Solat Subuh : Niat, Bacaan & Panduan Menjalankan Solat

Solat fardhu merupakan ibadah wajib yang perlu dilakukan oleh umat Islam di seluruh dunia 5 kali sehari iaitu pada waktu Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak.

Solat ini merupakan tiang agama bagi penganut agama Islam dan hukum bagi orang Islam yang telah memenuhi syarat sah, namun masih tidak menjalankan solat fardhu ini adalah haram dan berdosa besar.

Oleh itu, disini kami kongsikan kepada anda yang baru mula belajar atau yang ingin belajar semula cara, niat dan makna bacaan dalam solat sebagai panduan anda dalam menjadi umat Islam yang lebih baik.

Solat Fardhu

Solat merupakan ibadah utama bagi umat Islam di seluruh dunia dan ia dikatakan sebagai tiang agama. Jika solat fardhu itu tidak dijalankan oleh seseorang individu, ibadah lain yang dilakukan juga tidak akan diterima.

Solat ini dari segi bahasa ia bermaksud doa, manakala, dari segi syarak, solat ialah amalan yang mengandungi perkataan dan perbuatan tertentu yang dimulai dengan takbiratul ihram dan disudahi dengan salam dengan syarat-syarat tertentu.

Solat fardhu yang wajib dilaksanakan oleh umat Islam setiap hari ada lima jenis iaitu solat Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak. Syarat wajib solat juga ada lima:

  • Islam
  • Baligh
  • Berakal
  • Suci daripada haid dan nifas
  • Sempurna pendengaran dan penglihatan (Jika mempunyai salah satu WAJIB baginya untuk melakukan ibadah solat ini)

Bagi individu yang telah memenuhi syarat solat ini anda wajib melaksanakan rukun Islam kedua ini. Jika anda meninggalkannya, hukumnya adalah berdosa besar.

Malah dalam keadaan individu yang sedang sakit teruk sekali pun jika mata individu tersebut masih boleh bergerak maka solat wajib dilaksanakan dalam waktunya dengan menggunakan isyarat mata.

Pengenalan Solat Subuh

Solat Subuh merupakan solat pertama yang dilakukan oleh umat Islam pada waktu pagi sebelum matahari terbit, pada setiap hari. Ia merupakan satu-satunya solat fardhu yang terdiri daripada dua rakaat.

Solat ini merupakan solat fardhu, yang bermakna ia wajib dilakukan oleh semua umat Islam yang memenuhi syarat sah solat.

Bagi individu yang sengaja meninggalkan solat ini, hukumnya adalah haram dan berdosa besar. Manakala, bagi individu yang tertinggal anda wajib menggantikan solat ini dengan niat qada.

Waktu Mendirikan Solat Subuh

Waktu untuk menunaikan solat subuh ini adalah bermula daripada fajar menyinsing hinggalah terbit matahari. Masa yang tersedia dianggarkan kira-kira 2 jam.

Pada saat ini, waktu Subuh di Malaysia di anggarkan bermula pada pukul 5:50 pagi di Semenanjung Malaysia, dan di Sabah dan Sarawak waktu Subuh ini dianggarkan pada pukul 4:50 pagi.

Bagi anda yang ingin menyemak waktu solat boleh dilakukan pautan ini: Waktu Solat Malaysia

Panduan dan Makna Bacaan Solat Subuh

1. BERDIRI TEGAK & NIAT

  • Pastikan anda berdiri tegak dan menghadap kiblat.
  • Jika anda tidak boleh berdiri, anda boleh melakukan solat dalam keadaan duduk atau berbaring. Hanya pastikan anda menghadap kiblat sewaktu menjalankan solat.
  • Lafazkan niat di bawah :

اُصَلّى فَرْضَ الصُّبْحِ رَكْعَتَيْنِ اَدَاءً للهِ تَعَالَى

 Usolli Fardhal Subhi Rakataini Adaan Lillahi Ta’ala 

Makna: Sahaja aku solat fardu Subuh dua rakaat tunai kerana Allah Taala.

*NOTA : Niat hanya di baca di RAKAAT PERTAMA SAHAJA.

niat solat Subuh

2. MELAFAZKAN TAKBIRATUL IHRAM

Angkat kedua belah tangan separas telinga dan lafazkan takbiratul ihram iaitu:

اللّٰهُ أَكْبَر‎

Allahuakbar

Makna: Allah Maha Besar

Pada waktu mengangkat takbir ini, anda perlu mengucap niat “Sahaja aku solat fardu Subuh dua rakaat tunai kerana Allah Taala” di dalam hati.

takbir

3. MEMBACA DOA IFTITAH

  • Lepas mengangkat takbir letakkan tangan di atas pusat dengan  tangan kanan di atas tangan kiri dan wajah memandang ke arah tempat sujud.
  • Kemudian lafazkan doa iftitah di bawah:

اَللهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا وَالْحَمْدُ ِللهِ كَثِيْرًا وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيْلاً. إِنِّىْ وَجَّهْتُ وَجْهِيَ لِلَّذِيْ فَطَرَالسَّمَاوَاتِ وَاْلأَرْضَ حَنِيْفًا مُسْلِمًا وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِيْنَ. إِنَّ صَلاَتِيْ وَنُسُكِيْ وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِيْ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ. لاَشَرِيْكَ لَهُ وَبِذلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا مِنَ الْمُسْلِمِيْنَ.

Allaahu akbaru kabiirawwalhamdu lillaahi katsiiraa. Wa subhaanallaahi bukratawwa aashiila. Wajjahtu wajhiya lilladzii fatoros samaawaati wal ardha haniifam-muslimaa. Wamaa anaa minal musyrikiin. Inna solaatii wa nusukii wa mahyaaya wa mamaatii lillaahi Rabbil ‘aalamiin. Laa syariikalahu wa bidzaalika umirtu wa anaa minal muslimiin

Makna: Allah Maha Besar, segala puji bagi Allah. Maha Suci Allah pagi dan petang. Aku hadapkan mukaku kepada Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, hal keadaannya bersih dalam Islam. Tidaklah aku dari golongan orang-orang yang mensyirikkan Tuhan. Sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidup dan matiku bagi Allah, Tuhan yang memiliki alam keseluruhannya. Tidak ada bersekutu dengan-Nya sesuatu dan dengan demikian aku disuruh dan aku daripada golongan muslimin.

*NOTA : Doa Iftitah hanya di baca di RAKAAT PERTAMA SAHAJA.

doa solat maghrib

4. MEMBACA AL-FATIHAH & SURAH LAIN

  • Bacaan Al-Fatihah adalah bacaan yang wajib dibaca pada setiap rakaat dalam setiap solat yang dilakukan tidak kira solat fardhu ataupun solat sunat.
  • Jika tidak dibacakan, solat anda adalah tidak sah, kerana ia merupakan salah satu rukun dalam solat.
  • Setelah membaca Al-Fatihah, anda digalakkan untuk membaca mana-mana surah pilihan dalam Al-Quran.
al-fatihah

Bismillahirahmanirahim.

Alhamdulillah hirabbil alamin. Arrahmanirrahim. Maliki yaumiddin. Iyya kana’ budu iyya kanasta ‘in. Ihdinas sirotol mustaqim. Sirotollazina an’am ta’alaihim ghairil maghdu bi ‘alaihim waladhollin

Makna: Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah,Tuhan semesta alam. Maha Pemurah,Maha Penyayang. Memiliki hari Pembalasan. Hanya kepada Engkaulah kami menyembah,dan hanya kepada Engkau kami memohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus, (iaitu) jalan orang –orang yang telah Engkau kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) mereka yang murka, dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat.

al fatihah

5. RUKUK

  • Setelah selesai membaca Al-Fatihah dan surah pilihan anda teruskan bertakbir dan rukuk.
  • Baca tasbih rukuk di bawah sebanyak 3 kali:

Subhaa na rabbiyal a’zimi wabihamdih

Makna: “Maha Suci Tuhanku Yang Maha Besar dengan segala sifat-Nya yang terpuji.”

rukuk solat maghrib

6. I’TIDAL

  • Kemudian, bangun daripada rukuk sambil mengucapkan:
iktidal solat maghrib

 Sami Allahu liman hamidah

Makna: Allah mendengar perkataan mereka yang memuji-Nya.

  • Dan setelah berdiri hendaklah membacakan bacaan iktidal.

Rabbana lakal hamdh 

Makna: Ya Tuhan Kami, untuk-Mu segala pujian.

i'tidal

7. SUJUD

  • Setelah itu, bertakbir dan lakukan sujud.
  • Pastikan anggota badan di bawah menyentuh sejadah dengan keadaan punggung berada pada paras yang lebih tinggi dari kepala:
    • Dahi
    • Hidung
    • Kedua belah tapak tangan
    • Ibu jari kaki
  • Baca tasbih sujud di bawah sebanyak 3 kali:
baca-sujud-maghrib

Subhana Rabbiyal A’laa Wabihamdih 

Makna: Maha Suci Tuhanku Yang Maha Tinggi dengan segala kepujiannya.

solat subuh

8. DUDUK ANTARA DUA SUJUD

Selepas itu, bangun dari sujud (dalam keadaan duduk) sambil menyebut “Allahuakbar” (tanpa mengangkat tangan) dan lafazkan ayat di bawah:

Rabbigfirli Warhamni Wajburni Warfagni Warzuqni Wahdini Wa a’fini Wa’fu Anni 

Maksudnya:

Wahai Tuhanku, ampunilah aku, rahmatilah aku, lindungilah aku dan angkatlah darjatku berilah aku rezeki, dan berilah petunjuk kepadaku, afiatkanlah aku dan ampunilah aku.

  • Selesai membaca tasbih di atas, maka lakukan sujud kedua, dengan bacaan yang sama seperti sujud pertama.
  • Kemudian bangun untuk rakaat kedua dengan takbiratul ihram, dengan ini, sudah selesai bahagian rakaat pertama dalam solat Subuh anda.
solat subuh

9. DOA QUNUT

  • Khas bagi solat Subuh sahaja, selepas melakukan i’tidal di rakaat kedua, anda disunatkan membaca doa Qunut.
  • Sebelum sujud, kekal berdiri lurus dengan mengangkat kedua-dua tangan dan membaca doa Qunut di bawah:

Rumi:

  • Allahummah dini fii man hadait,
  • wa ‘afini fiman ‘afait,
  • wa tawallani fi man tawallait,
  • wa barik li fi ma a’thait,
  • wa qini syarra ma qadhait,
  • fa innaka taqdhi wa la yuqdha ‘alaik,
  • wa innahu la yazillu man wa lait,
  • wa la ya’izzu man ‘adait,
  • tabarakta rabbana wa ta’alait,
  • fa lakal hamdu a’la ma qadhait,
  • wa astagfiruka wa atubu ilaik,
  • wa shallallahu ‘ala sayyidina muhammadin nabiyyil ummiyyi
  • wa ‘ala alihi wa shahbihi wa sallam.
Solat Subuh

10. TAHIYAT AKHIR

  • Pada RAKAAT TERAKHIR anda tidak perlu bangun selepas sujud kedua.
  • Pada saat ini, anda perlu melakukan tahiyat akhir dengan lafaz bacaan di bawah, anda perlu pastikan lafaz bacaan anda jelas dan dapat di dengar oleh telinga anda:

Attahiyatul mubarakatus solawatut taiyibatu lillah. Assalamu’alaika aiyuhan nabiyu warahmatullayhi wabarakatuh. Assalamu’alaina wa’la ‘ibadillahis salihin. Asyahadu anla illaha illallah. Wa’asyhadu anna Muhammadar Rasulullah. Allahumma solli’ala Muhammad wa’ala ali Muhammad. Kama sollaita’ala Ibrahim wa’ala aliIbrahim. Wabarik ‘ala Muhammad wa’ala ali Muhammad. Kama barakta ‘ala Ibrahim wa’ala aliIbrahim. Fil ‘alamina innaka hamidum-majid.

Makna:

Segala kehormatan, keberkatan, segala doa (solat) dan kebaikan untuk Allah, keselamatan, rahmat Allah dan berkatNya tetap kepadamu ya Nabi. Keselamatan mudah-mudahan tetap kepada kami dan hamba-hamba Allah yang soleh. Aku mengaku tiada tuhan yang disembah melainkan Allah. Dan aku mengaku Nabi Muhammad SAW ialah pesuruh Allah.

Ya Allah, berilah rahmat kepada Penghulu kami Nabi Muhammad dan keluarga Sayidina Muhammad. Sebagaimana Engkau merahmati Sayidina Nabi Ibrahim dan keluarga Sayidina Nabi Ibrahim. Berkatilah penghulu kami Sayidina Nabi Muhammad dan keluarga Penghulu kami Sayidina Muhammad.

Sebagaimana Engkau memberkati Sayidinia Nabi Ibrahim dan keluarga Sayidina Nabi Ibrahim. Di alam semesta ini, Engkau sahajalah Yang Paling Terpuji dan Yang Paling Mulia.

tahiyad solat subuh

11. SALAM

  • Selesai membaca tahiyat akhir, palingkan muka anda ke sebelah kanan dan ucapkan: “Assalamualaikum wa rahmatullah”.
  • Lakukan perkara yang sama, dengan kali ini muka anda dipalingkan ke bahagian sebelah kiri.
  • Dengan ini selesailah solat Subuh dua rakaat anda.
salam solat subuh

Diharapkan panduan yang kami kongsikan ini dapat membantu anda memahami dengan lebih mendalam tentang ibadah wajib ini. Diharapkan juga, panduan ini dapat membantu dalam menjadikan anda sebagai seorang muslim yang lebih baik. Aamiin.

Bagi anda yang baru mula ingin belajar tentang solat, anda boleh dapatkan sejadah yang cantik dan selesa di sini.

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!