Perdana Menteri telah mengumumkan pelaksanaan had pengisian diesel secara sementara di Sabah, Sarawak dan Labuan bagi mengekang ketirisan dan penyeludupan susulan konflik di Asia Barat yang dicetuskan oleh rejim Zionis Israel dengan dukungan Amerika Syarikat. Pelaksanaan ini akan dikuatkuasakan bermula 1 April 2026 dengan had pengisian setiap pembelian 50L → Kenderaan ringan, 100L → Pengangkutan awam/barangan (<3 tan), dan 150L → Kenderaan berat (>3 tan)
Berikut dikongsikan lebih lanjut tentang jumlah yang telah ditetapkan.
Pengenalan – Harga Diesel Bersubsidi Di Sabah & Sarawak
Dua minggu lalu, Kerajaan memaklumkan subsidi bahan api meningkat kepada sekitar RM3.2 bilion. Hari ini, jumlah itu terus melonjak sehingga mencecah RM4 bilion sebulan.
Sejak awal konflik ini, Kerajaan MADANI telah bertindak awal untuk memastikan bekalan tenaga kekal mencukupi tanpa mengorbankan kesejahteraan rakyat.
Namun, ikhtiar ini berdepan cabaran besar susulan situasi yang kian meruncing di Asia Barat. Kerajaan perlu mengimbangi antara kemampanan fiskal dengan keperluan memastikan bekalan tenaga terus dapat dinikmati rakyat sepanjang krisis ini. Justeru, pelaksanaan langkah sementara ini adalah untuk memastikan majoriti rakyat terus dilindungi, bekalan kekal stabil dan negara kekal bertahan dalam ketidaktentuan global.
Had Pengisian Diesel Di Sabah / Sarawak Mulai 1 April 2026
Had pengisian diesel dikuatkuasakan bermula 1 April 2026 di Sabah, Sarawak dan Labuan :
- Kenderaan ringan pengangkutan darat awam barangan dan persendirian: Maksimum 50 liter setiap pembelian
- Kenderaan pengangkutan darat awam & barangan tidak melebihi 3 tan: Maksimum 100 liter setiap pembelian
- Kenderaan berat melebihi 3 tan: Maksimum 150 liter setiap pembelian
Tiada perubahan harga. Harga masih kekal dengan subsidi sekarang, iaitu RM2.15 seliter.

Ucapan Penuh Perutusan Khas Perdana Menteri, 26 Mac 2026 :
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Saudara-saudari yang saya muliakan, saya bicara setelah melihat perkembangan di Asia Barat, negara Teluk akibat dari serangan ganas Zionis Israel ke atas Republik Islam Iran. Dan sementara kita telah menyatakan pandangan kita yang keras menentang kezaliman dan penindasan dan pencerobohan yang dilakukan oleh Israel dan Amerika Syarikat, masalahnya lebih meruncing kerana tindak balas dari Iran itu bukan sahaja terkena kepada Israel tetapi tempiasnya ke negara-negara Teluk yang menimbulkan konflik dan ketegangan baru.
Kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana kita dalam keadaan aman damai tetapi tentunya tidak terlepas dari tempiasan ini. Pertama, semua negara ini, Iran, negara-negara Teluk, itu negara sahabat yang akrab dengan kita, berdagang dalam budaya, dalam pendidikan, dalam pelaburan. Jadi apa yang berlaku di sana itu tentunya mengesankan dan saban hari kita dihubungi dan berunding dengan mereka. Hari ini saya dengan Presiden Republik Islam Iran, Presiden Republik Mesir. Semalam, Presiden Turkiye dan semua ketua-ketua negara Teluk. Dan tadi juga kali ketiga berbicara dengan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif untuk mendapat keterangan tentang langkah-langkah untuk mencari perdamaian di antara kedua negara. Tetapi tidak mudah kerana Iran berpandangan mereka tertipu berulang kali dan sukar menerima langkah-langkah ke arah perdamaian tanpa sesuatu yang boleh mengikat perjanjian dan jaminan keselamatan bagi negara mereka.
Tempiasnya juga berlarutan ke Lubnan, sudah lebih sejuta yang kehilangan tempat tinggal dan harta benda. Dan jangan lupa pokok pangkal masalah Palestin dan Gaza belum terurus, malah bencana itu menyebabkan mereka lebih sengsara. Tapi untuk kita sekarang, kita terpaksa tangani kerana kesan daripada sekatan di Selat Hormuz, kemudian peperangan, bekalan minyak dan gas yang terhenti, semua dah ada kesan kepada kita walaupun sekali lagi saya katakan, kita dalam keadaan yang jauh lebih baik kerana keupayaan Petronas selama ini.
Saya mengambil kesempatan juga ucapkan terima kasih kepada Presiden Iran kerana awal memberi laluan dan sekarang kita dalam proses untuk melepaskan kapal minyak Malaysia dan pekerja yang terlibat supaya dapat meneruskan perjalanan mereka pulang. Saudara-saudari, apakah kita boleh biarkan keadaan tanpa apa-apa tindakan dan memikirkan kita ini terlepas daripada semua permasalahan? Bekalan makanan terjejas, harga tentunya akan meningkat. Baja juga begitu, tentunya minyak dan gas. Jadi ada langkah-langkah yang perlu kita ambil. Ada negara-negara yang jauh lebih parah kesannya dari kita. Tetapi ini tidak bermakna kita terlepas semuanya sekali. Maka pada hari ini saya mengambil pendekatan yang lebih merangkum bagi menjamin bekalan dan pada masa yang sama mengurus supaya permintaan itu lebih berhemat dan waspada.
Dan kita nak ambil beberapa langkah yang saya memohon sangat-sangat kerjasama rakyat supaya memahami ini langkah yang kita ambil terpaksa ambil kerana tekanan yang kita hadapi. Dan saya percaya ada yang akan membuat pelbagai tohmahan dan tafsiran yang tak boleh kita elak. Tapi percayalah, saya tidak mahu rakyat merasa tertekan dan oleh itu langkah-langkah kita itu sangat teliti dan berhemat. Umpamanya, kita ada pelaksanaan BUDI95. Semua negara, lebih-lebih lagi negara jiran, menaikkan harga minyak. Tapi Malaysia mengambil keputusan untuk mengekalkan harga minyak BUDI95 pada kadar RM1.99 sen. Alhamdulillah. Dan kita tahu juga bahawa ini telah memberikan banyak manfaat kepada rakyat dan kita juga terpaksa mengambil beberapa langkah tambahan.
Oleh itu, kita meneliti apakah penggunaan BUDI95 ini mencukupi. Kita dapati purata penggunaan BUDI95 adalah sekitar 100 liter. Maknanya majoriti rakyat guna hanya 100 liter sebulan. Dan hampir 90 peratus rakyat menggunakan kurang dari 200 liter sebulan, maka tidak terjejas. Oleh itu, kerajaan akan membuat penyelarasan kelayakan BUDI95 daripada 300 liter sebulan kepada 200 liter sebulan bermula 1 April 2026. Langkah ini tentunya sementara menunggu keadaan minyak, bekalan minyak dan ekonomi dunia pulih tetapi belum ada tanda-tanda ke arah itu. Maka untuk meringankan beban rakyat, saya tegaskan BUDI95 kekal pada RM1.99 sen seliter.
Tapi bagaimana tentang had siling bagi e-hailing dan pekerja gig? Kita kekalkan had siling sehingga 800 liter mengambil kira tanggungjawab mereka, pekerjaan mereka dan urusan yang mereka harus lakukan. Kedua, Sabah dan Sarawak akan terus menikmati diesel subsidi pada kadar RM2.15 seliter walaupun harga diesel telah melambung naik. Maknanya bila perbezaan harga ini membengkak, kita harus waspada dan mengambil tindakan pengawalan yang lebih rapi, penguatkuasaan yang lebih berkesan. Tetapi memandangkan keadaan geografi dan logistik Sabah, Sarawak, kita mengambil keputusan yang saya fikir munasabah pada peringkat ini.
Tetapi ketirisan harus dikekang dan dikawal. Maka kita akan mula mengehadkan pengisian untuk ketika ini seperti berikut: Kenderaan ringan pengangkutan darat awam barangan dan persendirian, maksimum 50 liter setiap pembelian. Beli banyak, bocor. Kenderaan pengangkutan darat awam dan barangan tidak melebihi 3 tan, maksimum 100 liter setiap pembelian. Dan kenderaan melebihi 3 tan, maksimum 150 liter setiap pembelian. Ini untuk menjamin dan memastikan agar bekalan ada, dapat diagihkan secara adil dan mencukupi kepada semua. Tanpa penyesuaian ini, kita bimbang ada kecenderungan untuk mengumpul dan menyeludup sepertimana yang telah dikesan selama ini.
Jadi saya mohon rakyat, rakan-rakan memahami langkah ini terpaksa untuk menjaga kepentingan ramai. Ia tidak mudah, mungkin sedikit menyusahkan sebahagian rakyat. Saya mohon pengertian dan kerjasama supaya dapat kita teruskan kerja untuk mengelak daripada ketirisan ini. Ini terkait juga dengan langkah ketiga iaitu penguatkuasaan yang lebih tegas. Semua agensi dan jentera kerajaan harus lebih tegas dan waspada. Kita tidak boleh beri subsidi dan kemudian kita lihat ada penyeludupan yang mencecah ratusan juta ringgit setiap bulan. Dan oleh itu, amaran keras harus diberikan awal sekarang dan setiap langkah penyeludupan akan berhadapan dengan seluruh kekuatan jentera kerajaan.
Saudara-saudari, saya ingin juga mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada rakyat yang cakna dan sementara menerima keputusan ini dengan sabar dan bijaksana. Tetapi ramai yang telah mengambil tanggungjawab melapor di stesen minyak, melapor kepada agensi penguatkuasa tentang penipuan atau melalui media sosial mereka tentang penyalahgunaan ini sama ada oleh orang asing ataupun orang tempatan yang bersubahat untuk merompak kekayaan negara.
Saudara-saudari yang dimuliakan, langkah-langkah lain sedang difikirkan termasuk keputusan menetapkan peraturan kerja lebih anjal seperti bekerja dari rumah. Penjawat-penjawat awam akan boleh secara berperingkat dan terpilih bekerja dari rumah. Dan saya percaya insya-Allah selain daripada sektor awam, kita juga menggesa sektor swasta untuk melaksanakan sepertimana yang dilaksanakan oleh beberapa syarikat dan bank selama ini. Bagi pihak kerajaan, insya-Allah kita akan terus menjaga disiplin, mengelak keborosan, ketirisan dan menjaga supaya momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia ini agak luar biasa dan terkecuali kerana saya telah melihat kemurungan yang berlaku di dunia. Kita lihat Malaysia ini masih mendapat tarikan, menjadi pusat tarikan pelaburan yang sangat aktif sepertimana yang kita umumkan beberapa langkah. Setelah kemelut dan peperangan ini masih ramai yang datang, jadi kita doakan biar kekal negara ini aman, biar rakyat baik sektor awam dan swasta bekerja secara gigih dan bersungguh-sungguh dan biar kita tingkatkan keupayaan ekonomi kita dalam setiap ujian cabaran Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan keadaan yang berlaku di dunia. Masih ada kesempatan untuk memperbaiki dan meningkatkan keupayaan kita. Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Soalan Lazim Harga Diesel Di Sabah / Sarawak & Had Pembelian Yang Ditetapkan
Harga diesel bersubsidi di Sabah dan Sarawak kekal pada kadar RM2.15.
–Kenderaan ringan pengangkutan darat awam barangan dan persendirian: Maksimum 50 liter setiap pembelian
–Kenderaan pengangkutan darat awam & barangan tidak melebihi 3 tan: Maksimum 100 liter setiap pembelian
–Kenderaan berat melebihi 3 tan: Maksimum 150 liter setiap pembelian
Had pengisian diesel dikuatkuasakan bermula 1 April 2026 di Sabah, Sarawak dan Labuan.
Harga diesel di Semenanjung Malaysia adalah tidak bersubsidi dan akan ditetapkan setiap minggu pada hari Rabu mengikut harga pasaran dunia.
Namun, Kerajaan masih melaksanakan subsidi bersasar dengan menyalurkan bantuan BUDI Diesel yang dinaikkan kepada RM300 sebulan untuk pengguna diesel.
Perbezaan harga diesel adalah disebabkan beberapa faktor seperti:
-Polisi subsidi berbeza
-Keperluan rakyat berbeza
-Risiko ekonomi berbeza
– Faktor geografi




