Ada yang bertanya sama ada pencen pilihan masih terpakai apabila penjawat awam memilih opsyen SSPA.
Untuk makluman, Penyelarasan Pencen bagi pesara dan penerima pencen akan dibuat penyelarasan melalui 2 Fasa. Kenaikan ke atas gaji akhir / gaji akhir bersamaan akan dibuat selaras dengan peratusan yang sama dengan penjawat awam yang sedang berkhidmat. Berdasarkan kenaikan peratusan tersebut, masukkan semula formula pencen [ 1/600 x jumlah bulan yang boleh dimasuk kira x gaji akhir / akhir bersamaan (terbaharu selepas kenaikan) = Amaun Pencen Terkini ]
Ayuh, kami kongsikan serba sedikit tentang urusan pencen yang dinyatakan dalam SSPA.
Pencen SSPA – Persaraan & Faedah Persaraan
Dalam Pekeliling, tidak pula dinyatakan sebarang perubahan tentang urusan pencen dalam SSPA, maka ia masih tertakluk kepada Akta Pencen seperti sekarang.
Menurut Bahagian Pencen JPA, Perenggan 133, Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2024, berkaitan Pelaksanaan SSPA, menyatakan seperti berikut :
PERSARAAN DAN FAEDAH PERSARAAN DALAM PEKELILING SSPA
“ 133. Persaraan pegawai yang telah diberikan taraf berpencen dan pegawai di bawah skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah tertakluk kepada Akta Pencen 1980 [Akta 227]. Bagi pegawai di bawah skim pencen, faedah persaraan pegawai tersebut adalah tertakluk kepada Akta 227 manakala pegawai di bawah skim KWSP, faedah persaraan pegawai tersebut adalah tertakluk kepada Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991 [Akta 452]. ”
Hanya ada 1 perenggan sahaja berkaitan ‘persaraan dan faedah persaraan’, dalam pekeliling tersebut yang menjelaskan sekiranya pegawai Skim Pencen mahupun Skim KWSP memilih SSPA. *(Rujuk mukasurat 61)
Tetapi mengapakah banyak ‘fatwa baharu’ muncul ?
Begini, bagi pegawai yang telah memilih/ berada dalam Skim Pencen dan memilih SSPA, faedah persaraan pegawai adalah tertakluk kepada akta pencen dan undang-undang pencen yang sedang berkuat kuasa. Tiada perubahan pun. Sama.
Manakala, bagi pegawai yang memilih/ berada dalam Skim KWSP dan memilih SSPA, faedah persaraan pegawai tersebut adalah tertakluk kepada Akta KWSP 1991 [Akta 452]. Pun tiada apa-apa perubahan. Tiada pindaan.
Namun, terdapat beberapa pertanyaan sekiranya pegawai memilih SSPA dan maklum balasnya adalah seperti berikut :
- Adakah umur persaraan wajib berubah sekiranya saya memilih SSPA ini ?
Maklum balas : Umur persaraan wajib tetap sama walaupun kalian pilih SSPA ini. Sekiranya kali terakhir yang dipilih adalah 58 tahun, maka kekal lah 58 tahun. Sekiranya 60, maka kekal lah 60 tahun. Tidak berubah. - Adakah formula pengiraan faedah persaraan seperti Ganjaran Perkhidmatan, Pencen Bulanan dan Award Wang Tunai GCR akan berubah, jika saya pilih SSPA ini?
Maklum balas : Oh tidak. Formula pengiraan tetap sama seperti sebelum ini. Tiada pindaan kepada Akta Pencen 1980 pun. Dalam Pekeliling SSPA ini pun tidak sebut sebarang perubahan mahupun pindaan kepada formula pengiraan faedah persaraan. Maksudnya tiada apa-apa formula baharu yang mengurang atau menambah amaun faedah persaraan. Sama sahaja. Justeru, selagi tiada pindaan terhadap Akta Pencen 1980, maka sama pemakaiannya. - Betul ke, kalau pilih SSPA ini, pencen akan dapat umur 60 tahun. Kalau saya bersara pilihan umur 55 tahun, saya kena tunggu umur 60 tahun juga? Kalau cukup ‘servis’ 30 tahun, boleh dapat lagi awal ke?
Maklum balas : Oh, tidak begitu pun. Kelayakan pegawai menerima pencen masih sama prinsipnya seperti terdahulu. Pegawai yang dilantik pada atau selepas 12 April 1991, jika bersara pilihan, paling awal terima pencen adalah pada usia 55 tahun. Walaupun pegawai pilih umur bersara wajib 56/58/60 tahun.
Kalian yang dilantik selepas 1 Januari 2012, walaupun umur persaraan wajib adalah 60 tahun, kalian juga boleh terima pencen bulanan seawal usia 55 tahun jika kalian bersara pilihan sebelum umur 60 tahun. Kalau tempoh perkhidmatan pun dah 30 tahun, seperti teman maklumkan, lihat kepada tarikh lantikan. Lantikan pada atau selepas 12 April 1991, paling awal layak pencen adalah pada usia 55 tahun. - Sekarang saya Skim Pencen, sekiranya saya pilih SSPA, adalah saya jadi automatik Skim KWSP?
Maklum balas : Ish, ke situ pula. Masih Skim Pencen. Dalam SSPA, tiada dinyatakan pun kalau pilih SSPA terus masuk Skim KWSP. - Saya dah bersara dah. SSPA ni tak cakap pasal pesara ke? Mana cerita penyelarasan pencen kepada pesara Kerajaan ni?
Maklum balas : Ooh, SSPA ini untuk pegawai yang masih dalam perkhidmatan dalam erti kata lain, pegawai yang masih berkhidmat. Kalian yang dah bersara, tidak perlu tandatangan opsyen pun. Bagi penyelarasan pencen pula, nanti JPA dan KWAP akan kirakan dan buat penyelarasan pencen bagi pencen bulan Disember 2024 (8 %) dan Januari 2026 (7%). Punca kuasa yang teman guna adalah Seksyen 3, Akta Penyelarasan Pencen 1980 (Akta 238). - Jadi kalau sama, tiada perubahan, apa kelebihan saya memilih SSPA dari sudut persaraan saya?
Maklum balas : Semestinya faedah persaraan akan dapat lebih tinggi. Sebab, apabila kalian memilih SSPA, kalian akan diberi pelarasan gaji. Gaji akan lebih tinggi. Ingat, pengiraan faedah persaraan seperti Ganjaran Perkhidmatan, Pencen Bulanan dan Award Wang Tunai GCR akan dihitung berdasarkan Gaji Akhir. Justeru, Gaji Akhir yang diambil kira nanti adalah Gaji Akhir selepas diselaraskan sekiranya kalian memilih SSPA. - Jadi, mana lebih baik pilih SSPA atau SSM?
Maklum balas : Pilihlah SSPA untuk faedah persaraan yang lebih baik dan lebih sejahtera. Percayalah, apa yang diberikan oleh Kerajaan ini adalah untuk kebaikan kalian demi kemashlahatan dan kesentosaan kita semua. Begitulah.
Sumber: Bahagian Pencen, JPA
Maklumat Lanjut & Soalan Lazim
Sebarang maklumat lanjut, sila rujuk Portal Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) Jawapan Perkhidmatan Awam.
- MUAT TURUN : Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2024. https://docs.jpa.gov.my/docs/sspa/PP_SSPA_INDUK_COMBINED.pdf
[ MUAT TURUN ] SOALAN LAZIM (FAQ) PERKHIDMATAN SSPA
- Pengurusan Bakat – Urusan Perkhidmatan
- Pembangunan Organisasi – Urusan Skim Perkhidmatan & Ketua Perkhidmatan
- Kemampanan Saraan
*Sumber: Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2024 Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA)
Baca juga: