Bengkak Susu : Simptom dan Cara Untuk Atasinya

Masalah bengkak susu adalah satu isu yang umum namun sangat memeritkan bagi para wanita.

Yang mengalaminya sahaja tahu betapa sakitnya payudara yang terasa keras dan sensitif terhadap sentuhan.

Walaupun memiliki susu yang banyak adalah baik, namun ia boleh mendatangkan masalah jika kuantitinya berlebihan dalam payudara.

Disebabkan terlalu sakit, ia juga boleh menyebabkan para ibu cepat naik angin sehinggakan boleh menggangu aktiviti harian.

Jadi, apakah cara terbaik untuk atasi masalah bengkak susu? Ikuti perkongsian kami untuk ketahui dengan lebih lanjut.

Apa Itu Bengkak Susu?

Bengkak susu adalah salah satu isu yang sering dihadapi oleh para ibu yang menyusukan bayi.

Keadaan payudara membengkak ini biasanya berpunca daripada penghasilan susu ibu yang berlebihan namun bayi hanya menyusu sedikit sahaja.

Dengan erti kata mudah, ia boleh diibaratkan seperti bekalan melebihi daripada yang diperlukan.

Kesannya, payudara akan menjadi keras dan membengkak. Si ibu pula akan mengalami masalah untuk menyusukan anak.

bengkak susu

Simptom

Kebiasaannya para ibu akan merasakan bengkak di kawasan dada sehingga ketiak. Pada masa yang sama, beberapa simptom lain mungkin boleh dialami seperti :

  • Rasa sakit, ngilu dan bengkak pada bahagian payudara.
  • Keadaan sekitar payudara terasa panas, kelihatan kemerah-merahan dan terdapat benjolan keras apabila disentuh.
  • Puting menjadi bengkak dan bahagian areola mengeras sehingga menyukarkan si ibu untuk menyusukan anak.
  • Rasa sakit pada kelenjar di bahagian ketiak.
  • Demam ringan

Masalah bengkak susu mungkin jarang berlaku pada kedua-dua bahagian payudara secara serentak.

Ada juga para ibu yang hanya alami bengkak pada bahagian areola atau ketiak sahaja.

Namun, para ibu tidak perlu risau. Ia merupakan kondisi yang biasa terjadi dan boleh dirawat di rumah sahaja.

Cara Atasi Masalah Bengkak Susu

Berikut merupakan beberapa langkah yang boleh dicuba untuk meredakan masalah bengkak susu dari rumah :

  • Untuk pastikan susu ibu berjalan lancar, tuam atau basuh payudara dengan air suam
  • Ibu juga boleh memilih untuk mandi dengan air panas dan halakan air ke bahagian payudara. Semasa mandi, jangan lupa untuk membuat urutan secara membulat di bahagian payudara.
  • Latih untuk lakukan penyusuan bayi secara rutin iaitu selama dua atau tiga jam sekali. Jika bayi sedang tidur tetapi susu tetap mengalir, anda disarankan untuk pam susu.
  • Ketika bengkak, perah susu dengan tangan. Cara ini dapat membantu mengekalkan kelembutan areola.
  • Untuk kurangkan rasa sakit akibat bengkak, anda juga digalakkan untuk membuat urutan perlahan pada bahagian payudara.
  • Sekiranya bayi anda menyusu secara terus daripada payudara, elakkan untuk mengepam susu terlalu kerap.
  • Untuk kurangkan rasa sakit, anda juga boleh tuam payudara dengan air batu sebelum dan selepas menyusukan.
  • Elakkan penggunaan baju dalam yang kecil atau terlalu kecil
  • Dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu sebelum mengambil ubat untuk atasi rasa sakit.

Tips Penggunaan Pam Susu Ketika Payudara Bengkak

Seperti yang kita tahu, bengkak susu berlaku akibat susu berlebihan di payudara yang tidak dikeluarkan.

Namun, anda disarankan untuk tidak mengepam susu ketika payudara sedang bengkak.

Mengepam ketika payudara sedang bengkak dipercayai boleh menyebabkan bengkak lambat surut dan boleh mengakibatkan keadaan semakin teruk.

Sebaliknya, anda disarankan untuk memerah menggunakan tangan. Dengan cara ini, anda boleh merasai setiap satu saluran pada payudara.

Selain itu, ada juga yang berpendapat keadaan tangan yang panas dapat membantu melancarkan aliran susu yang tersumbat.

Ketika bengkak pada payudara menjadi agak reda, anda boleh memilih untuk menggunakan pam susu pada mod yang paling rendah atau ringan bagi mengurangkan tekanan.

bengkak susu

Jangan Biar Berlanjutan, Dapatkan Nasihat Doktor

Walaupun masalah ini boleh dirawat di rumah tanpa perlu bantuan doktor, namun ia tidak boleh diambil mudah. Sekiranya tidak ditangani dengan baik, ia boleh memberi risiko kesihatan kepada si ibu.

Jadi, para ibu boleh mencuba kaedah rawatan yang telah kami kongsikan. Anda juga boleh kerapkan sesi penyusuan sehingga 10 ke 12 kali sehari.

Sekiranya masih ragu dan keadaan masih tidak reda, anda boleh dapatkan nasihat daripada doktor.

Sumber : Hellodoktor

Baca Juga : 12 Makanan Untuk Orang Berpantang Pembedahan, Cepat Sembuh!

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!