Tujuh (7) Teras Utama Yang Menjadi Tumpuan KPM Dalam Menerajui Sistem Pendidikan Negara
Kementerian Pendidikan (KPM) akan memberi tumpuan kepada tujuh teras utama dengan memastikan pelbagai inisiatif yang disediakan akan dikekalkan serta ditambah baik mengikut keperluan.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata tujuh teras utama itu termasuk memberi perhatian terhadap isu kemiskinan multidimensi murid daripada keluarga B40 termasuk dari aspek malnutrisi, peranti dan ruang pembelajaran.
“Saya juga akan bekerjasama rapat dengan kementerian berkaitan dalam memastikan isu kemiskinan keluarga yang memberi impak langsung kepada pendidikan anak-anak dapat dibantu dengan wajar,” katanya pada sidang media khas di Kementerian Pendidikan pada 15 Disember 2022.
Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying, Ketua Setiausaha KPM Datuk Yusran Shah Mohd Yusof dan Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Pkharuddin Ghazali.
Fadhlina berkata KPM juga akan memberikan perhatian kepada isu keciciran pendidikan serta masalah literasi dan numerasi supaya kesenjangan pendidikan yang wujud dapat dirapatkan selain memfokuskan kepada kebajikan guru kerana golongan itu teras utama keberkesanan penyampaian pendidikan.
Justeru, beliau akan memastikan golongan guru diberi sokongan profesional berterusan sewajarnya dan memberi tumpuan kepada kebajikan termasuk tekanan yang dihadapi mereka disebabkan beban tugas serta berjauhan daripada pasangan.
Selain itu, beliau berkata KPM juga akan meningkatkan keupayaan pendidikan digital di sekolah dengan kementerian akan membuat libat urus bersama agensi pusat bagi meningkatkan keupayaan pendidikan digital di institusi pendidikan di bawah KPM.
Menjadikan komunikasi antara kementerian dan sekolah lebih cekap dan telus; memberi penekanan kepada aspek ‘karamah insaniah’ melalui pembentukan adab, akhlak dan integriti dan memberi tumpuan kepada usaha untuk mengubah suai dan menaik taraf sekolah yang mempunyai bangunan daif, terutamanya di Sabah dan Sarawak, juga antara tujuh fokus utama KPM.
Ahli Parlimen Nibong Tebal itu juga mengumumkan KPM akan meneruskan dasar sedia ada dan menambah baik proses penyampaian bagi menjamin kecekapan dan keberkesanannya memandangkan kementerian itu meneruskan budaya meneliti serta mengkaji secara berhemah setiap perkara hendak diputuskan.
Katanya hasrat dan keutamaan KPM adalah untuk melihat murid ceria, guru bahagia, sekolah bitara dan negara sejahtera, justeru kementerianya akan mempertingkatkan kerjasama dengan semua pihak termasuk Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) dan Persatuan Guru Besar Malaysia (PGBM).
Beliau juga mengakui menguruskan jangkaan umum adalah cabaran harus dipikul KPM bagi memastikan satu titik pertemuan yang adil dan saksama dapat direalisasikan oleh pentadbiran kerajaan perpaduan.
– BERNAMA
7 Teras Utama KPM 2023
7 Teras KPM :
TERAS 1
Kementerian mahu menjadikan komunikasi antara kementerian dan sekolah lebih cekap dan telus
TERAS 2
KPM memberi penekanan kepada aspek karamah insaniah melalui pembentukan adab, akhlak dan integriti
TERAS 3
Memberi perhatian terhadap isu kemiskinan multidimensi murid daripada keluarga B40
TERAS 4
Memberi perhatian kepada isu keciciran pendidikan serta masalah literasi dan numerasi
TERAS 5
Fokus kepada kebajikan guru kerana guru adalah teras utama keberkesanan penyampian pendidikan
TERAS 6
Memberi tumpuan kepada usaha-usaha untuk mengubahsuai dan menaik taraf sekolah-sekolah yang mempunyai bangunan daif, terutamanya di Sabah dan Sarawak
TERAS 7
Meningkatkan keupayaan pendidikan digital di sekolah
Tema / Slogan
“Murid Ceria, Guru Bahagia, Sekolah Bitara dan Negara Sejahtera”
Sumber: Kementerian Pendidikan Malaysia
Baca juga: