Ubat Kencing Manis Yang Diluluskan KKM Berserta Kegunaannya

ubat kencing manis
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Ubat kencing manis yang ada di dunia ini bermacam-macam jenis digunakan. Namun tidak semua mendapat kelulusan dan diperakui selamat untuk digunakan bagi merawat penyakit ini.

Justeru artikel pada kali ini, kami akan berkongsi kepada anda berkenaan dengan ubat kencing manis yang telah mendapat kelulusan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memudahkan anda membuat pencarian.

Baca juga:

Apa itu kencing manis?

ubat kencing manis

Kencing manis atau diabetes adalah satu keadaan di mana tahap gula di dalam darah adalah tinggi dari normal.

Ia adalah masalah kronik yang boleh mengakibatkan kerosakan banyak organ penting tubuh bergantung kepada tahap kawalan gula dalam darah.

Tanpa pengurusan yang betul ianya boleh mendatangkan berbagai komplikasi seperti penyakit kardiovaskular, kegagalan buah pinggang, buta dan kerosakan saraf seperti dikongsikan.

Ubat untuk kencing manis

Ubat kencing manis untuk merawat diabetes boleh dibahagikan kepada enam kelas. Pembahagiannya adalah seperti berikut:

1) Biguanides

ubat kencing manis
  • Metformin (Glucophage®),
  • Metformin XR (Glucophage XR®),
  • Metformin + Glibenclamide (Glucovance®),
  • Metformin + Glimepiride (Amaryl M®),
  • Metformin + Rosiglitazone (Avandamet®),
  • Metformin + Pioglitazone (Actoplus Met®),
  • Metformin + Sitagliptin (Janumet®),
  • Metformin + Vildagliptin (Galvusmet®),
  • Metformin + Saxagliptin (Kombiglyze XR®).

2) Sulfonilurea

  • Glibenclamide (Daonil®),
  • Gliclazide (Diamicron®),
  • Gliclazide MR (Diamicron MR®),
  • Glimepiride (Amaryl®),
  • Metformin + Glimepiride (Amaryl M®).

3) Perencat Alfa-Glukosidase

  • Acarbose (Glucobay®),
  • Miglitol (Glyset®)

4) Thiazolidinediones

ubat kencing manis
  • Rosiglitazone (Avandia®),
  • Pioglitazone (Actos®),
  • Metformin + Rosiglitazone (Avandamet®),
  • Metformin + Pioglitazone (Actoplus Met®)

5) Meglitinides

  • Repaglinide (Novonorm®),
  • Nateglinide (Starlix®)

6) Perencat Dipeptidyl Peptidase-4 (DPP-4)

  • Sitagliptin (Januvia®),
  • Vildagliptin (Galvus®),
  • Saxagliptin (Onglyza®),
  • Linagliptin (Tradjenta®),
  • Metformin + Sitagliptin (Janumet®),
  • Metformin + Vildagliptin (Galvusmet®),
  • Metformin + Saxagliptin (Kombiglyze XR®).

Mitos ubat kencing manis

Sesetengah orang memilih untuk berhenti makan ubat kencing manis kerana mereka terpedaya dengan mitos yang berlegar di media sosial.

Frasa, “ubat kencing manis membahayakan kesihatan” menjadikan mereka serba salah dan khuatir untuk mempercayai ubat-ubatan moden yang diberikan oleh doktor.

Berikut kami rungkaikan beberapa mitos mengenai ubat ini berserta penjelasan lanjutnya.

1. Ubat kencing manis menyebabkan kerosakan buah pinggang?

Sebenarnya dua punca utama sakit buah pinggang adalah penyakit kencing manis itu sendiri dan tekanan darah tinggi.

Sekiranya pesakit kencing manis tidak makan ubat pun boleh menyebabkan buah pinggang rosak (malah lebih cepat) lebih-lebih lagi kalau ada darah tinggi sekali.

Hal ini kerana, kedua-dua penyakit ini merosakkan struktur salur darah termasuk salur darah yang berada di dalam buah pinggang.

Ubat kencing manis dapat mengawal paras gula dalam darah dan akan melambatkan proses kerosakan ini.

Cuma bila buah pinggang sudah rosak akibat kencing manis yang tidak terkawal atau penuaan, dos ubat perlu dikurangkan atau doktor perlu menukar jenis ubat yang lain.

Ini kerana buah pinggang tidak mampu lagi menyingkirkan ubat tersebut dari badan dengan cekap.

2. Menghancurkan ubat sebelum ditelan boleh mengurangkan risiko ubat tersumbat di buah pinggang?

Tahukah anda? Ubat-ubatan dan makanan yang dimakan tidak masuk dalam bentuk seketul pepejal ke dalam darah?

Hanya bahan aktif ubat dan zat makanan dalam bentuk molekul halus yang tidak nampak di mata kasar akan diserap melalui dinding perut dan usus ke dalam salur darah.

Maka jika anda telan ubat itu sebiji sekalipun, ia tetap akan hancur dalam perut dan diserap dalam darah dalam bentuk yang larut.

Bahan kasar yang tidak dapat diserap akan disingkirkan melalui najis. Sebab itulah anda akan melihat ketul-ketul biji cili dalam najis.

Dan tahukah anda? Bukan semua ubat biji dibenarkan untuk dihancurkan! Kerana ada ubat kencing manis jenis “controlled release” yang diformulasikan untuk melepaskan ubat dari biji ubat tersebut secara perlahan-lahan sepanjang hari.

Ini supaya kesan sampingan dapat dikurangkan dan supaya anda boleh makan ubat tersebut sekali sehari sahaja. Contohnya seperti Metformin XR (extended release) dan Gliclazide MR (modified release).

Apa yang akan jadi jika ubat dengan formulasi khas ini dihancurkan? Ubat yang sepatutnya diserap perlahan-lahan sepanjang hari kini diserap secara banyak sekaligus! Ini bahaya kerana anda akan mengalami terlebih dos.

Fungsi ubat untuk kencing manis

Setiap satu ubat kencing manis yang kami senaraikan tadi mempunyai fungsinya yang tersendiri.

Ia merangkumi dari aspek cara tindakan atau mekanisme, cara pengambilan, dan kesan sampingannya.

Kelas UbatCara TindakanCara PengambilanKesan Sampingan
BIGUANIDES– Meningkatkan kepekaan sel-sel badan terhadap insulin dengan meningkatkan penggunaan gula oleh otot.

– Mengurangkan penghasilan gula oleh hati.
Mengurangkan penyerapan gula oleh usus.
Ubat ini perlu diambil selepas makan atau bersama makanan untuk mengurangkan kesan sampinganLoya, muntah, pening, cirit-birit, sakit perut, sakit kepala, ruam kulit
SULFONILUREAMeningkatkan penghasilan insulin oleh kalenjar pankreas.Ubat ini biasanya diambil 15-30 minit sebelum makan.Paras gula darah terlalu rendah (hipoglisemia), peningkatan berat badan, loya, muntah, cirit-birit, uam kulit.
PERENCAT ALFA-GLUKOSIDASEMerencatkan tindakan enzim-enzim tertentu di dalam usus kecil, justeru melambatkan pencernaan dan penyerapan gula ke dalam darah.Ubat ini biasanya dikunyah bersama suapan pertama makanan atau ditelan bersama segelas air sejurus sebelum makan.Kembung perut, loya, cirit-birit, kentut.
THIAZOLIDINE-DIONESMeningkatkan sensitiviti insulin dengan mengaktifkan gen-gen tertentu yang terlibat dalam pembentukan lemak dan metabolisme karbohidrat.Ubat ini boleh diambil sebelum atau selepas makan.Bengkak / sembab, peningkatan berat badan, peningkatan kolesterol (LDL), peningkatan risiko kerapuhan tulang, peningkatan risiko kegagalan jantung kongestif.
MEGLITINIDESMeningkatkan penghasilan insulin oleh kalenjar pankreas, maka ia berkesan untuk mencegah paras gula tinggi selepas makan.Ubat ini perlu diambil sejurus sebelum makan.Paras gula darah terlalu rendah (hipoglisemia), peningkatan berat badan, pening, cirit-birit.
PERENCAT DIPEPTYL-PEPTIDASE-4– Merangsang perembesan insulin bergantung kepada paras gula dalam darah

– Mengurangkan penghasilan gula oleh hati.
Ubat ini boleh diambil sebelum atau selepas makan.Loya, muntah, cirit-birit, sakit kepala, ruam kulit.

Cara pengambilan ubat yang betul

Kesemua ubat-ubatan ini perlulah disimpan di dalam suhu bilik di bawah suhu 30ºC, elakkan daripada terdedah kepada cahaya dan kelembapan.

Anda juga boleh simpan dalam bekas yang tertutup dan rawat. Jauhkan daripada kanak-kanak.

Kesan tidak makan ubat

ubat kencing manis

Sesetengah orang yang melihat paras gula darahnya mencapai tahap yang baik atau menurun kadang kala mengambil keputusan sendiri untuk menghentikan ubat-ubatan yang diberikan oleh doktor.

Namun ketahuilah bahawa keputusan yang anda ambil terburu-buru ini boleh mendatangkan kesan buruk kepada tahap kesihatan anda yang sedia ada.

Apa-apa pun sebarang keputusan untuk menghentikan pengambilan ubat perlu dibincangkan terlebih dahulu dengan doktor agar ia tidak menjejaskan paras gula darah anda.

Bagi pesakit diabetes yang ingin mendapat ilmu khusus tentang pengurusan sakit kencing manis, berikut adalah Panduan Pendidikan Kesihatan yang boleh di rujuk.

Diharapkan semoga perkongsian kami ini berkenaan dengan ubat kencing manis ini dapat memberikan anda informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat khususnya kepada penghidap diabetes.

Sumber:

  1. Ubat Oral Untuk Rawatan Diabetes. My Health
  2. Kepatuhan Kepada Ubat Antidiabetes. My Health
  3. Tanda-Tanda Kencing Manis (Sebelum Terlambat). Bidadari.my
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut