Sujud Syukur : Bacaan Rumi & Panduan Melaksanakannya
Sujud syukur merupakan salah satu cara kita sebagai umat Islam untuk menunjukkan rasa kesyukuran kepada Allah S.W.T. Sujud ini sering dilakukan apabila seseorang itu memperoleh sesuatu nikmat atau terselamat daripada sesuatu bencana.
Melalui artikel ini, kami akan kongsikan kepada anda bagaimana cara untuk melakukan sujud syukur ini. Pastikan anda terus bersama kami sehingga ke penghujung artikel untuk mengetahui lebih lagi.
Apa Itu Sujud Syukur?
Sujud bererti merendah dan menghambakan diri kepada Allah. Ia merupakan perbuatan yang sangat dicintai Allah SWT, bahkan sujud menjadi bukti kita mengakui keagungan dan kebesaran Allah SWT.
Syukur pula membawa maksud menghargai atau berterima kasih kepada sesuatu pemberian. Sebagai Muslim, wajib bagi kita mensyukuri segala nikmat pemberian Allah SWT.
Justeru, sujud syukur adalah sujud yang dilakukan untuk menzahirkan rasa terima kasih kepada Allah SWT atas nikmat yang hadir secara tiba-tiba atau terselamat daripada sesuatu bala.
Sumber: Ustazah Asma’ Harun
Hukum & Perbezaannya Dengan Sujud Tilawah
Hukum melaksanakan sujud syukur ini telah dibincangkan oleh para sahabat dan ahli ulama dan berikut merupakan antara jawapan yang diberikan oleh mereka berkenaan hukum pelaksanaan sujud ini:
- Mazhab Syafi’e dan Hanbali memutuskan bahawa hukum ibadah ini ialah sunat menurut kitab Mughni al-Muhtaj.
- Imam Syaukani menyatakan dalam Al-Bahr Az-Zikhar, Rasulullah SAW melakukan sujud syukur pada tempat dan situasi tertentu. Oleh itu, sujud syukur tidaklah wajib.
- Syeikh Zakariya al-Ansari menerangkan di dalam Syarah al-Bahjah, sunnah sujud syukur ialah seperti sujud tilawah yang dilakukan di luar solat.
Jelasnya di sini, kebanyakan para agamawan bersetuju bahawa amalan ini bukanlah satu ibadah wajib, tapi ia sangat digalakkan untuk dilakukan. Oleh itu, amalan ini telah diletakkan di bawah ibadah sunat.
Berikut adalah perbezaan antara sujud syukur dan sujud tilawah. (Sumber: My #QuranTime)
Syarat Sah Sujud Syukur
Menurut mazhab Syafi’e dan Hanbali, syarat melakukan sujud syukur ini ialah:
- Suci daripada hadas besar dan kecil
- Suci daripada najis sama ada di badan, pakaian atau di tempat anda melaksanakan sujud tersebut.
- Mengadap arah kiblat
- Menutup aurat
Panduan Pelaksanaan
- Niat
- Takbiratul Ihram.
- Sujud (sekali sahaja) dan baca bacaan di bawah
- Duduk seperti tahiyat akhir tanpa membaca tasyahud.
- Memberi salam.
Niat & Bacaan Dalam Sujud
Bagi anda yang ingin menjalankan ibadah ini, berikut adalah lafaz niat dan bacaan dalam sujud yang perlu anda baca ketika melakukan ibadah sunat tersebut:
1. Niat
نَوَيْتُ سُجُوْدَ الشُّكْرِ سُنَّةَ لِلّٰهِ تَعَالَى
Rumi: Nawaitu sujudassyukri sunnata lillahi ta’ala
Maksudnya: “Sahaja aku melakukan sujud syukur sunat kerana Allah Taala”.
2. Bacaan dalam sujud
Waktu Pelaksanaan Sujud Syukur
Ibadah ini digalakkan untuk dilakukan oleh umat Islam ketika adanya nikmat, rezeki, kebahagiaan atau mendapat hidayah dalam keadaan tak disangka-sangka, seperti yang dilakukan Rasulullah S.A.W, dalam dalil berikut:
Adalah Nabi SAW ketika telah datang sesuatu perkara yang menggembirakan ataupun diceritakan sesuatu yang gembira dengannya akan turun sujud, bersyukur terhadap Allah SWT.
Riwayat Abu Daud (2774). Disahihkan oleh Al-Albaani.Trending sekarang
Manakala, jika nikmat itu berterusan atau berkekalan, sebagai contoh sudah ada kereta, rumah atau pekerjaan, maka itu tidak termasuk dalam perkara yang dibolehkan melakukan ibadah ini.
Ibadah sunat ini juga digalakkan dilakukan ketika terhindar daripada musibah seperti selamat daripada bahaya atau bahkan terselamat daripada melakukan kemungkaran.
Kelebihan dan Kebaikan
Terdapat banyak kelebihan dan kebaikan yang boleh diperoleh daripada melaksanakan ibadah sunat ini, antaranya adalah:
- Merasai kepuasan rohani
- Menerima anugerah daripada Allah SWT .
- Semakin dekat dengan Allah
- Memperoleh bimbingan dan hidayahNya.
- Ditambahkan nikmat daripada Allah SWT
- Selamat dari seksa-Nya.
Baca juga: Selawat Nabi Muhammad S.A.W & Makna Selawat