Dalam siaran langsung Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) sebentar tadi, PM telah mengumumkan Bantuan Prihatian Nasional.
Bantuan ini akan disalurkan kepada semua rakyat yang layak bermula akhir bulan April dan Mei 2020.
Dan buat pertama kalinya golongan M40 akan turut menikmati faedah bantuan ini.
Pemberian bantuan ini kepada B40 berdasarkan pangkalan data BSH 2020 manakala bagi M40 berdasarkan data percukaian LHDNM.
Siapa Yang Layak?
Berikut adalah kategori penerima B40 yang layak:
Isi rumah
- Kahwin; atau
- Ibu atau bapa tunggal / balu / janda / duda yang melaporkan maklumat anak pada permohonan BSH 2020; dan
- Pendapatan isi rumah RM4,000 dan ke bawah
Bujang
- Bujang atau ibu bapa tunggal / balu / janda / duda yang tidak melaporkan anak pada permohonan BSH 2020; dan
- Pendapatan bujang RM2,000 dan ke bawah
Bagi kategori M40 yang layak pula adalah seperti berikut:
Isi rumah
- Kahwin; atau
- Ibu atau bapa tunggal / balu / janda / duda berdasarkan data percukaian; dan
- Pendapatan aggregat bulanan adalah RM4,001 hingga RM8,000 berdasarkan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) terkini
Bujang
- Individu berstatus bujang dalam data percukaian; dan
- Had umur 21 tahun ke atas; dan
- Pendapatan bulanan RM2,001 hingga RM4,000 berdasarkan BNCP
Jumlah Bantuan Prihatin Nasional
Seperti diumumkan, jumlah bantuan terbahagi kepada empat kategori iaitu:
- RM1,600 kepada hampir 4 juta isi rumah yang berpendapatan bulanan RM4,000 dan ke bawah. Bayaran RM1,000 akan dibayar pada bulan April 2020 dan RM600 pada bulan Mei 2020.
- RM1,000 kepada hampir 1.1 juta isi rumah yang berpendapatan lebih RM4,000 hingga RM8,000 yang akan dibayar pada bulan April 2020 sebanyak RM500 dan baki RM500 pada bulan Mei.
- RM800 kepada 3 juta individu bujang berusia 21 tahun ke atas dan berpendapatan bulanan RM2,000 dan ke bawah. Bayaran RM500 akan dibayar pada bulan April 2020 dan baki RM300 pada bulan Mei 2020.
- RM500 kepada 400,000 individu bujang berusia 21 tahun ke atas yang berpendapatan bulanan lebih RM2,000 hingga RM4,000. Bayaran sebanyak RM250 akan dibuat pada bulan April 2020 dan baki RM250 pada bulan Mei.
Dalam kenyataan itu juga PM memaklumkan pemberian tunai di bawah program Bantuan Sara Hidup (BSH) yang sedang dilaksanakan akan dibayar pada bulan Julai 2020.
Kaedah Pembayaran
Pembayaran akan dibuat pada hujung bulan April dan Mei.
Tarikh rasmi belum diumumkan oleh Kementerian Kewangan.
Kaedah pembayaran bagi B40 adalah seperti berikut:
- Ada maklumat akaun — bayaran adalah secara kredit ke akaun; atau
- Jika status gagal kredit — bayaran adalah secara tunai di BSN
- Tiada akaun — bayaran adalah secara tunai di BSN
Kaedah pembayaran M40 pula seperti berikut:
- Bayaran akan dibuat melalui akaun bank yang dinyatakan di dalam BNCP terkini
- Bayarana akan dikreditkan ke akaun ketua isi rumah
- Jika taksiran bersama telah dipilih, bayaran akan dikreditkan ke akaun bank atas nama pembayar cukai yang ditaksir
Semakan BPN 2020
Penerima yang layak boleh membuat semakan status BPN sama ada di portal rasmi LHDNM, Bantuan Sara Hidup atau Kementerian Kewangan.
Semakan boleh dibuat bermula 1 April.
Sekiranya memenuhi kriteria tetapi tidak tersenarai, anda boleh membuat permohonan baru secara online di portal yang dinyatakan.
Sekiranya permohonan baru diluluskan, pembayaran akan dibuat pada bulan Mei sekaligus.
Pakej Rangsangan Ekonomi 2020
Tidak dilupakan golongan pelajar IPT di mana kerajaan menyediakan bantuan RM200 secara one-off yang akan dibayar pada bulan Mei nanti.
Semua pelajar akan dapat termasuk pelajar matrikulasi, Kolej Komuniti, Politeknik, IPTA dan IPTS.
Selain itu, Kerajaan juga melanjutkan tempoh penangguhan bayaran balik PTPTN selama 6 bulan.
mySalam turut menyediakan bantuan RM50 sehari bagi tempoh maksimum 14 hari untuk golongan B40 yang dimasukkan ke hospital akibat COVID-19.