyempurnakan amalan-amalan berkenaan dengan melakukan ibadah melontar di ketiga-tiga Jamrah; iaitu Jamratul Ula, Jamratul Wusta dan Jamratul Aqabah.
Ibadah melontar jamrah ini dilaksanakan bersempena mengingati peristiwa Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s. yang melontarkan anak batu kepada syaitan apabila ia menjelma bagi mengganggu kosentrasi kedua-dua Nabi besar itu untuk melakukan ibadah korban sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah SWT.
Umat Islam boleh melakukan ibadah korban sehingga sebelumnya masuk waktu Maghrib 14 Zulhijjah. Begitu juga amalan bertakbir, juga disunatkan sehingga sebelum masuk waktu Maghrib hari tersebut.
Takbir raya tidak semestinya dilaungkan di masjid sahaja mahupun selepas setiap waktu solat. Umat Islam digalakkan melaungkan lafaz takbir ini (pada masa-masa yang disunatkan/dibenarkan) di mana-mana sahaja.
Di dalam kenderaan, waktu sedang memandu, di dalam rumah, waktu sedang menguruskan hal-hal kerja, bersantai, di jalanan ketika waktu pergi ke masjid atau surau dan di mana-mana sahaja mereka berada dan teringat hendak bertakbir.
Mereka tidak perlu menunggu sampai di surau dan selepas solat baru hendak bertakbir.
Berbeza dengan Takbir Raya AidilFitri, Takbir Raya AidilAdha ini boleh dilaungkan hingga selepas solat Asar pada hari terakhir Hari Tasyrik, iaitu 13 Zulhijjah.
Antara amalan yang boleh dilakukan pada 3 hari ini adalah :
- MEMPERBANYAKKAN SYUKUR NIKMAT
- MEMPERBANYAKKAN DOA DAN ZIKIR
- MENINGKATKAN TAAT DAN TAKWA
Baca juga: Ibadah Korban: Niat, Syarat, Perkara Sunat, Pembahagian Daging
Larangan Berpuasa
Pada hari-hari Tasyrik, umat Islam (Muslim) sama sekali diharamkan untuk melakukan ibadat puasa, ini kerana Hari Tasyrik juga membawa maksud “Hari Makan Minum”.
Hadis Rasulullah yang bermaksud: Dari Nubaisyah al-Hudzali RA katanya: ”Rasulullah bersabda: ”Hari-hari Tasyrik (10,11,12 dan 13 Zulhijjah) adalah hari-hari makan minum.”
(Hadis Riwayat Imam Muslim)
Ikuti video penerangan berikut:
AMALAN SUNAT UNTUK DIAMALKAN DI PAGI HARI RAYA AIDILADHA
Pada waktu pagi hari raya Aidul Adha ini, eloklah jika kita mengikut beberapa perkara sunat yang boleh dilakukan antaranya:
- Mandi sunat Aidiladha pada pagi harinya.
- Memakai pakaian baru dan bersih sebagai tanda syukur kepada Allah.
- Memakai haruman dan wangian yang menyenangkan.
- Memohon keampunan dan bermaaf-maafan sesama ahli keluarga.
- Sunat menjamah makan-minum selepas pulang dari masjid.
- Menggunakan jalan berbeza sewaktu pergi dan pulang dari masjid.Lebih afdal dengan berjalan kaki jika masjid tidak terlalu jauh.
- Bertakbir, tahmid dan tahlil bermula dari malam 10 Zulhijjah hingga terbenam matahari pada 13 Zulhijjah (Takbir Muqayyad).
- Bersolat sunat hari raya dan mendengar khutbah penuh penghayatan.
- Ziarah menziarahi kaum keluarga, jiran tetangga, dan sahabat handai.
- Bersedekah kepada mereka yang memerlukan.
- Elakkan menyambut hari raya dengan perkara yang ditegah syarak.
TAKBIR
Rasulullah SAW menyarankan umat Islam menyambut hari raya dengan banyak memuji kebesaran Allah. Nabi Muhammad bersabda: “Hiasilah hari raya (Aildilfitri dan Aldiladha) kamu dengan takbir, tahlil, tahmid dan taqdis (mengingati dan mengagungkan Allah).” (Hadis riwayat al-Thabrani).
Pada Hari Raya Haji / Aidiladha disunatkan bertakbir (Takbir Muqayyad) setiap kali selepas solat fardu, bermula dari Subuh Hari Arafah (9 Zulhijjah) sehingga waktu Asar pada hari ke 3 Tasyriq, iaitu 13 Zulhijjah.
IBADAH KORBAN
Aidiladha disebut juga Hari Raya Korban. Kata Adha’ adalah bentuk jamak daripada kata dahiyah’ yang bererti haiwan korban. Korban atau udhiah bermaksud menyembelih haiwan tertentu jenisnya daripada ternakan yang dikategorikan sebagai al-an’am iaitu unta, lembu, kerbau, biri-biri dan kambing.
Nabi Muhammad SAW telah bersabda:
“Tiada sesuatu amalan anak Adam di hari Nahar (Hari Raya Korban) yang lebih disukai Allah selain menyembelih haiwan korban.Sesungguhnya haiwan itu akan datang pada hari kiamat (sebagai saksi) dengan cukup segala tubuh anggota, cukup bulunya, tanduknya, dan kuku-kukunya. Dan sesungguhnya darah haiwan korban telah terletak pada suatu tempat di sisi Allah SWT. sebelum mengalir ke tanah. Kerana itu berbahagialah dirimu dengannya.” Hadis Riwayat Tirmizi, Ibnu Majah dan Hakim.
Ibadat korban Aidiladha boleh dilakukan selama empat hari bermula 10 Zulhijjah, iaitu pada Hari Nahar atau Hari Raya Haji (10 Zulhijah) dan pada hari Tasyrik (11,12 dan 13 Zulhijah) kerana bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah.
HIKMAH AIDIL ADHA
1. Hari menyatakan kesyukuran dengan melakukan kebaikan.
2 Meninggalkan perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah seperti maksiat, kesombongan, pertengkaran, bermasam muka dan sebagainya.
WALLAHU A’LAM…SEMOGA DAPAT DIMANFAATKAN.
Sumber : JAKIM