Di Amerika Syarikat, tarikh Black Friday biasanya cukup sinonim dengan musim membeli belah memandangkan banyak penjual akan membuat promosi Black Friday yang menawarkan harga diskaun yang ada kalanya tidak masuk akal. Namun kini, di Malaysia juga sering kedengaran promosi Black Friday di sana sini.
Tahukah anda apakah itu Black Friday dan mengapakah banyak promosi ditawarkan ketika tempoh ini?
Jom kami kongsikan sedikit fakta dan trivia berkaitan Black Friday.
Pengenalan Istilah ‘Black Friday’
Black Friday adalah hari jualan besar-besaran yang biasanya diadakan selepas Hari Kesyukuran (Thanksgiving) di Amerika Syarikat.
Pada hari ini, kedai fizikal dan dalam talian membuat promosi tawaran diskaun besar-besaran untuk menarik pembeli.
Nama istilah asal ini mula digunakan oleh polis di Philadelphia pada 1960-an untuk menggambarkan kesesakan lalu lintas dan kekacauan yang berlaku akibat orang ramai keluar membeli-belah selepas Thanksgiving.
Manakala dalam konteks perniagaan pula, ia merujuk kepada tempoh di mana peniaga mula membuat keuntungan. Dalam akaun kewangan, “black” (hitam) menunjukkan keuntungan (berbanding “red” yang bermaksud kerugian).
Tradisi ini menandakan permulaan musim membeli-belah Krismas, di mana ramai orang memburu barang-barang idaman mereka dengan harga yang lebih murah sama ada sebagai hadiah sempena Krsmas atau barangan untuk kegunaan sendiri sahaja.
Kebiasaannya hari yang istimewa ini ialah hari membeli-belah paling sibuk ini di Amerika Syarikat dan penjual mengutamakan hari ini dan Cyber Monday memandangkan ramai pembeli yang memang mahu berbelanja besar untuk sambutan Krismas.
Bilakah Tarikh ‘Black Friday’?
Black Friday berlaku setiap tahun pada hari Jumaat selepas Hari Thanksgiving, yang disambut pada hari Khamis keempat dalam bulan November. Oleh itu, tarikh ini berubah-ubah setiap tahun, namun begitu ia sentiasa jatuh antara 23 hingga 29 November.
Tarikh Black Friday untuk Beberapa Tahun Akan Datang:
- 2024: 29 November
- 2025: 28 November
- 2026: 27 November
- 2027: 26 November
Budaya ‘Black Friday’ di Luar Negara
Di luar Amerika Syarikat, Black Friday juga telah menjadi fenomena global, dengan banyak negara lain yang turut mengikut tradisi ini dan menawarkan promosi yang menarik.
Negara kita Malaysia juga tidak terkecuali dengan promosi jualan sempena hari istimewa ini namun suasananya mungkin tidaklah ‘gila-gila’ seperti di Amerika Syarikat.
Di Amerika Syarikat, sempena hari istimewa ini kebiasaannya kedai akan dibuka lebih awal dan para pelanggan sanggup beratur berjam-jam lamanya di pintu kedai kerana pelanggan yang lebih awal mempunyai lebih banyak pilihan untuk barangan yang boleh dibeli pada harga istimewa.
Artikel berkaitan: 15 SD Card Terbaik Untuk Telefon Pintar, Kamera, Drone & Dash Cam
Hukum Membeli Barang Yang Dijual Sempena ‘Black Friday’
Dalam sebuah video Youtube of Mufti Menk, dijelaskan bahawa tiada salahnya jika kita ingin membeli barang-barang yang ditawarkan ketika tempoh promosi besar-besaran ini.
Namun begitu, jual beli itu perlulah mengikut hukum Islam dan dinasihatkan agar tidak membazir dengan membeli secara berlebihan tanpa mengikut keperluan.
Contoh Promosi di Malaysia
Banyak jenama-jenama besar turut menawarwarkan diskaun menarik sempena hari Black Friday.
Sekiranya anda sedang mencari sesuatu, mungkin kini adalah masa yang sesuai untuk beli pada harga lebih murah daripada harga pasaran.
Berikut merupakan antara promosi yang terdapat di Malaysia:
1. Xiaomi Malaysia – Diskaun sehingga RM210!
2. JD Sports – Diskaun sehingga 35%
3. Sephora – Tawaran sehingga 20% diskaun
4. Adidas – Sehingga 50% diskaun + 20% diskaun tambahan
5. SOGO – Sehingga 80% diskaun
6. Bath and Body Works – Promosi Beli 2 Percuma 2
7. Klook – Tawaran menarik untuk pelbagai pakej percutian
Penutup
Walaupun bermula di Amerika Syarikat, Black Friday kini diraikan di banyak negara, termasuk Malaysia. Di Malaysia, ia dikenali dengan jualan besar-besaran oleh kedai fizikal dan platform e-dagang seperti Lazada, Shopee, dan Zalora.
Jadi, inilah peluang untuk membeli barangan dengan harga murah, tetapi penting untuk merancang dan mengelak pembaziran!