Darah Istihadah: Maksud, Cara Membezakan, Punca Keluar & Hukum Ibadah

Darah istihadah adalah darah yang keluar dari faraj wanita bukan pada tempoh masa haid dan nifas

Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda berkenaan dengan darah istihadah yang boleh anda jadikan panduan bersama.

Baca juga:

Apa itu darah istihadah?

darah istihadah

Dari segi fiqh, darah istihadah adalah darah penyakit yang keluar melalui urat di hujung rahim yang dikenali sebagai Al-Azil.

Manakala dari segi perubatan pula, ia bermakna pendarahan dari faraj selain dari masa kitaran haid normal ataupu pendarahan nifas selepas bersalin.

Istihadah juga dikenali sebagai lochia atau pendarahan yang mengeluarkan jaringan lapisan rahim dan lendir dari rahim selepas melahirkan bayi.

Keadaan ini adalah normal dan merupakan sebahagian dari proses pemulihan yang dialami tubuh setelah persalinan.

Ciri-ciri darah istihadah

Berikut adalah antara ciri-ciri darah istihadah untuk anda buat perbezaan:

1. Warna darah

Kaedah utama dalam mengenal jenis darah adalah dari meneliti warna dan sifat darah yang keluar.

Sekiranya darah tersebut kehitaman, bererti ia adalah darah haid, tetapi apabila ia berubah menjadi warna merah ia adalah istihadah.

Biasanya darah ini berwarna cerah atau merah segar, cair dan tidak berbau.

2. Tempoh darah keluar

Bagi istihadah, berikut adalah ciri-ciri tempoh darah keluar yang perlu anda tahu:

  • Kurang daripada tempoh minima haid iaitu kurang daripada sehari semalam.
  • Melebihi tempoh haid iaitu lebih 15 hari.
  • Sebelum didatangi haid dan selepas putus haid (menopaus).
  • Melebihi tempoh maksima nifas iaitu melebihi 60 hari.
  • Melebihi kebiasaan tempoh bagi haid dan nifas serta melangkau tempoh yang paling lama bagi kedua-duanya.

3. Hukum hadas

Hukum istihadah tidak sama dengan darah haid dan nifas. Ini bermakna, mereka yang mengalami istihadah tergolong dalam kategori hadas kecil.

Atau dalam kata lain, seorang wanita yang terkena istihadah adalah wajib untuk solat dan berpuasa di bulan Ramadhan seperti biasa.

Hanya sahaja mereka perlu membersihkan darah tersebut dan memperbaharui wudhu setiap kali ingin mendirikan solat fardhu.

4. Bau

Darah akan berbau sehingga pada hari kesepuluh ia keluar. Kemudian seterusnya tiada lagi bau.

Darah yang berbau itu adalah darah haid, manakala yang tidak berbau adalah istihadah.

5. Kuantiti darah yang keluar

Darah yang keluar disebabkan istihadah cenderung keluar lebih banyak berbanding darah haid.

Umumnya, aliran darah ini akan cukup banyak selama empat hari pertama dan berkurang secara bertahap selama beberapa hari atau minggu berikutnya.

Berbeza dengan darah haid yang aliran darahnya paling banyak pada tiga hingga empat hari pertama. Bahkan jumlah anggaran darah ini keluar hanya kira-kira 10ml hingga 80ml.

Punca darah keluar kerana istihadah

Banyak sebab yang boleh membawa kepada seseorang wanita itu mengeluarkan darah kerana istihadah. Namun masalah yang kerap berlaku adalah disebabkan oleh:

1. Mengandung

Kandungan yang bermasalah akan berlaku pendarahan berpanjangan sehingga 12 minggu berturut-turut. Ini juga dikenali dengan darah istihadah

2. Ovulasi

Ovulasi boleh mengeluarkan pendarahan tidak normal dari faraj.

3. Kanser

Kanser pada bahagian faraj khususnya seperti cervix, uterus dan sebagainya.

4. Pil perancang kehamilan

Wanita yang ingin merancang kehamilan akan mengambil pil perancang kehamilan untuk elak dari mengandung.

Sebenarnya, ada sesetengah kes di mana pengambilan ubat-ubatan ini akan menyebabkan pendarahan tidak normal pada faraj.

5. Polycystic ovary syndrome (PCOS)

PCOS adalah masalah kesihatan yang berlaku disebabkan hormon yang tidak stabil. Ianya akan menganggu proses ovulasi seseorang menjadi tidak normal.

Cara mengira tempoh istihadah

darah istihadah

Sebelum mengira darah istihadah ada dua perkara yang perlu kita tahu iaitu pegangan mazhab yang diguna dan juga tempoh kiraan haid yang berlaku setiap bulan.

Bagi mazhab Syafie tempoh minimum bagi haid adalah sehari semalam (24 jam). Manakala tempoh maksimum bagi haid adalah selama 15 hari.

Jika darah yang keluar selepas daripada itu, maka ia dihukum sebagai istihadah atau darah yang berpenyakit.

Sekiranya seorang perempuan tidak dapat membezakan darah yang keluar sama ada darah haid atau istihadah melalui pemerhatian sifat-sifatnya, anda boleh gunakan kaedah ini untuk menentukan hukum.

Hal ini berdasarkan kepada apa yang berlaku ke atas Fatimah binti Hubaisy ketika didatangi istihadah.

Rasulullah SAW memberikan panduan untuk mengklasifikasikan darah haid atau istihadah.

Maksudnya: “Jika darah haid, ia bewarna hitam yang biasa. Jika darah itu keluar hendaklah kamu berhenti dan jangan kamu menunaikan solat. Jika ia (darah) yang lain (bukan darah haid), hendaklah kamu berwuduk dan solat, justeru ia adalah darah yang keluar daripada saluran darah (darah istihadah).” – (Hadis Riwayat Abu Daud)

Kita ambil contoh, seorang wanita yang mengakami pendarahan secara berterusan, tetapi pada hari ke-10 kelihatan perbezaan sifat darah:

  • Sehingga hari kesepuluh darah berwarna hitam (merah kehitaman) manakala selepas itu ia berwarna merah. Darah yang berwarna hitam adalah haid, darah yang berwarna merah adalah istihadah.
  • Sehingga hari kesepuluh darah bersifat pekat manakala selepas itu menjadi cair. Darah yang pekat adalah haid, darah yang cair adalah istihadah.
  • Sehingga hari kesepuluh, darah memiliki bau manakala selepas itu tiada lagi bau. Maka darah yang berbau adalah haid, darah yang tidak berbau adalah istihadah.

Hukum ibadah ketika istihadah

Hukum istihadah tidak sama dengan darah haid dan nifas. Ini bermakna, mereka yang mengalami istihadah tergolong dalam kategori hadas kecil.

Berkata  Imam al-Nawawi:

الْمُسْتَحَاضَةَ كَالطَّاهِرِ فِي الصَّلَاةِ وَالصَّوْمِ وَالِاعْتِكَافِ وَالْقِرَاءَةِ وَغَيْرِهَا

“Orang yang sedang istihadah seperti (mengambil hukum) orang yang suci dalam (hukum) solat, puasa, iktikaf, membaca al-quran dan lain-lain.

  • Wajib solat fardu dan boleh menunaikan solat sunat.
  • Berpuasa
  • Boleh melakukan Tawaf
  • Boleh Membaca al-Quran
  • Boleh Menyentuh mashaf
  • Boleh Masuk ke dalam masjid
  • Boleh beriktikaf di dalam masjid

Diharapkan semoga perkongsian kami ini berkenaan dengan darah istihadah ini dapat menambahkan ilmu pengetahuan dan informasi yang bermanfaat untuk dijadikan rujukan setiap masa.

Sumber:

  1. Darah Wanita. Majalah Solusi
  2. Al-Kafi #1830: Kaedah Menentukan Darah Sama Ada Haid atau Istihadah. Mufti Wilayah Persekutuan
Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!