Definisi & Umur Warga Emas

Umur warga emas mempunyai pelbagai takrifan dan definisi mengikut tempat dan budaya masyarakat setempat.

Namun, secara umumnya orang ramai melihat warga emas ialah golongan yang berumur atau mereka yang sudah berusia.

Benarkah takrifan sebegitu?

Definisi Umur Warga Emas

Warga emas ditakrifkan mereka yang berumur 60 tahun ke atas. 

Menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), takrifan warga emas adalah individu yang berusia 60 tahun ke atas mengikut ketetapan Persidangan Antarabangsa mengenai Warga Tua di Vienna pada tahun 1982.

Had umur inilah yang digunakan sebagai rujukan had umur warga emas dalam polisi dan dasar untuk kesejahteraan warga emas di Malaysia. 

Jumlah Warga Emas Di Malaysia

Menurut laporan Jabatan Statistik Malaysia (JSM), peratusan penduduk dikategorikan sebagai warga emas (berumur 65 tahun dan lebih) telah meningkat kepada 7.3 peratus pada 2022 berbanding 7.0 peratus pada tahun 2021 daripada keseluruhan populasi Malaysia.

Dasar Warga Emas Di Malaysia

Mengikut unjuran PBB pada tahun 2009, Malaysia akan mencapai status negara tua pada tahun 2030 apabila penduduk berumur 60 tahun dan ke atas mencapai 15% daripada jumlah penduduk.

Ini bermakna Malaysia akan menjadi negara tua menjelang Rancangan Malaysia ke-14.

Menyedari hakikat ini, Kerajaan telah mengambil langkah persediaan awal untuk menangani isu penuaan penduduk dengan penggubalan Dasar Warga Tua Negara pada tahun 1995.

Kemudiannya, kerajaan memperkenalkan Dasar Warga Emas Negara (DWEN) dan Pelan Tindakan Warga Emas Negara (PTWEN) yang telah diluluskan oleh kerajaan pada 5 Januari 2011.

DWEN dan PTWEN merupakan komitmen kerajaan untuk mewujudkan warga emas yang berdikari, bermartabat diri dan dihormati dengan mengoptimumkan potensi diri melalui penuaan sihat, positif, aktif, produktif dan menyokong untuk meningkatkan kesejahteraan hidup dalam pembangunan Negara.

Matlamat Dasar Warga Emas Negara adalah mendayaupayakan individu, keluarga dan masyarakat dengan menyediakan perkhidmatan mesra warga emas yang cekap dan berkesan serta membangunkan persekitaran yang membantu warga emas hidup sejahtera.

Bantuan Warga Emas Di Malaysia

Kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan pelbagai bantuan kepada warga emas di Malaysia iaitu:

i) Bantuan Kewangan
Bantuan Warga Emas (BWE) diberikan sebanyak RM500 sebulan seorang sebagai saraan hidup kepada warga emas yang memerlukan bantuan supaya terus tinggal dalam komuniti.

Kelayakan Bantuan ini adalah seperti berikut:

  • Berumur 60 tahun ke atas.
  • Tiada sumber pendapatan untuk menyara hidup.
  • Tiada keluarga atau mempunyai keluarga yang tidak berkemampuan untuk memberi sumbangan.

ii) Bantuan Alat Tiruan

Bantuan ini diwujudkan untuk membantu OKU yang tidak berkemampuan untuk membeli peralatan seperti kaki palsu, tangan palsu, callipers, tongkat tangan / ketiak, kerusi roda, alat pendengaran, cermin mata khas, kasut khas dan peralatan lain yang disyorkan oleh doktor atau pakar perubatan.

Ini juga membolehkan OKU meningkatkan keupayaan dan seterusnya menjalani kehidupan tanpa sepenuhnya bergantung kepada orang lain.

Permohonan bantuan-bantuan ini boleh dibuat dengan hadir terus ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah/Jajahan/Biahagian di mana pemohon tinggal.

Sekiranya pemohon menghadapi kesukaran untuk hadir ke pejabat, permohonan boleh dibuat menerusi surat, telefon atau email. 

Sumber: https://www.jkm.gov.my/jkm/index.php?r=portal/left&id=VEpUUXV3THFURkZETmxWNjZpQ1BXdz09

Baca juga:

Bantu kami share artikel ini: