Tekanan Darah Rendah : Punca, Simptom dan Cara Untuk Atasi

Adakah anda sering alami pening kepala selepas bangun tidur? Ini merupakan antara simptom tekanan darah rendah. Ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.

Bergantung kepada punca dan simptom, ia perlulah ditangani dengan baik bagi mengelakkan masalah kesihatan yang tidak diingini.

Ikuti perkongsian kami untuk ketahui dengan lebih lanjut.

Pengenalan

Tekanan darah normal bagi orang dewasa adalah lebih rendah dari 120/80 mmHg. Tekanan darah dikatakan rendah apabila bacaan berada di paras lebih rendah dari 90/60 mmHg.

tekanan darah rendah

Jenis Tekanan Darah Rendah

Terdapat tiga jenis utama bagi tekanan darah rendah iaitu :

Tekanan Darah Rendah Ortostatik

  • Tekanan darah yang menurun apabila seseorang berubah posisi, bangun dari tidur atau duduk.
  • Berlaku apabila tubuh tidak dapat menyesuaikan tekanan aliran darah dnegan cepat supaya sesuai dengan kedudukan badan.
  • Boleh menyebabkan seseorang berasa pening atau pengsan.
  • Keadaan biasanya berlaku hanya seketika (beberapa saat atau beberapa minit selepas berdiri).

Tekanan Darah Rendah ‘Neurally Mediated’ (NMH)

  • Berlaku apabila otak dan jantung tidak berkomunikasi antara satu sama lain. Contohnya, apabila berdiri terlalu lama, darah mula berkumpul di kaki.
  • NMH juga menyebabkan badan keliru dan memberitahu otak bahawa tekanan darah tinggi. Sebagai tindakbalas, otak akan melambatkan kadar denyutan jantung.
  • Boleh menyebabkan kepala pening dan rasa hendak pitam.

Tekanan Darah Turun Mendadak Akibat ‘Shock’

‘Shock’ adalah keadaan yang boleh mengancam nyawa di mana tekanan darah menurun begitu rendah sehingga otak, buah pinggang dan organ penting lain tidak dapat bekalan darah mencukupi.

tekanan darah rendah
tekanan darah rendah

Punca

Disebabkan hipotensi boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, jadi agak sukar untuk tentukan punca sebenarnya.

Ia juga boleh dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti genetik dan kegiatan. Sekiranya anda mengalami masalah tekanan darah rendah, ia mungkin boleh terjadi disebabkan :

Nyahhidrasi

Apabila badan kehilangan air lebih dari yang diambil seperti berpeluh berlebihan semasa lakukan aktiviti fizikal, muntah, cirit-birit dan demam, ia boleh mendorong kepada penurunan tekanan darah.

Pengambilan Ubat-Ubatan Tertentu

Ubat tertentu termasuk ubat untuk merendahkan tekanan, ubat kencing (diuretics), calcium channel blockers, antidepresi serta beta blockers (ubat masalah jantung) boleh menyebabkan tekanan darah menjadi rendah.

Menghidap Diabetes

Diabetes boleh menggangu kestabilan tekanan darah kerana ia boleh mempengaruhi hormon dan saraf pada kawasan salur darah.

Penyakit Neurologikal

Individu yang mengalami penyakit neurologikal seperti Parkinson berisiko untuk alami masalah tekanan darah disebabkan salur darah yang lebih luas daripada biasa.

Pada masa yang sama, ubat-ubatan untuk pesakit Parkinson juga boleh menyebabkan masalah sama.

Masalah Berkaitan Kelenjar Adrenal

Individu dengan masalah dengan kelenjar adrenal seperti penyakit Addison atau mengalami kecederaan pada kelenjar boleh mengakibatkan tekanan darah jatuh.

Masalah Jantung

Individu yang mengalami masalah jantung lebih cenderung untuk alami masalah tekanan darah rendah.

tekanan darah rendah

Anemia

Sekiranya seseorang mempunyai sel darah merah yang kurang daripada julat normal, tekanan darah juga akan menurun kerana darah tidak dapat mengangkut oksigen yang cukup untuk keperluan tubuh.

Kecederaan Serius atau ‘Shock’

Tubuh yang alami kejutan atau kecederaan serius boleh menyebabkan tekanan darah menurun secara mendadak. ‘Shock’ akibat alahan atau jangkita bakteria juga boleh menyebabkan hipotensi.

Simptom Tekanan Darah Rendah

Gejala atau simptom bagi hipotensi adalah bergantung kepada puncanya.

Hipotensi Ortostatik / Hipotensi Neurally Mediated

Hipotensi jenis ortostatik berlaku selepas seseorang bangun dari keadaan berbaring atau duduk.

Pada masa yang sama, hipotensi neurally mediated juga menunjukkan gejala yang sama seperti hipotensi ortostatik antaranya :

  • Pening atau merasa pusing
  • Penglihatan kabur
  • Kekeliruan
  • Badan terasa lemah
  • Loya atau rasa sakit perut

Hipotensi Teruk Berkaitan ‘Shock’

Pada peringkat awal, mungkin sukar untuk mengesan sebarang tanda. Bagi orang tua, gejala pertama mungkin hanya kekeliruan.

Sekiranya keadaan ‘shock’ semakin teruk, seseorang tidak dapat duduk tanpa merasa pitam dan boleh pengsan sekiranya berlarutan.

Gejala lain pula bergantung kepada punca ‘shock’ itu sendiri. Sebagai contoh, bagi pesakit yang alami kehilangan darah yang banyak atau kegagalan jantung untuk mengepam darah :

  • Kulit akan menjadi sejuk, berpeluh dan pucat.
  • Denyut nadi menjadi lemah dan pantas
  • Pernafasan laju

Pesakit dengan hipotensi ‘shock’ perlulah mendapatkan rawatan serta-merta bagi mengelakkan komplikasi yang tidak diingini.

Cara Atasi Hipotensi

Sekiranya anda mengalami hipotensi, kaedah terbaik untuk mengatasinya adalah untuk mengikut saranan doktor. Biasanya, doktor akan mengesyorkan beberapa kaedah seperti berikut :

1. Amalkan Pemakanan Sihat

Ambil makanan yang sihat dan seimbang serta minum air secukupnya. Pengambilan garam pada kadar bersesuaian juga mungkin dapat membantu mengimbangi tekanan darah.

Sekiranya anda sering pening selepas makan, kurangkan pengambilan karbohidrat.

2. Ambil Ubat-Ubatan

Bagi mengurangkan simptom hipotensi, anda perlulah mengambil ubat atas saranan doktor.

3. Berdiri Perlahan-lahan

Elakkan berdiri terlalu cepat kerana ini boleh mengakibatkan anda pening atau pengsan.

4. Duduk Jika Rasa Pening atau Ingin Pitam

Jatuh dari tempat tinggi boleh mendatangkan kecederaan serius seperti konkusi atau patah tulang.

Simptom tekanan darah rendah biasanya boleh diatasi dengan perubahan gaya hidup dan pengambilan ubat-ubatan atas saranan doktor.

Namun, jika ia berlarutan, anda perlulah mendapatkan rawatan daripada doktor dengan segera.

Sumber : myhealth.gov.my, Hellodoktor

Baca Juga : Bacaan Tekanan Darah Normal Untuk Lelaki & Perempuan

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!