Darah Nifas: Maksud, Tempoh & Bila Perlu Mandi Wajib

Apa Itu Darah Nifas?

Darah nifas adalah darah yang keluar dari rahim wanita selepas melahirkan bayi. Ia biasanya berlaku dalam tempoh selepas bersalin. 

Dalam perubatan, darah nifas dipanggil lochia. Selepas uri/placenta keluar dari rahim, akan ada banyak darah keluar berwarna merah terang seperti darah haid tetapi bukan. Jangan kelirunya.

Lama kelamaan, warna darah ni akan berubah menjadi coklat kemerahan kemudian menjadi warna pink. Darah nifas pada peringkat ni dipanggil Lochia Serosa.

Selepas itu, ia akan bertukar jadi lendiran putih yg banyak dikenali sebagai Lochia Alba, sampailah darah berhenti.

Darah Nifas: Maksud, Tempoh & Bila Perlu Mandi Wajib

Proses penyingkiran darah nifas adalah penting untuk membersihkan rahim selepas kelahiran dan memulihkan rahim kepada keadaan semula jadi.

Selain itu, darah nifas juga mengandungi komponen antibodi dan protein penting yang membantu melindungi ibu daripada jangkitan.

Darah yang keluar ketika sakit bersalin atau keluar bersama dengan anak tidak dianggap sebagai darah nifas kerana darah tersebut keluar mendahului anak dan ia dianggap darah fasid (rosak). 

Tempoh Darah Nifas

Tempoh minimum nifas adalah sekelip mata (لَحْظَةٌ). Ia kadang-kadang berterusan hingga beberapa hari dan biasanya 40 hari. Manakala tempoh maksimumnya pula ialah 60 hari. Darah yang keluar melebihi tempoh tersebut adalah darah penyakit (istihadhah).

  • Tempoh Minimum: Sedetik
  • Tempoh Maksimum: 60 hari
  • Tempoh Kebiasaan: 40 hari

BACA JUGA: Kitaran Haid Normal: Ciri-Ciri, Sebab dan Petua Haid Yang Teratur

Bila Perlu Mandi Wajib?

Kebiasaan bagi wanita bersalin akan keluar darah nifas yang mewajibkan wanita itu mandi wajib. Jika wanita itu bersalin tanpa darah apa pun, pandangan dalam mazhab Syafie, wanita itu tetap dikira berhadas besar dan wajib mandi.

Persoalannya bila perlu mandi wajib? 

Jawapannya ialah apabila berhenti keluarnya darah nifas dalam keadaan naqa’, yakni jika dimasukkan kapas ke dalam faraj lalu dikeluarkan tidak ada kesan-kesan darah, kekeruhan atau kekuningan. Jika darah sudah berhenti tetapi jika dimasukkan kapas masih dilihat kesan darah, warna keruh atau kekuningan, maka itu adalah keadaan fatrah yang menunjukkan masih dalam keadaan bernifas.

Adakah perlu mandi wajib dua; pertama akibat wiladah dan kedua akibat nifas?

Jawapannya ialah tidak perlu. Memadai mandi dengan sekali sahaja. 

Berkata Syeikh Muhammad al-Zuhaili dalam al-Mu’tamad (1/137) :

“Jikalau terhimpun ke atas seorang wanita kewajipan mandi hadas haid dan janabah (seperti jimak dan keluar mani), memadailah baginya dengan niat (mandi mengangkat hadas) salah satu daripada keduanya. Begitu juga seorang yang berjunub kemudian mati, dan orang yang berjunub kemudian haid, maka memadai bagi dua keadaan itu terangkat hadas dengan satu kali mandi. Begitu juga jika seseorang itu berjunub, kemudian berhaji, kemudian dia mati, cukup bagi wanita itu satu kali mandi untuk ke semua keadaan (hadas besar) itu.”

Perbezaan Darah Haid & Nifas

1. Darah Haid:

Darah haid adalah darah yang keluar dari rahim semasa kitaran haid bulanan wanita. Ia adalah tanda bahawa ovulasi (pelepasan telur matang dari ovari) telah berlaku tetapi tidak berlakunya pembenihan.

Tempoh haid biasanya berlangsung selama beberapa hari hingga seminggu, dan paling maksimum 15 hari. Darah haid adalah proses semula jadi dalam kitaran menstruasi wanita.

2. Darah Nifas:

Darah nifas adalah darah yang keluar dari rahim selepas proses persalinan. Ia adalah tanda pemulihan rahim selepas melahirkan bayi. Darah nifas mungkin mempunyai campuran darah, tisu rahim yang terkeluar, dan sisa-sisa plasenta.

Warna dan kuantiti darah nifas boleh berubah-ubah, dari merah terang hingga kecoklatan.  Tempoh nifas biasanya berlangsung selama beberapa minggu, maksimum 60 hari.

Bila Perlu Berjumpa Doktor?

Darah Nifas: Maksud, Tempoh & Bila Perlu Mandi Wajib

Sila berjumpa dengan doktor segera sekiranya terdapat darah kekal berwarna merah terang lebih daripada tujuh hari selepas kelahiran keluar. Ini menandakan masalah pendarahan mungkin berlaku.

Pendarahan yang tidak normal selepas kehamilan tidak semestinya akan berlaku selepas bersalin, malah ia boleh muncul pada bila-bila masa sehingga satu bulan selepas bersalin.

RUJUKAN:

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!