Zikir Hari Rabu & Fadhilat Membacanya
Zikir bermaksud ingat atau sebut. Secara khususnya ia merujuk kepada lafaz-lafaz tertentu yang disyariatkan oleh Allah SWT.
Salah satu zikir yang mudah untuk diamalkan dalam kehidupan seharian ialah Zikir Harian Imam Al Ghazali.
Untuk pengetahuan anda, Zikir Harian Imam Al Ghazali ini adalah merupakan amalan yang dilakukan oleh Imam Al Ghazali semasa hayatnya. Ia merangkumi bacaan zikir untuk setiap hari, Isnin hingga Ahad.
Pada artikel kali ini, kami akan kongsikan Zikir Hari Rabu serta kebaikan mengamalkannya untuk rujukan anda.
BACA JUGA: Zikir Hari Selasa & Fadhilat Membacanya
Zikir Hari Rabu – Istighfar
اَسْتَغْفِرُاللَّهَ الْعَظِيْمَ
Astaghfirullahal ‘adzim
Maksudnya: “Aku memohon Keampunan kepada Allah, tuhan yang maha agung.”
Atau, anda juga boleh membaca versi yang lebih panjang:
أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيمَ الَّذِي لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْحَيَّ الْقَيُّومَ وَأَتُوبُ إِلَيْه
Astaghfirullah hal ‘azim al lazi laa ilaha illa huwal hayyul qayyum wa atubu ilaih
Maksudnya: “Aku meminta ampun pada Allah yang Maha Agung, tiada tuhan selain Dia yang Maha Hidup lagi Maha Berdiri Sendiri, dan aku bertaubat pada Mu.”
Huraian – Tuntutan Beristighfar
Istighfar bermaksud memohon keampunan atas segala dosa yang telah dilakukan oleh kita. Daripada Abu Hurairah RA, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:
وَاللَّهِ إِنِّي لَأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ فِي اليَوْمِ أَكْثَرَ مِنْ سَبْعِينَ مَرَّةً
Maksudnya : “Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah dan memohon ampun kepada-Nya setiap hari lebih daripada 70 kali.”
Riwayat Al Bukhari (6307)
Berdasarkan hadis di atas, dapatlah kita renungi siapalah diri kita jika dibandingkan dengan Nabi SAW sekiranya kita malas untuk beristighfar. Walaupun Nabi adalah seorang yang maksum, Baginda tetap rajin beristighfar dan memohon keampunan kepada Allah.
Fadhilat/ Kebaikan
Terdapat banyak fadhilat mengucapkan selawat, antaranya ialah:
1. Mendapat Keampunan Allah & Memperoleh Rahmat
Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Maka aku katakan kepada mereka: Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, dan memperbanyakkan harta dan anak-anakmu, dan memberikanmu kebun-kebun dan (di dalamnya pula) untukmu sungai-sungai.”
Surah Nuh (10-12)
2. Dikeluarkan Dari Kesempitan Hidup, Hati Menjadi Lebih Tenang, Rezeki Melimpah
Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:
.مَنْ لَزِمَ الِاسْتِغْفَارَ، جَعَلَ اللَّهُ لَهُ مِنْ كُلِّ ضِيقٍ مَخْرَجًا، وَمِنْ كُلِّ هَمٍّ فَرَجًا، وَرَزَقَهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ
Maksudnya: “Barangsiapa yang melazimi (sentiasa) istighfar, Allah SWT menjadikan untuknya bagi setiap kesempitan itu jalan keluar, setiap kebimbangan itu kelapangan dan Allah juga mengurniakan kepadanya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.”
Riwayat Abu Daud (1518)
3. Membentuk Keperibadian Yang Baik
Seorang ulama berkata, “Tanda orang yang arif (bijak) itu ada enam. Apabila ia menyebut nama Allah, ia berasa bangga.
Apabila menyebut dirinya, ia merasa hina. Apabila memperhatikan ayat-ayat Allah SWT, ia ambil pelajarannya. Apabila muncul keinginan untuk bermaksiat, ia segera mencegahnya.
Apabila disebutkan ampunan Allah SWT, ia merasa gembira. Dan apabila mengingat dosanya, ia segera beristighfar.”
(Lihat Kitab Tanbihu al-Ghafilin, 67)
4. Mengelakkan Bala
Firman Allah:
وَمَا كَانَ ٱللَّهُ لِيُعَذِّبَهُمۡ وَأَنتَ فِيهِمۡۚ وَمَا كَانَ ٱللَّهُ مُعَذِّبَهُمۡ وَهُمۡ يَسۡتَغۡفِرُونَ
Maksudnya: “ Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksa mereka sedang engkau (wahai Muhammad) ada antara mereka; dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedang mereka beristighfar” (Surah al-Anfal: 33).
5. Diberikan Pertolongan dan Kekuatan
Firman Allah:
وَيَٰقَوۡمِ ٱسۡتَغۡفِرُواْ رَبَّكُمۡ ثُمَّ تُوبُوٓاْ إِلَيۡهِ يُرۡسِلِ ٱلسَّمَآءَ عَلَيۡكُم مِّدۡرَارٗا وَيَزِدۡكُمۡ قُوَّةً إِلَىٰ قُوَّتِكُمۡ
Maksudnya: “(Kata Nabi Hud) dan Wahai kaumku! mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian taubatlah kepadaNya, supaya ia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu (yang sedia ada)”. (Surah Hud: 52).
Sumber:
- Renungan Ramadhan #19: Banyakkan Beristighfar – Maktabah Al Bakri
- Mencari Penawar Duka, Pengubat Sengsara – Jabatan Mufti Negeri Perlis