Hari Asyura 2025: Tarikh, Kelebihan & Amalan Sunat 10 Muharam
Antara amalan sunat yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dalam bulan Muharram adalah berpuasa pada 10 Muharram atau lebih dikenali dengan puasa ‘Asyura.
Berikut dikongsikan lebih lanjut untuk makluman bersama.
Kelebihan Bulan Muharram & Hari Asyura
Di antara kelebihan bulan ini seperti yang dinyatakan di dalam al-Quran adalah berdasarkan firman Allah S.W.T yang berikut :
إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِنْدَ اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ ۚ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنْفُسَكُمْ
Maksudnya: Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah S.W.T adalah sebanyak dua belas bulan sebagaimana yang terdapat di dalam kitabullah (Lauh al-Mahfuz) pada hari diciptakan langit-langit dan juga bumi. Di antaranya (bulan-bulan tersebut) adalah empat bulan haram. Demikian itulah agama yang lurus maka janganlah kalian menzalimi diri kalian di dalam bulan-bulan tersebut.
Surah al-Taubah (36)
Rasulullah S.A.W telahpun memberikan penjelasan berkenaan dengan empat bulan haram tersebut dengan sabda baginda :
السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا مِنْهَا، أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ، ثَلاَثٌ مُتَوَالِيَاتٌ، ذُو الْقَعْدَةِ وَذُو الْحِجَّةِ وَالْمُحَرَّمُ وَرَجَبُ مُضَرَ الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى وَشَعْبَانَ
Maksudnya: Dalam setahun itu ada dua belas bulan dan di antaranya adalah empat bulan haram. Tiga bulan yang berturut-turut iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, dan Muharram serta bulan Rejab yang berada di antara Jamadil Akhir dan juga Syaaban.
Riwayat al-Bukhari (184)
Justeru, dua nas di atas jelas menunjukkan bahawa bulan Muharram dimuliakan kerana ia termasuk dalam kalangan empat bulan haram yang mana diharamkan untuk berperang pada bulan-bulan haram.
Umat Islam dijanjikan ganjaran pahala yang besar bagi yang rajin beribadah.
Pada masa yang sama, dosa dan maksiat juga turut menjadi lebih besar di dalam bulan-bulan haram ini.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Tarikh Hari Asyura 2025 & Jadual Puasa Sunat Bulan Muharam 1447H
Tarikh Hari Asyura 2025 & Hari Tasu’a adalah seperti berikut :
- PUASA TASU’A : 9 Muharram = 5 Julai 2025 (Sabtu)
- PUASA HARI ASYURA 2025 : 10 Muharam = 6 Julai 2025 (Ahad)
- PUASA SUNAT ISNIN : 11 Muharam = 7 Julai 2025 (Isnin)
- Puasa Hari Putih : 13, 14, 15 Muharam = 9,10,11 Julai 2025 (Rabu, Khamis, Jumaat)
Galakan Berpuasa Hari Asyura (10 Muharam)
Marilah kita memperbanyakkan berpuasa sunat pada bulan Muharram.
Disunatkan untuk berpuasa pada 9 Muharram atau pada 11 Muharram berserta dengan puasa hari ‘Asyura dengan tujuan untuk menyelisihi dan berbeza dengan golongan Yahudi.
Dari Abu Qatadah : Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW tentang puasa ‘Asyura, maka kata Baginda SAW :
أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ
Maksudnya : Aku berharap ke atas Allah agar ia dapat mengampunkan dosa setahun yang berlalu.
Riwayat Muslim (1162)
Galakan Puasa Hari Tasu’a (9 Muharram)
Abdullah bin Abbas RA meriwayatkan:
حِينَ صَامَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ إِنَّهُ يَوْمٌ تُعَظِّمُهُ الْيَهُودُ وَالنَّصَارَى فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «فَإِذَا كَانَ الْعَامُ الْمُقْبِلُ إِنْ شَاءَ اللهُ صُمْنَا الْيَوْمَ التَّاسِعَ» قَالَ: فَلَمْ يَأْتِ الْعَامُ الْمُقْبِلُ، حَتَّى تُوُفِّيَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
Maksudnya: Apabila Rasulullah SAW berpuasa pada Hari Asyura dan menyuruh umat Islam berpuasa pada Hari Asyura, para sahabat berkata: Ya Rasulullah, sesungguhnya ia merupakan hari yang diagungkan oleh orang Yahudi dan Kristian. Rasulullah SAW pun bersabda: Tahun depan, insya-Allah kita akan berpuasa pada hari ke-9 bulan Muharram.
Ibn Abbas berkata: Tetapi pada tahun berikutnya, Rasulullah SAW telah wafat.
(Hadis Riwayat Muslim, no. 1134)
Contoh Amalan Sunat Hari Asyura
BERIBADAH DI MALAM ASYURA
Para ulama Fiqh mengatakan sunat menghidupkan malam Asyura dengan banyak ibadah. Dalam hadits riwayat imam Khollal dari Khalid bin Ma’dan secara Mauquf disebutkan:
.
خمس لَيَال فِي السّنة من واظب عَلَيْهِنَّ رَجَاء ثوابهن وَتَصْدِيقًا بوعدهن أدخلهُ الله الْجنَّة : أول لَيْلَة من رَجَب يقوم لَيْلهَا ويصوم نَهَارهَا ، وَلَيْلَة الْفطر يقوم لَيْلهَا وَيفْطر نَهَارهَا ، وَلَيْلَة الْأَضْحَى يقوم لَيْلهَا وَيفْطر نَهَارهَا ، وَلَيْلَة عَاشُورَاء يقوم لَيْلهَا ويصوم نَهَارهَا
.
“Lima malam dalam setahun, siapa yang beribadah padanya berharap pahalanya dan membenarkan janjinya, akan Allah masukkan ke dalam syurga. Malam pertama bulan Rajab, beribadah di malamnya dan puasa di siang harinya. Malam Aidul Fitri, beribadah di malam harinya dan berbuka di siangnya. Malam Aidul Adha, beribadah di malam harinya dan berbuka di siang harinya. Malam Asyura, beribadah di malam harinya dan puasa di siang harinya.” (HR Al Hafiz Ibnul Mulaqqin dalam al Badrul Munir 40/5, serta al Hafiz Ibnu Hajar dalam Talkhisul Habir No. 676.)
.
Antara ibadah yang disebutkan juga di dalam hadits ialah ‘at Tausiah’, bersedekah dan memperbanyak nafakah untuk keluarga. Di dalam kitab Fikih Mazhab Maliki, Mawahibul Jalil, sebuah hadits disebutkan:
.
من وسع على أهله ليلة عاشوراء وسع الله عليه سائر السنة
.
“Siapa yang memperluas nafakah untuk keluarganya pada malam Asyurah maka Allah akan meluaskan rejekinya sepanjang tahun.” Diriwayatkan dari Umar r.a secara Mauquf, sanadnya kuat. [1]
.
Disunatkan juga ibadah-ibadah lainnya, dan inilah pendapat ulama-ulama Mazhab Hanafi, Syafii juga Hanbali sebagaimana di dalam kitab al Furu’ kitab Fikah mazhab Hanbali.
MEMPERBANYAKKAN ZIKIR, BACA AL-QURAN DAN BERDOA
Disunatkan memperbanyakkan zikir, membaca al-Qur’an dan berdoa. Antara zikir dan doa yang disebutkan oleh para ulama adalah yang dinyatakan di dalam kitab Nihayatuz Zain:
.
ونقل سيدي علي الأجهوري أن من قال يوم عاشوراء سبعين مرة : حَسْبِيَ اللهُ وَنِعْمَ الْوَكِيْلِ نِعْمَ الْمَوْلَى وَنِعْمَ النَّصِيْرِ، كفاه الله تعالى شر ذلك العام
.
“Dan Sayyidi Imam Ali al Ajhuri menukil bahawa siapa yang membaca tujuh puluh kali:
.
حَسْبِيَ اللهُ وَنِعْمَ الْوَكِيْلِ نِعْمَ الْمَوْلَى وَنِعْمَ النَّصِيْرِ
.
Allah akan cukupkan (menjaganya) dari keburukan tahun tersebut.”
.
BERPUASA
Sunat muakkad puasa di hari Asyura, sebagaimana yang disebutkan dalam beberapa kitab Fikah Mazhab Syafii:
.
ويسن متأكدا صوم يوم عاشوراء
.
“Sunat secara muakkad puasa hari Asyura.” [2]
.
Bersandarkan kepada Hadis Imam Bukhari dalam kitab Sahihnya no 2003 dari Muawiyah r.a, Nabi saw bersabda:
.
هَذَا يَوْمُ عَاشُورَاءَ وَلَمْ يُكْتَبْ عَلَيْكُمْ صِيَامُهُ وَأَنَا صَائِمٌ فَمَنْ شَاءَ فَلْيَصُمْ ، وَمَنْ شَاءَ فَلْيُفْطِر
.
“Ini adalah hari Asyura, tidak diwajibkan kalian berpuasa, tapi aku puasa, siapa yang ingin berpuasa maka berpuasalah, siapa yang tidak ingin maka berbukalah.”
.
Antara kelebihan puasa Asyura adalah:
.
صَوْمُ عَاشُورَاءَ يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ
.
“Puasa hari Asyura akan menghapus dosa setahun sebelumnya.” HR Imam Muslim no 2804 dan Nasa’i 2809 dari Abu Qotadah r.a.
MEMPERBANYAKKAN SEDEKAH DAN NAFKAH KEPADA KELUARGA
Imam Ibnu Abdil Bar meriwayatkan:
.
ﻣَﻦْ ﻭَﺳَّﻊَ ﻋَﻠَﻰ ﻧَﻔْﺴِﻪِ ﻭَﺃَﻫْﻠِﻪِ ﻳَﻮْﻡَ ﻋَﺎﺷُﻮﺭَاءَ ﻭَﺳَّﻊَ اﻟﻠَّﻪُ ﻋَﻠَﻴْﻪِ ﺳَﺎﺋِﺮَ ﺳَﻨَﺘِﻪِ
.
“Siapa yang meluaskan (pemberian nikmat) kepada dirinya dan keluarganya pada hari Asyura, maka Allah akan meluaskan rezekinya sepanjang tahun.” (Dari pada kitab al Istidzkar Ibnu Abdil Bar daripada Jabir. Jabir berkata: “Kami mencubanya dan kami dapati ianya benar (mujarrab),” begitu juga dikatakan oleh para perawi hadis ini. Sanad hadis ini menurut Imam Abu Zur’ah dalam at-Tausi‘ah ‘ala al-‘Iyal adalah sahih atau hasan.
.
Dalam Mausuah Fiqih Kuwait, dinukil dari Kasyful Qana disebutkan, ia berkata:
.
قَدْ جَرَّبْنَاهُ مُنْذُ خَمْسِينَ سَنَةً أَوْ سِتِّينَ فَمَا رَأَيْنَا إِلاَّ خَيْرًا
.
“Kami sudah cuba (amalan ini) selama lima puluh tahun atau enam puluh tahun, kami tidak menjumpai kecuali kebaikan.”
.
MEMPERBANYAKKAN ISTIGHFAR DAN TAUBAT
Dalam riwayat imam Ahmad dan Tirmudzi disebutkan:
.
إِنْ كُنْتَ صَائِمًا بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ فَصُمِ الْمُحَرَّمَ فَإِنَّهُ شَهْرُ اللَّهِ فِيهِ يَوْمٌ تَابَ اللَّهُ فِيهِ عَلَى قَوْمٍ وَيَتُوبُ فِيهِ عَلَى قَوْمٍ آخَرِينَ
.
“Jika engkau berpuasa selepas Ramadhan, maka berpuasalah pada bulan Muharram, kerana Muharram adalah bulan Allah. Di dalamnya terdapat satu hari di mana Allah menerima taubat suatu kaum dan memberikan taubat kepada kaum yang lain.” Musnad no 1321 dari Ali , Sunan Turmudzi no 746, ia berkata: “Hasan ghorib.”
.
Dalam kitab al Lafzhul Mukarram dikatakan:
.
ففي ذلك إشارة إلى أن التوبة تقبل في هذا اليوم من التائبين
.
“Ini adalah isyarat bahawa taubat daripada ahli Taubat akan diterima pada hari Asyura ini.”
.
RUJUKAN:
.
[1] Hadis ini disebutkan di dalam kitab Mawahibul Jalil 316/3. Dalam nota Kaki kitab ini juga 317/3 disebutkan:
قال في المقاصد الحسنة وفي الأثر الذي ذكره عمر التوسعة على الأهل في ليلة عاشوراء وفي الأحاديث السابقة التوسعة على الأهل في يوم عاشوراء فينبغي أن يوسع على الأهل فيهما وقال الشيخ زروق في شرح القرطبية فيوسع يومه وليلته من غير إسراف ولا مرآة ولا مماراة وقد جرب ذلك جماعة من العلماء فصح انتهى
[2] Hasyiyah I’ananatut Tholibin 301/2
.
Disediakan Oleh:
.
Jabatan Mufti Negeri Pahang
“Memasyarakatkan Ilmu, Mengilmukan Masyarakat”
Niat Puasa Asyura & Tasu’a
i) Niat Puasa Hari Tasu’a (9 Muharram)
نَوَيْتُ صَوْم تَاسُعَاء سُنَّة لله تَعَالى
Maksud:
Sahaja aku puasa sunat Tasu’a kerana Allah Ta’ala.
ii) Niat Puasa Hari ‘Asyura (10 Muharram)
نويت صوم عشر سنة لله تعالى
Maksud:
Sahaja aku puasa sunat ‘Asyura kerana Allah Ta’ala.
Baca juga: Niat Gabung Puasa Ganti
Adakah Puasa 10 Muharram Perlu Disertai Dengan Hari Selepasnya? – Pejabat Mufti WP
Perintah Supaya Menyelisihi Yahudi
Walaupun kita digalakkan untuk berpuasa pada 10 Muharram, akan tetapi kita juga turut diperintahkan untuk mengikutinya dengan berpuasa pada hari sebelum ataupun hari selepasnya.
Ini adalah bertujuan untuk menyelisihi golongan Yahudi yang hanya berpuasa pada 10 Muharram secara tunggal. Hal ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma beliau berkata bahawa Nabi S.A.W bersabda:
صُومُوا يَوْمَ عَاشُورَاءَ، وَخَالِفُوا فِيهِ الْيَهُودَ، صُومُوا قَبْلَهُ يَوْمًا، أَوْ بَعْدَهُ يَوْمًا
Maksudnya: Berpuasalah kalian pada hari ‘Asyura dan berbezalah dengan golongan Yahudi. Berpuasalah sehari sebelumnya ataupun sehari selepasnya.
Riwayat Ahmad (2154)
Demikian juga sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Abbas R.anhuma, kata Nabi S.A.W:
لَئِنْ بَقِيتُ إِلَى قَابِلٍ لأَصُومَنَّ التَّاسِعَ
Maksudnya: Sekiranya aku masih hidup pada tahun hadapan nescaya aku akan berpuasa pada hari yang ke 9 (Muharram).
Riwayat Muslim (1134)
Demikian juga ketika Nabi S.A.W memerintahkan untuk berpuasa pada hari ‘Asyura, maka para sahabatnya berkata: “Wahai Rasulullah S.A.W, sesungguhnya ia adalah hari yang mana golongan Yahudi dan Nasrani membesarkannya”. Maka Rasulullah S.A.W menjawab:
فَإِذَا كَانَ الْعَامُ الْمُقْبِلُ – إِنْ شَاءَ اللَّهُ – صُمْنَا الْيَوْمَ التَّاسِعَ
Maksudnya: Apabila datangnya tahun hadapan Insha Allah kita akan berpuasa pada hari yang ke sembilan.
Riwayat Muslim (1134)
Nas-nas di atas jelas menunjukkan bahawa Rasulullah S.A.W memerintahkan kepada kita untuk dilakukan juga puasa sehari sebelum 10 Muharram ataupun sehari selepasnya dengan tujuan untuk menyelisihi golongan Yahudi.
Pendapat Para Fuqaha
Berikut beberapa pendapat para fuqaha berkenaan isu mengikuti puasa hari ‘Asyura dengan berpuasa sehari ataupun selepasnya.
Sebahagian para ulama mengatakan bahawa cara mengerjakan puasa ‘Asyura itu ada tiga keadaan seperti berikut:
- Berpuasa sehari sebelumnya atau sehari selepasnya.
- Berpuasa padanya (10 Muharram) secara tunggal.
- Berpuasa sehari dan selepasnya.
Manakala cara terbaik serta paling lengkap untuk melakukannya adalah sebagaimana turutan yang disebutkan oleh Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah di dalam kitabnya Zaad al-Ma’ad (2/72) dengan cara seperti berikut :
- Berpuasa pada hari sebelumnya dan juga hari selepasnya.
- Berpuasa pada 9 dan 10 Muharram sahaja.
- Berpuasa pada 10 Muharram sahaja.
Kesimpulan
Kesimpulannya, disunatkan untuk berpuasa pada 9 Muharram atau pada 11 Muharram berserta dengan puasa hari ‘Asyura dengan tujuan untuk menyelisihi dan berbeza dengan golongan Yahudi.
Ayuh kita rebut peluang melakukan puasa sunat sempena hari Asyura 2025.
Semoga amalan berpuasa sunat Asyura akan menjadi penebus dosa-dosa kita setahun yang lalu.
Semoga semua amalan kita semua diterima Allah SWT.