Susu Formula Tahan Berapa Lama Selepas Dibancuh?

Untuk pasangan yang baru bergelar ibu bapa, memang tidak dinafikan terdapat pelbagai perkara yang perlu dipelajari demi memberi penjagaan terbaik buat bayi.

Ini termasuklah kaedah penyusuan dan teknik bancuhan susu formula. Pasti ibu bapa pernah alami situasi di mana anak tidak dapat menghabiskan susu formula yang telah dibancuh.

Memang sayang untuk dibuang tetapi selamatkah jika susu tersebut disimpan di peti ais?

Ayuh ikuti perkongsian kami untuk ketahui dengan lebih lanjut.

Susu Formula Tahan Berapa Lama Selepas Dibancuh?

Secara umumnya, susu formula yang telah dibancuh boleh bertahan selama 2 jam pada suhu bilik. Dengan syarat, ia tidak dipanaskan atau disentuh kerana dua perkara ini boleh mengakibatkan susu basi.

Kiraan ini juga dimulakan sebaik sahaja susu tepung dan air berlaku.

Namun begitu, tempoh tahan lama ini juga boleh bergantung kepada jenama dan jenis susu formula yang anda beli.

Oleh itu, anda dinasihatkan untuk rujuk pada label susu formula di rumah.

Hal ini kerana sesetengah jenama susu formula hanya boleh bertahan selama 1 jam sahaja pada suhu bilik.

susu formula tahan berapa lama
Sumber : Baby Gear Formula

Berapa Lama Susu Formula Yang Dibancuh Boleh Bertahan Dalam Peti Sejuk?

Selagi susu tersebut belum diminum oleh bayi, ia boleh disimpan dengan lebih lama di dalam peti sejuk.

Botol yang mengandungi susu formula yang telah dibancuh boleh bertahan sehingga 24 jam di dalam peti ais.

Ini merupakan alternatif yang sesuai buat ibu bapa yang sibuk. Apa yang mereka perlu lakukan ialah membancuh susu formula dalam sukatan yang besar dan simpan di dalam botol yang bersih.

Ibu bapa juga boleh menuangnya ke dalam botol susu bayi apabila diperlukan.

Namun, suhu peti ais mestilah berada pada suhu 4.4°C atau lebih rendah. Suhu yang tidak sesuai boleh mengakibatkan bancuhan susu formula cepat basi.

Bolehkah Susu Formula Dibancuh Disejukbekukan?

Tidak boleh. Susu formula yang disejukbeku atau disimpan di dalam freezer akan mengalami perubahan tekstur. Ini sekaligus akan menjejaskan tempoh ketahanannya.

Jadi, anda tidak digalakkan untuk sejuk bekukan susu formula yang telah dibancuh.

Bolehkah Bayi Minum Baki Susu Formula Yang Tak Habis?

Susu formula yang tidak habis perlulah dibuang selepas 1 jam. Jangan sesekali menyimpannya di dalam peti sejuk untuk diminum kemudian.

Hal ini kerana produk berasaskan susu sangat mudah untuk terdedah kepada bakteria.

Anda juga tidak boleh panaskan baki susu formula yang tidak habis kerana ini juga boleh menggalakkan pertumbuhan bakteria.

susu formula tahan berapa lama
Sumber : University of Nebraska

Serbuk Susu Formula Tahan Berapa Lama Selepas Dibuka?

Untuk serbuk susu formula, ia biasanya boleh bertahan dalam masa 1 bulan selepas dibuka.

Harus diingat bahawa serbuk susu perlulah disimpan di tempat kering dan sejuk, tetapi bukan dalam peti ais!

Untuk maklumat lanjut, anda boleh semak panduan serta tarikh luput yang tertera pada bekas atau pek bungkusan susu tersebut.

susu formula tahan berapa lama

Walaupun agak rumit untuk mengenalpasti susu formula tahan berapa lama, namun ilmu ini adalah sangat penting untuk kesihatan dan kesejahteraan bayi anda.

Lama kelamaan, anda juga pasti akan terbiasa dengan jumlah susu yang sering diminum setiap hari. Jadi, anda bolehlah buat anggaran sukatan susu yang sesuai supaya tidak membazir.

Jika anda terlupa untuk semak tempoh susu formula yang telah dibancuh, cara yang paling selamat adalah buang sahaja.

Jangan ambil risiko semata-mata untuk berjimat. Sebaiknya, rancang waktu penyusuan dan pantau tempoh bancuhan susu formula.

Selamat mencuba!

Sumber : Healthline, CDC

Baca Juga : Susu Ibu Tahan Berapa Lama? Ini Panduan Urus Yang Betul

Bantu kami share artikel ini: