Cara Solat Sunat Gerhana Bulan (Khusuf) 3 Mac 2026

Info bantuan baru terus ke WhatsApp
Saya Nak!

Fenomena Gerhana Bulan Penuh di Malaysia atau juga dikenali sebagai Blood Moon dijangka akan berlaku pada 3 Mac 2026, menurut portal rasmi Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) mysa.gov.my. Fenomena gerhana penuh dijangka boleh dilihat bermula pada jam 7.23 malam (bulan terbit), mencapai kemuncak pada jam 7.33 malam dan tamat sepenuhnya pada jam 10.23 malam (gerhana penumbra tamat). Ketika kemuncak gerhana, bulan dijangka kelihatan berwarna kemerahan akibat pembiasan cahaya matahari oleh atmosfera bumi. Menurut JAKIM, umat Islam disunatkan untuk menunaikan Solat Sunat Gerhana Bulan (Solat Khusuf) bermula daripada waktu maghrib sehingga jam 9.17 (fasa gerhana separa berakhir), sebagaimana yang disyariatkan dalam Islam.

Berikut dikongsikan lebih lanjut tentang fenomena ini dan panduan solat sunat khusuf / gerhana bulan untuk umat Islam.

Fenomena Gerhana Bulan Penuh 3 Mac 2026

  • Fenomena Gerhana Bulan Penuh akan berlaku pada 3 Mac 2026 bersamaan dengan malam 14 Ramadan 1447H.
  • Fenomena ini merupakan satu-satunya Gerhana Bulan Penuh pada tahun 2026, dan Gerhana Bulan Penuh seterusnya hanya akan berlaku pada 31 Disember 2028.
  • Gerhana Bulan berlaku apabila Bumi berada di antara Matahari dan Bulan sehingga bayang-bayang Bumi menutupi keseluruhan permukaan Bulan. Fenomena ini menyebabkan Bulan kelihatan kemerahan.
  • Fenomena Gerhana Penuh kali ini boleh disaksikan di Asia Timur, Australia, Lautan Pasifik, Amerika Utara dan Amerika Tengah. Di Asia Tengah dan sebahagian besar Amerika Selatan, hanya terjadi Gerhana Bulan Separa.
  • Gerhana Bulan Fasa Separa (U1) bermula pada 5:50 PM dan seterusnya memasuki Fasa Penuh (U2) pada 7:04 PM dengan kemuncak gerhana (GE) pada 7:33 PM. Fasa Penuh akan tamat pada 8:02 PM dan memasuki Fasa Separa (U3) kembali sehingga 9:17PM.
  • Bagi kebanyakan negeri di Semenanjung Malaysia, bulan akan terbit dalam fasa penuh dan berkemungkin sukar dilihat dengan keadaan langit senja yang masih agak terang.
  • Bagi Kuala Lumpur, ketinggian bulan akan berada pada 2 darjah dari ufuk di Timur pada ketika kemuncak gerhana.
  • Sabah dan Sarawak mempunyai peluang lebih tinggi untuk mencerap fenomena gerhana ini kerana bulan terbit lebih awal maka ia berada pada sudut lebih tinggi.
  • Tempoh keseluruhan gerhana mengambil masa kira-kira 5 jam 39 minit, manakala fasa penuh berlangsung hampir 58 minit.
  • Gerhana Bulan boleh dilihat dengan mata kasar (bergantung kepada keadaan cuaca). Walau bagaimanapun, penggunaan binokular atau teleskop akan membantu untuk melihat fenomena ini dengan lebih jelas.

Fenomena ini berlaku apabila bumi berada di tengah-tengah antara matahari dan bulan yang menyebabkan cahaya matahari terlindung oleh bumi dan tidak dapat sampai sepenuhnya ke bulan ketika bulan penuh.

Gerhana berlaku bukanlah kemurkaan Allah, tetapi merupakan petanda kepada kebesaran kekuasaan Allah swt.

Fenomena gerhana ini sangat besar ertinya samada dari penghayatan iman dan sains. Ia bukan fenomena baru yang hanya berlaku pada akhir zaman ini tapi telah berlaku sejak alam ini dijadikan dan juga pada zaman Nabi saw yang dikenali sebagai sebaik-baik kurun.

Fenomena Gerhana Bulan Penuh

Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim dari Aisyah r.a. bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ آيَتَانِ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ ، لاَ يَنْخَسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلاَ لِحَيَاتِهِ ، فَإِذَا رَأَيْتُمْ ذَلِكَ فَادْعُوا اللَّهَ وَكَبِّرُوا ، وَصَلُّوا وَتَصَدَّقُوا

Maksud: “Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua macam tanda dari tanda-tanda kekuasaan Allah. Terjadinya gerhana matahari atau bulan itu bukanlah kerana kematian seseorang atau kehidupannya. Maka jikalau kamu melihatnya, berdoalah kepada Allah, bertakbirlah, bersedekahlah serta bersembahyanglah”

Masyarakat di Malaysia boleh menyaksikan fenomena ini dengan mata kasar, dengan jelas selepas matahari terbenam.

Tarikh dan Waktu Gerhana Bulan 2026 di Malaysia

Berikut adalah fasa-fasa gerhana yang dihitung di Kuala Lumpur, Malaysia mengikut Waktu Piawai Malaysia (WPM);

  • TARIKH: 3 Mac 2026
  • WAKTU:
    • Penumbra Bermula : 16:44
    • Gerhana Separa Bermula : 17:50
    • Gerhana Penuh Bermula : 19:04
    • Fasa Gerhana Bulan Penuh Maksimum : 19:33
    • Gerhana Penuh Berakhir : 20:02
    • Umbra Berakhir : 21:17
    • Penumbra Berakhir : 22:23
Fasa-fasa Gerhana Bulan Penuh

BACA JUGA: Gerhana Bulan Penuh 7-8 September 2025 – Lokasi, Tarikh & Masa

Solat Sunat Gerhana Bulan (Khusuf)

KENYATAAN MEDIA
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA
BERKENAAN FENOMENA GERHANA BULAN PENUH DAN PELAKSANAAN SOLAT SUNAT GERHANA BULAN DI TIGA BUAH MASJID UTAMA JAKIM
3 MAC 2026M / 13 RAMADAN 1447H

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ingin memaklumkan bahawa fenomena Gerhana Bulan Penuh dijangka dapat dilihat di Malaysia pada hari ini, 3 Mac 2026 bersamaan 13 Ramadan 1447H.

Fenomena gerhana penuh dijangka boleh dilihat bermula pada jam 7.23 malam (bulan terbit), mencapai kemuncak pada jam 7.33 malam dan tamat sepenuhnya pada jam 10.23 malam (gerhana penumbra tamat). Ketika kemuncak gerhana, bulan dijangka kelihatan berwarna kemerahan akibat pembiasan cahaya matahari oleh atmosfera bumi. Sehubungan itu, umat Islam disunatkan untuk menunaikan Solat Sunat Gerhana Bulan (Solat Khusuf) bermula daripada waktu maghrib sehingga jam 9.17 (fasa gerhana separa berakhir), sebagaimana yang disyariatkan dalam Islam.

Bagi menyemarakkan syiar Islam serta memberi peluang kepada masyarakat untuk menghayati fenomena kebesaran Allah SWT ini, JAKIM akan menganjurkan Solat Sunat Gerhana Bulan di tiga masjid utama JAKIM; Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin. Pelaksanaan solat akan bermula selepas masuk waktu gerhana dan akan diikuti dengan khutbah ringkas berkaitan hikmah dan pengajaran daripada fenomena gerhana.

JAKIM juga menyeru seluruh umat Islam di Malaysia untuk hadir memakmurkan masjid serta memperbanyakkan doa, istighfar dan munajat
kepada Allah SWT sepanjang tempoh berlakunya gerhana. Semoga fenomena ini menjadi peringatan kepada kita semua tentang kebesaran dan kekuasaan Allah SWT serta meningkatkan keimanan dan ketakwaan, khususnya dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini.
Sekian, terima kasih.
DATO’ DR. SIRAJUDDIN BIN SUHAIMEE
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA

Apa Itu Solat Sunat Gerhana Bulan?

Solat Gerhana disebut di dalam bahasa arab dengan khusuf bagi bulan dan kusuf bagi matahari, iaitu hilangnya cahaya bulan atau matahari.

Solat gerhana ini boleh dilakukan secara berseorang atau secara berjemaah dan sebaiknya dilakukan secara berjemaah.

Solat ini boleh dilakukan di mana-mana sama ada di rumah, surau, masjid atau dimana sahaja anda berada.

Solat Gerhana mengandungi 2 rakaat, 4 al-Fatihah, 4 rukuk, dan 4 sujud.

Hukum Solat Sunat Gerhana

Di dalam mazhab Syafie, mendirikan solat sunat gerhana adalah sunat muakkad, iaitu sunat yang dituntut untuk melakukannya.

Hal ini berdasarkan kepada firman Allah SWT:

وَمِنْ أَيٰتِهِ الَّيْلُ وَالنَّهَارُ وَالشَّمْسُ وَالْقَمَرُۗ لَا تَسْجُدُوا لِلشَّمْسِ وَلَا لِلْقَمَرِ وَاسْجُدُوا لِلّٰهِ الَّذِي خَلَقَهُنَّ إِن كُنتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ

Maksudnya: “Dan sebahagian dari tanda-tanda kebesaran-Nya ialah malam, siang, matahari dan bulan. Janganlah bersujud kepada matahari dan jangan (pula) kepada bulan, tetapi bersujudlah kepada Allah yang menciptakannya, jika kamu hanya menyembah kepada-Nya.”

(Surah Fussilat: 37)

Waktu Solat Sunat Gerhana

Bagi Solat Gerhana Bulan, waktunya bermula apabila ternyata berlakunya gerhana bulan dan berakhir dengan hilang gerhana dan naik matahari.

Tidak dikira dengan naik fajar atau jatuhnya pada malam dengan gerhananya. Sekiranya berlaku gerhana bulan ketika terbenamnya, dan sebelum terbit fajar maka dibolehkan solat.

Cadangan Pelaksanaan Solat Sunat Gerhana Bulan 3 Mac 2026

SYOR 1
Selepas Solat Maghrib
1. Solat Maghrib
2. Solat Ba’diah Maghrib
3. Solat Sunat Gerhana (Tanpa Khutbah /Khutbah Pendek)
4. Solat Isyak
5. Solat Ba’diah Isyak
6. Solat Tarawih

SYOr 2
Selepas Solat Isyak
1. Solat Isyak
2. Solat Sunat Gerhana (Tanpa Khutbah)
3. Solat Ba’diah Isyak
4. Solat Tarawih

Jumlah Rakaat

Solat gerhana paling ringkas dilakukan dengan 2 rakaat, sama seperti solat sunat yang lain. Itu adalah cara paling minimum.

Cara yang lebih sempurna ialah setiap rakaat dibuat 2 kali rukuk dan 2 kali berdiri (qiyam), tetapi bacaannya tidak perlu dipanjangkan.

Jika mahu lebih afdal, solat tetap 2 rakaat dengan 2 kali rukuk dan 2 kali qiyam setiap rakaat, tetapi bacaan dalam kedua-dua rakaat dipanjangkan (baca surah lebih panjang atau perlahan-lahan).

Lafaz Niat Solat Sunat Gerhana Bulan

i) Lafaz Niat Solat Sunat Gerhana Bulan (Bersendirian)

أُصَلّى سُنَّةُ الخُسُوفِ رَكْعَتَيْنِ للَّهِ تَعَالَى

Maksudnya: “Sahaja aku solat sunat gerhana bulan dua rakaat kerana Allah Taala.”

ii) Lafaz Niat Solat Sunat Gerhana Bulan (Berjemaah)

أُصَلّى سُنَّةُ الخُسُوفِ رَكْعَتَيْنِ إِمَامًا/مَأْمُومًا للَّهِ تَعَالَى

Maksudnya: “Sahaja aku solat sunat gerhana bulan dua rakaat sebagai imam/makmum kerana Allah Taala.”

solat khusuf gerhana bulan
Kaifiyat Solat Sunat Gerhana Bulan / Infografik : JAKIM via Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Tatacara Solat Sunat Gerhana

Menurut sumber oleh Jabatan Mufti Negeri Melaka, solat sunat gerhana bulan boleh dilakukan dengan 3 cara :

  1. Cara yang paling ringkas – iaitu ditunaikan dengan 2 rakaat seperti mana-mana solat sunat
  2. Cara yang pertengahan (adna al-kamal) – iaitu ditunaikan dengan 2 rakaat, 2 kali qiyam (berdiri) dan 2 kali ruku’ disertai dengan bacaan surah al-fatihah dan mana-mana surah pada setiap rakaat tanpa dipanjangkan bacaan pada kedua-dua rakaat.
  3. Cara yang paling sempurna (akmal) – iaitu ditunaikan seperti cara kedua dengan 2 rakaat, 2 kali qiyam dan 2 kali ruku’ disertai bacaan surah al-fatihah dan mana-mana surah pada setiap rakaat dengan memanjangkan bacaan pada kedua-dua rakaat.

Rujuk panduan terperinci oleh Jabatan Mufti Melaka seperti dalam lampiran di bawah:

Sumber: Jabatan Mufti Negeri Melaka

Khutbah Solat Sunat Gerhana

  • Sunat membaca khutbah selepas solat sunat, walaupun gerhana sudah hilang.
  • Khutbahnya seperti khutbah hari raya tetapi tidak sunat bertakbir.
  • Isi khutbah hendaklah menyuruh para jemaah bertaubat, bersedekah, memerdekakan hamba, berpuasa, mengingati manusia supaya tidak lalai, jangan leka dengan dunia dan sebagainya.
  • Jika solat itu hanya terdiri dari wanita semata-mata, maka tidak perlu khutbah.

Dalil dari Aisyah r.a. berkata, yang bermaksud:

Selanjutnya beliau mengakhiri solatnya dengan salam, sedang gerhana matahari telah berakhir. Lalu baginda berkhutbah kepada manusia:

“Pada gerhana matahari dan bulan, sesungguhnya keduanya adalah dua tanda (kebesaran) di antara tanda-tanda kebesaran Allah. Keduanya tidaklah terjadi gerhana kerana kematian seseorang pula tidaklah kerana kehidupan seseorang. Maka apabila kalian melihat keduanya (gerhana) maka bertandanglah kepada solat gerhana”

(Riwayat Bukhari)

Amalan-amalan Sunat Ketika Gerhana

Disunatkan ketika gerhana untuk memperbanyakkan doa berlindung dari azab kubur, takbir dan sedekah.

ANTARA HADIS BERKAITAN SOLAT GERHANA & AMALAN YANG DIANJURKAN:

عَنْ عَائِشَةَ أَنَّهَا قَالَتْ: خَسَفَتْ الشَّمْسُ فِي عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَصَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالنَّاسِ، فَقَامَ فَأَطَالَ الْقِيَامَ، ثُمَّ رَكَعَ فَأَطَالَ الرُّكُوعَ، ثُمَّ قَامَ فَأَطَالَ الْقِيَامَ وَهُوَ دُونَ الْقِيَامِ الْأَوَّلِ، ثُمَّ رَكَعَ فَأَطَالَ الرُّكُوعَ وَهُوَ دُونَ الرُّكُوعِ الْأَوَّلِ، ثُمَّ سَجَدَ فَأَطَالَ السُّجُودَ، ثُمَّ فَعَلَ فِي الرَّكْعَةِ الثَّانِيَةِ مِثْلَ مَا فَعَلَ فِي الْأُولَى، ثُمَّ انْصَرَفَ وَقَدْ انْجَلَتْ الشَّمْسُ، فَخَطَبَ النَّاسَ فَحَمِدَ اللَّهَ وَأَثْنَى عَلَيْهِ، ثُمَّ قَالَ: إِنَّ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ آيَتَانِ

مِنْ آيَاتِ اللَّهِ لَا يَخْسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلَا لِحَيَاتِهِ، فَإِذَا رَأَيْتُمْ ذَلِكَ فَادْعُوا اللَّهَ وَكَبِّرُوا وَصَلُّوا وَتَصَدَّقُوا، ثُمَّ قَالَ: يَا أُمَّةَ مُحَمَّدٍ! وَاللَّهِ مَا مِنْ أَحَدٍ أَغْيَرُ مِنْ اللَّهِ أَنْ يَزْنِيَ عَبْدُهُ أَوْ تَزْنِيَ أَمَتُهُ، يَا أُمَّةَ مُحَمَّدٍ! وَاللَّهِ لَوْ تَعْلَمُونَ مَا أَعْلَمُ لَضَحِكْتُمْ قَلِيلًا وَلبَكَيْتُمْ كَثِيرًا!

Dari ‘Aisyah RA berkata: “Pada masa Rasulullah SAW, telah terjadi gerhana matahari. Kemudian Rasulullah SAW solat bersama masyarakat. Dalam solat, Nabi SAW berdiri dengan sangat lama.

Kemudian ruku’ yang sangat lama juga.

Kemudian baginda kembali berdiri lama, tapi lebih singkat dari berdiri yang pertama.

Lalu baginda ruku’ lagi dengan lama, tapi lebih singkat dari ruku’ yang pertama.

Setelah itu, Nabi sujud dengan sangat lama.

Baginda melakukan hal yang sama pada rakaat kedua.

Setelah solat, matahari telah kembali tampak jelas.

Setelah itu Nabi menyampaikan khutbah yang dimulai dengan memuji dan meuliakan Allah. Baginda pun bersabda: Matahari dan bulan adalah dua tanda dari tanda-tanda kebesaran Allah. Dua gerhana tersebut muncul bukan kerana kematian atau kelahiran seseorang. Jika kalian melihatnya, maka berzikirlah kepada Allah, bertakbirlah, solatlah, dan bersedekahlah!

Nabi melanjutkan peringatannya: Wahai umat Muhammad! Demi Allah, tidak ada yang lebih cemburu daripada Allah terhadap hamba-Nya yang berzina. Wahai umat Muhammad! Demi Allah, jika kalian mengetahui apa yang aku ketahui, nescaya kalian pasti akan sedikit tertawa dan banyak menangis!” [riwayat al-Bukhariy].

Dalam riwayat lain: “Kemudian Nabi memerintahkan para sahabat untuk berlindung kepada Allah dari seksa kubur” [riwayat al-Bukhariy].

Dalam riwayat lain: “Jika kalian melihat gerhana, segeralah berzikir, berdoa, dan meminta pengampunan-Nya” [riwayat al-Bukhariy].

Dalam riwayat lain: “Nabi berdiri sangat lama kira-kira seperti membaca surah al-Baqarah” [riwayat al-Bukhariy].

Dalam riwayat lain: “Aisyah berkata: Aku belum pernah sujud dalam solat lebih lama dari ia (ketika solat gerhana bersama Nabi SAW)” [riwayat al-Bukhariy].

Muat Turun Panduan Solat Gerhana Bulan (PDF)

𝐌𝐮𝐚𝐭 𝐓𝐮𝐫𝐮𝐧 𝐏𝐚𝐧𝐝𝐮𝐚𝐧 𝐒𝐨𝐥𝐚𝐭 𝐒𝐮𝐧𝐚𝐭 𝐊𝐡𝐮𝐬𝐮𝐟 𝐃𝐚𝐧 𝐊𝐡𝐮𝐭𝐛𝐚𝐡 𝐆𝐞𝐫𝐡𝐚𝐧𝐚 𝐁𝐮𝐥𝐚𝐧 : https://tinyurl.com/SolatSunatKhusuf

Rujukan:

Soalan Lazim – Solat Sunat Gerhana Bulan

1. Apakah hukum solat sunat gerhana bulan?

Solat ini adalah sunat muakkad (sangat digalakkan) untuk dilakukan oleh semua Muslim ketika berlaku gerhana bulan.

2. Berapakah jumlah rakaat solat gerhana bulan?

Solat gerhana bulan dilakukan sebanyak dua rakaat, dengan setiap rakaat mempunyai dua kali rukuk dan dua kali qiyam/qiam.

3. Bolehkah solat gerhana bulan dilakukan secara bersendirian?

Boleh. Solat ini boleh dilakukan secara bersendirian atau secara berjemaah. Namun, lebih utama jika dilakukan secara berjemaah di masjid atau surau.

4. Bilakah waktu bermula dan tamat solat gerhana bulan pada 3 Mac 2026?

Solat boleh dilakukan sebaik sahaja gerhana bermula dan berakhir apabila gerhana selesai (bulan kembali terang). Bagi tarikh gerhana 3 Mac 2026, solat Sunat Gerhana Bulan (Solat Khusuf) bermula daripada waktu maghrib sehingga jam 9.17 (fasa gerhana separa berakhir), sebagaimana yang disyariatkan dalam Islam.

5. Apakah niat solat sunat gerhana bulan?

“Sahaja aku solat sunat gerhana bulan dua rakaat kerana Allah Taala.”

6. Apakah khutbah selepas solat gerhana bulan wajib?

Khutbah selepas solat sunat gerhana adalah sunat, bukan wajib. Namun sangat digalakkan jika solat dilakukan secara berjemaah.

7. Adakah bacaan surah dalam solat ini perlu dipanjangkan?

Sebaiknya dipanjangkan bacaan surah selepas al-Fatihah, terutamanya jika dilakukan secara berjemaah, mengikut sunnah Nabi SAW.

8. Bagaimana solat sunat khusuf dilakukan?

Rujuk panduan dan langkah-langkahnya seperti berikut:

RAKAAT PERTAMA
Takbiratul Ihram
Membaca doa Iftitah
Membaca surah al-Fatihah
Membaca surah al-Baqarah (atau mana-mana surah)
Ruku’ dan membaca tasbih (kira-kira 100 ayat)
lktidal serta membaca surah al-Fatihah.
Membaca surah Ali-lmran (atau mana-mana surah)
Ruku’ dan membaca tasbih (kira-kira 90 ayat)
Iktidal
Sujud dan membaca tasbih
Duduk antara dua sujud
Sujud kembali
Berdiri untuk rakaat kedua

RAKAAT KEDUA
Membaca surah al-Fatihah
Membaca surah al-Nisa’ (atau mana-mana surah)
Ruku’ dan membaca tasbih (kira-kira 70 ayat)
lktidal serta membaca surah al-Fatihah.
Membaca surah al-Maidah (atau mana-mana surah)
Ruku dan membaca tasbih (kira-kira 50 ayat)
Iktidal
Sujud dan membaca tasbih
Duduk antara dua sujud
Sujud kembali
Membaca tasyahud akhir
Memberi salam

NOTA: Perlu difahami, perbezaan antara solat sunat gerhana dengan solat sunat biasa adalah solat sunat gerhana ini mempunyai 4 al-Fatihah, 4 rukuk dan 4 sujud dalam 2 rakaat. Begitu juga, disunatkan untuk membaca 2 khutbah selepas solat sunat gerhana sebagaimana dua khutbah Jumaat.solat gerhana bulan

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut