Rukun Tayammum & Syarat-Syaratnya

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Jika tidak mempunyai air atau berada dalam keadaan yang tidak membolehkan seseorang terkena air, Islam membenarkan mereka untuk bertayammum.

Apakah yang dimaksudkan dengan tayammum dan apakah rukun tayammum serta syarat-syaratnya?

Maksud Tayammum

Tayammum bermaksud menyapu muka dan dua belah tangan meliputi siku dengan debu tanah yang bersih atau bahan lain yang boleh digunakan mengikut syarat-syarat yang tertentu.

Ia juga merupakan satu bentuk rukhsah (keringanan) yang Allah SWT berikan kepada mereka yang tidak mampu untuk berwuduk atas sebab-sebab yang tertentu.

Bahan Tayammum

Mengikut Mazhab Syafie, bahan yang boleh digunakan untuk tayammum ialah tanah berdebu yang suci daripada najis serta tidak musta’mal.

Tanah musta’mal ialah yang melekat di anggota tayammum (muka/tangan) ketika tayammum atau yang bertebaran setelah disapu pada anggota tayammum.

Tanah daripada tempat yang ditepuk pertama kali tidak dihukumkan musta’mal dan boleh digunakan seberapa banyak kali walaupun kuantitinya sedikit.

Syarat Tayammum

Syarat-syarat tayammum adalah seperti berikut:

  • Mengetahui masuk waktu solat.
  • Mencari air selepas masuk waktu solat.
  • Menggunakan debu tanah yang suci yang tidak mengandungi tepung dan kapur.
  • Menghilangkan najis terlebih dahulu.
  • Menentukan kiblat sebelum bertayammum.

Rukun Tayammum

Terdapat 4 rukun tayammum iaitu:

  1. Niat
  2. Menyapu debu tanah ke muka
  3. Menyapu debu tanah ke tangan
  4. Tertib
cara tayammum

Cara Tayammum

Berikut adalah cara-cara untuk tayammum:

Langkah 1: Menepuk dua tapak tangan pada debu tanah kali pertama untuk menyapu muka.

cara tayammum

Langkah 2: Menyapu muka

cara tayammum

Langkah 3: Membuang debu yang telah digunakan.

cara tayammum

Langkah 4: Menepuk dua tapak tangan ke debu tanah pada kali kedua untuk menyapu kedua tangan.

cara tayammum

Langkah 5: Memindahkan debu tanah

cara tayammum

Langkah 6: Menyapu bahagian tangan kanan sebelah belakang tapak tangan kanan dengan menggunakan empat perut jari tangan kiri (selain ibu jari) dari hujung jari hingga ke siku.

rukun tayammum

Langkah 7: Menyapu bahagian tangan kanan sebelah hadapan dari siku hingga ke hujung ibu jari dengan menggunakan debu tanah pada tapak tangan kiri dan ibu jari tangan kiri menyapu belakang ibu jari tangan kanan.

rukun tayammum

Langkah 8: Menyapu bahagian tangan kiri sebelah belakang tapak tangan
kiri dengan menggunakan empat perut jari tangan kanan (selain ibu jari) dari hujung jari
hingga ke siku.

Langkah 9: Menyapu tangan kiri sebelah hadapan dari siku hingga ke hujung ibu jari dengan menggunakan debu tanah pada tapak tangan kanan dan ibu jari tangan kanan menyapu belakang ibu jari tangan kiri.

rukun tayammum

Sumber: https://maktabahalbakri.com/1509-tayammum-bagi-pesakit/

𝗙𝗜𝗤𝗛 : 𝗧𝗔𝗬𝗔𝗠𝗠𝗨𝗠 – Petikan dari Manhaj Fiqh al-Syafi’i (Jilid 1)

Sebagaimana diketahui wudhu’ merupakan syarat sah solat, tawaf dan syarat harus menanggung al-Qur’an. Begitu juga berwudhu’ hanyalah dengan air, tetapi manusia kadang-kadang terhalang daripada menggunakannya sama ada sebab ketiadaannya, kedudukannya yang jauh atau disebabkan penyakit. Oleh itu, antara kemudahan dan toleransi Islam ia mensyari‘atkan tayammum dengan debu tanah yang suci sebagai ganti kepada wudhu’ dan mandi supaya orang Islam tidak terhalang daripada mendapat keberkatan ber‘ibadat.

𝟮.𝟬 𝗣𝗲𝗻𝗴𝗲𝗿𝘁𝗶𝗮𝗻

Tayammum dari segi bahasa bererti tujuan. Sementara pada syara‘ pula adalah menyapukan debu tanah yang suci ke muka dan dua tangan dengan niat dan cara yang tertentu.

𝟯.𝟬 𝗗𝗮𝗹𝗶𝗹 𝗣𝗲𝗻𝘀𝘆𝗮𝗿𝗶‘𝗮𝘁𝗮𝗻𝗻𝘆𝗮

Pensyari‘atan tayammum adalah berdasarkan al-Qur’an dan al-Sunnah. Adapun dalil al-Qur’an ialah firman Allah s,w,t,

…وَإِن كُنتُم مَّرۡضَىٰٓ أَوۡ عَلَىٰ سَفَرٍ أَوۡ جَآءَ أَحَدٞ مِّنكُم مِّنَ ٱلۡغَآئِطِ أَوۡ لَٰمَسۡتُمُ ٱلنِّسَآءَ فَلَمۡ تَجِدُواْ مَآءٗ فَتَيَمَّمُواْ صَعِيدٗا طَيِّبٗا فَٱمۡسَحُواْ بِوُجُوهِكُمۡ وَأَيۡدِيكُم مِّنۡهُۚ…

Yang bermaksud, …dan jika kamu junub (berhadath besar) maka bersucilah dengan mandi wajib; dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam pelayaran, atau salah seorang daripada kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air, (untuk berwudhu’ dan mandi), maka hendaklah kamu bertayammum dengan tanah – debu yang bersih, iaitu sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah – debu itu… (Surah al-Ma’idah ayat 6)

Dalil hadith pula,

عَنْ جَابِرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ وَقَدْ سُئِلَ عَنِ الْغَسْلِ فَقَالَ: يَكْفِيكَ صَاعاً. فَقَالَ رَجُلٌ: مَا يَكْفِينِي. فَقَالَ جَابِرٌ: كَانَ يَكْفِي مَنْ هُوَ أَوْفَى مِنْكَ شَعْرًا وَخَيْرٌ مِنْكَ

Yang bermaksud, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Dijadikan bagi kita seluruh bumi tempat sujud, dan tanahnya pula bahan bersuci ketika ketiadaan air.” – Riwayat Muslim (522)

tayammum

𝟰.𝟬 𝗦𝗲𝗯𝗮𝗯 𝗧𝗮𝘆𝗮𝗺𝗺𝘂𝗺:

Terdapat beberapa sebab yang mengharuskan tayammum.

(a) Air benar-benar tidak ada. Contohnya seseorang pengembara yang tidak mendapati air ketika dalam perjalanannya. Begitu juga air tidak ada secara syara‘. Contohnya seseorang yang mempunyai air tetapi dia memerlukannya untuk minum.
Hal ini berdasarkan firman Allah s.w.t.,

…فَلَمۡ تَجِدُواْ مَآءٗ فَتَيَمَّمُواْ…

Yang bermaksud, …sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwudhu’ dan mandi), maka hendaklah kamu bertayammum… (Surah al-Ma’idah ayat 6)

Ini bermakna orang yang memerlukan air untuk diminum dan sebagainya sama keadaannya seperti tidak mempunyai air untuk bersuci.

(b) Jarak tempat yang ada air jauh daripadanya. Apabila seseorang berada dari tempat yang berair melebihi dua kilometer setengah, dia bolehlah bertayammum dan tidak wajib pergi ke tempat tersebut kerana menyusahkannya.

(c) Terhalang daripada menggunakan air sama ada halangan yang nyata, seperti ada air di tempat yang berhampiran tetapi tidak jauh dari situ pula ada musuh yang ditakuti, ataupun ada halangan syara‘, iaitu seperti takut menggunakan air kerana bimbang terkena penyakit, penyakitnya semakin bertambah atau akan lambat sembuh. Dalam keadaan yang demikian dia bolehlah bertayammum dan tidak wajib menggunakan air.

Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w. tentang seorang yang mendapat luka di kepala dan meninggal dunia selepas dia mandi,

إِنَّمَا كَانَ يَكْفِيهِ أَنْ يَتَيَمَّمَ أَوْ يَعْصِبَ عَلَى جُرْحِهِ خِرْقَةً ثُمَّ يَمْسَحَ عَلَيْهَا وَيَغْسِلَ سَائِرَ جَسَدِهِ

Yang bermaksud, dia sepatutnya bertayammum sahaja dan membalut lukanya dengan kain, kemudian menyapunya dan mandi seluruh badannya. – Riwayat Abu Daud (336)

(d) Cuaca yang sangat sejuk hingga tidak sanggup menggunakan air dan tidak pula mampu memanaskannya. Hal ini berdasarkan perbuatan ‘Amr bin al-‘As r.a. yang bertayammum disebabkan janabah. Dia berbuat demikian kerana bimbang akan memudharatkan dirinya disebabkan cuaca sejuk. Perbuatan ini telah diperakui oleh Rasulullah s.a.w. Akan tetapi orang yang bersolat dalam keadaan demikian hendaklah mengqadha’nya apabila ada air yang boleh digunakannya.

𝟱.𝟬 𝗦𝘆𝗮𝗿𝗮𝘁-𝘀𝘆𝗮𝗿𝗮𝘁 :

(a) Mengetahui masuk waktu solat.
(b) Mencari air selepas masuk waktu solat.
(c) Menggunakan debu tanah yang suci yang tidak mengandungi tepung dan kapur.
(d) Menghilangkan najis terlebih dahulu.
(e) Menentukan qiblat sebelum bertayammum.

𝟲.𝟬 𝗥𝘂𝗸𝘂𝗻 𝗧𝗮𝘆𝗮𝗺𝗺𝘂𝗺:

Rukun tayammum ada tiga:

(a) Berniat. Tempat niat adalah di dalam hati. Oleh itu seseorang hendaklah berniat dalam hatinya akan perbuatan tayammum tersebut, malah sunat melafazkannya dengan kata, sahaja aku mengharuskan solat, atau solat fardhu, solat sunat dan seumpamanya yang hendak dilakukannya. Apabila seseorang bertayammum dengan niat mengharuskan yang fardhu, dia boleh melakukan beberapa ‘amalan sunat yang lain bersama-samanya.

(b) Menyapukan debu tanah ke muka dan kedua-dua belah tangan hingga siku dengan dua kali tepukan, ya‘ni menepukkan dua tangan ke atas debu tanah yang suci dan menyapukannya ke seluruh muka. Kemudian menepukkannya lagi ke atas debu tanah tersebut dan menyapukannya pula pada kedua-dua belah tangannya hingga siku dengan cara tapak tangan kiri menyapu tangan kanan dan tapak tangan kanan menyapu tangan kiri.
Hal ini berdasarkan hadith,

عَنِ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ: التَّيَمُّمُ ضَرْبَتَانِ، ضَرْبَةٌ لِلْوَجْهِ وَضَرْبَةٌ لِلْيَدَيْنِ إِلَى الْمِرْفَقَيْنِ

Yang bermaksud, daripada Ibnu ‘Umar r.a., daripada Rasulullah s.a.w. sabdanya, “Cara bertayammum adalah dengan dua kali tepukan; sekali untuk muka dan sekali lagi untuk kedua-dua belah tangan hingga siku.” – Riwayat al-Daruqutni (1/256)

Sapuan tersebut hendaklah meliputi seluruh anggota tayammum. Ini bererti sekiranya ada cincin di jari ia mestilah ditanggalkan ketika melakukan tepukan yang kedua supaya debu tanah boleh sampai ke bahagian jari tempat cincin tersebut.

(c) Tertib menurut cara yang telah disebutkan. Ini adalah kerana tayammum menggantikan wudhu’ yang tertib adalah antara rukunnya. Oleh itu adalah lebih utama ia menjadi rukun kepada penggantinya.

——————-
𝗣𝗲𝘁𝗶𝗸𝗮𝗻:
Manhaj Fiqh al-Syafi’i (Jilid 1)

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut